Artikel "Semasa" Terkini
Anak Didik Imtiaz Rangkul Tiga Anugerah Bertaraf Antarabangsa BIICC 2025
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, 14, melakar momen bersejarah apabila pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu itu merangkul tiga anugerah bertaraf antarabangsa dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2025.
Kejayaan tersebut diraih menerusi projek infografik bertajuk 'When They Disappear, So Do We', yang membolehkan Aira membawa pulang 'Gold Medal', 'Platinum Award' serta 'Best Infographic Poster Award' yang diumumkan di International Youth Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Berkongsi berita, anak pintar solehah Imtiaz Kuala Terengganu itu meluahkan keterujaan dan kegembiraannya apabila dia diumumkan sebagai penerima tiga anugerah dalam pertandingan tersebut.
Aira
Menurutnya, idea di sebalik infografik itu tercetus daripada kesedaran bahawa hubungan antara alam sekitar dan manusia adalah sangat rapat serta saling memerlukan.
"Mesej yang saya ingin sampaikan adalah apabila sesuatu komponen penting dalam biodiversiti atau alam sekitar hilang, ia akan memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia.
"Kita semua bergantung antara satu sama lain untuk kelangsungan hidup," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Mengulas mengenai proses penyediaan projek, Aira berkata penganjur menetapkan tempoh selama dua minggu untuk menyiapkannya, namun dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyelesaikan infografik tersebut.
"Sepanjang proses ini, saya dibantu oleh dua guru pembimbing iaitu Ustaz Zaimuddin (Zaimuddin Anizan) dan Ustaz Abdul Rashid (Abdul Rashid Al Muzmi), selain sokongan berterusan daripada ibu bapa dan rakan-rakan sekelas di 2 Nafi'.
"Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah banyak membantu saya dalam menyiapkan projek ini," tambahnya.
Selain cemerlang dalam pertandingan ini, Aira juga pernah menerima Anugerah Hafazan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2024 sebagai salah seorang daripada dua pelajar terpilih.
Pelajar tingkatan dua itu turut pernah menyertai 'Biology Explorer Competition' 2025 serta mewakili sekolah dalam Sukan Catur Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSD) Kuala Terengganu 2025 kategori Bawah 15 Perempuan.
Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md Imran Md Nor menyifatkan pencapaian itu sebagai satu perkara yang menajdi kebanggaan besar bagi institusi pendidikan menengah di kuala Terengganu itu.
"Ia bukan sahaja mencerminkan usaha gigih pelajar tersebut, malah menjadi bukti bahawa pendidikan yang seimbang antara akademik, akhlak dan kemahiran mampu melahirkan pelajar yang cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya.
Antara projek lain yang turut merangkul 'Platinum Award' bagi kategori infografik
Beliau turut memuji Aira sebagai pelajar yang serba boleh, berdisiplin tinggi dan seimbang dalam pelbagai aspek serta perlu dijadikan sebagai contoh oleh pelajar-pelajar lain.
"Aira adalah seorang pelajar yang sangat aktif dan berdisiplin. Beliau bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, malah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk program kepimpinan, pertandingan dan aktiviti kemasyarakatan.
"Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk berani mencabar diri, melangkah keluar dari zon selesa dan menyertai pelbagai peluang di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya.
BIICC 2025 yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan kira-kira 650 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, guru-guru serta wakil dari 15 negara.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) bersama Sarawak Teachers' Aspirations Organization, ia bertujuan untuk membudayakan kecenderungan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
11 Aug 25
342
LPT3 'Hilang', KDNK Diturunkan : RMK-13 Rencatkan Pembangunan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen sebenar untuk membawa masuk program dan projek berimpak tinggi ke negeri ini, termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), bagi merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas meneliti dokumen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau mendapati Terengganu hanya terlibat dalam enam strategi daripada keseluruhan 122 strategi, berbanding asas kukuh yang telah diletakkan menerusi RMK-12 sebelum ini.
“Apa yang kita harapkan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sebagai projek infrastruktur berimpak tinggi dan pemacu utama (key enabler) pembangunan Terengganu, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan wilayah Pantai Timur.
“Dalam RMK-12, kerja awalan seperti siasatan, kerja ukur tanah dan penilaian impak trafik telah pun dimulakan serta disiapkan pada akhir tahun 2022.
"Namun, pada Februari lalu, Kerajaan Persekutuan hanya memaklumkan bahawa mereka masih meneliti jajaran serta pendekatan pembangunan projek tersebut,” ujarnya dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Sidang Parlimen, hari ini.
Kekecewaan ini bertambah apabila projek LPT3 yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan tidak tersenarai dalam senarai projek infrastruktur utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut mempersoalkan sasaran purata kadar pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dalam RMK-13 yang diturunkan kepada 4.8 peratus, berbanding 6.0 peratus dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 dan 6.6 peratus dalam RMK-12 asal.
Selain LPT3, Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi enam pembangunan berorientasikan transit (TOD), empat taman perindustrian serta satu hab logistik di Terengganu.
11 Aug 25
2503
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.
"Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.
"Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus.
"Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya.
Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.
"Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.
"Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau.
Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia.
"Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.
"Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi.
Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.
"Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan.
"Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya.
Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.
"Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang.
"Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
520
MB Terengganu Saran Kerajaan Perkenal Geran Khusus Persekutuan–Negeri
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Persekutuan disaran memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan–Negeri melalui akta baharu di bawah kuasa Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh kerjasama antara Pusat dan negeri.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata cadangan itu bertujuan memastikan peruntukan dapat disalurkan terus kepada negeri untuk melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan, birokrasi dan kelewatan agensi pusat.
Katanya, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan peralihan kepada model ‘cooperative federalism’ dan ‘fiscal federalism’ yang memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat, mengatasi kerangka perlembagaan yang digubal hampir tujuh dekad lalu.
“Realitinya, walaupun pelaburan berbilion ringgit diumumkan di negeri-negeri, hasil yang diperoleh kerajaan negeri sangat kecil.
“Negeri hanya mempunyai kuasa kutipan cukai dalam jumlah terhad, manakala cukai pendapatan syarikat dan individu dikutip Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dilihat sebagai peluang untuk menambah kuasa negeri atau melaksanakan reformasi desentralisasi dalam kadar tertentu supaya negeri dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.
“Cadangan tersebut juga menekankan keperluan pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas agar negeri dapat memperoleh hasil yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Ahmad Samsuri juga mencadangkan satu suruhanjaya ditubuhkan untuk mengkaji Transformasi Pembangunan Negara, termasuk menilai keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK) terdahulu serta mengaudit sistem pemberian semasa seperti geran am, geran khas dan perkongsian hasil.
Katanya, cadangan itu turut merangkumi penerokaan pendekatan baharu seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme yang diamalkan di negara persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia.
“Suruhanjaya berkenaan dicadang untuk melibatkan wakil rasmi semua negeri bagi memastikan semangat federalisme yang tulen, dengan matlamat utama menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira peringkat pentadbiran,” tambah beliau.
11 Aug 25
126
Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa hairan terhadap sasaran pertumbuhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu yang hanya ditetapkan pada purata 1.1 peratus setahun.
Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan potensi sebenar negeri itu, memandangkan sektor perikanan dan akuakultur turut menjadi antara industri strategik dalam ekonomi biru Terengganu.
“Sub-sektor tanaman dan penternakan di Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini.
“Kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk berkembang sehingga 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang 2030, atau secara purata 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut menuntut agar Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara berkaitan sektor pertanian, termasuk menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu.
“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara,” ujarnya.
11 Aug 25
336
Seminar INSKEN Bongkar Cara Usahawan Elak Rugi dan Produk Tersadai
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos– Lebih 30 usahawan tempatan berpeluang meningkatkan ilmu perniagaan menerusi Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini.
Seminar sehari itu menekankan topik penting seperti teknik membangunkan produk dan servis, analisis pasaran, enam fasa pembangunan produk serta pengiraan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, seminar tersebut bertujuan mengubah persepsi bahawa usahawan hanya perlu pandai menjual tanpa ilmu pembangunan produk.
“Tanpa pengetahuan yang betul, usahawan berisiko membazir masa, tenaga dan wang. Melalui SUM:PPS, kami membantu mereka menilai idea secara strategik dan objektif.
"Selain sesi teori, peserta turut mengikuti penilaian produk secara langsung bersama jurulatih dan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas terus mengenai potensi pasaran," ujarnya.
Program tersebut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Sabasun HyperRuncit, KETENGAH, PERKESO, PERHEBAT dan beberapa pihak lain.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub.
Tambahnya lagi, setakat ini, SUM:PPS telah menarik lebih 4,000 peserta menerusi 10 siri seminar di seluruh negara.
"Bagi tahun ini, INSKEN menyasarkan 15 lokasi penganjuran untuk memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan," ujar beliau.
11 Aug 25
53
Dr. Sam Curi Tumpuan Bakal Sertai Perbahasan RMK-13 Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijadualkan membahaskan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Dewan Rakyat pada jam 11.45 pagi ini, satu sesi yang dijangka menarik perhatian ramai khususnya rakyat Terengganu.
Menurut beliau, ruang perbahasan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengupas pelbagai isu penting yang menyentuh masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Insya-Allah, saya akan mengambil bahagian dalam perbahasan RMK-13. Perbahasan ini akan menyentuh isu-isu penting demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat. Mohon doa dan sokongan semua," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Untuk rekod, RMK-13 merupakan pelan pembangunan lima tahun negara yang menjadi panduan dasar serta hala tuju kerajaan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
11 Aug 25
61
UniSZA Kukuhkan Jalinan Akademik, Industri Melalui Pelantikan Profesor Adjung
KUALA NERUS, 11 Ogos – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh kerjasama akademik dan industri apabila melantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun sebagai Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan.
Majlis penyerahan surat lantikan diadakan di Kampus Gong Badak pada 10 Ogos lalu, disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam.
Menurut beliau, pelantikan itu menjadi jambatan penting antara dunia akademik dan sektor korporat.
“Ini bukan sekadar penghargaan kepada kepakaran luar, tetapi langkah strategik untuk membuka peluang pembelajaran, penyelidikan dan latihan industri kepada pelajar, khususnya dalam bidang kewangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya.
Burhanuddin, yang berkelulusan MBA dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut diiktiraf sebagai Chartered Accountant dan Certified Financial Planner di Malaysia.
Dengan pengalaman luas dalam dunia perniagaan dan pengurusan, beliau diyakini mampu membantu fakulti memperkasa kurikulum serta memindahkan ilmu praktikal kepada pelajar.
UniSZA berharap pelantikan tersebut memberi impak positif terhadap reputasi akademik universiti dan mengukuhkan jaringan strategik bersama industri, sejajar dengan usaha memperkasa pendidikan berteraskan pengalaman profesional.
11 Aug 25
118
114 Acara Budaya Semarakkan Temasya Tranung Kita 2025
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sebanyak 114 acara berteraskan tradisi dan budaya telah berlangsung sepanjang penganjuran ‘Temasya Tranung Kita’ (TEGAK) 2025 yang diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran acara-acara tersebut memeriahkan lagi sektor pelancongan sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat.
“Antara acara yang memeriahkan TEGAK 2025 termasuk persembahan gamelan, pertunjukan wau, sukan rakyat, pameran kraf tangan, demonstrasi masakan tradisional serta pelbagai lagi.
“Kita mahu TEGAK menjadi platform untuk mengangkat seni, budaya dan warisan Terengganu ke peringkat lebih tinggi, selain memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya yang menarik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media program TEGAK 2025 bertempat di Pulau Warisan, Kuala Terengganu di sini semalam.
Program tersebut turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha memartabatkan seni dan warisan negeri.
Razali berkata, penganjuran itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai generasi melalui seni dan budaya.
“Kita mahu rakyat Terengganu terus berbangga dengan warisan yang kita ada dan bersama-sama memelihara kelestariannya untuk generasi akan datang.
“Insya-Allah, pada tahun depan program ini akan diperluas di peringkat daerah supaya dapat melibatkan lebih ramai masyarakat seperti tahun lepas ia berlangsung di Kuala Berang, manakala tahun ini di Kuala Terengganu,” ujarnya.
11 Aug 25
80
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak - Ibu Tunggal Akhirnya Miliki Tanah
MARANG, 10 Ogos – Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
Hazlina Jusoh, 48, yang membesarkan empat anak sendirian, berkata pemberian tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh kerajaan negeri itu umpama hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menyewa rumah.
“Syukur Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dengan tanah ini, saya akhirnya dapat memulakan pembinaan rumah sendiri,” katanya sebak.
Majlis penyerahan dokumen RTB tersebut melibatkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.
Bagi Mohd Aizulhairi Yahaya, 38, yang bekerja sebagai pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, pemberian tanah itu umpama membuka pintu rezeki baru.
“Sejak memohon lima tahun lalu, saya sentiasa berdoa.
“Dengan harga tanah yang tinggi sekarang, agak mustahil untuk saya beli sendiri. Alhamdulillah, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, tetapi menunaikan janji itu. Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Marang dan pihak JPKK yang banyak membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nurul Ashikin Ariffin pula mengakui kehidupannya bersama suami yang bekerja biasa-biasa sahaja tidak pernah mudah.
Katanya, bekerja sebagai tukang jahit, dia memahami betapa sukar untuk memiliki tanah sendiri.
“Pemberian ini sangat-sangat bermakna. Ia hadiah terbesar buat keluarga kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.
Penyampaian dokumen RTB ini sekali lagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak ketinggalan memiliki tanah dan kediaman sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.
10 Aug 25
2627