Artikel "Semasa" Terkini
Reformasi Segera Sistem Kerjasama Negeri–Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Terengganu menegaskan perlunya reformasi terhadap sistem kerjasama antara negeri dan Persekutuan dengan mengamalkan konsep federalisme koperatif serta pembahagian hasil negara yang lebih adil.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amalan seperti di negara-negara maju wajar dijadikan contoh agar pembangunan negeri tidak diikat oleh sentimen politik apabila kerajaan negeri dan Persekutuan berbeza ideologi.
“Dalam konteks ini, hasil petroleum adalah hak negeri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bukannya keistimewaan.
“Ia perlu dipulangkan sepenuhnya, dibayar tepat pada masanya dan disalurkan tanpa birokrasi yang melambatkan manfaat kepada rakyat, seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibahaskan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen semalam, beliau mempersoalkan kedudukan Terengganu yang hanya dilibatkan dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan.
“Angka ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Pantai Timur secara serius. Lebih membimbangkan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu hanya ditetapkan 4.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding sasaran dalam RMK-12 dan unjuran kerajaan negeri sendiri iaitu 6.6 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau turut mempertikaikan sasaran pertumbuhan sektor pertanian, perikanan dan akuakultur negeri yang hanya ditetapkan 1.1 peratus, sedangkan ia telah mencatat 7.4 peratus pada 2023.
“Ia langsung tidak mencerminkan kekuatan sebenar negeri yang terbukti berupaya mencapai prestasi tinggi dalam perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan. Negeri ini memerlukan projek dan peruntukan berimpak tinggi untuk melonjakkan ekonomi serta memberi kesan positif kepada seluruh Pantai Timur,” tegasnya.
Menurut beliau, projek strategik seperti Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran ECRL Terengganu juga perlu dimulakan segera kerana mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
12 Aug 25
53
R&D dan Inovasi Perlu Digembleng Secara Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari aspek pengkomersialan dan inovasi (C&I), menjadikannya R&D dan C&I.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam hal tersebut tidak wajar ‘re-invent the wheel’, tetapi lebih sesuai memilih ‘teknologi strategik’ yang ingin dibangunkan sebagai keperluan niche negara dan diangkat sebagai Agenda Nasional.
Justeru, Menteri Besar Terengganu itu mencadangkan lima proses keutamaan, agar pertambahan peruntukan bagi aspek R&D dan C&I ini menghasilkan impak maksimum kepada rakyat dan negara.
“Antaranya, menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat, dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif.
“Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetitif dan peluang kerjaya di dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu katanya, cadangan lain termasuk memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti, institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan teknologi serta kemudahan prototaip.
“Juga mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi halal.
“Di samping memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak yang maksimum,” jelasnya.
Katanya, segala cadangan dan komentar tersebut diharap dapat dijadikan sebagai teladan dan penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
12 Aug 25
63
Kerjasama Utuh Polis dan Masyarakat Perangi Dadah di Setiu
SETIU, 12 Ogos – Atas keprihatinan bersama terhadap isu gejala dadah yang semakin membimbangkan, satu sesi dialog antara agensi kerajaan, penguat kuasa dan pimpinan masyarakat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu di Balairaya Kampung Gong Pasir, di sini.
Program tersebut bertujuan merapatkan jurang, mengukuhkan kerjasama serta mencari penyelesaian holistik dalam menangani isu penagihan dadah di daerah berkenaan.
Ahli Parlimen Setiu berkata, masalah dadah memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh hanya meletakkan beban ini di bahu pihak berkuasa semata-mata,” katanya dengan nada tegas.
Dialog itu menampilkan barisan panelis berwibawa daripada pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dalam usaha memerangi dadah.
Mereka terdiri daripada Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad; Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Mohd Yushairey Zulkepli; wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Nur Wahida Shahrir; serta Pengurus Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari, sebuah pusat latihan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Terengganu yang menfokuskan kepada pemulihan bekas penagih dadah.
Superintendan Azamuddin menekankan peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ polis amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat, manakala Nur Wahida mengupas peranan keluarga dalam pencegahan berkesan serta peranan AADK dalam membantu penagih kembali ke pangkuan masyarakat.
Sementara itu, Alif Mahari menekankan kepentingan pendekatan rohani dan pemulihan menyeluruh dalam membantu bekas penagih dadah, sebagaimana yang dilaksanakan di Darul Barakah.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berharap segala pencerahan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani gejala dadah yang semakin runcing di Setiu.
“Semoga segala input yang diperoleh hari ini menjadi pemangkin kepada tindakan lebih bersepadu. Ini bukan hanya sebuah acara, tetapi pemula kepada satu gerakan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh JPKK DUN Jabi atas komitmen luar biasa, serta kepada para panelis yang sudi meluangkan masa memberi penerangan.
“Semoga kerjasama erat antara pimpinan masyarakat dan agensi penguat kuasa akan terus utuh, lantas memacu Setiu ke arah masyarakat sejahtera dan bebas daripada belenggu dadah,” tambahnya.
12 Aug 25
74
Ahli Parlimen Besut Persoal Integriti, Keberkesanan Ombudsman
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, mempersoalkan mekanisme dalaman yang akan menjamin integriti dan keberkesanan anggota Ombudsman apabila badan itu ditubuhkan kelak.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, beliau mengingatkan bahawa walaupun penubuhan Ombudsman dilihat positif, wujud kebimbangan tentang potensi salah laku dan pelanggaran integriti dalam kalangan anggotanya sendiri.
“Kalau selepas ditubuh, keberkesanan dan kepercayaan rakyat terhakis, itu masalah besar. Persoalannya, 'who watches the watchman'? Atau lebih tepat, 'who watches the watchdog'?,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan kritikan terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA) sebelum ini, termasuk kekangan kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap agensi kerajaan atau penyalahgunaan kuasa.
Ahli Parlimen Besut menekankan keperluan penambahbaikan khususnya dalam aspek sense of urgency bagi memastikan tindakan diambil dengan pantas dan berkesan.
Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengakui kelemahan BPA sebelum ini kerana berada di bawah kawalan kerajaan dan sukar untuk menegur pihak atasan.
Menurut beliau, Ombudsman akan mengambil alih peranan BPA serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), dengan bidang kuasa meliputi salah tadbir (maladministration), salah laku pegawai penguatkuasa (misconduct), pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Act) dan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act).
Azalina menjelaskan, draf akhir akan mengambil kira pandangan negeri-negeri yang mempunyai undang-undang FOI sendiri seperti Selangor dan Pulau Pinang, sebelum dibawa ke Kabinet. Beliau menyasarkan pembentangan dapat dilakukan pada sesi Parlimen Oktober ini.
12 Aug 25
79
SK Bukit Jejulong Juara EZBOT Malaysia Techlympics Zon Timur
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong muncul pemenang tempat pertama dalam Malaysia Techlympics 2025 peringkat Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.
Diwakili empat murid tahun tiga iaitu Muhammad Umar Khaliff Mohamad Sapian, Fayyadh Hakimiey Qusyairi Fauzi, Muhammad Anas Irfan Ahmad Ridhwan dan Muhammad Ammar Akram Mohd Khalidi, pasukan sekolah berkenaan dinobatkan sebagai juara kategori Pemikiran Komputasi (EZ Bot) yang dipertandingkan bagi peringkat tahap satu.
Pasukan bimbingan guru Penolong Kanan KoKurikulum, Noraini Abdullah bersama guru pembimbing, Mohd Aminuddin Ismail dan Mohd Syafiq Firdaus Azmi itu akan mewakili negeri Terengganu di Malysia Techlympics peringkat kebangsaan pada November nanti.
Wakil guru pembimbing merangkap jurulatih pasukan, Mohd Syafiq Firdaus menzahirkan rasa syukur atas kejayaan sekolah berkenaan layak buat kali kedua ke peringkat kebangsaan.
"Ini kali kedua kami sertai dan menang lagi serta berpeluang ke peringkat kebangsaan walaupun dalam kategori berlainan. Tahun lepas, kami mewakili negeri dalam kategori 'Printer 3D' yang disertai murid tahap dua dan mendapat naib johan di peringkat kebangsaan.
"Tahun ini kategori 'Printer 3D' tidak dipertandingkan jadi kami cuba pada acara lain dan rezeki murid tahap satu dalam acara baru yang dipertandingkan tahun ini.
"Kami ucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang yang menguar-uarkan pertandingan ini. Juga, kepada pihak sekolah iaitu guru besar, penolong kanan, para pentadbir dan rakan-rakan guru yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan semangat.
"Tidak lupa kepada murid-murid dan ibu bapa yang memberikan sokongan, apabila anak-anak ini sertai program ibu bapa secara terbuka memberi sokongan sama ada menerusi sumbangan dana dan meluangkan masa untuk anak ke latihan," katanya ketika ditemui selepas program tersebut, hari ini.
Tambahnya, peningkatan penyertaan sekolah rendah di Terengganu dalam acara tersebut merupakan perkembangan yang baik bagi pelajar negeri ini.
"Sekarang ini kita berada dalam era kecerdasan buatan (AI) di mana murid-murid sudah terdedah dengan pelbagai kandungan media sosial seperti YouTube dan sebagainya. Namun, ramai dalam kalangan mereka hanya menonton tanpa menyedari bahawa apa yang mereka lihat itu sebenarnya boleh diaplikasikan dalam bidang robotik dan inovasi.
"Peranan guru amat penting untuk menterjemahkan apa yang mereka tonton kepada bentuk pembelajaran yang bermakna, contohnya melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan seperti ini.
"Kategori robot komputasi ini adalah asas kepada pengatucaraan yang lebih susah lagi. Ia membentuk pemikiran komputasi yang diterjemahkan dalam bentuk yang hidup.
"Murid-murid pada peringkat ini sebenarnya lebih mudah untuk dibimbing berbanding murid yang lebih dewasa. Sekali diajar, mereka cepat memahami kerana pemikiran mereka masih segar dan mudah menerima ilmu,” ujarnya.
Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal itu melibatkan penyertaan 2,000 peserta daripada 120 sekolah dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Dalam program itu, Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah dari Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Cheng dari Kelantan turut memenangi tempat pertama dalam kategori Cabaran Siasatan Jenayah.
Manakala, Yayasan Terengganu (YT), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa, Kelantan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman, Bentong iaitu Nor Fatihah Mohd Nagib menerima anugerah khas atas komitmen menjayakan Malaysia Techlympics 2025.
12 Aug 25
1008
UniSZA International Youth Cup 2025 Himpun Bakat Muda Antarabangsa
KUALA NERUS, 13 Ogos - Lebih 72 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam UniSZA International Youth Cup 2025 yang membuka tirai pertandingan, 13 hingga 17 September ini.
Berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, kejohanan anjuran Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 30,000.00 yang mempertaruhkan empat kategori iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah menjelaskan, penyertaan pasukan peringkat usia di bawah 14 tahun sehingga lapan tahun ke bawah turut melibatkan pasukan luar negara termasuk dari Indonesia dan Singapura.
"UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggung jawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi sekaligus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda secara lebih kompetitif.
"Situasi ini secara tidak langsung memberi hala tuju jelas buat setiap pelatih mahupun akademi itu sendiri untuk memberi galakan dan keyakinan kepada generasi baru mahupun ibu bapa dan penjaga itu turut sama terlibat di dalam ekosistem pembangunan sukan yang mampu membina karektor mahupun sahsiah anak-anak mereka.
"Kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah kemudahan di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia sekaligus menjadi tambah nilai yang terbaik untuk penganjuran sulung ini," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Tambahnya, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan yang pertama kali seumpamanya melihat IPT sebagai tuan rumah di negeri-negeri pantai timur ini.
"penganjuran kejohanan bola sepak antarabangsa ini nanti dilihat mampu menjadi pentas terbaik buat setiap pelatih-pelatih dari akademi kami dan juga lain-lain akademi mahupun bakat-bakat muda tempatan untuk meraih penanda aras baharu buat mereka," ujarnya.
12 Aug 25
104
JPV Lupus 13,660 Kg Karkas Babi Tanpa Dokumen Sah
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu akan melupuskan 13,660 kilogram karkas babi yang dipercayai dipindahkan tanpa dokumen perjalanan sah, selepas ditahan di Kampung Apal, Terengganu pada 9 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, tindakan itu diambil bagi mengelakkan risiko penularan penyakit berbahaya seperti African Swine Fever (ASF) yang kini dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
“Karkas tersebut tidak melalui pemeriksaan ante-mortem dan post-mortem.
"Kita bimbang ia menjadi punca penyebaran ASF yang boleh menjejaskan industri ternakan negara,” jelasnya dalam satu hantaran di media sosialnya hari ini.
Menurutnya, konsainmen itu dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan Batalion 8 yang mengekori dua lori dari Bukit Yong, Pasir Puteh menuju ke Kuala Terengganu sebelum menahan kenderaan tersebut.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
"Pelupusan karkas akan dilaksanakan sebaik sahaja perintah mahkamah diperoleh," ujarnya.
12 Aug 25
46
Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Terus Diperkemas
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Proses pewartaan Pulau Bidong sebagai sebahagian daripada Taman Negeri sedang diperkemaskan dengan penekanan terhadap pemeliharaan ekosistem dan warisan alam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara syarat utama pewartaan ialah larangan pembinaan struktur kekal di pulau berkenaan.
"Salah satu syarat utama bagi pewartaan ini adalah larangan pembinaan struktur kekal, bagi memastikan ekosistem dan warisan alamnya kekal terpelihara.
"Langkah ini mempunyai implikasi tertentu kepada pihak kerajaan serta pihak-pihak yang telah menjalankan pembangunan di kawasan tersebut.
"Oleh itu, kerajaan perlu melihat perkara ini dari sudut pandang yang seimbang antara kepentingan pemuliharaan alam sekitar dengan keperluan pembangunan sosioekonomi setempat.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun Facebooknya, berikutan satu tinjauan yang telah dijalankan di pulau itu beberapa hari yang lalu.
Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi menjelaskan bahawa pendekatan sebegitu amat kritikal dalam pewartaan pulau bersejarah tersebut agar tidak menjejaskan mana-mana pihak.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan pewartaan Pulau Bidong dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hak, kepentingan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat," ujarnya.
Terdahulu, kerajaan negeri secara rasmi membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri.
Pewartaan kawasan seluas 231.3 hektar daratan dan perairan 1 batu nautika dari garis air surut pulau itu akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris pada 7 November, tahun lepas.
12 Aug 25
111
Program Hulu Besut Bersih Dilancar Serentak
Hulu Besut, 12 Ogos – Majlis Pelancaran Program Hulu Besut Bersih telah berlangsung dengan jayanya dan dilancarkan serentak di 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan seluruh DUN Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, majlis ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi menjadi titik tolak kepada satu gerakan yang membawa harapan baharu untuk Hulu Besut.
"Program ini adalah permulaan, dan ia tidak akan terhenti di sini. Selepas ini, akan diadakan pelbagai aktiviti susulan seperti gotong-royong kampung, kempen kesedaran, pertandingan keceriaan, dan lain-lain usaha bagi menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup masyarakat Hulu Besut," katanya.
Tambah beliau, program ini tidak seharusnya menjadi kempen bermusim yang dilupakan selepas sebulan, sebaliknya perlu dijadikan cara hidup sepanjang masa.
"Apabila kita bercakap tentang kebersihan, jangan sempitkan pemahaman hanya kepada 'bebas sampah'. Kebersihan yang dimaksudkan adalah menyeluruh merangkumi kebersihan fizikal, rohani, jiwa, tutur kata, pemikiran, dan hati. Jika semua aspek ini kita pelihara, Hulu Besut bukan sahaja bersih di mata manusia, malah mulia di sisi Allah SWT," ujarnya.
Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah di Dataran Kampung Keruak, pada kemarin.
Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Besut sebagai rakan utama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut dalam menjayakan program ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan, NGO, sukarelawan, dan seluruh JPKK DUN Hulu Besut yang telah memberi komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.
12 Aug 25
110
Dr. Sam Cadang Pusat Kecemerlangan REE, Tegur Hak Negeri Diabai
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE bagi merancakkan pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) di Malaysia.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, pusat berkenaan perlu memberi fokus kepada pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi serta kaedah pemulihan tanpa sisa, selari dengan keperluan industri masa depan.
“Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun hasil penelitian terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini berada di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang membimbangkan kami di peringkat negeri, setakat rekod yang ada, pihak negeri tidak pernah dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilaporkan media asing sebagai salah satu syarat rundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, perancangan pembangunan industri REE kini meliputi keseluruhan rantaian nilai termasuk perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan produk untuk tujuan eksport serta penjagaan alam sekitar.
Katanya, langkah itu amat dialu-alukan kerana industri REE berpotensi menjana pulangan besar kepada negeri dan negara, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
12 Aug 25
115