DUNGUN, 9 Julai – Tapak BMX (Motocross Basikal) Dungun yang pernah melahirkan beberapa atlet berbasikal peringkat kebangsaan bakal dinaik taraf dalam masa terdekat bagi menjamin keselesaan serta keselamatan atlet tempatan menjalani latihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan beberapa kekurangan di tapak tersebut termasuk isu kebersihan dan ketiadaan tempat berteduh untuk para atlet, khususnya semasa cuaca hujan.
“Tapak ini memang terbukti berjaya lahirkan atlet peringkat negeri dan negara. Tapi sayangnya, kawasan ini masih belum dibangunkan secara lebih wajar. Kita juga terima laporan ada pihak buang sampah sembarangan sehingga jejaskan suasana latihan.

“Kita akan minta Majlis (daerah) ambil tindakan dari segi penguatkuasaan kebersihan dan cadang untuk bina tempat berteduh supaya atlet dapat teruskan latihan walaupun dalam keadaan hujan,” katanya sewaktu lawatan ke tapak BMX Dungun, hari ini.
Lawatan ke tapak berkenaan turut disertai pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Daerah dan Tanah Dungun serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi meninjau keadaan sebenar.

Tambahnya, kawasan itu juga akan dilengkapi dengan penghadang untuk mengelakkan kenderaan berat memasuki laluan latihan dan merosakkan trek sedia ada.
“Bukan sekadar naik taraf, kita mahu tempat ini dijaga supaya terus jadi pusat pembangunan sukan berbasikal untuk anak muda Dungun,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Daerah Dungun, Amran Abdullah turut menyuarakan kebimbangan yang sama dan berharap tindakan segera dapat diambil agar kawasan tersebut kekal kondusif untuk latihan dan pembangunan bakat baharu.
“Tapak ini memang jadi tempat latihan utama atlet-atlet muda di Dungun. Sayangnya, keadaan sekeliling tidak dijaga dan kadang-kadang ada kenderaan berat masuk tanpa kawalan. Harap sangat pihak berkuasa ambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui selepas sesi tinjauan.