Artikel "Sukan" Terkini
61,000 Peminat Harimau Malaya Turut Berduka
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Lebih 61,000 peminat Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam sempena kelayakan Piala Asia AFC semalam turut berduka dengan kemalangan yang mengorbankan 15 anak Terengganu dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih buat semua penonton yang berada di SNBJ di atas sikap yang ditunjukkan semalam.
"Terima kasih buat semua 61,000 penonton yang berada dalam Stadium Nasional Bukit Jalil atas kebersamaan menghulurkan simpati.
"(Juga) merakamkan takziah dan mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa korban kemalangan anak-anak Terengganu yang merupakan penuntut UPSI sebelum sepak mula.
"Sepi seketika SNBJ," ujarnya menerusi satu hantaran di media sosialnya, semalam.
Walau bagaimanapun, katanya perjuangan Harimau Malaya tetap perlu diteruskan.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri mengucapkan tahniah buat pasukan kebangsaan Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam.
11 Jun 25
226
Qabil Irfan Berlepas ke Sepanyol Sertai Siri Perlumbaan ESBK
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan telah berlepas ke Sepanyol bersama bapanya sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua dan ketiga España Superbike Championship (ESBK) yang bakal berlangsung bulan ini.
Sebagai persiapan awal, Qabil dijadual menyertai sesi ujian tertutup (Private Test) minggu ini di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.
Ujian ini akan dijalankan bersama pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly, bagi memastikan persediaan teknikal dan fizikal berada pada tahap optimum menjelang aksi sebenar.
Pusingan kedua ESBK akan berlangsung di Litar Catalunya pada 21 hingga 22 Jun 2025.
Manakala pusingan ketiga dijadual kembali ke Litar Motorland Aragon pada 28 hingga 29 Jun 2025.
Kehadiran Qabil di pentas antarabangsa ini sekali lagi membuktikan komitmen dan potensi besar pelumba muda negara dalam mengharumkan nama Malaysia di persada perlumbaan motosikal dunia.
Menurut bapanya, Azlan Abdul Rahman, aspek pemakanan Qabil turut diberi perhatian dengan penyediaan hidangan khas.
"Ini bagi memastikan tahap tenaga dan kesihatan anaknya kekal berada pada paras terbaik sepanjang kempen ESBK kali ini," katanya.
10 Jun 25
109
Anak Terengganu Ungguli Litar Dunia Di Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Memulakan perlumbaan di petak ke-7, pelumba muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, melakar sejarah baharu apabila berjaya menjuarai Race 2 dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di litar Aragon, Sepanyol, hari ini.
Kemenangan itu meletakkannya di tangga teratas podium, menewaskan nama-nama besar dalam kalangan pelumba muda antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengucapkan sekalung tahniah kepada anak kelahiran Terengganu itu diatas pencapaiannya yang telah berjaya menaikkan nama negara ke pentas antarabangsa.
"Lagu Negaraku berkumandang di Aragon, Sepanyol.
"Tahniah! Hakim Danish berjaya merampas kejuaraan bagi Race 2 Redbull MotoGP Rookies Cup di Aragon, Sepanyol sebentar tadi.
"Berada di podium 1, menewaskan pelumba-pelumba dunia lain.
Beliau berkata demikian dalam hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman Facebook rasminya, sebentar tadi.
Lebih membanggakan kejayaan tersebut berlaku selepas Hakim menduduki tempat kedua dalam Race 1, satu perlumbaaan yang penuh mendebarkan dengan perbezaan masa hanya 0.007 saat di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte.
Pembalap yang berumur 17 tahun itu kini merupakan antara pelumba paling konsisten dalam kejohanan tersebut dan dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan keseluruhan musim ini, mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu carta keseluruhan siri perlumbaan tersebut.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi bakat muda Terengganu, Qabil Irfan, bersama bapanya (Lan Jawa) bakal berlepas ke Sepanyol esok (9 Jun 2025), bagi menyertai ESBK Talent Cup 2025, pusingan dua di Aragon dan pusingan tiga di Navarra.
08 Jun 25
110
Sang Penyu Masih Bermandi Pasir
Sumber foto: FB Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Disaat pasukan-pasukan ternama Liga Super Malaysia sedang sibuk mengejar pemain-pemain yang telah 'dibebaskan' bagi memperkukuh saingan musim hadapan, Terengganu FC masih menyepi.
Ibarat sang penyu yang sedang bermandi pasir sebelum bertelur, geraknya amat perlahan seakan-akan kaku.
Sementelah, bayang ketua pegawai eksekutif (CEO) pun masih belum kelihatan, bagaimana agaknya persediaan gergasi kesayangan rakyat Terengganu ini?
Mahu mencabar kejuaraan, atau kekal 'enjoy' seperti musim lalu?
Berdepan pula kekangan kewangan yang menjangkiti hampir semua pasukan di pelbagai peringkat liga, berapa kebal dan 'tebal' Terengganu FC mampu bertahan pada musim depan?
Ditambah keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk membenarkan 15 pemain import bagi setiap pasukan, ke mana arah pasukan? Mengikut atau menongkah arus yang jadi pilihan?
Pastinya ini antara pertanyaan yang bermain di fikiran penyokong-penyokong Terengganu FC.
Berbaki lebih kurang dua bulan sebelum saingan bermula pada awal Ogos, MFL mengumumkan tarikh perpindahan pemain Liga Malaysia 2025/2026 bermula 9 Jun hingga 31 Ogos nanti.
Tempoh ini dilihat kritikal buat Sang Penyu untuk menetapkan hala tuju dan persiapan pasukan.
Sebarang pemilihan pemain, jurulatih termasuk CEO tentu menjadi tumpuan samada ia mampu 'memujuk' peminat berdarah hitam dan putih untuk kembali memenuhi stadium yang kelihatan semakin kosong dalam beberapa perlawanan terakhir kebelakangan ini.
Segalanya kini sunyi dan sepi, tetapi peminat masih sabar menanti apa keputusan yang bakal disepakati.
28 May 25
150
Veledrom Dungun Pikat Delegasi Kedah
DUNGUN, 28 Mei - Komitmen untuk memperkukuh pembangunan sukan negeri terus diperlihatkan apabila delegasi Kerajaan Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke Veledrom Dungun dalam usaha menjadikan kemudahan berprestij itu sebagai rujukan dan aspirasi pembangunan sukan di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din memaklumkan, lawatan ke lokasi yang juga dikenali dengan gelaran Velodrom Dato' Azizulhasni Awang itu, bertujuan meninjau secara lebih dekat kemajuan projek yang dilihat sebagai model pembangunan infrastruktur sukan yang strategik dan berimpak tinggi.
“Kami ingin melihat sendiri bagaimana projek ini dibangunkan daripada aspek struktur, pelaksanaan pembinaan hingga kepada peranan kerajaan negeri dalam memastikan ia memberi manfaat kepada pembangunan sukan tempatan.
"Ini akan menjadi panduan yang amat berguna untuk negeri Kedah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut, di sini pada Isnin.
Radhi yang hadir bersama timbalannya, Baddrol Bakhtiar disertai oleh beberapa pegawai kanan kerajaan negeri dan wakil daripada agensi berkaitan belia dan sukan.
Dalam sesi taklimat dan lawatan tapak yang diadakan, delegasi Kedah diberi penerangan terperinci mengenai reka bentuk veledrom, spesifikasi teknikal serta potensi penggunaannya untuk program pembangunan atlet sukan berbasikal.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyambut baik kehadiran delegasi negeri Kedah.
"Pembangunan sukan tidak seharusnya bersifat bersendirian di peringkat negeri, tetapi perlu diperkasakan melalui jaringan kerjasama yang lebih luas antara negeri.
"Insya-Allah, Terengganu sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, turut menyatakan kesediaan Kerajaan Terengganu untuk bekerjasama dengan mana-mana negeri dalam memperkukuhkan ekosistem sukan, khususnya melalui pemerkasaan fasiliti dan program pembangunan akar umbi.
Tambahnya, kehadiran delegasi itu merupakan satu penghormatan dan menunjukkan bahawa Veledrom Dungun bukan sekadar projek fizikal, tetapi simbol kepada kesungguhan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lawatan kerja berkenaan turut membuka ruang dialog antara kedua-dua negeri, dengan perbincangan awal ke arah jalinan kerjasama dalam bidang kejurulatihan, program pembangunan belia dan pemanfaatan fasiliti sukan secara bersama.
Untuk rekod, Veledrom Dungun telah siap sepenuhnya pada 15 Mac 2022 dan kini telah mula digunakan oleh atlet berbasikal tempatan untuk sesi latihan secara rasmi.
Kemudahan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sukan berbasikal tanah air.
Dengan prasarana yang lengkap dan berstandard antarabangsa, Veledrom Dungun kini bersedia menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan berbasikal serta menjadi pusat latihan yang mampu melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Dato’ Azizulhasni Awang.
27 May 25
1131
SMUPA Melonjak ke Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) akan diperluaskan pada tahun 2025 dengan penglibatan peserta di peringkat global.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyertaan SMUPA bagi edisi 2024 meningkat dengan ketara kepada 125 penyertaan melibatkan jurugambar berbakat dari pelbagai negeri.
Kata beliau, ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan lautan Terengganu, tetapi turut membawa mesej kuat tentang pentingnya pemeliharaan ekosistem marin untuk generasi akan datang.
"Menyedari kejayaan SMUPA dan berkat ilham Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan penuh rasa sukacita saya mengumumkan, SMUPA akan diperluaskan menjadi Sultan Mizan International Photography Award (SMIPA) pada tahun 2025.
"Dengan pelancaran SMIPA 2025 kelak, pertandingan ini akan dibuka kepada penyertaan global, Terengganu diharapkan akan mendapat tempat dan nama sebagai salah satu lokasi fotografi marin dan alam semula jadi bertaraf dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang utama.
Hadir sama mengiringi baginda ialah DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja.
Menurut Dr. Ahmad Samsuri, SMIPA 2025 nanti akan memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Kategori Budaya (Culture) yang merakam keunikan budaya, warisan, adat resam dan kehidupan masyarakat Terengganu dan rantau ini.
"Kedua iaitu Kategori Alam Semula Jadi (Nature), menampilkan keindahan landskap, flora dan fauna di daratan, dengan fokus kepada kelestarian dan konservasi alam.
"Dengan penambahan ini, SMIPA 2025 akan meliputi keindahan Terengganu dari dasar laut hingga ke daratan, menawarkan peluang lebih luas kepada jurugambar mempersembahkan kreativiti mereka," jelasnya.
Untuk rekod, SMUPA merupakan inisiatif istimewa yang lahir daripada ilham DYMM Sultan Mizan, bertujuan memperkenalkan keindahan dan keunikan dasar laut negeri Terengganu kepada dunia.
Sejak penganjuran pertamanya, sambutan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, melibatkan para jurugambar dasar laut dari dalam dan luar negara sekali gus merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
25 May 25
273
Anak Terengganu Wakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Korea Selatan
DUNGUN, 22 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyantuni dan meraikan kejayaan Mohamad Armin Zahryl, atlet olahraga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bakal menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
Menurut Hishamuddin, Armin, anak jati Dungun, dipilih menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-26 (26th Asian Athletics Championship) yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei 2025.
"Beliau akan menyertai kontinjen Malaysia bersama beberapa lagi atlet dari Terengganu, termasuk Azreen Nabila Alias dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira," katanya selepas majlis ziarah terbabit.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, serta barisan kepimpinan dari Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) termasuk Setiausaha Kehormat, Kama Rezuan Kamaruddin dan Pengarah Kejurulatihan, Zaki Sadri.
Ujar Hishamuddin, minat mendalam Armin terhadap sukan olahraga bermula sejak zaman persekolahan lagi memberinya motivasi untuk terus melakar pencapaian membanggakan.
"Dengan semangat juang dan latihan konsisten, beliau berjaya mencuri tumpuan apabila menyumbang pingat emas buat Terengganu dalam SUKMA Sarawak XXL 2024," jelas Hishamuddin.
Seluruh warga Terengganu dan rakyat Malaysia pastinya mendoakan kejayaan Armin dan rakan-rakan atlet negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
22 May 25
1901
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri.
Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP.
“Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu.
“Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
“Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan.
“Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan.
“Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.
21 May 25
145
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
SETIU, 20 Mei - Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak.
Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’.
"Dua arena utama iaitu 'warm-up' dan 'competition' dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa.
"Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004.
"Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017.
"TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,"ujarnya.
Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin.
Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
20 May 25
163
Bidong Trail Fun Run Himpun 1,500 Pelari
SETIU, 17 Mei - Bidong Trail Fun Run yang berlangsung pagi tadi berjaya menghimpunkan 1,500 peserta pelbagai lapisan umur.
Bermula seawal jam 8.00 pagi, acara larian anjuran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu menawarkan laluan sejauh 4.2 kilometer kepada penggemar adrenalin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, laluan tersebut menyajikan denai mencabar dikelilingi suasana alam semula jadi yang menghijau dan memukau pandangan.
"Apa yang pasti, debu-debuan tak boleh dielakkan sama sekali.
"Acara ini bukan sahaja berperanan mempromosikan gaya hidup sihat bahkan turut memperkenalkan keindahan khazanah alam semula jadi yang terdapat sekitar Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong," jelasnya menerusi satu hantaran di halaman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau yang menyempurnakan pelepasan Bidong Trail Fun Run, hadir bersama timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Hishamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih semua peserta yang menyertai acara berkenaan bagi memeriahkan sambutan Karnival TIEP sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan KDYMM Al-Wathiqu Billan Sultan Mizan Zainal Abidin.
17 May 25
167