DUNGUN, 17 Ogos - Kejayaan seorang petani melon menghasilkan sehingga enam tan buah melon manis setiap musim wajar dijadikan contoh kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang pertanian moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata pencapaian Mohd Jalil Mat Ali, 63, membuktikan bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan ilmu dan kesungguhan.
“Kita lihat sendiri bagaimana Tuan Haji Jalil mampu menghasilkan lebih 4,000 biji melon setiap musim menggunakan sistem fertigasi. Ini bukan pencapaian kecil,” katanya ketika melawat ladang petani tersebut di sini.

Beliau turut memuji ketekunan dan daya tahan petani itu yang berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan musuh tanaman serta peningkatan kos baja dan input pertanian.
“Kejayaan ini perlu diketengahkan sebagai inspirasi kepada anak muda. Kita di peringkat negeri juga komited membantu dengan menyediakan kursus, bantuan input dan membuka lebih banyak peluang pasaran,” katanya lagi.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata pihaknya akan terus turun padang bagi meninjau usaha-usaha pertanian di kawasan itu, selain memastikan setiap masalah yang dihadapi petani dapat ditangani dengan segera demi memperkukuh ekonomi luar bandar.
