lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Lebih 1,000 Peserta Sertai Mount Berembun Climbathon Challenge 2025
Lebih 1,000 Peserta Sertai Mount Berembun Climbathon Challenge 2025
DUNGUN, 14 September – Lebih 1,000 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC’25) yang berlangsung di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, MBCC bukan sahaja memperkenalkan keindahan Gunung Berembun yang mempunyai tiga air terjun semulajadi Chemerong, Berembun dan Langsir, malah turut memperkenalkan konsep pelancongan sukan untuk seisi keluarga. "Insya-Allah, bermula tahun depan MBCC akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027,” jelasnya.  "Program ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Dungun termasuk peniaga dan pengusaha inap desa, selain menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan yang terlatih bagi membimbing peserta sepanjang pendakian," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sidang Media MBCC 2025 berempat di Taman Eko Rimba Chemerong semalam. Program tersebut anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan kerjasama kerajaan negeri. Dalam program berkenaan, sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Razali turut menanam pokok sebagai simbolik kesedaran pentingnya pemeliharaan hutan secara lestari. Sementara itu, Pengarah Program, Mohd. Rafi Kori berkata, MBCC’25 berkonsepkan ‘trail run’ yang menggabungkan elemen alam semulajadi, sukan dan kembara. “Tahun ini, tiga kategori diperkenalkan iaitu Cengal (terbuka lelaki & wanita serta veteran), Meranti (tertutup lelaki & wanita) dengan hadiah keseluruhan RM13,000. "Manakala kategori Nyatuh atau ‘Fun Trail’ sejauh dua dan lima kilometer pula dibuka untuk mereka yang mahu mendaki secara santai,” ujarnya.  
14 Sep 25
105
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
JITRA, 14 September - Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) menjadi platform menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan Cendekiawan bagi memperkukuh sinergi serta membina rangkaian kerjasama strategik di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi platform bagi membincangkan agenda tindakan segera dan praktikal bagi menyelamatkan rakyat Gaza dan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta bumi Palestin daripada terus dijajah. "Tujuan Munif ini juga diadakan adalah untuk menjana idea serta cadangan berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan bersama melalui saluran kemanusiaan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi dan diplomasi rakyat ke rakyat. "Melalui firmah Allah adalah menjadi kewajipan  kepada umat Islam untuk bersama dalam isu Palestin,"ujarnya ketika berucap di MUNIF yang diadakan di BDB Darulaman Golf Resort, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, katanya adalah menjadikan harapan agar forum yang diadakan itu akan menjadi pentas penting untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran. "Seterusnya melahirkan resolusi dan pelan tindakan yang lebih tersusun demi kebaikan ummah dan Islam tercinta,"ujarnya.
14 Sep 25
25
Perarakan Bot dan Sukaneka Eratkan Silaturahim Sesama Komuniti
Perarakan Bot dan Sukaneka Eratkan Silaturahim Sesama Komuniti
DUNGUN, 14 September – Program Perarakan Bot dan Sukaneka Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Serai berlangsung penuh meriah dengan penyertaan ramai di Kampung Rajawali. Pengerusi JPKK Pulau Serai, Abdul Halim Abd Rahman, dalam ucapan perasmian menzahirkan kegembiraan atas sambutan penduduk yang begitu menggalakkan. “Alhamdulillah, program hari ini berjalan dengan meriah. Tahniah kepada semua lapisan komuniti Pulau Serai yang turun bersama-sama menjayakan sambutan ini. Insya-Allah pada masa akan datang kita akan anjurkan program yang lebih besar dan lebih meriah lagi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kerja yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut. “Tahniah juga kepada pasukan yang bekerja keras menyusun demi kelancaran program. Ini kali pertama kita adakan acara semeriah ini bersama komuniti. Terima kasih kepada semua warga Pulau Serai yang sudi duduk berprogram bersama,” ujarnya. Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, bahkan berjaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti dalam suasana kekeluargaan yang harmoni. Acara bermula dengan perarakan bot yang dihiasi kibaran Jalur Gemilang di perairan sekitar Pulau Serai, sebelum diteruskan dengan pelbagai pertandingan sukaneka melibatkan golongan muslimah, veteran, anak muda serta kanak-kanak.  
13 Sep 25
47
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
SETIU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai acara kuda lasak Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, petang tadi. Baginda telah berkenan menyertai kategori Championship Endurance National (CEI) 2*120 Kilometer (KM). Sebanyak empat kategori dan tiga jarak laluan telah dipertandingkan yang melibatkan kategori CEI 2* 120 KM,  CEI 1* 100 KM, CEYJ 1* 100 KM dan CEN 80 KM. Kejuaraan kali ini dengan penyertaan seramai 128 peserta turut menampilkan penyertaan daripada Malaysia serta tujuh negara luar, termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, China, Jepun, Belarus dan Rusia. Mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersarungkan rompi biru bernombor sembilan, Sultan Terengganu bersama tunggangan pilihannya iaitu seekor kuda kelabu bernama M M Daykir, bersedia menentang 22 pencabar lain dalam kategori sama. Turut kembali bersama pasukan Unit Berkuda PDRM petang tadi ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian, selaku penunggang bernombor 153 yang beraksi dalam kategori CEN 80KM bersama kudanya, Gelding. Perlumbaan yang bermula di litar berkeluasan 47 hektar dalam daerah Setiu itu dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang. Dengan jangkaan lebih 12 jam, perlumbaan tersebut dijadualkan untuk melabuhkan tirai seawal 5.20 pagi esok.  
13 Sep 25
173
Muktamar PAS Fokus Ekonomi, Sosial dan Keharmonian Kaum
Muktamar PAS Fokus Ekonomi, Sosial dan Keharmonian Kaum
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Muktamar Agung PAS kali ini amat signifikan kerana berlangsung hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus menjadi medan penting untuk memperdebatkan isu ekonomi, sosial, keharmonian kaum serta hala tuju parti sebagai kuasa politik nasional. Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbahasan muktamar dijangka menumpukan pengukuhan dalaman parti serta agenda besar yang menyentuh masa depan negara.  “Kita percaya bahawa Muktamar kali ini adalah Muktamar yang begitu hampir dengan pilihan raya umum ke-16. "Jadi tentunya selain daripada pengukuhan parti, dan untuk meletakkan parti PAS di persada negara dan nasional sebagai parti yang berkaliber dan ada keupayaan untuk memimpin negara, sudah tentulah ini antara perkara yang akan diperbahaskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Menurutnya lagi, perbahasan kali ini bukan hanya menilai kekuatan PAS, tetapi turut memperhalusi dasar-dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.  "Dari aspek sosialnya, dari aspek ekonomi, dari aspek keharmonian kaum, dan apa yang perlu dilaksanakan oleh kepimpinan parti. "Jadi ia akan jadi lebih inklusif, apa yang diperjuangkan oleh PAS ini, untuk membawa PAS bersama dengan rakan muafakat politik," katanya.  Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kejayaan dalam PRU-16 tidak akan tercapai sekiranya PAS bergerak bersendirian tanpa dukungan rakan sekutu politik.  "Kita tidak mahu menjadi single parti yang mengadakan usaha dalam pilihan raya nanti. "Kita percaya kemenangan boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang jika sekiranya kita memperkukuhkan muafakat politik, dan mempereratkan kerjasama di seluruh negara," ujarnya.  
13 Sep 25
72
Dah Sampai Masa PAS Terajui PN – Dr Sam
Dah Sampai Masa PAS Terajui PN – Dr Sam
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sudah tiba waktunya PAS diberi mandat untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai peneraju blok pembangkang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik tanah air. Menteri Besar Terengganu itu berkata, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan diberi perhatian serius menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok.  "Kita pantau pandangan-pandangan yang diberikan oleh pihak di luar sana termasuk daripada sayap-sayap parti yang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.  "Saya percaya cadangan tersebut adalah satu perkara penting yang akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat pada hari esok," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menekankan bahawa Muktamar PAS Pusat yang bermula Isnin ini bakal menjadi medan perbincangan besar mengenai hala tuju parti dalam PN.  "Pada hari Isnin akan bermula muktamar agung PAS Pusat. "Saya rasa sudah sampai waktu dan ketikanya untuk PAS berbincang dengan rakan muafakat politik untuk PAS pula mengambil alih dan mengetuai kerusi ini secara muafakat politik," jelasnya.
13 Sep 25
530
24 Pasangan Mempelai Marang Dirai Meriah
24 Pasangan Mempelai Marang Dirai Meriah
MARANG, 13 September– Program Walimatulurus Perdana 2025 kembali mewarnai suasana dengan penuh barakah apabila seramai 24 pasangan daerah ini dirai pada majlis yang penuh bermakna di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini. Program yang berlangsung serentak di seluruh Negeri Terengganu itu turut menyaksikan 192 pasangan diraikan, menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata,  tujuan majlis ini adalah untuk meringankan beban pasangan pengantin serta memupuk suasana kekeluargaan masyarakat melalui perkahwinan yang diurus secara berjemaah. "Tahniah diucapkan kepada semua pasangan pengantin yang diraikan. Semoga kehidupan berumah tangga mereka dilimpahi keberkatan, dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmat Allah hingga ke syurga," ujarnya. Beliau turut mengingatkan pasangan mempelai agar sentiasa bersabar, bersikap tolak ansur serta menggunakan kebijaksanaan dalam mengharungi cabaran kehidupan berumahtangga.
13 Sep 25
125
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
DUNGUN, 13 September – Daerah Dungun muncul antara lapan daerah dengan penyertaan terbanyak apabila seramai 30 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan dalam Program Walimatulurus Perdana 2025 yang berlangsung hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memudahkan pasangan muda mendirikan rumah tangga, selain memastikan mereka memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih teratur dan diberkati. “Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersabda, wahai anak muda, sesiapa antara kamu yang mampu berkahwin maka berkahwinlah. Nikah itu sunnahku, dan siapa yang tidak menyukainya maka dia bukan daripada golonganku. “Justeru, kita mahu anak-anak muda Terengganu menyahut seruan ini dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat; Pegawai Agama Daerah Dungun, Ahadi Othman; serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Daerah Dungun, Ahmad Faris Abdul Razak. Menurut Satiful, perkahwinan bukan sekadar lafaz akad nikah, sebaliknya amanah besar yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT. “Apabila seorang lelaki menyebut ‘aku terima nikahnya’, itu bukan hanya menerima pasangan, tetapi menerima satu amanah dunia hingga akhirat. “Maka setiap suami dan isteri perlu saling memahami, bersabar dan tidak mudah melafazkan perceraian, kerana talak adalah perkara yang paling dibenci Allah,” jelasnya. Beliau turut mengingatkan pasangan agar tidak takut memiliki zuriat hanya kerana bimbang soal kewangan. “Rezeki adalah ketentuan Allah. Rasulullah SAW menyebut bahawa umat Baginda yang ramai adalah kebanggaan di akhirat. “Maka janganlah kita gusar untuk berzuriat, kerana setiap anak adalah rezeki yang membawa keberkatan,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah, Pejabat Agama Daerah, agensi kerajaan, serta para sukarelawan yang menjayakan program tersebut. Secara keseluruhan, Program Walimatulurus Perdana 2025 melibatkan 192 pasangan pengantin dari lapan daerah seluruh Terengganu, dengan Dungun mencatatkan 30 pasangan.  
13 Sep 25
111
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
Tarif Baharu Air Tidak Jejas Majoriti Pengguna di Terengganu – SATU
KUALA TERENGGANU, 13 September – Syarikat Air Terengganu (SATU) menegaskan pelaksanaan tarif baharu air tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik di negeri ini, sebaliknya hanya melibatkan segelintir yang menggunakan lebih 50 meter padu (m³) sebulan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, purata penggunaan isi rumah di Terengganu sekitar 27.5 hingga 30m³ sebulan bagi sebuah keluarga empat orang, sekali gus meminimumkan kesan kenaikan tarif. "Tidak benar berlaku kenaikan sekali ganda sebagaimana ditularkan. Hanya segelintir pengguna yang menggunakan air melebihi 50m³ sebulan akan nampak perbezaannya," katanya ketika dihubungi.  Beliau menjelaskan kadar tarif air domestik di Terengganu masih antara terendah di negara ini, dengan caj RM0.66 semeter padu bagi penggunaan bawah 20m³ berbanding sehingga RM1.05 di beberapa negeri lain. Katanya, bagi blok 20 hingga 35m³, caj di Terengganu ialah RM1.69 semeter padu, lebih rendah berbanding Johor (RM2.35), manakala bagi penggunaan melebihi 35m³ pula dikenakan RM2.25 semeter padu berbanding RM3.50 di Johor serta RM3.51 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. "Ini jelas menunjukkan kadar tarif air di Terengganu masih kompetitif malah lebih rendah berbanding banyak negeri lain. “Sebagai contoh, penggunaan 30m³ sebulan hanya dicaj 20m³ pertama pada kadar RM0.66 dan baki 10m³ berikutnya pada RM1.69. Jumlah caj sebenar jauh lebih rendah berbanding angka yang ditularkan,” ujarnya. "Dengan kaedah blok ini, jumlah caj sebenar adalah lebih rendah daripada jumlah yang ditularkan," katanya. Dalam pada itu, Abdul Karim menolak dakwaan kononnya 75 peratus rumah di Terengganu akan mengalami kenaikan purata bil bulanan sebanyak RM37 sebagaimana tersebar di media sosial. “Itu tidak benar sama sekali. Pengguna boleh semak sendiri dengan kalkulator bil air yang disediakan dalam laman SATU untuk melihat anggaran caj sebenar," ujarnya. Mengikut rekod tambah beliau, terdapat 293,519 akaun pengguna domestik di Terengganu dengan 40 peratus menggunakan air tidak melebihi 20m³ sebulan, 19 peratus sehingga 30m³ dan 21 peratus sehingga 45m³. "Selain itu, empat peratus menggunakan sehingga 50m³, 12 peratus sehingga 80m³, manakala dua peratus masing-masing menggunakan sehingga 100m³ dan lebih 100m³. "Bagi kategori penerima subsidi 20m³ percuma, 32 peratus pengguna berada dalam tahap penggunaan tidak melebihi 20m³, manakala 68 peratus lagi melebihi kadar tersebut. “Berdasarkan data ini, majoriti pengguna berada dalam kategori penggunaan rendah hingga sederhana, manakala hanya sebilangan kecil yang berdepan kesan ketara,” jelas beliau. Tambahnya, pelarasan tarif air diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui mekanisme penetapan tarif (TSM) selepas mengambil kira kos operasi, kewangan serta keperluan penambahbaikan berperingkat bagi menjamin kelestarian bekalan air di Terengganu.
13 Sep 25
64
Terengganu Dinobat Negeri Paling Bahagia 2024
Terengganu Dinobat Negeri Paling Bahagia 2024
KUALA TERENGGANU, 12 September - Terengganu dinobat sebagai negeri paling bahagia di Malaysia apabila mencatat skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Kejayaan itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus menggambarkan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup yang tinggi di negeri Pantai Timur itu. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Johor muncul di tempat kedua dengan skor 8.08 manakala Negeri Sembilan ketiga dengan 8.01. “Bagi peringkat daerah, Kluang, Johor merekodkan skor tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50). “Secara keseluruhan, sebanyak 36 daerah berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, laporan MHI kali ini adalah yang pertama diterbitkan secara terperinci sehingga ke peringkat negeri dan daerah, membolehkan penilaian kebahagiaan dibuat lebih bersasar berpandukan realiti setempat. Beliau menjelaskan, MHI 2024 dibangunkan berdasarkan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang menilai tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual. Secara keseluruhan, Malaysia mencatat skor kebahagiaan 7.60 yang meletakkan negara dalam kategori bahagia. “Perbandingan antara kawasan bandar (7.61) dan luar bandar (7.56) menunjukkan jurang yang kecil, mencerminkan keseimbangan pembangunan dan kualiti hidup. “Komponen keagamaan dan kerohanian menjadi penyumbang terbesar kepada kebahagiaan dengan skor 8.69, manakala faktor keluarga di tempat kedua dengan 8.64,” ujarnya. Bagaimanapun katanya, kebudayaan (6.22) dan emosi (6.40) dikesan berada pada tahap paling rendah, memberi isyarat perlunya perhatian terhadap aspek kesejahteraan emosi serta penghayatan budaya dalam dasar sosial negara. Tambah beliau lagi, dari sudut demografi, wanita dilaporkan lebih bahagia (7.62) berbanding lelaki (7.57). Golongan muda berusia 15 hingga 19 tahun pula merekodkan skor tertinggi iaitu 7.79, manakala warga emas 65 tahun ke atas mencatatkan skor 7.54. Mohd Uzir berkata, dapatan itu membuktikan rakyat Malaysia kekal optimis serta mempunyai daya tahan kolektif yang kuat dalam mendepani cabaran global. “Indeks ini akan menjadi rujukan penting untuk pihak berkuasa merancang strategi meningkatkan kualiti hidup rakyat mengikut keperluan negeri dan daerah,” katanya.
12 Sep 25
822