lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Portal Jodoh Darul Iman Tangani Trend Lewat Kahwin
Portal Jodoh Darul Iman Tangani Trend Lewat Kahwin
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam menangani trend peningkatan golongan muda lewat mendirikan rumah tangga dengan melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) sebagai platform pencarian pasangan hidup yang selamat dan mematuhi syariah. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata portal berkenaan bukan sahaja membantu mempercepatkan proses mencari jodoh dalam kalangan pemuda, pemudi dan ibu bapa tunggal. Malah katanya, ia menyediakan bimbingan dan panduan agar proses taaruf berjalan lancar menuju ke gerbang perkahwinan yang sah. “Mungkin sesetengah pihak beranggapan atau melihat aspek mencari jodoh, mendirikan rumah tangga dan kelahiran, menambah kelahiran di dalam keluarga mereka ini adalah aspek yang sangat kecil.  “Aspek yang sangat personal, sangat peribadi tetapi sebenarnya ia berkait dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah negeri dan sesebuah negara,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Portal Cari Jodoh Darul Iman, di Damai Lounge Tingkat U2, Wisma Darul Iman, pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, usaha ini penting kerana isu perkahwinan dan kelahiran bukan sekadar urusan peribadi, tetapi mempunyai kaitan langsung dengan struktur demografi, kelangsungan populasi, kestabilan sosial dan ekonomi negeri. “Jika trend lambat kahwin dan tidak mahu mempunyai anak berlarutan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, negara akan berdepan kesan besar termasuk kekurangan tenaga kerja dan ketiadaan pewaris dalam keluarga,” ujarnya, Menyentuh isu kependudukan global, beliau turut merujuk kepada kesan dasar ‘One Child Policy’ di China yang mengakibatkan jurang generasi dan beban penjagaan ibu bapa jatuh ke atas seorang anak sahaja, sehingga memaksa kerajaan negara itu menukar dasar berkenaan selepas beberapa dekad. Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyuarakan kebimbangan terhadap trend golongan muda di Malaysia, termasuk Melayu dan Cina, yang semakin memilih untuk lewat berkahwin atau enggan memiliki anak atas pelbagai alasan. “Melalui Portal Jodoh Darul Iman, kita berharap dapat membantu rakyat negeri ini mencari pasangan hidup dengan cara selamat dan berlandaskan syariah, sekali gus meningkatkan kadar perkahwinan dan kelahiran di Terengganu demi kelangsungan generasi akan datang,” katanya. Jelasnya lagi, portal berkenaan boleh diakses oleh semua warga Terengganu yang layak, dengan syarat-syarat dan panduan terperinci telah disediakan kerajaan negeri. “Portal ini juga menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bertaaruf agar proses ke arah perkahwinan yang sah berjalan dengan baik serta patuh syariat. “Sistem ini juga membuka ruang kepada ibu dan bapa tunggal yang berminat untuk mencari jodoh,” tambah beliau.  
06 Aug 25
6159
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Jalur Gemilang adalah identiti negara yang seharusnya dihormati dan dikibarkan dengan penuh rasa bangga serta semangat patriotik. “Berkaitan isu bendera terbalik ini, saya juga hairan kenapa sejak akhir-akhir ini berlaku perkara yang sedemikian, seingat saya dulu tidak timbul perkara sebegini mungkin dengan tiadanya media sosial 10, 20 tahun dahulu perkara ini tidak diwar-warkan. “Walau apapun kita percaya, setiap individu mahupun agensi perlu lebih cermat dan ini merupakan satu langkah yang boleh dibuat dengan sendiri untuk memastikan tidak berlaku kesilapan yang sedemikian,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson Jumaat lepas. Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan menolak segala bentuk diskriminasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan bersama. “Ianya bukan sekadar perkara rutin yang kita laksanakan setiap tahun tetapi ini adalah satu langkah daripada kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan untuk memberi penekanan kepada rakyat pentingnya perkataan merdeka dalam jiwa dan sanubari masing-masing. “Kita berharap supaya generasi muda akan terus menghayati sepenuhnya erti kemerdekaan akhirnya menjadi warga yang cintakan negara dan tanah air,” ujarnya.
06 Aug 25
155
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Biodiversiti Hutan Pertama di Malaysia
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Biodiversiti Hutan Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Negeri Terengganu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran ekspedisi saintifik biodiversiti hutan sejak tahun 1999. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 kali ini merupakan persidangan pertama yang dilangsungkan dalam bentuk persidangan penuh. Beliau menyifatkan penganjuran persidangan ini sebagai satu pencapaian yang besar buat Terengganu serta pemilihan lokasi persidangan yang mencerminkan kepelbagaian biodiversiti di negeri itu. "Alhamdulillah, pada hari ini Terengganu dipertuankan sebagai yang pertama dalam penganjuran persidangan ini di Malaysia. Sebelum ini ianya hanya dianjurkan dalam bentuk seminar dan bengkel. "Pemilihan negeri Terengganu sebagai lokasi penganjuran Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 amatlah bertepatan memandangkan Terengganu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan daripada kategori hutan tanah pamah hingga hutan pergunungan, hutan paya laut dan tanah bencah. "Malah, (Terengganu) turut mempunyai kepelbagaian biodiversiti marin yang dilindungi melalui pewartaan Taman Laut Malaysia di sekitar pulau-pulau utama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas," katanya. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Zahari Ibrahim, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Dato' Norhaidi Yunus serta Ketua Penyelidik Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff Mohamad. Menurut Razali, persidangan ini juga menyatukan empat negeri yang terlibat dalam siri ekspedisi terdahulu, bagi berkongsi hasil penemuan saintifik spesies-spesies flora dan fauna, termasuk yang jarang ditemui dan masih berjaya dipelihara di kawasan hutan simpan Terengganu. Mengulas lanjut, beliau berkata usaha bersepadu sedang dilaksanakan melalui pelbagai dasar seperti Dasar Perhutanan Negara 2021, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2022–2030) dan Pelan Tindakan Biodiversiti Negeri Terengganu untuk memastikan kelestarian khazanah semula jadi ini dapat dipertahan. "Selain mengiktiraf usaha saintifik, persidangan ini juga berperanan memperkukuh dokumentasi biodiversiti serta menyokong pembangunan ekopelancongan yang lestari. "Saya amat bersyukur empat negeri dapat bergabung dalam persidangan ini dan datang ke negeri Terengganu untuk melihat sendiri spesies-spesies yang agak 'rare' yang masih lagi dapat dijaga oleh Jabatan Perhutanan negeri," ujarnya. Razali turut menyatakan harapan agar persidangan ini menjadi titik tolak kepada kolaborasi lebih erat antara saintis, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan NGO dalam usaha memelihara biodiversiti hutan tanah air untuk generasi akan datang. Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.
06 Aug 25
390
Cahaya Dalam Kegelapan: Doktor Sukarela Rawat Penagih Setiap Bulan
Cahaya Dalam Kegelapan: Doktor Sukarela Rawat Penagih Setiap Bulan
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Sekumpulan pakar psikiatri yang hadir secara sukarela tanpa sebarang bayaran kini menjadi sinar harapan buat para penagih di Pusat Pemulihan Darul Barakah, apabila mereka sanggup turun padang setiap bulan bagi memberi rawatan dan sokongan kesihatan mental kepada para pelatih yang sedang berjuang melawan ketagihan. Menurut Pengurus Darul Barakah, Alif Mahari, doktor-doktor tersebut terdiri daripada pakar psikiatri dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Hulu Terengganu yang komited membantu atas dasar kemanusiaan. “Mereka datang bukan sebab gaji, tapi sebab hati. "Kami tidak membayar mereka walau satu sen pun. Mereka hadir dengan keikhlasan,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial semalam. Tambah beliau, walaupun sepatutnya pelatih pusat itu yang dibawa ke hospital, para doktor ini memilih untuk sendiri datang ke pusat pemulihan dengan membawa beg peralatan, stetoskop dan senyuman penuh kasih sayang. “Setiap bulan mereka meninggalkan rutin hospital untuk merawat pelatih yang mengalami ketagihan dan gangguan mental akibat penyalahgunaan bahan seperti pil kuda, syabu, dadah jenis 'mushroom' serta vape campuran E-PAM yang terbukti merosakkan fungsi otak,” jelasnya. Alif turut menzahirkan penghargaan dan rasa terharunya terhadap usaha luar biasa para doktor tersebut, yang digambarkannya sebagai 'hero tanpa nama' dalam suasana sistem kesihatan negara yang kini berdepan tekanan dan beban tugas yang berat. “Dalam keadaan sistem kesihatan pun sibuk, mereka masih mencari ruang untuk turun ke Darul Barakah. Masya-Allah, ini rahmat, ini nikmat. Jasa mereka terlalu besar untuk didiamkan,” katanya. Beliau menyifatkan kehadiran para doktor tersebut sebagai cahaya yang menerangi kegelapan buat pelatih-pelatih yang sedang mencari jalan keluar dari ketagihan, dan mendoakan agar segala kebaikan mereka dibalas dengan ganjaran tertinggi oleh Allah SWT.
06 Aug 25
52
Dialog JPKK-Agensi Kerajaan Buka Jalan Selesai Isu Lembu, Kera Liar
Dialog JPKK-Agensi Kerajaan Buka Jalan Selesai Isu Lembu, Kera Liar
SETIU, 5 Ogos – Satu sesi dialog antara wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersama agensi-agensi kerajaan telah berlangsung di Balairaya Kampung Gong Pasir, di sini. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu itu merupakan susulan kepada pertemuan Ahli Parlimen Setiu bersama seluruh JPKK DUN Jabi yang diadakan pada awal Julai lalu. Antara isu utama yang dibincangkan dalam dialog tersebut ialah masalah lembu liar yang merosakkan tanaman penduduk serta ancaman daripada kera liar. Menerusi perbincangan itu, wakil-wakil JPKK telah diberi pencerahan berkenaan langkah serta prosedur yang perlu diambil untuk menangani isu tersebut secara berkesan. Rata-rata wakil menyatakan rasa puas hati terhadap penganjuran program ini kerana memberi kefahaman jelas kepada mereka berhubung tindakan yang boleh diambil. “Saya mewakili JPKK Kampung Bakap mengucapkan terima kasih kepada YB Parlimen (Shaharizukirnain Abdul Kadir) atas keprihatinan terhadap isu-isu yang melibatkan penduduk kampung,” kata Pengerusi JPKK Bakap Kelubi Putih. Ahli panel dalam sesi dialog tersebut terdiri daripada Dr. Ahmad Fadhil Mohd Syuaib Asren dan Dr. Nurul Shuhada Nur Samad dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Mohd Zaki Mohd Rahim, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan); serta Azhan Mohd Ghani dari Majlis Daerah Besut. Kerjasama erat antara JPKK dan agensi-agensi kerajaan diharap dapat memberikan manfaat serta penyelesaian yang terbaik kepada masyarakat setempat.
05 Aug 25
119
THRDC Buka Semula Peluang Kerjaya di FOZ One untuk Anak Terengganu
THRDC Buka Semula Peluang Kerjaya di FOZ One untuk Anak Terengganu
SENAI, 5 Ogos - Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) bakal membuka semula peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu di FOZ One, sebuah syarikat pembuatan berteknologi yang semakin berkembang di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar berkata, lawatan kerja yang diadakan baru-baru ini menunjukkan kejayaan insiatif sebelum ini apabila ramai diterima bekerja selepas 'program outreach' yang dijalankan pada tahun 2022. "Syarikat ini telah mengambil anak Terengganu dalam kalangan belia bekerja selepas kita adakan program padanan kerja sebelum ini. "Tidak lama lagi kita akan buka sekali lagi peluang kepada anak Terengganu untuk bekerja di sini lagi yang akan bakal kita umumkan," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke syarikat terbabit, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Aminuddin berkata usaha sentiasa dijalankan oleh kerajaan Terengganu dalam mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia malah mampu membina tenaga kerja tempatan yang bekemahiran dan berkualiti tinggi. "THRDC kekak komited untuk menjadi pemudah cara kepada anak muda Terengganu dalam mendapatkan pekerjaan serta menyediakan akses kepada sektor pekerjaan berimpak tinggi di dalam negara,"ujarnya.  
05 Aug 25
356
Rosol Tuntut PM Kemuka Bukti Dakwaan Muhyiddin Pertahan Warga Asing
Rosol Tuntut PM Kemuka Bukti Dakwaan Muhyiddin Pertahan Warga Asing
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti sahih berhubung dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan warga asing berhubung pemberian subsidi kerajaan. Dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi tadi, Rosol membangkitkan isu berkenaan sambil mempersoalkan kesahihan tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar terhadap bekas Perdana Menteri itu. “Saya menuntut bukti bila dan di mana kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Jika tidak, kita akan kemukakan usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana Perdana Menteri telah mengelirukan dan menipu Dewan,” tegas beliau.  Beliau turut mempersoalkan mengapa kenyataan seperti itu dilontarkan tanpa disertakan fakta, apatah lagi ia melibatkan maruah seorang bekas Perdana Menteri.  Tegas beliau, sekiranya dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan dokumen atau rakaman yang sah, ia merupakan satu pencabulan terhadap prinsip berparlimen dan integriti Dewan Rakyat. Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan berhubung rasionalisasi subsidi mendakwa terdapat pihak yang mempertahankan kepentingan warga asing, termasuk dalam isu subsidi RON95. Susulan itu, Muhyiddin menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mencabar Perdana Menteri mengemukakan bukti berbentuk rakaman, kenyataan media atau sebarang bentuk dokumentasi yang menunjukkan beliau menyokong pemberian subsidi kepada warga asing. Rosol yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah sekiranya tiada bukti yang dikemukakan. “Kita tidak boleh biarkan Dewan ini dijadikan tempat menyebar dakwaan tidak berasas. Ini bukan soal politik semata, tapi soal integriti institusi Parlimen,” katanya lagi. Sesi Dewan Rakyat kemudiannya menyaksikan pertikaman lidah antara beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum Speaker campur tangan bagi menenangkan keadaan. Isu ini dijangka akan terus hangat dibahaskan dalam sesi sidang Dewan Rakyat minggu ini, terutama jika Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti seperti yang dituntut oleh pembangkang.
05 Aug 25
207
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
SENAI, 5 Ogos – Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die). Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, lawatan ke syarikat tersebut baru-baru ini memberikan gambaran jelas bahawa FOZ One memiliki fasiliti serta teknologi moden yang amat sejajar dengan program teknikal yang ditawarkan di institusi berkenaan. Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar UC TATI untuk menjalani latihan industri di FOZ One, dengan harapan ia juga dapat membuka laluan kepada penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian. “Saya melihat ini sebagai peluang yang sangat baik kerana pelajar UC TATI telah dibekalkan dengan kemahiran dalam bidang tool and die design serta tool and die making. “Selain latihan industri, saya turut berbincang mengenai peluang untuk pelajar menjalankan projek penyelidikan di syarikat ini, sama ada di peringkat projek tahun akhir atau pascasiswazah,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke FOZ One, baru-baru ini. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dato’ Ariffin Deraman. Dalam pada itu, Dr. Hairul Azhar turut menyeru anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UC TATI yang menawarkan program berteraskan kemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa kini.    
05 Aug 25
74
Sambutan Kemerdekaan: Semua Premis Diarah Pasang Jalur Gemilang
Sambutan Kemerdekaan: Semua Premis Diarah Pasang Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu mengeluarkan arahan rasmi supaya semua premis kerajaan, swasta dan perniagaan menghiasi bangunan masing-masing dengan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan kepada negara. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim berkata, arahan itu melibatkan semua pihak di bawah seliaan PBT, dan pelaksanaannya bermula serta-merta sehingga sambutan Hari Malaysia pada bulan September. "PBT di seluruh negeri Terengganu telah mengeluarkan arahan kepada semua premis, sama ada premis kerajaan ataupun swasta, atau mana-mana peniaga untuk memasang bendera Malaysia. "Ini merupakan salah satu tanda sokongan kita sebagai rakyat negara ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan ke-48, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Beliau menjelaskan, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar keperluan kosmetik atau upacara semusim, sebaliknya mencerminkan jati diri dan komitmen rakyat terhadap makna kemerdekaan yang sebenar. "Pemasangan bendera ini akan berterusan sehingga kemuncaknya pada bulan September nanti. "Ia akan berlangsung sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini, dan akan memuncak pada sambutan Hari Malaysia," jelasnya.
04 Aug 25
166
Jalur Gemilang Lusuh Perlu Ditukar
Jalur Gemilang Lusuh Perlu Ditukar
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Kerajaan negeri menegaskan bahawa pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan perlu dibuat dengan betul, manakala bendera yang koyak atau lusuh mesti segera diganti bagi memelihara maruah simbol negara. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu mencerminkan sikap bertanggungjawab dan penghormatan terhadap lambang kedaulatan negara. "Kalau ada bendera yang koyak, itu minta ditukar. "Adapun bendera yang koyak dan lusuh dan tidak menurunkan bendera tersebut, itu kita serahkan kepada pihak penguatkuasaan,” tegasnya. Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini masih mengambil pendekatan berhemah dengan memberi nasihat dan pendidikan terlebih dahulu kepada para peniaga sebelum tindakan diambil. "Mulanya kita beri nasihat dahulu, jika tidak kita akan buat penguatkuasaan. "Kita beri pelajaran, dan dalam masa yang sama, kita mahu semua faham erti kemerdekaan," tambahnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout bersama peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam. Razali turut menjelaskan bahawa agihan Jalur Gemilang secara percuma merupakan salah satu cara menyemarakkan semangat patriotisme dan menanam rasa cinta negara dalam kalangan rakyat. "Kerajaan negeri mengambil kesempatan untuk membahagi-bahagikan bendera Malaysia, supaya kita menyedarkan orang ramai tentang bulan kemerdekaan. "Pemasangan Jalur Gemilang ini bukan hanya setakat di bulan kemerdekaan sahaja, ia akan berterusan di bulan lain," jelasnya.  
04 Aug 25
64