lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang Parlimen" Terkini

RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.  "Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.  "Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus. "Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya. Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.  "Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.  "Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau. Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia. "Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.  "Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi. Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.  "Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan. "Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya. Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.  "Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang. "Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
515
Ahli Parlimen Setiu Bimbang RUU Bekalan Elektrik Tidak Lindungi Pengguna
Ahli Parlimen Setiu Bimbang RUU Bekalan Elektrik Tidak Lindungi Pengguna
KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, menyuarakan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik jika gagal melindungi kepentingan pengguna daripada beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa walaupun ia bertujuan menyusun semula sektor tenaga, masih wujud persoalan besar mengenai hala tuju dasar kerajaan. Dalam ucapannya, beliau turut menyorot Seksyen 22D yang memperkenalkan mekanisme pelesenan untuk mengimport dan mengeksport elektrik. Walaupun mengiktiraf potensi memajukan perdagangan rentas sempadan, beliau mempersoalkan ketiadaan peruntukan jelas bagi memastikan manfaat daripada aktiviti tersebut dikembalikan kepada rakyat, sama ada melalui rebat atau pengurangan tarif. "Adakah keuntungan yang diperoleh daripada eksport ini akan diterjemahkan kepada penurunan tarif domestik?, " soal beliau. Beliau turut bimbang mengenai ketiadaan had siling eksport yang berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan domestik serta mendorong kenaikan harga kepada pengguna. Selain itu, Shaharizukirnain membangkitkan isu hak milik negeri, khususnya bagi kawasan yang digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik seperti Tasik Kenyir di Terengganu. Beliau mendesak agar diwujudkan mekanisme telus bagi mengagihkan hasil eksport tenaga kepada negeri-negeri terbabit. Beliau menegaskan, negeri yang menyumbangkan kawasan tanah luas untuk pembangunan tenaga negara sewajarnya menerima manfaat langsung daripada dasar baharu ini. "Apakah faedah yang akan diterima oleh negeri setelah kawasan tadahan seluas 260,000 hektar seperti di Tasik Kenyir dimanfaatkan untuk kepentingan negara?," soal beliau sambil menggesa agar Terengganu dan negeri-negeri lain diberi perkongsian hasil yang adil.
09 Aug 25
25
RUU Perintah Kehadiran Wajib Dipinda - Ahli Parlimen Dungun
RUU Perintah Kehadiran Wajib Dipinda - Ahli Parlimen Dungun
KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat menyaksikan pelbagai kebimbangan dan cadangan konstruktif dikemukakan, khususnya berkaitan prinsip keadilan, keberkesanan pelaksanaan, serta kapasiti prasarana yang terlibat. Pindaan utama yang menjadi tumpuan ialah Seksyen 5(1) yang membolehkan mahkamah mengenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kepada pesalah yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, berbanding hanya kesalahan yang membawa hukuman tiga tahun ke bawah sebelum ini. Menurut Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli ketika membahaskan RUU tersebut, peluasan skop PKW ini secara teorinya menunjukkan usaha memperkukuh program pemulihan pesalah luar penjara. Namun begitu, beliau mempersoalkan kesesuaian beberapa kesalahan berat seperti pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah untuk turut dipertimbangkan di bawah alternatif hukuman ini. Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang jelas tentang jenis-jenis kesalahan yang wajar dan tidak wajar diberikan PKW bagi memastikan konsistensi dalam pelaksanaannya oleh pihak mahkamah. Jelasnya, berhubung Seksyen 5(1B), pindaan membolehkan mahkamah menetapkan kehadiran harian pesalah ke pusat kerja wajib sehingga 12 bulan, maksimum empat jam sehari. Kata beliau langkah ini dilihat positif dalam membina semula disiplin dan tanggungjawab sosial, namun Wan Hassan mempersoalkan keupayaan logistik dan sumber tenaga sedia ada. “Adakah pusat pemulihan, tenaga kerja dan fasiliti yang ada mampu menampung peningkatan jumlah pesalah yang tidak dihantar ke penjara? Bagaimana dengan mereka yang tinggal di pedalaman, adakah mereka akan mengalami ketidakadilan dari segi mobiliti dan kos ulang-alik?,” soalnya. Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan PKW mengambil kira situasi setempat dengan membenarkan pesalah menjalani program pemulihan dalam komuniti masing-masing sekiranya sesuai. Selain itu, pindaan kepada Seksyen 8(1A) dan (1B) yang membolehkan mahkamah mengeluarkan saman atau waran tangkap terhadap pesalah ingkar PKW turut disentuh. Ujar beliau, meskipun pindaan ini dilihat meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, ia turut menimbulkan persoalan berkaitan hak asasi dan prinsip keadilan. “Jika tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengelakkan pemenjaraan berlebihan dan mengurangkan kesesakan penjara, apakah tindakan menahan pesalah yang gagal hadir ke pusat PKW selari dengan semangat tersebut? Adakah terdapat statistik yang menunjukkan tahap ketidakpatuhan terhadap PKW sebelum ini?,” tambah beliau. Mengakhiri perbahasannya, Ahli Parlimen tersebut menegaskan keperluan memastikan prinsip keadilan ditegakkan kepada semua pihak tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kuasa. “Jangan hanya yang kecil diambil tindakan, sedangkan yang berkuasa dilepaskan. Mahkamah mesti jadi medan mencari kebenaran dengan fakta dan bukti yang adil. Neraca keadilan mesti seimbang,” katanya sambil menekankan pentingnya tidak berlindung di sebalik imuniti atau penangguhan dalam menegakkan keadilan.
06 Aug 25
122
Counter Setting KLIA: MP Besut Tanya Status Terkini
Counter Setting KLIA: MP Besut Tanya Status Terkini
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini bangkit dalam sidang Dewan Rakyat mempersoalkan isu rasuah yang berleluasa di KLIA, termasuk skandal 'counter setting' yang dikatakan melibatkan puluhan juta ringgit. Beliau menyifatkan kelemahan membanteras rasuah di pintu masuk negara itu sebagai ancaman serius terhadap keselamatan, integriti dan reputasi negara. “Kita lihat pada tahun 2023, pernah KLIA ini disebut sebagai lubuk rasuah. PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pun pernah sebut Jabatan Imigresen disiasat. Apa status terkini terutamanya berkait ‘counter setting’? Apa yang berlaku dan berapa ramai sudah ditahan?,” soal beliau. Beliau turut mencadangkan agar kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan. “Kalau benar ada asas untuk disiasat orang-orang yang rapat dengan PM, maka siasatlah. Barulah mengkarung takut kepada naga.” Menjawab soalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa pelbagai langkah telah diambil, termasuk tindakan tatatertib dan siasatan SPRM. Beliau memaklumkan bahawa pada tahun lalu sahaja, seramai 26 pegawai imigresen telah dipecat mengikut Perkara 37 atas pelbagai kesalahan, manakala lapan lagi dipecat pada tahun 2023. Malah, 50 kes ‘phantom travellers’ telah disiasat SPRM, dua individu telah dituduh di mahkamah manakala 48 lagi masih dalam proses siasatan dan syor pendakwaan. “Yang saya laporkan ini ialah tindakan yang telah dan sedang diambil. Ini bukan cakap kosong. Tak kira cicak ke, mengkarung ke, siapa pun tindakan tetap diambil,” tegas Saifuddin. Isu rasuah di KLIA dan Jabatan Imigresen bukan isu baru, malah telah berulang kali dibangkitkan oleh rakyat. Harapan disandarkan agar siasatan dilakukan secara menyeluruh dan tidak ada campur tangan politik, demi membersihkan negara daripada najis rasuah.
04 Aug 25
110
MP Besut Persoal Janji Hapus Tol
MP Besut Persoal Janji Hapus Tol
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan janji penghapusan tol yang pernah dilaungkan sebelum pilihan raya. Kata beliau, janji untuk menghapuskan tol yang pernah dibuat sebelum ini memberi kesan terhadap sokongan rakyat, khususnya dalam konteks keprihatinan terhadap kos sara hidup. “Pernah tak kita dengar janji-janji nak hapuskan tol dahulu? Apa kesannya? Adakah janji itu memberi kesan kepada sokongan rakyat kerana dianggap sebagai tanda keprihatinan terhadap beban rakyat?,” soal beliau. Beliau turut membangkitkan persoalan lanjut berhubung kesan sekiranya tol benar-benar dimansuhkan, sama ada pada masa lalu atau kini. “Tadi kita bercakap soal kenaikan tol. Sekarang saya ingin tanya pula kalau tol dimansuhkan, sama ada dulu atau sekarang, apa pula kesannya?,” tambah beliau. Menjawab soalan tersebut, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa penghapusan tol bukanlah satu keputusan mudah memandangkan kerajaan memerlukan peruntukan yang besar untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya yang mencecah berbilion ringgit. Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira keadilan terhadap rakyat di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati jaringan lebuh raya bertol secara langsung. Namun demikian, jawapan tersebut menimbulkan persoalan tentang kesungguhan kerajaan menunaikan janji hapuskan tol yang terkandung dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada janji itu dibuat berasaskan kemampuan yang realistik atau sekadar strategi untuk meraih sokongan politik semasa pilihan raya.
29 Jul 25
127
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan. “Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya. Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah. Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara. “Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya. Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan. Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan. Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan. Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan. Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW. “Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh. Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta. “Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.
29 Jul 25
78
MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
MP Dungun Desak Kerajaan Perkukuh Perlindungan Pemberi Maklumat
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menegur kerajaan Persekutuan agar tidak sekadar menggubal undang-undang baharu tanpa memastikan keberkesanan pelaksanaannya, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam. Menurut beliau, meskipun RUU itu digambarkan sebagai langkah ke hadapan, realitinya ramai pemberi maklumat terus berdepan tekanan politik, ugutan dan tindakan balas, khususnya apabila pendedahan mereka melibatkan individu berkuasa atau berkepentingan dalam pentadbiran. “Pentingnya diwujudkan satu sistem perlindungan yang benar-benar berkesan dan menyeluruh bagi memastikan keberanian golongan ini tidak dipatahkan oleh rasa takut atau ancaman balas yang boleh menggugat keselamatan dan kehidupan mereka,” soal beliau, sambil menggesa kerajaan memastikan mekanisme penguatkuasaan bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh politik. Wan Hassan turut menekankan keperluan memastikan ketelusan dalam menilai kesahihan maklumat daripada 'whistleblower' agar tidak disalah guna untuk menutup pendedahan sebenar, satu kelemahan yang menurutnya masih wujud dalam sistem sedia ada. Beliau menutup perbahasan dengan mengingatkan Ahli Dewan akan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 48, mengenai hari pembalasan, di mana tiada sesiapa dapat melindungi orang lain, dan tiada syafaat atau tebusan yang mampu menyelamatkan mereka yang mengkhianati amanah. “Jika dunia gagal melindungi yang benar kerana kepentingan kuasa, ingatlah bahawa keadilan Allah SWT tidak boleh diputar belit,” tegasnya.
23 Jul 25
96
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
Pelantikan Ketua Audit Langgar Amalan Kerajaan, Wujud Risiko Tidak Telus
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula proses pelantikan Ketua Audit Negara yang disifatkan bercanggah dengan amalan konvensional dan menimbulkan risiko ketidakbebasan serta ketidaktelusan dalam pengurusan kewangan awam. Beliau berkata, pelantikan Ketua Audit Negara yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam bercanggah dengan tradisi sejak 1966, apabila semua sembilan penyandang terdahulu dilantik hanya selepas bersara daripada jawatan kerajaan. “Sejak 1966, semua Ketua Audit Negara terdahulu termasuk S. Khandiah, Ahmad Nordin Zakaria, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Madinah Mohamad dilantik selepas pencen. Hanya penyandang sekarang masih berkhidmat. “Perkara ini dipersoalkan banyak pihak dan saya bersetuju dengan kebimbangan itu,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini. Rosol turut mengkritik laporan audit yang dikemukakan ke Parlimen, yang disifatkannya terlalu ringkas dan gagal memberikan gambaran menyeluruh terhadap kecekapan pengurusan serta perbelanjaan awam oleh kementerian dan agensi kerajaan. “Sebanyak 2,000 entiti diberi ruang untuk diaudit, tetapi laporan setebal ini sahaja yang kita terima. Ia tidak mencerminkan skala sebenar penilaian dan seolah-olah dibuat secara sambil lewa,” ujarnya. Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menjadi tumpuan laporan, yang menimbulkan kebimbangan berhubung unsur pilih kasih atau pengaruh politik dalam proses audit. “Di sini mungkin ada sedikit politik dalam kalangan audit. Oleh itu, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan pembaharuan walaupun laporan ini sendiri dipersoalkan kesahihannya, kerana Ketua Audit sekarang pun dilantik dengan cara yang dipertikaikan,” tegasnya. Rosol menekankan bahawa kerajaan perlu segera memulihkan kredibiliti institusi audit negara agar keyakinan rakyat terhadap integriti dan ketelusan pengurusan kewangan awam dapat dipulihkan sepenuhnya.
23 Jul 25
176
Ahli Parlimen Besut Gesa Pelantikan Jawatankuasa Dilakukan Secara Bebas
Ahli Parlimen Besut Gesa Pelantikan Jawatankuasa Dilakukan Secara Bebas
KUALA LUMPUR ,23 Julai - Perbahasan di Dewan Rakyat semalam sedikit tegang apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, membangkitkan isu berkaitan kuasa mutlak Menteri dalam pelantikan jawatankuasa di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025. Ketika membahaskan RUU itu di peringkat Jawatankuasa, beliau mempersoalkan mengapa kuasa pelantikan hanya terletak pada menteri dan bukannya melalui mekanisme yang lebih telus dan bebas. “Saya tengok kalau Menteri yang diberi kuasa, timbul persoalan sebenarnya – adakah ia boleh menimbulkan konflik kepentingan? Kalau Menteri itu sendiri terlibat dalam kes, siapa yang akan memantau? Tak ada peruntukan yang menghalang campur tangan Menteri,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan di Sidang Parlimen, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau mencadangkan agar pelantikan jawatankuasa tersebut dilakukan oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Bagaimanapun, perbahasan beliau telah mencetuskan bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(2) dan 36(12), kononnya beliau menyentuh perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah dan mengelirukan Dewan. Justeru beliau menegaskan bahawa tidak perlu menyebut mana-mana fakta kes atau mencampuri prosiding mahkamah, sebaliknya hanya mengutarakan prinsip integriti dan keperluan reformasi dalam sistem pelantikan. “Saya bukan cerita fakta kes. Saya hanya sentuh tentang keperluan mekanisme yang telus untuk elak pengaruh politik. Ini soal struktur, bukan soal mahkamah,” katanya mempertahankan hujahnya. Sehubungan itu beliau turut menegaskan bahawa kredibiliti sesebuah jawatankuasa siasatan amat bergantung kepada ketelusan proses pelantikannya. “Kalau pelantikan datang daripada Menteri, pasti akan wujud persepsi campur tangan politik. Maka lebih baik kita letakkan di bawah panel bebas atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” katanya. Sidang Dewan kembali tenang selepas Speaker membuat keputusan supaya mana-mana kenyataan yang menyentuh kes mahkamah ditarik balik dan perbahasan diteruskan
23 Jul 25
113