lightning-solid
Berita :
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
Muhammad Aqil Mat Ali
23 Jul 25
173

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula proses pelantikan Ketua Audit Negara yang disifatkan bercanggah dengan amalan konvensional dan menimbulkan risiko ketidakbebasan serta ketidaktelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Beliau berkata, pelantikan Ketua Audit Negara yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam bercanggah dengan tradisi sejak 1966, apabila semua sembilan penyandang terdahulu dilantik hanya selepas bersara daripada jawatan kerajaan.

“Sejak 1966, semua Ketua Audit Negara terdahulu termasuk S. Khandiah, Ahmad Nordin Zakaria, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Madinah Mohamad dilantik selepas pencen. Hanya penyandang sekarang masih berkhidmat.

“Perkara ini dipersoalkan banyak pihak dan saya bersetuju dengan kebimbangan itu,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol turut mengkritik laporan audit yang dikemukakan ke Parlimen, yang disifatkannya terlalu ringkas dan gagal memberikan gambaran menyeluruh terhadap kecekapan pengurusan serta perbelanjaan awam oleh kementerian dan agensi kerajaan.

“Sebanyak 2,000 entiti diberi ruang untuk diaudit, tetapi laporan setebal ini sahaja yang kita terima. Ia tidak mencerminkan skala sebenar penilaian dan seolah-olah dibuat secara sambil lewa,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjadi tumpuan laporan, yang menimbulkan kebimbangan berhubung unsur pilih kasih atau pengaruh politik dalam proses audit.

“Di sini mungkin ada sedikit politik dalam kalangan audit. Oleh itu, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan pembaharuan walaupun laporan ini sendiri dipersoalkan kesahihannya, kerana Ketua Audit sekarang pun dilantik dengan cara yang dipertikaikan,” tegasnya.

Rosol menekankan bahawa kerajaan perlu segera memulihkan kredibiliti institusi audit negara agar keyakinan rakyat terhadap integriti dan ketelusan pengurusan kewangan awam dapat dipulihkan sepenuhnya.


Tag :

Artikel Berkaitan