Artikel "Utama" Terkini
Sasaran 1.1 Peratus KDNK Pertanian Disifatkan Langkah Undur ke Belakang
BESUT, 12 Ogos - Sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu sebanyak 1.1 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah mengundur ke belakang berbanding pencapaian semasa dan potensi sebenar negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, berkata pada tahun 2023 sektor pertanian negeri merekodkan kadar pertumbuhan meningkat, malah Terengganu turut mencatat pegangan tertinggi negara dalam bidang pertanian dan penternakan berdasarkan Banci Pertanian 2024.
“Kalau sebelum ini kita mampu capai 7.4 peratus, tiba-tiba sekarang disasarkan hanya 1.1 peratus, ini seperti kita melangkah ke belakang.
"Sepatutnya kita berjalan ke hadapan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Katanya, beliau turut mengulas mengenai perbahasan Ahli Parlimen Kemaman, Dato Sri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Sidang Parlimen.
Menurut Azman, Pelan Strategik Terengganu 2024–2030 menetapkan sasaran pertumbuhan sektor pertanian negeri pada kadar 10 hingga 12 peratus menjelang 2030, yang dilihat lebih munasabah dan berpijak di bumi nyata.
"Jadi itu pendirian yang kita nak beri.
"Mungkin kita perlu berkunjung ke Kementerian untuk adakan perbincangan," ujar beliau lagi.
12 Aug 25
45
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya dan diangkat sebagai agenda nasional.
Katanya, perkara itu penting untuk diberikan perhatian selain menjadikan 'mega-trend' lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
"Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya masa kini?.
"Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), di Dewan Rakyat, semalam.
12 Aug 25
58
Hanya 10 Peratus Penternak Akuakultur Miliki MyGAP
BESUT, 12 Ogos – Lebih kurang 2,000 daripada 20,000 penternak akuakultur di seluruh negara memiliki Pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (MyGAP), meskipun ia merupakan aspek penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Yei Mou Eim, berkata pencapaian sebanyak 10 peratus itu masih rendah dan usaha bersepadu perlu dipergiat bagi menggalakkan lebih ramai penternak memohon pensijilan tersebut.
"Di Terengganu, seramai 45 penternak telah memperoleh MyGAP, manakala kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penternak tambahan menjelang hujung tahun ini.
"Pensijilan MyGAP menekankan amalan biosekuriti, kawalan penggunaan antibiotik serta ubat-ubatan, selain memastikan produk akuakultur yang dihasilkan selamat dimakan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurutnya, pelbagai bengkel, program kesedaran dan sesi latihan telah dianjurkan bagi membantu penternak memahami prosedur dan kepentingan MyGAP.
Tambah Yei Mou Eim, Kerajaan Terengganu melalui Pejabat Perikanan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti kemudahan infrastruktur asas termasuk pemasangan pagar dan kemudahan ‘dipping’, sokongan teknikal, serta penyediaan template dokumentasi dan rekod yang diperlukan bagi proses pensijilan.
“Walaupun memerlukan pelaburan awal daripada penternak, pensijilan ini memberikan manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan kualiti hasil ternakan dan keyakinan pengguna.
"Kita mahu lebih ramai penternak tampil mendapatkan MyGAP demi keselamatan makanan negara,” katanya.
Selain itu, kempen penerangan, pengedaran buku panduan dan sesi pengajian turut dilaksanakan bagi memastikan penternak benar-benar memahami tujuan serta faedah pensijilan ini.
"Dengan penglibatan aktif semua pihak, sasaran meningkatkan jumlah penternak bertauliah di setiap negeri diharap dapat dicapai menjelang hujung tahun, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara," ujar beliau.
12 Aug 25
43
Terengganu Sasar Imbangi Sumber Perikanan Melalui Akuakultur Berkualiti
BESUT, 12 Ogos – Terengganu menyasarkan untuk menyeimbangkan sumber hasil perikanan negeri dengan 50 peratus daripada sektor akuakultur dan 50 peratus daripada hasil tangkapan laut serta perikanan darat dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan yang dijangka semakin berkurangan pada masa hadapan.
“Pada masa ini, nisbah pengeluaran adalah sekitar 40 peratus akuakultur dan 60 peratus tangkapan. Setiap tahun, kita menghasilkan lebih 5,000 metrik tan hasil akuakultur dan tahun ini kita menyasarkan lebih 6,000 metrik tan.
“Fokus sektor air payau termasuk ternakan siakap, kerapu hibrid, udang harimau dan udang putih, manakala sektor air tawar melibatkan ikan baung, patin, tilapia, keli, udang galah dan pelbagai spesies lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurut Azman, kerajaan negeri memberi penekanan bukan sahaja kepada kuantiti, malah kualiti hasil ternakan melalui pensijilan MyGAP yang memerlukan pematuhan lebih 100 senarai semak audit termasuk aspek biosekuriti.
“Penternak yang memiliki pensijilan MyGAP berpeluang menembusi pasaran eksport dan pasar raya ternama. Ia memberi nilai tambah kepada produk negeri.
“Kita juga memastikan rantaian pengeluaran lengkap dari pusat pembenihan, pengeluaran, pemasaran hingga ke peringkat pensijilan. Jika sebelum ini hanya berhenti di tahap pemasaran, kini kita bergerak ke tahap pensijilan,” ujarnya.
Tambah Azman, sehingga kini terdapat 45 pensijilan MyGAP akuakultur di Terengganu, dengan 25 daripadanya di daerah Besut yang menjadi tumpuan bersama Setiu dan beberapa daerah lain.
Mengulas cabaran status tanah penternak, beliau berkata kerajaan negeri telah mewartakan beberapa lokasi sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diurus secara berpusat di bawah Jawatankuasa Pembangunan Tanah Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM).
“Dengan adanya ZIA, pengurusan lebih sistematik, cepat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Kita mahu industri akuakultur ini berkembang dengan teknologi terkini serta KPI kualiti yang tinggi,” katanya.
Selain perikanan, jelas beliau, Terengganu turut mencatat pencapaian dalam sektor pertanian dengan 500 hektar sawah padi memperoleh pensijilan MyGAP, sekali gus menjadikan negeri ini antara yang tertinggi di Malaysia.
12 Aug 25
82
Reformasi Segera Sistem Kerjasama Negeri–Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Terengganu menegaskan perlunya reformasi terhadap sistem kerjasama antara negeri dan Persekutuan dengan mengamalkan konsep federalisme koperatif serta pembahagian hasil negara yang lebih adil.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amalan seperti di negara-negara maju wajar dijadikan contoh agar pembangunan negeri tidak diikat oleh sentimen politik apabila kerajaan negeri dan Persekutuan berbeza ideologi.
“Dalam konteks ini, hasil petroleum adalah hak negeri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bukannya keistimewaan.
“Ia perlu dipulangkan sepenuhnya, dibayar tepat pada masanya dan disalurkan tanpa birokrasi yang melambatkan manfaat kepada rakyat, seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibahaskan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen semalam, beliau mempersoalkan kedudukan Terengganu yang hanya dilibatkan dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan.
“Angka ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Pantai Timur secara serius. Lebih membimbangkan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu hanya ditetapkan 4.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding sasaran dalam RMK-12 dan unjuran kerajaan negeri sendiri iaitu 6.6 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau turut mempertikaikan sasaran pertumbuhan sektor pertanian, perikanan dan akuakultur negeri yang hanya ditetapkan 1.1 peratus, sedangkan ia telah mencatat 7.4 peratus pada 2023.
“Ia langsung tidak mencerminkan kekuatan sebenar negeri yang terbukti berupaya mencapai prestasi tinggi dalam perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan. Negeri ini memerlukan projek dan peruntukan berimpak tinggi untuk melonjakkan ekonomi serta memberi kesan positif kepada seluruh Pantai Timur,” tegasnya.
Menurut beliau, projek strategik seperti Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran ECRL Terengganu juga perlu dimulakan segera kerana mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
12 Aug 25
53
R&D dan Inovasi Perlu Digembleng Secara Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari aspek pengkomersialan dan inovasi (C&I), menjadikannya R&D dan C&I.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam hal tersebut tidak wajar ‘re-invent the wheel’, tetapi lebih sesuai memilih ‘teknologi strategik’ yang ingin dibangunkan sebagai keperluan niche negara dan diangkat sebagai Agenda Nasional.
Justeru, Menteri Besar Terengganu itu mencadangkan lima proses keutamaan, agar pertambahan peruntukan bagi aspek R&D dan C&I ini menghasilkan impak maksimum kepada rakyat dan negara.
“Antaranya, menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat, dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif.
“Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetitif dan peluang kerjaya di dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu katanya, cadangan lain termasuk memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti, institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan teknologi serta kemudahan prototaip.
“Juga mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi halal.
“Di samping memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak yang maksimum,” jelasnya.
Katanya, segala cadangan dan komentar tersebut diharap dapat dijadikan sebagai teladan dan penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
12 Aug 25
63
Kerjasama Utuh Polis dan Masyarakat Perangi Dadah di Setiu
SETIU, 12 Ogos – Atas keprihatinan bersama terhadap isu gejala dadah yang semakin membimbangkan, satu sesi dialog antara agensi kerajaan, penguat kuasa dan pimpinan masyarakat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu di Balairaya Kampung Gong Pasir, di sini.
Program tersebut bertujuan merapatkan jurang, mengukuhkan kerjasama serta mencari penyelesaian holistik dalam menangani isu penagihan dadah di daerah berkenaan.
Ahli Parlimen Setiu berkata, masalah dadah memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh hanya meletakkan beban ini di bahu pihak berkuasa semata-mata,” katanya dengan nada tegas.
Dialog itu menampilkan barisan panelis berwibawa daripada pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dalam usaha memerangi dadah.
Mereka terdiri daripada Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad; Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Mohd Yushairey Zulkepli; wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Nur Wahida Shahrir; serta Pengurus Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari, sebuah pusat latihan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Terengganu yang menfokuskan kepada pemulihan bekas penagih dadah.
Superintendan Azamuddin menekankan peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ polis amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat, manakala Nur Wahida mengupas peranan keluarga dalam pencegahan berkesan serta peranan AADK dalam membantu penagih kembali ke pangkuan masyarakat.
Sementara itu, Alif Mahari menekankan kepentingan pendekatan rohani dan pemulihan menyeluruh dalam membantu bekas penagih dadah, sebagaimana yang dilaksanakan di Darul Barakah.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berharap segala pencerahan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani gejala dadah yang semakin runcing di Setiu.
“Semoga segala input yang diperoleh hari ini menjadi pemangkin kepada tindakan lebih bersepadu. Ini bukan hanya sebuah acara, tetapi pemula kepada satu gerakan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh JPKK DUN Jabi atas komitmen luar biasa, serta kepada para panelis yang sudi meluangkan masa memberi penerangan.
“Semoga kerjasama erat antara pimpinan masyarakat dan agensi penguat kuasa akan terus utuh, lantas memacu Setiu ke arah masyarakat sejahtera dan bebas daripada belenggu dadah,” tambahnya.
12 Aug 25
75
Ahli Parlimen Besut Persoal Integriti, Keberkesanan Ombudsman
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, mempersoalkan mekanisme dalaman yang akan menjamin integriti dan keberkesanan anggota Ombudsman apabila badan itu ditubuhkan kelak.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, beliau mengingatkan bahawa walaupun penubuhan Ombudsman dilihat positif, wujud kebimbangan tentang potensi salah laku dan pelanggaran integriti dalam kalangan anggotanya sendiri.
“Kalau selepas ditubuh, keberkesanan dan kepercayaan rakyat terhakis, itu masalah besar. Persoalannya, 'who watches the watchman'? Atau lebih tepat, 'who watches the watchdog'?,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan kritikan terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA) sebelum ini, termasuk kekangan kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap agensi kerajaan atau penyalahgunaan kuasa.
Ahli Parlimen Besut menekankan keperluan penambahbaikan khususnya dalam aspek sense of urgency bagi memastikan tindakan diambil dengan pantas dan berkesan.
Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengakui kelemahan BPA sebelum ini kerana berada di bawah kawalan kerajaan dan sukar untuk menegur pihak atasan.
Menurut beliau, Ombudsman akan mengambil alih peranan BPA serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), dengan bidang kuasa meliputi salah tadbir (maladministration), salah laku pegawai penguatkuasa (misconduct), pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Act) dan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act).
Azalina menjelaskan, draf akhir akan mengambil kira pandangan negeri-negeri yang mempunyai undang-undang FOI sendiri seperti Selangor dan Pulau Pinang, sebelum dibawa ke Kabinet. Beliau menyasarkan pembentangan dapat dilakukan pada sesi Parlimen Oktober ini.
12 Aug 25
79
SK Bukit Jejulong Juara EZBOT Malaysia Techlympics Zon Timur
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong muncul pemenang tempat pertama dalam Malaysia Techlympics 2025 peringkat Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.
Diwakili empat murid tahun tiga iaitu Muhammad Umar Khaliff Mohamad Sapian, Fayyadh Hakimiey Qusyairi Fauzi, Muhammad Anas Irfan Ahmad Ridhwan dan Muhammad Ammar Akram Mohd Khalidi, pasukan sekolah berkenaan dinobatkan sebagai juara kategori Pemikiran Komputasi (EZ Bot) yang dipertandingkan bagi peringkat tahap satu.
Pasukan bimbingan guru Penolong Kanan KoKurikulum, Noraini Abdullah bersama guru pembimbing, Mohd Aminuddin Ismail dan Mohd Syafiq Firdaus Azmi itu akan mewakili negeri Terengganu di Malysia Techlympics peringkat kebangsaan pada November nanti.
Wakil guru pembimbing merangkap jurulatih pasukan, Mohd Syafiq Firdaus menzahirkan rasa syukur atas kejayaan sekolah berkenaan layak buat kali kedua ke peringkat kebangsaan.
"Ini kali kedua kami sertai dan menang lagi serta berpeluang ke peringkat kebangsaan walaupun dalam kategori berlainan. Tahun lepas, kami mewakili negeri dalam kategori 'Printer 3D' yang disertai murid tahap dua dan mendapat naib johan di peringkat kebangsaan.
"Tahun ini kategori 'Printer 3D' tidak dipertandingkan jadi kami cuba pada acara lain dan rezeki murid tahap satu dalam acara baru yang dipertandingkan tahun ini.
"Kami ucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang yang menguar-uarkan pertandingan ini. Juga, kepada pihak sekolah iaitu guru besar, penolong kanan, para pentadbir dan rakan-rakan guru yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan semangat.
"Tidak lupa kepada murid-murid dan ibu bapa yang memberikan sokongan, apabila anak-anak ini sertai program ibu bapa secara terbuka memberi sokongan sama ada menerusi sumbangan dana dan meluangkan masa untuk anak ke latihan," katanya ketika ditemui selepas program tersebut, hari ini.
Tambahnya, peningkatan penyertaan sekolah rendah di Terengganu dalam acara tersebut merupakan perkembangan yang baik bagi pelajar negeri ini.
"Sekarang ini kita berada dalam era kecerdasan buatan (AI) di mana murid-murid sudah terdedah dengan pelbagai kandungan media sosial seperti YouTube dan sebagainya. Namun, ramai dalam kalangan mereka hanya menonton tanpa menyedari bahawa apa yang mereka lihat itu sebenarnya boleh diaplikasikan dalam bidang robotik dan inovasi.
"Peranan guru amat penting untuk menterjemahkan apa yang mereka tonton kepada bentuk pembelajaran yang bermakna, contohnya melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan seperti ini.
"Kategori robot komputasi ini adalah asas kepada pengatucaraan yang lebih susah lagi. Ia membentuk pemikiran komputasi yang diterjemahkan dalam bentuk yang hidup.
"Murid-murid pada peringkat ini sebenarnya lebih mudah untuk dibimbing berbanding murid yang lebih dewasa. Sekali diajar, mereka cepat memahami kerana pemikiran mereka masih segar dan mudah menerima ilmu,” ujarnya.
Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal itu melibatkan penyertaan 2,000 peserta daripada 120 sekolah dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Dalam program itu, Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah dari Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Cheng dari Kelantan turut memenangi tempat pertama dalam kategori Cabaran Siasatan Jenayah.
Manakala, Yayasan Terengganu (YT), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa, Kelantan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman, Bentong iaitu Nor Fatihah Mohd Nagib menerima anugerah khas atas komitmen menjayakan Malaysia Techlympics 2025.
12 Aug 25
1008
UniSZA International Youth Cup 2025 Himpun Bakat Muda Antarabangsa
KUALA NERUS, 13 Ogos - Lebih 72 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam UniSZA International Youth Cup 2025 yang membuka tirai pertandingan, 13 hingga 17 September ini.
Berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, kejohanan anjuran Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 30,000.00 yang mempertaruhkan empat kategori iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah menjelaskan, penyertaan pasukan peringkat usia di bawah 14 tahun sehingga lapan tahun ke bawah turut melibatkan pasukan luar negara termasuk dari Indonesia dan Singapura.
"UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggung jawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi sekaligus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda secara lebih kompetitif.
"Situasi ini secara tidak langsung memberi hala tuju jelas buat setiap pelatih mahupun akademi itu sendiri untuk memberi galakan dan keyakinan kepada generasi baru mahupun ibu bapa dan penjaga itu turut sama terlibat di dalam ekosistem pembangunan sukan yang mampu membina karektor mahupun sahsiah anak-anak mereka.
"Kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah kemudahan di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia sekaligus menjadi tambah nilai yang terbaik untuk penganjuran sulung ini," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Tambahnya, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan yang pertama kali seumpamanya melihat IPT sebagai tuan rumah di negeri-negeri pantai timur ini.
"penganjuran kejohanan bola sepak antarabangsa ini nanti dilihat mampu menjadi pentas terbaik buat setiap pelatih-pelatih dari akademi kami dan juga lain-lain akademi mahupun bakat-bakat muda tempatan untuk meraih penanda aras baharu buat mereka," ujarnya.
12 Aug 25
104