lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JPV Lupus 13,660 Kg Karkas Babi Tanpa Dokumen Sah
JPV Lupus 13,660 Kg Karkas Babi Tanpa Dokumen Sah
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu akan melupuskan 13,660 kilogram karkas babi yang dipercayai dipindahkan tanpa dokumen perjalanan sah, selepas ditahan di Kampung Apal, Terengganu pada 9 Ogos lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, tindakan itu diambil bagi mengelakkan risiko penularan penyakit berbahaya seperti African Swine Fever (ASF) yang kini dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor. “Karkas tersebut tidak melalui pemeriksaan ante-mortem dan post-mortem.  "Kita bimbang ia menjadi punca penyebaran ASF yang boleh menjejaskan industri ternakan negara,” jelasnya dalam satu hantaran di media sosialnya hari ini. Menurutnya, konsainmen itu dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan Batalion 8 yang mengekori dua lori dari Bukit Yong, Pasir Puteh menuju ke Kuala Terengganu sebelum menahan kenderaan tersebut.  "Kes kini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan. "Pelupusan karkas akan dilaksanakan sebaik sahaja perintah mahkamah diperoleh," ujarnya.
12 Aug 25
47
Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Terus Diperkemas
Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Terus Diperkemas
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Proses pewartaan Pulau Bidong sebagai sebahagian daripada Taman Negeri sedang diperkemaskan dengan penekanan terhadap pemeliharaan ekosistem dan warisan alam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara syarat utama pewartaan ialah larangan pembinaan struktur kekal di pulau berkenaan. "Salah satu syarat utama bagi pewartaan ini adalah larangan pembinaan struktur kekal, bagi memastikan ekosistem dan warisan alamnya kekal terpelihara. "Langkah ini mempunyai implikasi tertentu kepada pihak kerajaan serta pihak-pihak yang telah menjalankan pembangunan di kawasan tersebut. "Oleh itu, kerajaan perlu melihat perkara ini dari sudut pandang yang seimbang antara kepentingan pemuliharaan alam sekitar dengan keperluan pembangunan sosioekonomi setempat. Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun Facebooknya, berikutan satu tinjauan yang telah dijalankan di pulau itu beberapa hari yang lalu. Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi menjelaskan bahawa pendekatan sebegitu amat kritikal dalam pewartaan pulau bersejarah tersebut agar tidak menjejaskan mana-mana pihak. "Pendekatan ini penting bagi memastikan pewartaan Pulau Bidong dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hak, kepentingan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat," ujarnya. Terdahulu, kerajaan negeri secara rasmi membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri. Pewartaan kawasan seluas 231.3 hektar daratan dan perairan 1 batu nautika dari garis air surut pulau itu akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu. Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris pada 7 November, tahun lepas.
12 Aug 25
111
Dr. Sam Cadang Pusat Kecemerlangan REE, Tegur Hak Negeri Diabai
Dr. Sam Cadang Pusat Kecemerlangan REE, Tegur Hak Negeri Diabai
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE bagi merancakkan pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) di Malaysia. Menteri Besar Terengganu itu berkata, pusat berkenaan perlu memberi fokus kepada pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi serta kaedah pemulihan tanpa sisa, selari dengan keperluan industri masa depan. “Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun hasil penelitian terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini berada di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. “Apa yang membimbangkan kami di peringkat negeri, setakat rekod yang ada, pihak negeri tidak pernah dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilaporkan media asing sebagai salah satu syarat rundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini. Ahmad Samsuri berkata, perancangan pembangunan industri REE kini meliputi keseluruhan rantaian nilai termasuk perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan produk untuk tujuan eksport serta penjagaan alam sekitar. Katanya, langkah itu amat dialu-alukan kerana industri REE berpotensi menjana pulangan besar kepada negeri dan negara, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
12 Aug 25
115
Muaz, Nurjannah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Setiu
Muaz, Nurjannah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Setiu
SETIU, 12 Ogos – Qari dan qariah dari Kampung Ladang Bari Sungai Tong, Muhammad Muaz Mokhtar dan Nor Jannah Abd Rahman, dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Kampung Banggol, malam tadi. Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, plak serta sijil penyertaan. Naib johan bagi kategori qari dimenangi Ramli Awang Teh dari Kampung Tasek manakala kategori qariah disandang Halimah Ibrahim dari Kampung Chalok Lama. Mereka masing-masing menerima wang tunai RM1,000, cenderamata dan sijil penyertaan. Sementara itu, tempat ketiga bagi kategori qari dimenangi Zulkifly Mohamed Adnan dari Kampung Chalok Lama dan bagi kategori qariah disandang Farah Aina Mohd Ghazali dari Kampung Ladang Bari. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim yang diiringi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pegawai Daerah Setiu, Yuzaini Amir Mohd Nor dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Ustaz Kamal Mamat. Tilawah tersebut menjadi wadah memperkukuh syiar Islam di daerah ini, di samping mengangkat martabat al-Quran sebagai panduan hidup masyarakat.
12 Aug 25
76
Anak Didik Imtiaz Rangkul Tiga Anugerah Bertaraf Antarabangsa BIICC 2025
Anak Didik Imtiaz Rangkul Tiga Anugerah Bertaraf Antarabangsa BIICC 2025
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, 14, melakar momen bersejarah apabila pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu itu merangkul tiga anugerah bertaraf antarabangsa dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2025. Kejayaan tersebut diraih menerusi projek infografik bertajuk 'When They Disappear, So Do We', yang membolehkan Aira membawa pulang 'Gold Medal', 'Platinum Award' serta 'Best Infographic Poster Award' yang diumumkan di International Youth Centre, Kuala Lumpur, semalam. Berkongsi berita, anak pintar solehah Imtiaz Kuala Terengganu itu meluahkan keterujaan dan kegembiraannya apabila dia diumumkan sebagai penerima tiga anugerah dalam pertandingan tersebut. Aira Menurutnya, idea di sebalik infografik itu tercetus daripada kesedaran bahawa hubungan antara alam sekitar dan manusia adalah sangat rapat serta saling memerlukan. "Mesej yang saya ingin sampaikan adalah apabila sesuatu komponen penting dalam biodiversiti atau alam sekitar hilang, ia akan memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia.  "Kita semua bergantung antara satu sama lain untuk kelangsungan hidup," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Mengulas mengenai proses penyediaan projek, Aira berkata penganjur menetapkan tempoh selama dua minggu untuk menyiapkannya, namun dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyelesaikan infografik tersebut. "Sepanjang proses ini, saya dibantu oleh dua guru pembimbing iaitu Ustaz Zaimuddin (Zaimuddin Anizan) dan Ustaz Abdul Rashid (Abdul Rashid Al Muzmi), selain sokongan berterusan daripada ibu bapa dan rakan-rakan sekelas di 2 Nafi'. "Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah banyak membantu saya dalam menyiapkan projek ini," tambahnya. Selain cemerlang dalam pertandingan ini, Aira juga pernah menerima Anugerah Hafazan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2024 sebagai salah seorang daripada dua pelajar terpilih.  Pelajar tingkatan dua itu turut pernah menyertai 'Biology Explorer Competition' 2025 serta mewakili sekolah dalam Sukan Catur Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSD) Kuala Terengganu 2025 kategori Bawah 15 Perempuan. Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md Imran Md Nor menyifatkan pencapaian itu sebagai satu perkara yang menajdi kebanggaan besar bagi institusi pendidikan menengah di kuala Terengganu itu. "Ia bukan sahaja mencerminkan usaha gigih pelajar tersebut, malah menjadi bukti bahawa pendidikan yang seimbang antara akademik, akhlak dan kemahiran mampu melahirkan pelajar yang cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya. Antara projek lain yang turut merangkul 'Platinum Award' bagi kategori infografik Beliau turut memuji Aira sebagai pelajar yang serba boleh, berdisiplin tinggi dan seimbang dalam pelbagai aspek serta perlu dijadikan sebagai contoh oleh pelajar-pelajar lain. "Aira adalah seorang pelajar yang sangat aktif dan berdisiplin. Beliau bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, malah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk program kepimpinan, pertandingan dan aktiviti kemasyarakatan. "Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk berani mencabar diri, melangkah keluar dari zon selesa dan menyertai pelbagai peluang di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya. BIICC 2025 yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan kira-kira 650 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, guru-guru serta wakil dari 15 negara. Dianjurkan oleh Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) bersama Sarawak Teachers' Aspirations Organization, ia bertujuan untuk membudayakan kecenderungan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
11 Aug 25
342
LPT3 'Hilang', KDNK Diturunkan : RMK-13 Rencatkan Pembangunan Terengganu
LPT3 'Hilang', KDNK Diturunkan : RMK-13 Rencatkan Pembangunan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen sebenar untuk membawa masuk program dan projek berimpak tinggi ke negeri ini, termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), bagi merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas meneliti dokumen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau mendapati Terengganu hanya terlibat dalam enam strategi daripada keseluruhan 122 strategi, berbanding asas kukuh yang telah diletakkan menerusi RMK-12 sebelum ini. “Apa yang kita harapkan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sebagai projek infrastruktur berimpak tinggi dan pemacu utama (key enabler) pembangunan Terengganu, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan wilayah Pantai Timur. “Dalam RMK-12, kerja awalan seperti siasatan, kerja ukur tanah dan penilaian impak trafik telah pun dimulakan serta disiapkan pada akhir tahun 2022. "Namun, pada Februari lalu, Kerajaan Persekutuan hanya memaklumkan bahawa mereka masih meneliti jajaran serta pendekatan pembangunan projek tersebut,” ujarnya dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Sidang Parlimen, hari ini. Kekecewaan ini bertambah apabila projek LPT3 yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan tidak tersenarai dalam senarai projek infrastruktur utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut mempersoalkan sasaran purata kadar pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dalam RMK-13 yang diturunkan kepada 4.8 peratus, berbanding 6.0 peratus dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 dan 6.6 peratus dalam RMK-12 asal. Selain LPT3, Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi enam pembangunan berorientasikan transit (TOD), empat taman perindustrian serta satu hab logistik di Terengganu.
11 Aug 25
2503
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.  "Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.  "Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus. "Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya. Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.  "Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.  "Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau. Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia. "Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.  "Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi. Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.  "Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan. "Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya. Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.  "Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang. "Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
520
MB Terengganu Saran Kerajaan Perkenal Geran Khusus Persekutuan–Negeri
MB Terengganu Saran Kerajaan Perkenal Geran Khusus Persekutuan–Negeri
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Persekutuan disaran memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan–Negeri melalui akta baharu di bawah kuasa Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh kerjasama antara Pusat dan negeri. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata cadangan itu bertujuan memastikan peruntukan dapat disalurkan terus kepada negeri untuk melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan, birokrasi dan kelewatan agensi pusat. Katanya, sudah  tiba masanya Malaysia mempertimbangkan peralihan kepada model ‘cooperative federalism’ dan ‘fiscal federalism’ yang memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat, mengatasi kerangka perlembagaan yang digubal hampir tujuh dekad lalu. “Realitinya, walaupun pelaburan berbilion ringgit diumumkan di negeri-negeri, hasil yang diperoleh kerajaan negeri sangat kecil.  “Negeri hanya mempunyai kuasa kutipan cukai dalam jumlah terhad, manakala cukai pendapatan syarikat dan individu dikutip Kerajaan Persekutuan,” katanya. Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dilihat sebagai peluang untuk menambah kuasa negeri atau melaksanakan reformasi desentralisasi dalam kadar tertentu supaya negeri dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian. “Cadangan tersebut juga menekankan keperluan pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas agar negeri dapat memperoleh hasil yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya. Ahmad Samsuri juga mencadangkan satu suruhanjaya ditubuhkan untuk mengkaji Transformasi Pembangunan Negara, termasuk menilai keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK) terdahulu serta mengaudit sistem pemberian semasa seperti geran am, geran khas dan perkongsian hasil. Katanya, cadangan itu turut merangkumi penerokaan pendekatan baharu seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme yang diamalkan di negara persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia. “Suruhanjaya berkenaan dicadang untuk  melibatkan wakil rasmi semua negeri bagi memastikan semangat federalisme yang tulen, dengan matlamat utama menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira peringkat pentadbiran,” tambah beliau.  
11 Aug 25
127
Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu
Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa hairan terhadap sasaran pertumbuhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu yang hanya ditetapkan pada purata 1.1 peratus setahun. Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan potensi sebenar negeri itu, memandangkan sektor perikanan dan akuakultur turut menjadi antara industri strategik dalam ekonomi biru Terengganu. “Sub-sektor tanaman dan penternakan di Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini. “Kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk berkembang sehingga 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang 2030, atau secara purata 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya. Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut menuntut agar Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara berkaitan sektor pertanian, termasuk menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu. “Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara,” ujarnya.  
11 Aug 25
336
Seminar INSKEN Bongkar Cara Usahawan Elak Rugi dan Produk Tersadai
Seminar INSKEN Bongkar Cara Usahawan Elak Rugi dan Produk Tersadai
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos– Lebih 30 usahawan tempatan berpeluang meningkatkan ilmu perniagaan menerusi Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini. Seminar sehari itu menekankan topik penting seperti teknik membangunkan produk dan servis, analisis pasaran, enam fasa pembangunan produk serta pengiraan kos. Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, seminar tersebut bertujuan mengubah persepsi bahawa usahawan hanya perlu pandai menjual tanpa ilmu pembangunan produk. “Tanpa pengetahuan yang betul, usahawan berisiko membazir masa, tenaga dan wang. Melalui SUM:PPS, kami membantu mereka menilai idea secara strategik dan objektif. "Selain sesi teori, peserta turut mengikuti penilaian produk secara langsung bersama jurulatih dan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas terus mengenai potensi pasaran," ujarnya. Program tersebut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Sabasun HyperRuncit, KETENGAH, PERKESO, PERHEBAT dan beberapa pihak lain. Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub. Tambahnya lagi, setakat ini, SUM:PPS telah menarik lebih 4,000 peserta menerusi 10 siri seminar di seluruh negara.  "Bagi tahun ini, INSKEN menyasarkan 15 lokasi penganjuran untuk memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan," ujar beliau.
11 Aug 25
54