lightning-solid
Berita :
Pindah 100 Kubur Dijangka Perlu Dua Bulan
Pindah 100 Kubur Dijangka Perlu Dua Bulan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
03 Aug 25
138

KUALA NERUS, 3 Ogos – Usaha memindahkan kira-kira 100 kubur di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di sini ke lokasi baharu dijangka mengambil masa sehingga dua bulan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras, Mohd Isshamudin Ismail, beliau menjangkakan tempoh masa tersebut berikutan peoses pemindahan yang dilakukan secara gotong-royong.

“Anggaran kita ada 100 kubur yang perlu dipindahkan, hari ini gerak kerja kita baru bermula pukul 9 pagi tadi dan berjaya alihkan 11 kubur ke kawasan baharu.

“Kita jangka sekitar 10 hingga 11 kubur sahaja dapat dialihkan setiap kali gotong-royong jadi kita dah buat keputusan, setiap Sabtu orang kampung akan bergotong-royong untuk alihkan kubur ini,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Proses pemindahan itu dilaksanakan penduduk kampung dengan usahasama Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus.

Tambah Ishamuddin, proses pemindahan mengambil masa hampir tujuh jam melibatkan penyertaan penduduk kampung yang bergotong-royong mengangkat dan memindahkan kepuk, batu nisan serta jenazah ke tapak baharu.

Kubur-kubur berkenaan dialihkan ke Tanah Perkuburan Islam Hajar Kampung Gong Awang Lid yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi asal.

Menurut beliau, tanah perkuburan baharu yang dipilih itu lebih luas dan berada jauh dari pantai sekaligus dapat mengelakkan risiko hakisan dan kejadian kubur runtuh akibat ombak besar yang pernah berlaku sebelum ini.

“Kita ambil keputusan drastik ini sebab tak mahu kejadian tahun lepas berulang. 

"Ini hasil perbincangan dengan Pejabat Agama negeri dan semua waris juga telah bersetuju untuk jenazah dipindahkan,” jelasnya.

Akhbar dan media di Terengganu sebelum ini melaporkan, lima kubur termasuk tiga jenazah yang masih berbalut kain kafan dihanyutkan ombak dalam kejadian pada November tahun lalu, selepas sebahagian kawasan tanah perkuburan berkenaan runtuh akibat hakisan pantai.

Susulan insiden itu, beberapa siri perbincangan dan rundingan telah diadakan bersama pihak berkuasa agama dan waris bagi merancang pemindahan jenazah ke lokasi lebih selamat.

 


Tag :

Artikel Berkaitan