lightning-solid
Berita :
RUU Perintah Kehadiran Wajib Dipinda - Ahli Parlimen Dungun
RUU Perintah Kehadiran Wajib Dipinda - Ahli Parlimen Dungun
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
06 Aug 25
122

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat menyaksikan pelbagai kebimbangan dan cadangan konstruktif dikemukakan, khususnya berkaitan prinsip keadilan, keberkesanan pelaksanaan, serta kapasiti prasarana yang terlibat.

Pindaan utama yang menjadi tumpuan ialah Seksyen 5(1) yang membolehkan mahkamah mengenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kepada pesalah yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, berbanding hanya kesalahan yang membawa hukuman tiga tahun ke bawah sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli ketika membahaskan RUU tersebut, peluasan skop PKW ini secara teorinya menunjukkan usaha memperkukuh program pemulihan pesalah luar penjara.

Namun begitu, beliau mempersoalkan kesesuaian beberapa kesalahan berat seperti pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah untuk turut dipertimbangkan di bawah alternatif hukuman ini.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang jelas tentang jenis-jenis kesalahan yang wajar dan tidak wajar diberikan PKW bagi memastikan konsistensi dalam pelaksanaannya oleh pihak mahkamah.

Jelasnya, berhubung Seksyen 5(1B), pindaan membolehkan mahkamah menetapkan kehadiran harian pesalah ke pusat kerja wajib sehingga 12 bulan, maksimum empat jam sehari.

Kata beliau langkah ini dilihat positif dalam membina semula disiplin dan tanggungjawab sosial, namun Wan Hassan mempersoalkan keupayaan logistik dan sumber tenaga sedia ada.

“Adakah pusat pemulihan, tenaga kerja dan fasiliti yang ada mampu menampung peningkatan jumlah pesalah yang tidak dihantar ke penjara? Bagaimana dengan mereka yang tinggal di pedalaman, adakah mereka akan mengalami ketidakadilan dari segi mobiliti dan kos ulang-alik?,” soalnya.

Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan PKW mengambil kira situasi setempat dengan membenarkan pesalah menjalani program pemulihan dalam komuniti masing-masing sekiranya sesuai.

Selain itu, pindaan kepada Seksyen 8(1A) dan (1B) yang membolehkan mahkamah mengeluarkan saman atau waran tangkap terhadap pesalah ingkar PKW turut disentuh.

Ujar beliau, meskipun pindaan ini dilihat meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, ia turut menimbulkan persoalan berkaitan hak asasi dan prinsip keadilan.

“Jika tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengelakkan pemenjaraan berlebihan dan mengurangkan kesesakan penjara, apakah tindakan menahan pesalah yang gagal hadir ke pusat PKW selari dengan semangat tersebut? Adakah terdapat statistik yang menunjukkan tahap ketidakpatuhan terhadap PKW sebelum ini?,” tambah beliau.

Mengakhiri perbahasannya, Ahli Parlimen tersebut menegaskan keperluan memastikan prinsip keadilan ditegakkan kepada semua pihak tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kuasa.

“Jangan hanya yang kecil diambil tindakan, sedangkan yang berkuasa dilepaskan. Mahkamah mesti jadi medan mencari kebenaran dengan fakta dan bukti yang adil. Neraca keadilan mesti seimbang,” katanya sambil menekankan pentingnya tidak berlindung di sebalik imuniti atau penangguhan dalam menegakkan keadilan.


Tag :

Artikel Berkaitan