lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Pelaksanaan Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum melalui pembangunan sektor tenaga, teknologi hijau dan pelaburan strategik yang menjana pendapatan baharu. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sebahagian besar pendapatan baharu negeri bakal disumbang daripada industri tenaga. “Apabila pendapatan baharu ini diperoleh, ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada hasil petroleum. "Kita menetapkan tempoh lima tahun, selari dengan dasar sehingga tahun 2030 dan meneruskan dasar sedia ada bagi mencapai matlamat yang telah digariskan. "Pada tahun 2024, pendapatan baharu kita telah meningkat kepada RM77 juta. Sementara itu, setakat Jun tahun ini sahaja, kita telah berjaya mencatat RM62 juta, angka ini sudah mewakili pencapaian separuh tahun,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Melihat kepada perkembangan positif tersebut, beliau yakin kerajaan negeri mampu menjana lebih RM100 juta pendapatan baharu sekali gus memperkukuh sumber hasil bukan cukai negeri bagi tahun 2025. "Dan sekarang ini kita rasa kita optimis dengan sasaran kita kalau untuk 2030 nanti kita akan sasarkan berjumlah RM530 juta pendapatan baharu, bukan pendapatan keseluruhan," katanya. Mengulas lebih lanjut, antara fokus lain TNEXT adalah memperkukuh industri tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menjadi sumber hasil utama negeri. Menurutnya, negeri Terengganu menjadi antara penyumbang terbesar kepada tenaga di peringkat nasional berikutan penjanaan tenaga menjangkau keperluan negeri sendiri yang hanya berjumlah 365 megawatts (MW). "Antaranya yang terkini, yang telah ada adalah daripada jana kuasa Tasik Kenyir berjumlah 665MW, solar hybrid di Marang berjumlah 100MW dan akan datang ke negeri Terengganu yang akan dikeluarkan melalui green hydrogen, 80MW.  "Yang paling baru yang telah diumumkan bulan lalu, 'floating' solar di Tasik Kenyir berjumlah 600MW dan keseluruhannya berjumlah 2.5 gigawatts (GW).  "Juga dimaklumkan akan berlaku adalah projek jana kuasa di Paka 1 dan 2 yang mempunyai kapasiti 1,400MW setiap satu. Maka, jika dicampurkan keseluruhan jumlah tenaga yang dikeluarkan oleh negeri Terengganu berjumlah 6.1 gigawatts," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif menjelaskan bahawa penjanaan 600MW di Tasik Kenyir berupaya memberikan pendapatan langsung sebanyak RM34 juta setahun kepada negeri melalui pembayaran balik berkanun. "Tidak termasuk lagi kemungkinan dividen hasil daripada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam projek berkenaan, melalui Terengganu Incorporated (TI). "Yang saya sebut RM34 juta ini adalah 'statutory repayment' sahaja. Jadi kalau tuan-tuan bayangkan, 600MW sahaja kita dapat RM34 juta. 2.5GW, itu berganda," jelasnya.
14 Aug 25
762
Peruntuk Lebih RM1.3 Juta Perkukuh Biosekuriti Dan Galak Pensijilan myGAP
Peruntuk Lebih RM1.3 Juta Perkukuh Biosekuriti Dan Galak Pensijilan myGAP
BESUT, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan lebih RM1.3 juta bagi memperkukuh industri akuakultur negeri melalui insentif Pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (MyGAP), peningkatan infrastruktur biosekuriti dan bantuan kepada pengusaha kecil. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim, peruntukan tersebut melibatkan pemberian bantuan berbentuk 'in-kind' seperti kemudahan sanitasi, stor makanan, pagar kawasan, sistem rawatan air masuk dan keluar serta peralatan pemantauan kesihatan ternakan. “Lima penternak dari Hulu Terengganu, Marang dan Besut menerima Insentif myGAP bernilai RM180,000 merangkumi kemudahan sanitasi, stor, pagar dan sistem rawatan air. “Projek Peningkatan Infrastruktur Biosekuriti di Kluster Limbongan pula menerima RM265,000 untuk menaik taraf pengurusan air masuk dan buangan, bagi menjamin bekalan air ternakan bersih dan mengelak pencemaran,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, semalam. Selain itu, Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2025 melibatkan peruntukan RM900,000 disalurkan kepada 222 pengusaha di seluruh negeri, termasuk penyediaan makanan rumusan ikan, benih, set pengudaraan dan pukat sangkar. “Langkah ini sejajar dengan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2024–2030 yang menyasarkan pengeluaran 6,512 tan metrik pada tahun ini, dengan keutamaan kepada pengusaha kecil, projek baharu dan kluster strategik,” katanya. Justeru itu, Kerajaan Negeri optimis usaha bersepadu ini mampu melonjakkan Terengganu sebagai peneraju industri akuakultur negara yang moden, berdaya saing dan mesra alam.
13 Aug 25
74
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Berbaki 365 hari menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor, kontinjen SUKMA Terengganu digesa melipat gandakan usaha bagi menghadapi temasya sukan terbesar kebangsaan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, mengambil kira pencapaian SUKMA 2024 yang lalu di Sarawak menunjukkan petanda bahawa kontinjen perlu berkerja keras dalam sama-sama untuk kembali menjadi juara. "Tiada istilah mustahil dalam perjuangan ini, kerana tempoh setahun ini adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah kita gariskan. Dalam masa yang sama, strategi tambahan perlu dirancang dan dilaksanakan supaya kita sentiasa berada di depan berbanding pesaing-pesaing kita. "Para jurulatih perlu memainkan peranan yang penting dan rapi supaya kita mampu mengatasi mereka menjelang kejohanan sebenar nanti. Latihan-latihan perlu dirancang secara serius dan strategi yang digunapakai sebelum ini perlu dipatuhi terutamanya kehadiran latihan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 85%. "Pengurus pasukan dan jurulatih perlu memantau dengan lebih mendalam prospek lawan dari negeri-negeri lain. Di samping itu, perlu juga dibuat penilaian dan perbandingan menyeluruh bagi pasukan-pasukan yang telah dikenalpasti atlet-atlet sasaran pingat mereka. Inilah masanya mereka diberikan latihan yang berkualiti supaya sasaran mampu dicapai," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Selangkah Mencipta Gemilang - Misi Emas Bermula bagi Kontinjen Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya lagi, usaha luar biasa itu turut dipantau Panel Penilai Prestasi Atlet SUKMA (Presma) yang digerakkan bagi melakarkan gerak langkah kontinjen untuk bangkit semula pada SUKMA kali ini. "Selepas dari SUKMA Sarawak tempoh hari kami terus menggerakkan jawatankuasa Presma yang diketuai Ibni Amin Busu dan disertai pakar-pakar yang dilantik secara rasmi untuk meneliti secara keseluruhan dan menyusun perancangan gerak kerja latihan kepada para atlet. "Tanpa dinafikan, semua kontinjen bersaing hebat dengan Terengganu, jadi kita tidak boleh pandang mudah dan buat yang terbaik," ujarnya. Dalam majlis berkenaan, Hishamuddin dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia turut menyempurnakan pelancaran logo dan slogan 'Terengganu Nelang' yang akan digunakan sebagai laungan pembakar semangat kontinjen. Majlis turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Sebagai rekod, SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 34 jenis sukan dengan 30 sukan wajib dan empat sukan pilihan iaitu Catur, Kabadi, E-Sukan dan Kriket. Hishamuddin juga memaklumkan, masih ada lagi cadangan sukan tambahan oleh Sekretariat SUKMA Selangor iaitu sukan Silambam, Muaythai dan Petanque. Katanya, ketiga-tiga sukan tambahan itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas yang akan diadakan esok.
13 Aug 25
164
Siap Dinaik Taraf, Masalah Banjir Jalan Raya Berakhir
Siap Dinaik Taraf, Masalah Banjir Jalan Raya Berakhir
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Penduduk di Kampung Bukit Putera hingga Jelapang, Bukit Layat kini boleh menarik nafas lega apabila projek menaik taraf aras jalan yang sering dinaiki air ketika musim hujan telah siap sepenuhnya. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek itu merupakan salah satu usaha berterusan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang telah sekian lama membelenggu penduduk setempat. "Laluan tersebut sebelum ini kerap terputus setiap kali musim tengkujuh, sekali gus menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk urusan ke sekolah, tempat kerja dan mendapatkan rawatan di hospital," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, pada semalam. Menurutnya, masalah tersebut telah lama dibangkitkan sejak awal perkhidmatan menjadi Ahli Parlimen, sebelum akhirnya berjaya direalisasikan demi kesejahteraan penduduk setempat. “Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, malah memberi jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya. Beliau turut memaklumkan beberapa projek penaiktarafan jalan lain akan dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuk Jalan Lubuk Panjang ke Gong Terap, Jalan Pelong,  Mak Bakas dan Jalan Hulu Seladang ke Bandar Permaisuri yang dijangka ditender tidak lama lagi. Dengan siapnya projek ini, ia diharap dapat meningkatkan kelancaran perhubungan di kawasan Setiu dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
13 Aug 25
266
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – TDM Berhad hari ini mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, jumlah tersebut adalah hasil kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang diuruskan bersama sejak hampir tiga dekad lalu. “Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara. “Kejayaan ini bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; dan Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja. Najman menjelaskan, projek yang diusahakan TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) itu melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Puteh sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996. “Kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu. “Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, dan memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit,” katanya. Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar. “Sebagai kumpulan berteraskan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat. “Dengan asas yang kukuh, TDM yakin kerjasama bersama LTAWNT akan terus berkembang menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.
13 Aug 25
161
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Terengganu menyasarkan penciptaan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelan Terengganu New Economy Transformation (T-Next). Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, potensi sektor tenaga hijau jauh melangkaui penghasilan tenaga semata-mata, dengan rantaian pertengahan (midstream) dijangka menjadi pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. “Kalau hanya menjual tenaga elektrik kepada grid, peluang pekerjaan yang diwujudkan sangat kecil, satu ladang solar mungkin hanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja. Tetapi apabila kita kembangkan kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif. Menurut Dr. Mohd Hanif, peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi kesan rantaian nilai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri. "Langkah ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda," katanya. Beliau menjelaskan, walaupun peluang pekerjaan tersebut belum ketara pada masa ini, ia dijangka mula dirasai dalam tempoh dua tahun lagi apabila infrastruktur utama siap dibangunkan. “Sekarang rakyat belum nampak kerana kita sedang membina infrastrukturnya. Dalam dua tahun, kita percaya peluang itu akan mula jelas. Malah, kita sudah berbincang dengan MIDA supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja diambil daripada rakyat negeri ini,” ujarnya.
13 Aug 25
1522
RMM Teluk Kalong Takluk Kijal
RMM Teluk Kalong Takluk Kijal
KEMAMAN, 13 Ogos - Pasukan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong muncul juara edisi 2025 Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li selepas menundukkan Titian Berayun 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung malam tadi di Stadium Mini Mak Chili. Pertemuan itu menyaksikan penyerang sensasi RMM Teluk Kalong, Haikal Ikhwan, menjadi wira pasukan dengan ledakan hatrik pada minit ke-6, 23 dan 35. Titian Berayun hanya mampu merapatkan jurang menerusi jaringan Husni Syahmi pada minit ke-50, namun gagal bangkit untuk menundukkan pihak lawan. Ketua Jabatan Seni Budaya & Sukan (DACS) Kijal, Othman Harun, berkata edisi kali ini menarik penyertaan 11 pasukan dari seluruh DUN Kijal, bermula 3 Jun dan berakhir pada 12 Ogos, dengan sambutan hangat daripada para peminat bola sepak tempatan. “Alhamdulillah, tahun ini kejuaraan menjadi milik RMM Teluk Kalong. Tahun lalu, gelaran juara diraih oleh Kampung Bukit Anak Dara. “Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga platform merapatkan ukhuwah antara penduduk,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam. Turut hadir, Senator Che Alias Hamid, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ahmad Dasuki Mohd Tahir, barisan Ahli Jawatankuasa, serta wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang juga penaung kejohanan berkata, penganjuran Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li akan diteruskan setiap tahun. “Ini sebagai usaha menggabungkan semangat kesukanan, memupuk perpaduan dan membangunkan bakat muda sekali gus menyemarakkan aktiviti komuniti setempat. “Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, pengadil, pasukan bertanding, sukarelawan dan penyokong yang menjayakan kejohanan pada tahun ini,” ujarnya.                    
13 Aug 25
238
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melakar sejarah baharu dengan pelancaran Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) dalam memacu peningkatan ekonomi negeri secara mampan menjelang 2030. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata TNEXT merupakan satu agenda komprehensif yang menggabungkan tiga dasar strategik. Menurutnya, TNEXT menghimpunkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) 2023–2030, Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2024–2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025–2030 sebagai pelan hala tuju bersepadu ke arah ekonomi berkualiti, inklusif dan mampan. "TNEXT ini yang menggabungkan tiga dasar itu dan kita tengok secara holistik pergerakan dasar-dasar itu nanti. kita nak membawa kepada suatu perubahan daripada (dasar) sekarang ke arah yang lebih baik. "Dengan penambahan penambahbaikan dan kewujudan dasar-dasar dan rangka kerja ini, sudah pastinya kita bergerak pada satu langkah yang kedepan. "Banyak, (sebagai contoh) kalau dalam dasar industri, kita menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang ada. Supaya proses-proses tu lebih mesra pelabur dan mempercepatkan proses-proses yang ada. "Begitu juga dengan dua dasar lain lagi, rangka kerja lain tu adalah kita suitkan dengan apa yang pihak persekutuan ada, Kita rujuk dan kita melangkah ke arah yang sama," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025. Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato' Nara Setia serta Timbalan SUK (Pembangunan), Dato' Rosli Latif. Melalui DPPPNT, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi dalam enam kluster strategik iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.  Manakala, PITIH menetapkan sasaran Terengganu sebagai peneraju teknologi hijau serantau melalui tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, ekonomi sirkular dan industri hijau. Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan RTEDT akan dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan transformasi digital menyeluruh. "RTEDT ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama daripada tahun 2025 sehingga 2027 dan fasa kedua daripada tahun 2028 sehingga 2030. "Fasa pertama akan menumpukan pada pengukuhan asas penggunaan digital manakala fasa kedua akan memacu transformasi digital secara inklusif dan menyeluruh melalui rangka tindakan ini, lima teras utama akan diberi penekanan. Nurkhuzaini menjelaskan fasa pertama memfokus kepada pengukuhan asas digital, manakala fasa kedua memacu transformasi inklusif dengan penekanan kepada pendigitalan perkhidmatan awam, pembangunan bakat dan inovasi ekonomi digital. Tambahnya, inisiatif sokongan TNEXT termasuk pemasangan tiang pintar (intelligent pole) di seluruh negeri untuk menyediakan rangkaian 5G, WiFi awam, lampu LED jimat tenaga, sensor udara, stesen pengecasan EV dan sistem keselamatan pintar, sejajar dengan pembangunan bandar pintar. "Untuk negeri Terengganu, inisiatif ini akan memperkukuhkan kedudukan negeri terengganu sebagai peneraju teknologi hijau dan meningkatkan kualiti hidup melalui penyelarasan bandar pintar dan juga menjadikan model pembangunan seimbang antara kemajuan teknologi dan kelestarian alam. "Inilah masa depan yang kita bina bersama, negeri Terengganu yang bukan sahaja pintar dari segi teknologi tetapi juga mampan dan berpaksikan rakyat," ujarnya.
13 Aug 25
595
Kritik Bantuan RM100 Tidak Bersasar, Desak Projek Besut Disegerakan
Kritik Bantuan RM100 Tidak Bersasar, Desak Projek Besut Disegerakan
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa langkah kerajaan yang disifatkan tidak berfokus dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus berkesan, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat semalam. Beliau mempersoalkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara 'one-off' kepada semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan tinggi, yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Menurutnya, langkah tersebut tidak menepati konsep penyasaran bantuan, malah bercanggah dengan alasan kerajaan sebelum ini untuk menyusun semula subsidi. “Persoalannya, mengapa pengumuman ini dibuat hanya beberapa hari sebelum Perhimpunan Rakyat 26 Julai lalu? Mengapa ia dimasukkan di bawah SARA sedangkan sebelum ini SARA dikhususkan kepada B40 dan M40 bawah? Adakah ia akan benar-benar dilaksanakan atau sekadar pengumuman tanpa komitmen rasmi?,” soalnya. Beliau turut mengulas isu integriti fiskal, termasuk dakwaan bahawa Perdana Menteri tidak mengambil gaji. Katanya, secara prosedur kewangan, elaun atau gaji seorang penjawat awam tetap disalurkan ke akaun yang diperuntukkan, justeru ketelusan perkara itu wajar diperjelaskan. Menyentuh soal percukaian, Che Mohamad Zulkifly mempersoalkan pembatalan cukai terhadap barangan bernilai tinggi, sedangkan cukai ke atas barangan harga rendah dikekalkan. Beliau juga membangkitkan tanda-tanda tindakan cukai dan rampasan aset yang dilihat bersifat terpilih. Berkaitan pengurusan hutang, beliau menarik perhatian kepada peningkatan hutang Persekutuan yang kini mencecah RM1.3 trilion berbanding RM1.25 trilion pada akhir tahun lalu, yang menurutnya bercanggah dengan gambaran penurunan hutang yang sering dicanangkan kerajaan. Dalam konteks pembangunan daerah, beliau menggesa kerajaan mempercepat pembinaan klinik kesihatan baharu di Pulau Perhentian untuk mengurangkan kebergantungan penduduk kepada fasiliti di tanah besar. Keperluan hospital baharu di Besut turut ditekankan, berikutan kesesakan di hospital sedia ada yang sering digelar 'Hospital Panadol' akibat kekurangan kelengkapan dan tempoh menunggu rawatan yang lama. Selain itu, projek Jambatan Jerteh yang diluluskan sejak 2019 dengan kos RM124 juta turut disentuh, meskipun telah dimasukkan dalam RMK-12, beliau menegaskan pelaksanaannya masih belum bermula. Beliau turut mengingatkan kerajaan agar menunaikan janji manifesto untuk menyalurkan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, melalui saluran Parlimen dan bukan Pejabat Perdana Menteri. Katanya, syarat perjanjian yang dikenakan kini menyalahi semangat federalisme dan menafikan hak rakyat di kawasan pembangkang untuk menikmati pembangunan secara adil. Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa siasatan telus terhadap kes-kes kematian atau serangan terhadap saksi penting yang sebelum ini dianggap kebetulan, sambil mengingatkan bahawa kuasa politik adalah amanah sementara yang tidak wajar digunakan untuk menekan pihak lawan.
13 Aug 25
150
DPPPNT Rancakkan Pelaburan Industri Terengganu
DPPPNT Rancakkan Pelaburan Industri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda pemerkasaan ekonomi negeri dengan melancarkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023–2030 (DPPPNT) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam. Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam satu kenyataan berkata, dasar itu menjadi bukti keazaman Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pelaburan serta merancakkan pembangunan sektor perindustrian secara strategik, inklusif dan mampan. “DPPPNT ini digubal sebagai landasan utama bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Negeri Terengganu. Ia selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan agenda nasional berkaitan seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” jelas kenyataan itu. Dasar tersebut memberi fokus kepada kluster-kluster perindustrian strategik yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan di Terengganu termasuk industri minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik/pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan. Enam teras strategik dibentuk sebagai tunggak utama pelaksanaan dasar ini, merangkumi penambahbaikan ekosistem pelaburan sedia ada, menaik taraf kawasan perindustrian, pembangunan kluster baharu, menggalakkan penerokaan industri baharu, pemutihan kawasan perindustrian yang tidak dibangunkan, peningkatan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, serta penyediaan insentif yang jelas dan telus. Kerajaan Negeri juga menegaskan komitmen untuk menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi melalui pelaksanaan bersepadu oleh semua agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan pemain industri. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk memperkasakan peranan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau. Menurut PMINT, pelancaran DPPPNT menandakan kesediaan Terengganu untuk melangkah sebagai destinasi pelaburan perindustrian yang kompetitif, berdaya tahan dan mesra pelabur, sejajar aspirasi menjadikan negeri ini pemacu pertumbuhan ekonomi rantau Pantai Timur.
12 Aug 25
653