Artikel "Semasa" Terkini
TKPM Peradong Optimis Capai Pengeluaran 80,000 Kilogram Melon
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir di sini optimis mampu mencapai sasaran pengeluaran hasil Melon Manis Terengganu (MMT) sebanyak 80,000 kilogram menjelang hujung tahun ini.
Pegawai Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Nurul Hazila Abdul Ghani berkata, perkara tersebut tidak mustahil memandangkan sehingga Julai lalu, jumlah pengeluaran hasil yang berjaya dicapai adalah sebanyak 40,000 kilogram.
“Setakat ini, terdapat lima peserta yang menyertai projek tanaman MMT di TKPM Peradong yang berada di bawah kelolaan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan tanaman tiga kali setahun.
“Kita baru lepas dua musim, Insyaallah sekiranya MMT yang ditanam selepas ini mendapat penjagaan rapi, tidak diserang penyakit dan serangga perosak, buah yang besar dengan warna serta kulit yang cantik digredkan sebagai buah premium dapat dihasilkan dengan dijual pada harga runcit sekitar RM13 hingga RM15 sekilogram,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di TKPM Peradong, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, pelbagai insentif dan bimbingan disediakan oleh Jabatan Pertanian kepada peserta di TKPM Peradong.
“Di sini, kita hanya fokus kepada tanaman MMT dan antara yang kita bantu termasuklah memberi khidmat nasihat kepada peserta, mengadakan kursus-kursus berkaitan fertigasi, penjagaan MMT dan sebagainya.
“Untuk tahun lepas pihak jabatan juga telah menaik taraf Rumah Pelindung Hujan (RPH) di TKPM ini. Malah, jabatan juga menyediakan bantuan dari segi input dan peralatan ladang.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pengusaha Melon Manis Terengganu Berhad (KPMMTB) Tengku Norulhuda Tengku Muhammad yang lebih dikenali dengan gelaran Pok Ku berkata, dia merupakan antara peserta terawal projek MMT yang merupakan buah ikonik Terengganu.
“Pok Ku usahakan tanaman MMT di sini sejak 2016 lagi. Setiap peserta diberikan empat unit RPH di mana setiap unit RPH mampu menampung 1,500 pokok.
“Alhamdulillah, sekarang kami dapat menikmati hasil dari apa yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memandangkan MMT sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran,” ujarnya.
04 Aug 25
192
Counter Setting KLIA: MP Besut Tanya Status Terkini
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini bangkit dalam sidang Dewan Rakyat mempersoalkan isu rasuah yang berleluasa di KLIA, termasuk skandal 'counter setting' yang dikatakan melibatkan puluhan juta ringgit.
Beliau menyifatkan kelemahan membanteras rasuah di pintu masuk negara itu sebagai ancaman serius terhadap keselamatan, integriti dan reputasi negara.
“Kita lihat pada tahun 2023, pernah KLIA ini disebut sebagai lubuk rasuah. PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pun pernah sebut Jabatan Imigresen disiasat. Apa status terkini terutamanya berkait ‘counter setting’? Apa yang berlaku dan berapa ramai sudah ditahan?,” soal beliau.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.
“Kalau benar ada asas untuk disiasat orang-orang yang rapat dengan PM, maka siasatlah. Barulah mengkarung takut kepada naga.”
Menjawab soalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa pelbagai langkah telah diambil, termasuk tindakan tatatertib dan siasatan SPRM.
Beliau memaklumkan bahawa pada tahun lalu sahaja, seramai 26 pegawai imigresen telah dipecat mengikut Perkara 37 atas pelbagai kesalahan, manakala lapan lagi dipecat pada tahun 2023.
Malah, 50 kes ‘phantom travellers’ telah disiasat SPRM, dua individu telah dituduh di mahkamah manakala 48 lagi masih dalam proses siasatan dan syor pendakwaan.
“Yang saya laporkan ini ialah tindakan yang telah dan sedang diambil. Ini bukan cakap kosong. Tak kira cicak ke, mengkarung ke, siapa pun tindakan tetap diambil,” tegas Saifuddin.
Isu rasuah di KLIA dan Jabatan Imigresen bukan isu baru, malah telah berulang kali dibangkitkan oleh rakyat. Harapan disandarkan agar siasatan dilakukan secara menyeluruh dan tidak ada campur tangan politik, demi membersihkan negara daripada najis rasuah.
04 Aug 25
116
Isu Gelandangan: Kerajaan Negeri Ambil Tindakan
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos – Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan penuh berhemah dalam menangani isu gelandangan yang tular di pusat bandar Kuala Terengganu, dengan menekankan penyelesaian berbentuk kebajikan, bukan pengusiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa kes yang berlaku adalah terpencil dan tidak menggambarkan wajah sebenar bandar raya pesisir yang berteraskan nilai budaya.
"Kes ini hanyalah kes terpencil, jika ianya wujud di sini, kita akan ambil dia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kita bukan bandar metropolitan, kita bandar budaya, kita bandaraya pesisir air, tak sesuai dengan pihak gelandangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kemerdekaan ke-48 di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Menurut beliau, kerajaan negeri prihatin terhadap nasib golongan ini, khususnya jika melibatkan warga emas yang tidak sepatutnya terabai oleh keluarga sendiri.
"Kita akan bincang dengan keluarga dia, sebab saya lihat gambar itu orang tua dan berusia, bukan orang muda.
"Kita tak tahu apa sebabnya dia jadi gelandangan, sama ada mungkin anak-anak dia tak ambil hal, tak ambil cakna atau sebagainya," tambahnya.
Tambah beliau, usaha akan dibuat untuk mendidik dan menyedarkan waris melalui sesi pemahaman, agar tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak diabaikan.
"Kita akan panggil untuk sesi pemahaman kepada anak-anak dia.
"Gelandangan ini sangat tidak sesuai di sini, tapi walau bagaimanapun kita ambil berat," ujarnya.
04 Aug 25
187
"Negeri Pengeluar Tapi KDNK Rendah, Ini Realitinya" – Dr. Azman
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negeri tidak semestinya mencerminkan kekuatan sektor pengeluaran di negeri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, negeri-negeri yang tidak mempunyai pintu keluar masuk perdagangan antarabangsa seperti pelabuhan besar atau lapangan terbang bertaraf antarabangsa sememangnya akan mencatatkan angka KDNK yang lebih rendah, walaupun merupakan negeri pengeluar utama.
“Apabila produk keluaran negeri seperti Terengganu dieksport melalui pelabuhan atau lapangan terbang di negeri lain, maka nilai eksport itu akan dimasukkan dalam akaun KDNK negeri tempat pintu keluar itu berada, bukannya negeri asal produk.
“Contohnya, produk agro Terengganu seperti Melon Manis, ikan siakap dan kerapu hibrid, hasil laut, durian, tembikai dan pelbagai lagi memasuki pasaran eksport.
"Tetapi kerana ia dihantar keluar negara melalui pelabuhan di negeri lain, maka nilai eksport tersebut dikira dalam KDNK negeri berkenaan, bukan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Azman berkata, beliau akan berkongsi lebih banyak fakta menarik berkaitan bagaimana angka KDNK boleh memberi gambaran yang tidak menyeluruh, termasuk beberapa ‘buah kilas’ yang sering digunakan dalam perbahasan ekonomi.
04 Aug 25
158
Pasar Payang Jadi Pentas Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pasar Payang bukan lagi sekadar pusat jual beli, sebaliknya bakal menjadi pentas hidup yang mempamerkan kekayaan budaya dan identiti Terengganu kepada pelancong dari seluruh pelusuk dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, elemen seni dan warisan akan diterapkan secara menyeluruh di sekitar kawasan Pasar Payang bagi mengangkat budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita akan mewujudkan persembahan 100 peratus kebudayaan setempat, lagu-lagu Terengganu, budaya Terengganu, makanan tradisional Terengganu.
"Makanan Terengganu ini ada lebih 70 jenis, dan semuanya sedap jika nak dibandingkan dengan tempat lain," katanya ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Menurut beliau, usaha ini selari dengan portfolio beliau dalam pelancongan dan kebudayaan yang menuntut penerapan nilai tempatan sebagai daya tarikan utama pelawat.
"Itulah tujuan saya datang ke sini selaku Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan, untuk menerapkan nilai-nilai budaya.
"Maksudnya ada stage persembahan, ada nyanyian lagu tradisi Terengganu," jelasnya.
Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja mampu menyemarakkan suasana di sekitar Pasar Payang, malah turut memberi peluang ekonomi kepada para penggiat seni dan pengusaha makanan tradisional.
"Saya yakin ia akan menambahkan lagi keceriaan dan memberi pendapatan yang lebih kepada pengusaha.
"Kita mahu pelancong bukan sekadar membeli, tetapi merasai sendiri pengalaman budaya Terengganu," tambahnya.
Pendekatan ini akan dilaksanakan seiring dengan pelan perluasan operasi pasar hingga ke waktu malam, menjadikan Pasar Payang bukan hanya hidup di siang hari, tetapi turut bernyawa di malam hari dengan denting gamelan dan aroma juadah warisan.
04 Aug 25
639
Pasar Payang Bakal Beroperasi Hingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Langkah menjadikan Pasar Payang sebagai lokasi pelancongan malam dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan dan menyemarakkan nilai budaya negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri bercadang memanjangkan waktu operasi Pasar Payang sehingga jam 12 malam sebagai usaha memenuhi permintaan pelancong dan rakyat.
"Kita minta dan mencadangkan supaya buat jualan sehingga jam 12 malam, selama ini setakat jam 6 petang sahaja.
"Disebabkan ada permintaan yang luar biasa, kita bakal buka dalam masa seminggu dua lagi setelah jabatan pelancongan menyediakan pencahayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, yang turut dihadiri bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif ini bakal dimulakan secara berperingkat pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kerjasama padu antara MBKT dan para peniaga.
"Apabila kita tanya kepada para peniaga, mereka boleh bersedia.
"Pihak kerajaan memang menyokong penuh untuk beri pendapatan lebih kepada pekedai dan akan dibimbing sisi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," jelasnya lagi.
Razali berkata, pelaksanaan waktu malam ini akan melibatkan kedua-dua Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2, demi memastikan limpahan manfaat dirasai secara menyeluruh oleh para peniaga.
"Kita akan cadang kepada kedua pasar, Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2.
"Saya sendiri dapat lihat, memang begitu ceria sekali para peniaga, dan ramai yang sudah berniaga hingga 30-40 tahun serta diwarisi anak cucu," ujarnya.
03 Aug 25
1594
Terengganu Launches Motorcycle Financing Scheme with Zero Interest Charges
KUALA TERENGGANU, August 3 – The Terengganu state government, through the Terengganu Entrepreneur Development Foundation (YPU), has allocated RM844,000 under the Zero-Interest Motorcycle Financing Scheme to assist low-income individuals in acquiring motorcycles for business and employment purposes.
Chairman of the State Committee on Entrepreneurship, Human Resources, and Consumer Affairs, Dato’ Ariffin Deraman, said the initiative aims to ease the financial burden of individuals who rely on motorcycles as a primary tool for their daily operations.
He explained, as a start, the scheme is expected to benefit 160 recipients across all 32 state constituencies (DUN), with five eligible individuals to be selected from each area.
“Each constituency coordinator will identify five qualified entrepreneurs within their respective areas, verify their backgrounds, and ensure that applicants meet all criteria outlined under the Motorcycle Financing Scheme.
“The target group includes gig economy workers such as food delivery riders, couriers, and those involved in e-commerce services, as well as individuals starting small businesses who require a motorcycle as their main operational asset,” he said.
Ariffin added that the assistance not only helps increase income opportunities but also contributes to the state's economic growth by supporting the development of micro and small enterprises.
“With access to motorcycles, entrepreneurs can expand their market reach, participate in services like e-hailing or delivery, and manage their daily operations more efficiently, ultimately paving the way for more stable and sustainable incomes,” he said.
03 Aug 25
307
UBSNT Sokong Usaha Wujudkan Padanan Kerja Tangani Pengangguran
SENAI, 3 Ogos – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Terengganu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui program padanan kerja bersama pelbagai pihak industri.
Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq berkata, program padanan kerja yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sejak penubuhannya pada tahun 2019 telah membuktikan keberkesanan dalam menangani masalah pengangguran di negeri ini.
Menurut beliau, ramai anak muda Terengganu telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor termasuk industri berteknologi tinggi seperti di Syarikat FOZ One yang beroperasi di Johor.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi terus memainkan peranan secara aktif dan menyeluruh dalam mencari serta mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Terengganu.
“Kita tidak hanya tertumpu kepada sektor pekerjaan tradisional, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap bidang baharu seperti teknologi digital, industri kreatif, keusahawanan sosial dan ekonomi gig yang kian berkembang,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan program padanan kerja yang telah membolehkan seramai 400 anak Terengganu bekerja di syarikat tersebut menjadi bukti bahawa golongan muda negeri ini berpotensi besar untuk menguasai pelbagai bidang pekerjaan sekiranya diberikan pendedahan dan peluang secukupnya.
“Usaha ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka minda mereka terhadap dunia luar serta memperkukuh kemahiran agar mereka mampu menjadi pemimpin dan mencorakkan masa depan negeri,” jelas beliau.
03 Aug 25
175
Pindah 100 Kubur Dijangka Perlu Dua Bulan
KUALA NERUS, 3 Ogos – Usaha memindahkan kira-kira 100 kubur di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di sini ke lokasi baharu dijangka mengambil masa sehingga dua bulan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras, Mohd Isshamudin Ismail, beliau menjangkakan tempoh masa tersebut berikutan peoses pemindahan yang dilakukan secara gotong-royong.
“Anggaran kita ada 100 kubur yang perlu dipindahkan, hari ini gerak kerja kita baru bermula pukul 9 pagi tadi dan berjaya alihkan 11 kubur ke kawasan baharu.
“Kita jangka sekitar 10 hingga 11 kubur sahaja dapat dialihkan setiap kali gotong-royong jadi kita dah buat keputusan, setiap Sabtu orang kampung akan bergotong-royong untuk alihkan kubur ini,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Proses pemindahan itu dilaksanakan penduduk kampung dengan usahasama Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus.
Tambah Ishamuddin, proses pemindahan mengambil masa hampir tujuh jam melibatkan penyertaan penduduk kampung yang bergotong-royong mengangkat dan memindahkan kepuk, batu nisan serta jenazah ke tapak baharu.
Kubur-kubur berkenaan dialihkan ke Tanah Perkuburan Islam Hajar Kampung Gong Awang Lid yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi asal.
Menurut beliau, tanah perkuburan baharu yang dipilih itu lebih luas dan berada jauh dari pantai sekaligus dapat mengelakkan risiko hakisan dan kejadian kubur runtuh akibat ombak besar yang pernah berlaku sebelum ini.
“Kita ambil keputusan drastik ini sebab tak mahu kejadian tahun lepas berulang.
"Ini hasil perbincangan dengan Pejabat Agama negeri dan semua waris juga telah bersetuju untuk jenazah dipindahkan,” jelasnya.
Akhbar dan media di Terengganu sebelum ini melaporkan, lima kubur termasuk tiga jenazah yang masih berbalut kain kafan dihanyutkan ombak dalam kejadian pada November tahun lalu, selepas sebahagian kawasan tanah perkuburan berkenaan runtuh akibat hakisan pantai.
Susulan insiden itu, beberapa siri perbincangan dan rundingan telah diadakan bersama pihak berkuasa agama dan waris bagi merancang pemindahan jenazah ke lokasi lebih selamat.
03 Aug 25
143
RMK13: Wajar Fokus Sektor Berimpak Tinggi Pantai Timur- Amzad
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menzahirkan penghargaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri hari ini, namun dalam masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan yang tidak diberi perhatian sewajarnya, khususnya di Pantai Timur.
Menurut beliau, antara kekecewaan utama ialah ketiadaan sebarang pengumuman berhubung projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan, meskipun ia pernah diumumkan sebelum ini sebagai projek infrastruktur penting.
“Setiap kali musim perayaan, pengguna dari Kelantan ke Kuala Lumpur terpaksa menempuh kesesakan teruk sebelum sampai ke Gemuroh. LPT3 sepatutnya menjadi keutamaan untuk mengurangkan beban perjalanan rakyat dan memacu sambungan antara negeri secara lebih efisien,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan kerajaan memberi fokus yang lebih menyeluruh terhadap sektor berimpak tinggi di Pantai Timur seperti tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan perindustrian dan teknologi hijau, bukan sekadar menumpukan kepada sektor pertanian semata-mata.
“Memang benar pertanian penting untuk sekuriti makanan negara, tetapi ia tidak cukup untuk mengangkat negeri seperti Terengganu dan Kelantan keluar daripada kelompok yang rendah sumbangan kepada KDNK negara,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan hab tenaga boleh diperbaharui di Terengganu yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Begitu juga dengan peranan strategik Pelabuhan Kemaman yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan baharu apabila disambungkan dengan spurline ECRL, namun tidak disebut dalam pembentangan.
“Malah, inisiatif berkaitan Carbon Capture and Utility Storage (CCUS) yang sebelum ini dibawa oleh Kementerian Ekonomi dan dikatakan mampu merancakkan pelaburan berimpak tinggi juga tidak dijelaskan. Sama juga halnya dengan potensi eksploitasi mineral nadir bumi – semuanya senyap tanpa penjelasan dalam RMK13,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa peluang pekerjaan bernilai tinggi perlu diperluas di Pantai Timur, memandangkan modal insan dari rantau tersebut sering membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Tanpa sektor high-tech dan berpendapatan tinggi yang mampu menampung graduan tempatan, rakyat kita tiada pilihan selain berhijrah ke luar negeri. Sektor pertanian yang tidak diautomasikan hanya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berharap segala keperluan mendesak yang diketengahkan dapat dipertimbangkan secara serius dalam pelaksanaan RMK13 demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.
02 Aug 25
163