KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, menyuarakan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik jika gagal melindungi kepentingan pengguna daripada beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa walaupun ia bertujuan menyusun semula sektor tenaga, masih wujud persoalan besar mengenai hala tuju dasar kerajaan.
Dalam ucapannya, beliau turut menyorot Seksyen 22D yang memperkenalkan mekanisme pelesenan untuk mengimport dan mengeksport elektrik.
Walaupun mengiktiraf potensi memajukan perdagangan rentas sempadan, beliau mempersoalkan ketiadaan peruntukan jelas bagi memastikan manfaat daripada aktiviti tersebut dikembalikan kepada rakyat, sama ada melalui rebat atau pengurangan tarif.
"Adakah keuntungan yang diperoleh daripada eksport ini akan diterjemahkan kepada penurunan tarif domestik?, " soal beliau.
Beliau turut bimbang mengenai ketiadaan had siling eksport yang berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan domestik serta mendorong kenaikan harga kepada pengguna.
Selain itu, Shaharizukirnain membangkitkan isu hak milik negeri, khususnya bagi kawasan yang digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik seperti Tasik Kenyir di Terengganu.
Beliau mendesak agar diwujudkan mekanisme telus bagi mengagihkan hasil eksport tenaga kepada negeri-negeri terbabit.
Beliau menegaskan, negeri yang menyumbangkan kawasan tanah luas untuk pembangunan tenaga negara sewajarnya menerima manfaat langsung daripada dasar baharu ini.
"Apakah faedah yang akan diterima oleh negeri setelah kawasan tadahan seluas 260,000 hektar seperti di Tasik Kenyir dimanfaatkan untuk kepentingan negara?," soal beliau sambil menggesa agar Terengganu dan negeri-negeri lain diberi perkongsian hasil yang adil.