Artikel "Semasa" Terkini
Siap Dinaik Taraf, Masalah Banjir Jalan Raya Berakhir
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Penduduk di Kampung Bukit Putera hingga Jelapang, Bukit Layat kini boleh menarik nafas lega apabila projek menaik taraf aras jalan yang sering dinaiki air ketika musim hujan telah siap sepenuhnya.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek itu merupakan salah satu usaha berterusan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang telah sekian lama membelenggu penduduk setempat.
"Laluan tersebut sebelum ini kerap terputus setiap kali musim tengkujuh, sekali gus menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk urusan ke sekolah, tempat kerja dan mendapatkan rawatan di hospital," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, pada semalam.
Menurutnya, masalah tersebut telah lama dibangkitkan sejak awal perkhidmatan menjadi Ahli Parlimen, sebelum akhirnya berjaya direalisasikan demi kesejahteraan penduduk setempat.
“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, malah memberi jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa projek penaiktarafan jalan lain akan dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuk Jalan Lubuk Panjang ke Gong Terap, Jalan Pelong, Mak Bakas dan Jalan Hulu Seladang ke Bandar Permaisuri yang dijangka ditender tidak lama lagi.
Dengan siapnya projek ini, ia diharap dapat meningkatkan kelancaran perhubungan di kawasan Setiu dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
13 Aug 25
266
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – TDM Berhad hari ini mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, jumlah tersebut adalah hasil kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang diuruskan bersama sejak hampir tiga dekad lalu.
“Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara.
“Kejayaan ini bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; dan Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja.
Najman menjelaskan, projek yang diusahakan TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) itu melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Puteh sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996.
“Kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu.
“Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, dan memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar.
“Sebagai kumpulan berteraskan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.
“Dengan asas yang kukuh, TDM yakin kerjasama bersama LTAWNT akan terus berkembang menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.
13 Aug 25
161
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Terengganu menyasarkan penciptaan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelan Terengganu New Economy Transformation (T-Next).
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, potensi sektor tenaga hijau jauh melangkaui penghasilan tenaga semata-mata, dengan rantaian pertengahan (midstream) dijangka menjadi pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kalau hanya menjual tenaga elektrik kepada grid, peluang pekerjaan yang diwujudkan sangat kecil, satu ladang solar mungkin hanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja. Tetapi apabila kita kembangkan kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif.
Menurut Dr. Mohd Hanif, peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi kesan rantaian nilai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
"Langkah ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda," katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun peluang pekerjaan tersebut belum ketara pada masa ini, ia dijangka mula dirasai dalam tempoh dua tahun lagi apabila infrastruktur utama siap dibangunkan.
“Sekarang rakyat belum nampak kerana kita sedang membina infrastrukturnya. Dalam dua tahun, kita percaya peluang itu akan mula jelas. Malah, kita sudah berbincang dengan MIDA supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja diambil daripada rakyat negeri ini,” ujarnya.
13 Aug 25
1522
RMM Teluk Kalong Takluk Kijal
KEMAMAN, 13 Ogos - Pasukan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong muncul juara edisi 2025 Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li selepas menundukkan Titian Berayun 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung malam tadi di Stadium Mini Mak Chili.
Pertemuan itu menyaksikan penyerang sensasi RMM Teluk Kalong, Haikal Ikhwan, menjadi wira pasukan dengan ledakan hatrik pada minit ke-6, 23 dan 35.
Titian Berayun hanya mampu merapatkan jurang menerusi jaringan Husni Syahmi pada minit ke-50, namun gagal bangkit untuk menundukkan pihak lawan.
Ketua Jabatan Seni Budaya & Sukan (DACS) Kijal, Othman Harun, berkata edisi kali ini menarik penyertaan 11 pasukan dari seluruh DUN Kijal, bermula 3 Jun dan berakhir pada 12 Ogos, dengan sambutan hangat daripada para peminat bola sepak tempatan.
“Alhamdulillah, tahun ini kejuaraan menjadi milik RMM Teluk Kalong. Tahun lalu, gelaran juara diraih oleh Kampung Bukit Anak Dara.
“Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga platform merapatkan ukhuwah antara penduduk,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.
Turut hadir, Senator Che Alias Hamid, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ahmad Dasuki Mohd Tahir, barisan Ahli Jawatankuasa, serta wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang juga penaung kejohanan berkata, penganjuran Liga DUN Kijal Piala YB Tok Li akan diteruskan setiap tahun.
“Ini sebagai usaha menggabungkan semangat kesukanan, memupuk perpaduan dan membangunkan bakat muda sekali gus menyemarakkan aktiviti komuniti setempat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, pengadil, pasukan bertanding, sukarelawan dan penyokong yang menjayakan kejohanan pada tahun ini,” ujarnya.
13 Aug 25
237
Terengganu Lancar TNEXT Pacu Transformasi Ekonomi Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melakar sejarah baharu dengan pelancaran Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) dalam memacu peningkatan ekonomi negeri secara mampan menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata TNEXT merupakan satu agenda komprehensif yang menggabungkan tiga dasar strategik.
Menurutnya, TNEXT menghimpunkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) 2023–2030, Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2024–2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025–2030 sebagai pelan hala tuju bersepadu ke arah ekonomi berkualiti, inklusif dan mampan.
"TNEXT ini yang menggabungkan tiga dasar itu dan kita tengok secara holistik pergerakan dasar-dasar itu nanti. kita nak membawa kepada suatu perubahan daripada (dasar) sekarang ke arah yang lebih baik.
"Dengan penambahan penambahbaikan dan kewujudan dasar-dasar dan rangka kerja ini, sudah pastinya kita bergerak pada satu langkah yang kedepan.
"Banyak, (sebagai contoh) kalau dalam dasar industri, kita menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang ada. Supaya proses-proses tu lebih mesra pelabur dan mempercepatkan proses-proses yang ada.
"Begitu juga dengan dua dasar lain lagi, rangka kerja lain tu adalah kita suitkan dengan apa yang pihak persekutuan ada, Kita rujuk dan kita melangkah ke arah yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025.
Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato' Nara Setia serta Timbalan SUK (Pembangunan), Dato' Rosli Latif.
Melalui DPPPNT, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi dalam enam kluster strategik iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.
Manakala, PITIH menetapkan sasaran Terengganu sebagai peneraju teknologi hijau serantau melalui tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, ekonomi sirkular dan industri hijau.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan RTEDT akan dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan transformasi digital menyeluruh.
"RTEDT ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama daripada tahun 2025 sehingga 2027 dan fasa kedua daripada tahun 2028 sehingga 2030.
"Fasa pertama akan menumpukan pada pengukuhan asas penggunaan digital manakala fasa kedua akan memacu transformasi digital secara inklusif dan menyeluruh melalui rangka tindakan ini, lima teras utama akan diberi penekanan.
Nurkhuzaini menjelaskan fasa pertama memfokus kepada pengukuhan asas digital, manakala fasa kedua memacu transformasi inklusif dengan penekanan kepada pendigitalan perkhidmatan awam, pembangunan bakat dan inovasi ekonomi digital.
Tambahnya, inisiatif sokongan TNEXT termasuk pemasangan tiang pintar (intelligent pole) di seluruh negeri untuk menyediakan rangkaian 5G, WiFi awam, lampu LED jimat tenaga, sensor udara, stesen pengecasan EV dan sistem keselamatan pintar, sejajar dengan pembangunan bandar pintar.
"Untuk negeri Terengganu, inisiatif ini akan memperkukuhkan kedudukan negeri terengganu sebagai peneraju teknologi hijau dan meningkatkan kualiti hidup melalui penyelarasan bandar pintar dan juga menjadikan model pembangunan seimbang antara kemajuan teknologi dan kelestarian alam.
"Inilah masa depan yang kita bina bersama, negeri Terengganu yang bukan sahaja pintar dari segi teknologi tetapi juga mampan dan berpaksikan rakyat," ujarnya.
13 Aug 25
595
Kritik Bantuan RM100 Tidak Bersasar, Desak Projek Besut Disegerakan
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa langkah kerajaan yang disifatkan tidak berfokus dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus berkesan, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat semalam.
Beliau mempersoalkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara 'one-off' kepada semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan tinggi, yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Menurutnya, langkah tersebut tidak menepati konsep penyasaran bantuan, malah bercanggah dengan alasan kerajaan sebelum ini untuk menyusun semula subsidi.
“Persoalannya, mengapa pengumuman ini dibuat hanya beberapa hari sebelum Perhimpunan Rakyat 26 Julai lalu? Mengapa ia dimasukkan di bawah SARA sedangkan sebelum ini SARA dikhususkan kepada B40 dan M40 bawah? Adakah ia akan benar-benar dilaksanakan atau sekadar pengumuman tanpa komitmen rasmi?,” soalnya.
Beliau turut mengulas isu integriti fiskal, termasuk dakwaan bahawa Perdana Menteri tidak mengambil gaji.
Katanya, secara prosedur kewangan, elaun atau gaji seorang penjawat awam tetap disalurkan ke akaun yang diperuntukkan, justeru ketelusan perkara itu wajar diperjelaskan.
Menyentuh soal percukaian, Che Mohamad Zulkifly mempersoalkan pembatalan cukai terhadap barangan bernilai tinggi, sedangkan cukai ke atas barangan harga rendah dikekalkan.
Beliau juga membangkitkan tanda-tanda tindakan cukai dan rampasan aset yang dilihat bersifat terpilih.
Berkaitan pengurusan hutang, beliau menarik perhatian kepada peningkatan hutang Persekutuan yang kini mencecah RM1.3 trilion berbanding RM1.25 trilion pada akhir tahun lalu, yang menurutnya bercanggah dengan gambaran penurunan hutang yang sering dicanangkan kerajaan.
Dalam konteks pembangunan daerah, beliau menggesa kerajaan mempercepat pembinaan klinik kesihatan baharu di Pulau Perhentian untuk mengurangkan kebergantungan penduduk kepada fasiliti di tanah besar.
Keperluan hospital baharu di Besut turut ditekankan, berikutan kesesakan di hospital sedia ada yang sering digelar 'Hospital Panadol' akibat kekurangan kelengkapan dan tempoh menunggu rawatan yang lama.
Selain itu, projek Jambatan Jerteh yang diluluskan sejak 2019 dengan kos RM124 juta turut disentuh, meskipun telah dimasukkan dalam RMK-12, beliau menegaskan pelaksanaannya masih belum bermula.
Beliau turut mengingatkan kerajaan agar menunaikan janji manifesto untuk menyalurkan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, melalui saluran Parlimen dan bukan Pejabat Perdana Menteri.
Katanya, syarat perjanjian yang dikenakan kini menyalahi semangat federalisme dan menafikan hak rakyat di kawasan pembangkang untuk menikmati pembangunan secara adil.
Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa siasatan telus terhadap kes-kes kematian atau serangan terhadap saksi penting yang sebelum ini dianggap kebetulan, sambil mengingatkan bahawa kuasa politik adalah amanah sementara yang tidak wajar digunakan untuk menekan pihak lawan.
13 Aug 25
150
Sasaran 1.1 Peratus KDNK Pertanian Disifatkan Langkah Undur ke Belakang
BESUT, 12 Ogos - Sasaran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu sebanyak 1.1 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah mengundur ke belakang berbanding pencapaian semasa dan potensi sebenar negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, berkata pada tahun 2023 sektor pertanian negeri merekodkan kadar pertumbuhan meningkat, malah Terengganu turut mencatat pegangan tertinggi negara dalam bidang pertanian dan penternakan berdasarkan Banci Pertanian 2024.
“Kalau sebelum ini kita mampu capai 7.4 peratus, tiba-tiba sekarang disasarkan hanya 1.1 peratus, ini seperti kita melangkah ke belakang.
"Sepatutnya kita berjalan ke hadapan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Katanya, beliau turut mengulas mengenai perbahasan Ahli Parlimen Kemaman, Dato Sri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Sidang Parlimen.
Menurut Azman, Pelan Strategik Terengganu 2024–2030 menetapkan sasaran pertumbuhan sektor pertanian negeri pada kadar 10 hingga 12 peratus menjelang 2030, yang dilihat lebih munasabah dan berpijak di bumi nyata.
"Jadi itu pendirian yang kita nak beri.
"Mungkin kita perlu berkunjung ke Kementerian untuk adakan perbincangan," ujar beliau lagi.
12 Aug 25
44
Jadikan Pertanian Agenda Nasional
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan sektor pertanian sebagai identiti teras Malaysia yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya dan diangkat sebagai agenda nasional.
Katanya, perkara itu penting untuk diberikan perhatian selain menjadikan 'mega-trend' lain terkini di peringkat global seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan kemajuan teknologi sebagai fokus pembangunan jangka panjang.
"Lihatlah agenda nasional yang pernah kita berikan tumpuan suatu ketika dahulu, ke mana kesan dan hasilnya masa kini?.
"Adakah ia menjadi pemacu ekonomi negara kita atau ia sekadar trend semasa yang dijadikan tumpuan sehingga kita terlepas fokus yang sepatutnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), di Dewan Rakyat, semalam.
12 Aug 25
58
Hanya 10 Peratus Penternak Akuakultur Miliki MyGAP
BESUT, 12 Ogos – Lebih kurang 2,000 daripada 20,000 penternak akuakultur di seluruh negara memiliki Pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (MyGAP), meskipun ia merupakan aspek penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Yei Mou Eim, berkata pencapaian sebanyak 10 peratus itu masih rendah dan usaha bersepadu perlu dipergiat bagi menggalakkan lebih ramai penternak memohon pensijilan tersebut.
"Di Terengganu, seramai 45 penternak telah memperoleh MyGAP, manakala kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penternak tambahan menjelang hujung tahun ini.
"Pensijilan MyGAP menekankan amalan biosekuriti, kawalan penggunaan antibiotik serta ubat-ubatan, selain memastikan produk akuakultur yang dihasilkan selamat dimakan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurutnya, pelbagai bengkel, program kesedaran dan sesi latihan telah dianjurkan bagi membantu penternak memahami prosedur dan kepentingan MyGAP.
Tambah Yei Mou Eim, Kerajaan Terengganu melalui Pejabat Perikanan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti kemudahan infrastruktur asas termasuk pemasangan pagar dan kemudahan ‘dipping’, sokongan teknikal, serta penyediaan template dokumentasi dan rekod yang diperlukan bagi proses pensijilan.
“Walaupun memerlukan pelaburan awal daripada penternak, pensijilan ini memberikan manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan kualiti hasil ternakan dan keyakinan pengguna.
"Kita mahu lebih ramai penternak tampil mendapatkan MyGAP demi keselamatan makanan negara,” katanya.
Selain itu, kempen penerangan, pengedaran buku panduan dan sesi pengajian turut dilaksanakan bagi memastikan penternak benar-benar memahami tujuan serta faedah pensijilan ini.
"Dengan penglibatan aktif semua pihak, sasaran meningkatkan jumlah penternak bertauliah di setiap negeri diharap dapat dicapai menjelang hujung tahun, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara," ujar beliau.
12 Aug 25
42
Terengganu Sasar Imbangi Sumber Perikanan Melalui Akuakultur Berkualiti
BESUT, 12 Ogos – Terengganu menyasarkan untuk menyeimbangkan sumber hasil perikanan negeri dengan 50 peratus daripada sektor akuakultur dan 50 peratus daripada hasil tangkapan laut serta perikanan darat dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan yang dijangka semakin berkurangan pada masa hadapan.
“Pada masa ini, nisbah pengeluaran adalah sekitar 40 peratus akuakultur dan 60 peratus tangkapan. Setiap tahun, kita menghasilkan lebih 5,000 metrik tan hasil akuakultur dan tahun ini kita menyasarkan lebih 6,000 metrik tan.
“Fokus sektor air payau termasuk ternakan siakap, kerapu hibrid, udang harimau dan udang putih, manakala sektor air tawar melibatkan ikan baung, patin, tilapia, keli, udang galah dan pelbagai spesies lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurut Azman, kerajaan negeri memberi penekanan bukan sahaja kepada kuantiti, malah kualiti hasil ternakan melalui pensijilan MyGAP yang memerlukan pematuhan lebih 100 senarai semak audit termasuk aspek biosekuriti.
“Penternak yang memiliki pensijilan MyGAP berpeluang menembusi pasaran eksport dan pasar raya ternama. Ia memberi nilai tambah kepada produk negeri.
“Kita juga memastikan rantaian pengeluaran lengkap dari pusat pembenihan, pengeluaran, pemasaran hingga ke peringkat pensijilan. Jika sebelum ini hanya berhenti di tahap pemasaran, kini kita bergerak ke tahap pensijilan,” ujarnya.
Tambah Azman, sehingga kini terdapat 45 pensijilan MyGAP akuakultur di Terengganu, dengan 25 daripadanya di daerah Besut yang menjadi tumpuan bersama Setiu dan beberapa daerah lain.
Mengulas cabaran status tanah penternak, beliau berkata kerajaan negeri telah mewartakan beberapa lokasi sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diurus secara berpusat di bawah Jawatankuasa Pembangunan Tanah Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM).
“Dengan adanya ZIA, pengurusan lebih sistematik, cepat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Kita mahu industri akuakultur ini berkembang dengan teknologi terkini serta KPI kualiti yang tinggi,” katanya.
Selain perikanan, jelas beliau, Terengganu turut mencatat pencapaian dalam sektor pertanian dengan 500 hektar sawah padi memperoleh pensijilan MyGAP, sekali gus menjadikan negeri ini antara yang tertinggi di Malaysia.
12 Aug 25
82