lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Buluh Gading DUN Tertinggi Terima Manfaat Kad Sejahtera
Buluh Gading DUN Tertinggi Terima Manfaat Kad Sejahtera
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – DUN Buluh Gading mencatatkan jumlah penerima Kad Sejahtera tertinggi di negeri ini, yang boleh mula digunakan sejak awal Oktober lalu. Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shamsul Bahri Salleh berkata, seramai 328 penerima di DUN Buluh Gading telah menerima manfaat Kad Sejahtera daripada keseluruhan 4,224 penerima di seluruh Negeri Terengganu, menjadikannya DUN tertinggi antara 32 DUN di negeri ini. “Penerima yang layak boleh mendapatkan rawatan di 90 buah klinik terpilih di seluruh negeri.” “Nilai kad juga telah diselaraskan kepada RM200 untuk tempoh enam bulan dan dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan penerima,” katanya ketika berucap dalam Program Taklimat Kad Sejahtera Fasa 5 di Dewan Sivik Buluh Gading, baru-baru ini. Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Rosdi Johari.  Menurut beliau, kekangan kewangan memerlukan sedikit penyesuaian terhadap nilai kad dan jumlah penerima bagi memastikan rakyat tetap mendapat manfaat kesihatan yang disediakan. “Alhamdulillah, kita turut menerima kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyalurkan dana bagi menjayakan pelaksanaan program kali ini,” tambahnya.
11 Oct 25
33
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
6,000 Rakyat Terengganu Sertai Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 September – Seramai 6,000 peserta membanjiri Pantai Batu Buruk sempena Hari Cuci Malaysia 2025 bersempena World Cleanup Day 2025 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diadakan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, sektor perumahan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum. “Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti gotong royong bersepadu yang merangkumi pembersihan kawasan sekitar, menutup tapak sampah haram, serta menggerakkan kempen kitar semula. “Pada masa yang sama, ia mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna,” jelasnya. Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti terus terjamin. Menariknya, program kali ini turut disertai pihak swasta seperti RD Paper dan Sally Global yang membuka booth e-waste dan booth belian minyak masak terpakai di kawasan tapak perasmian. Sambutan orang ramai amat menggalakkan, menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap kitar semula bahan terbuang. Untuk rekod, setiap 1 kilogram minyak masak terpakai dibeli dengan harga RM2.50 bagi menggalakkan orang ramai menyumbang bahan terpakai tersebut untuk dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel.    
28 Sep 25
633
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena 'World Cleanup Day 2025' telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara. "Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran. "Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian. "Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan. "Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat. "Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini," ujarnya.  
27 Sep 25
713
7,000 Langkah Sehari Sudah Memadai Untuk kekal Sihat - Kajian
7,000 Langkah Sehari Sudah Memadai Untuk kekal Sihat - Kajian
KUALA TERENGGANU, 22 September – Jika sebelum ini masyarakat sering disarankan berjalan 10,000 langkah sehari, kajian terbaharu mendapati hanya 7,000 langkah sudah mencukupi untuk memperoleh manfaat kesihatan yang ketara. Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, kajian berskala besar yang diketuai Dr. Katherine Owen dari University of Sydney mendapati 7,000 langkah lebih realistik dan mudah dicapai kebanyakan orang, selain manfaat yang diperoleh hampir sama dengan mereka yang berjalan sehingga 10,000 langkah sehari. Menurutnya, kajian itu yang menganalisis 57 penyelidikan terdahulu melibatkan lebih 160,000 orang dewasa mendapati purata terbaik untuk aktiviti berjalan kaki adalah antara 6,000 hingga 8,000 langkah sehari. “Manfaat kesihatan meningkat sehingga kira-kira 7,000 langkah sehari, selepas itu kesannya tidak banyak berubah malah ada yang sekadar mendatar. Masalahnya sekarang, kita ini berjalan atau tidak? Ilmu ada tetapi amal tiada,” katanya menerusi kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin. Beliau menjelaskan, amalan berjalan 7,000 langkah sehari mampu menurunkan risiko pelbagai penyakit serius. Kata beliau, antaranya, risiko kematian awal berkurangan sehingga 49 peratus, penyakit jantung menurun sebanyak 25 peratus, manakala kebarangkalian menghidap kanser juga menurun sebanyak enam peratus. “Selain itu, risiko diabetes jenis 2 berkurangan 14 peratus, dementia menurun 38 peratus, simptom kemurungan berkurangan 22 peratus, manakala risiko untuk jatuh berkurangan sehingga 28 peratus,” ujarnya.  Malah, katanya lagi, amalan tersebut juga berupaya mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung sehingga 47 peratus. Dr. Suhazeli menambah, meskipun jumlah langkah tidak menggambarkan sepenuhnya kualiti atau intensiti senaman seseorang, ia tetap menjadi ukuran mudah untuk memastikan tubuh sentiasa aktif dan tidak statik. “Menurut Pakar Kardiologi Pencegahan di New York, Dr. Sean Heffron, semua jenis aktiviti fizikal memang ada manfaat. Usaha menambah langkah walaupun perlahan-lahan boleh memberi perbezaan besar terhadap kesihatan jangka panjang,” jelas beliau. Beliau turut menekankan bahawa dengan hasil kajian terbaharu itu, individu yang sebelum ini tertekan untuk mencapai 10,000 langkah kini tidak perlu risau kerana 7,000 langkah sudah memadai untuk kekal sihat dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit. “Apa yang penting ialah kita bergerak setiap hari, berjalan jika mampu sebagaimana yang disarankan,” katanya.
22 Sep 25
81
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
PSKT- UniSZA Bina Produk Makanan Sihat
KUALA TERENGGANU, 14 September - Usaha Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam mewujudkan rantaian makanan sihat perlu disokong sebaiknya. Antara yang menjadi tumpuan kini adalah pembangunan pelbagai produk hiliran berasaskan ubi keledek vitato. Ketua Penyelaras Unit Pemasaran Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Zarizal Suhaili menyifatkan, kerjasama yang dibangunkan mampu menawarkan manfaat besar kepada masyarakat. "Menerusi kerjasama PSKT, apa yang kita dapat adalah pendedahan luas bagi setiap kepakaran yang dipindahkan yang mana apa-apa penyelidikan yang kita usahakan dapat dikembangkan kepada komuniti. "Dalam projek ini, mereka wujudkan tapak untuk penyediaan kita punya sistem fertigasi, membolehkan kita laksanakan penanam 1,000 beg ubi vitato dalam keluasan setengah ekar tanah. "Ini prototaip pertama kami dengan pembenihan bermula awal bulan Jun lalu yang mana kita telah tuai sebahagiannya sebanyak 30 kilogram," katanya ketika ditemui dalam program jualan sempena Kejohanan Terengganu Pushbike Cup 2025 di perkarangan PSKT, semalam.  Tambahnya, hasil tuaian sepenuhnya dijangka mampu mencapai sekitar 500 kg. Selain itu, projek tersebut turut dijayakan dengan kerjasama pemain industri iaitu Warisan Kayana Group Sdn Bhd dalam usaha memastikan produk yang dihasilkan mampu bersaing dalam pasaran. "Kini kita terdedah dengan makanan segera, namun untuk imbangi keadaan ini kita cuba wujudkan konsep makanan segera dengan kandungan yang sihat melalui produk dari ubi keledek vitato ini. "Cabarannya besar, namun kita perlu cuba dapatkan pihak industri yang boleh keluarkan snek dengan kandungan sihat sebagaimana produk-produk pembangunan yang dikeluarkan universiti. "Kerjasama ibu bapa, universiti, komuniti dan industri mampu meletakkan keutamaan generasi masa depan kepada pemakanan yang sihat," katanya.  
14 Sep 25
1136
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh ketegasan membanteras vape dengan melaksanakan larangan jualan bermula 1 Ogos lalu, termasuk tindakan sitaan dan kompaun terhadap premis yang berdegil. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Program Khas Gomo Asap dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok dan menghisap vape. "Tujuan program khas Gomo Asap ini adalah untuk kita memberi kesedaran dan juga kempen kepada rakyat Terengganu supaya meninggalkan apa-apa sahaja bahan berasap, seperti rokok dan juga vape. "Kita semua tahu bahawa kedua-dua amalan ini bukan sahaja telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa, malah sangat memudaratkan generasi muda pada masa kini dan juga akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Anuar Abd Rahman. Menurut Wan Sukairi, kerajaan negeri telah menguatkuasakan larangan penjualan, iklan dan penajaan vape di semua premis pihak berkuasa tempatan (PBT). "Kerajaan negeri Terengganu seperti yang sudah sedia maklum, telah pun mula menguatkuasakan larangan jualan di premis-premis PBT, termasuklah pemaparan iklan dan juga penajaan dari syarikat-syarikat vape. "Langkah ini bertujuan menyokong pengharaman dan membanteras penggunaan vape secara total di negeri Terengganu," tegasnya. Beliau berkata, papan tanda larangan baharu juga diedarkan untuk ditempatkan di kawasan awam yang sering dikunjungi orang ramai. "Sebentar tadi juga kita mengedarkan signage baru untuk ditampal di tempat-tempat larangan merokok seperti di pejabat, sekolah, pasar dan di tempat yang dikunjungi pelbagai rakyat termasuk golongan kanak-kanak, premis makanan dan sebagainya. "Kita harap dengan kempen yang diadakan ini boleh memberikan kesedaran kepada rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak menghisap rokok dan juga vape," ujarnya. Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan juga telah dijalankan terhadap premis di Kuala Terengganu dan daerah lain yang masih menjual vape. "Selepas kita menguatkuasakan pengharaman penjualan vape di Terengganu pada 1 Ogos lalu, beberapa operasi telah dilakukan oleh pihak PBT di premis-premis yang masih menjual vape sama ada di Kuala Terengganu mahupun di daerah lain. "Penguatkuasaan itu telahpun berlaku dan kita harap semua mereka yang menjual vape di premis supaya menghentikan segera aktiviti berkenaan atau berdepan tindakan," tambahnya. Wan Sukairi turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tidak akan teragak-agak dikenakan terhadap premis yang ingkar. "Jika kita ada maklumat ada premis yang masih melakukan aktiviti penjualan, kita akan kuatkuasakan undang-undang sama ada melalui laporan media sosial ataupun maklumat yang disalurkan kepada pihak PBT. "Setakat ini sudah ada kedai yang dikenakan tindakan termasuk disita dan dikenakan kompaun," jelasnya. Mengulas lanjut, beliau menegaskan larangan ini memberi fokus untuk mengekang pertambahan pengguna baharu terutama dalam kalangan anak muda. "Sasaran kita adalah untuk pengguna-pengguna vape baru terutamanya. "Ertinya, bila mereka sukar mendapatkan bekalan, lebih mudah untuk mereka meninggalkan vape berbanding golongan yang sudah tegar menghisapnya," ujarnya.
25 Aug 25
171
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
Vaksin Covid-19 Beri Kesan Terhadap Mata Tidak Tepat - Pakar Perubatan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Dakwaan bahawa program vaksinasi COVID-19 telah dihentikan susulan laporan kesan terhadap mata adalah tidak benar, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah. Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal meneruskan program imunisasi COVID-19 kerana manfaat vaksin jauh melebihi risiko kecil yang dikenal pasti dalam kajian. “WHO tidak pun menghentikan program vaksinasi COVID-19 kerana manfaatnya melebihi daripada sedikit risiko. KKM juga tidak memberhentikan program imunisasi atas jawapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas. Mengulas lanjut, Dr. Suhazeli menekankan bahawa kesan sampingan seperti yang dilaporkan dalam kajian terhadap kornea mata adalah sangat rendah dan jarang berlaku, serta pemantauan berterusan sedang dilakukan. “Kesan sampingan yang rendah dan jarang sebegini akan sentiasa dipantau dari masa ke semasa,” katanya. Kenyataan itu dibuat susulan penularan satu artikel berkaitan kajian di Istanbul, Turki yang mendapati perubahan kecil pada struktur kornea selepas menerima vaksin mRNA jenis Pfizer-BioNTech. Kajian itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang kecacatan penglihatan berlaku dan kesan perubahan juga bersifat sementara.
22 Jul 25
105
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa Kali Pertama
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa Kali Pertama
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Buat kali pertama, Terengganu telah terpilih bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia (MAOISCTE) Kali Ke-31, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam bidang kesihatan pergigian negeri. Menteri Besar, Dato' Sri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif ke arah amalan pergigian yang lebih lestari, inklusif dan berteraskan teknologi. Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan usaha dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan pergigian yang adil dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar. "Tema tahun ini, 'Kelestarian Dalam Bidang Ortodontik' sangat bertepatan dengan arus pembangunan kesihatan masa kini yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan klinikal, tetapi juga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial. "Terima kasih kerana memilih Terengganu menjadi tuan rumah bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia Kali Ke-31 buat julung kalinya," katanya. Dalam usaha memperkukuh jaringan profesional dan perkongsian ilmu dalam bidang berkenaan, persidangan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini berjaya menghimpunkan pengamal ortodontik dari lima buah negara termasuk Malaysia. Himpunan delegasi daripada luar serta dalam negara bagi MAOISCTE Kali Ke-31 itu jelas menjadikan persidangan pertama di seluruh pantai timur kali ini lebih signifikan dan berprestij. "Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara, khususnya tetamu utama dari Itali, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan yang turut hadir dalam persidangan berprestij ini. "Selamat datang ke Terengganu. Negeri kaya warisan, indah budayanya," ujarnya menerusi satu hantaran di laman sosial media rasminya, semalam. Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar persidangan ini menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu yang lebih luas, merintis inovasi baharu serta memperkukuh jaringan profesional demi manfaat rakyat dan kemajuan negara.
14 Jul 25
225
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Satu lagi sejarah bakal dilakar apabila TDM Berhad melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), akan membina pusat rawatan kanser swasta pertama di Pantai Timur. Projek bernilai RM70 juta itu bakal didirikan di KMI Kuantan Medical Centre (KMC) dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2027, menjadikan ia antara pusat onkologi swasta paling lengkap di rantau ini. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembinaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan swasta yang lebih inklusif dan pakar. "Pusat Onkologi ini akan dilengkapi fasiliti menyeluruh termasuk rawatan kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear. "Ketika ini, kemoterapi sudah pun bermula di KMC dengan kehadiran pakar onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil.  "Tapi pembangunan pusat khusus ini akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk rawatan radioterapi yang perlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 TDM Berhad yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Tambah beliau, kehadiran pusat ini amat dinanti kerana sebelum ini pesakit kanser dari Pantai Timur terpaksa bergantung kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjutan. "Dengan adanya pusat onkologi ini, pesakit dari Kuantan, Kemaman, Dungun dan kawasan sekitar yang ada perlindungan insurans atau mahukan rawatan swasta kini ada pilihan lebih dekat dan selesa," katanya. Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa satu lagi pusat rawatan kanser bakal dibina di Terengganu. "Kita belum umum secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk bina pusat onkologi di KMI Kuala Terengganu," ujarnya.  
19 Jun 25
917
Hospital Mesra Ibadah Jadi Identiti KMI Healthcare
Hospital Mesra Ibadah Jadi Identiti KMI Healthcare
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Konsep Hospital Mesra Ibadah yang diperkenalkan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) di bawah TDM Berhad kini menjadi pembeza utama dalam landskap penjagaan kesihatan swasta di negara ini, mendekatkan rawatan perubatan dengan nilai spiritual dan ketenangan jiwa. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menegaskan bahawa nilai ini bukan sekadar pelengkap, tetapi menjadi tunjang kepada pendekatan holistik KMI dalam menjaga kesihatan fizikal dan rohani pesakit. "Inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini memberi nilai tambah yang besar dan menjadi identiti tersendiri buat KMI Healthcare di pasaran," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Beliau menjelaskan, setiap hospital KMI menampilkan fasiliti dan pegawai syariah khusus bagi membimbing pesakit dalam soal ibadat, selain menyediakan persekitaran rawatan yang menghormati keperluan spiritual pesakit. "Kami pastikan setiap pesakit yang datang ke hospital KMI, terutamanya yang Muslim, diberi perhatian dari sudut ibadah,  ada yang bertanya waktu solat, cara berwuduk, rukhsah ketika sakit, dan semuanya dijawab oleh pegawai syariah yang terlatih," ujarnya. Tambah beliau, antara elemen eksklusif yang ditawarkan ialah bilik rawatan seratus peratus berkonsep ‘single bedded’, sesuatu yang jarang ditawarkan hospital swasta lain dengan harga kompetitif. "Hospital swasta biasanya ada empat katil sebilik atau berkongsi, tetapi di hospital KMI, semuanya bilik seorang. Ini beri privasi penuh, dan sebenarnya inilah yang ramai pesakit cari," tambahnya. Beliau turut menyatakan bahawa pesakit dari luar kawasan, termasuk dari Dungun, Kemaman dan Kelantan memilih hospital KMI kerana konsep ini memberi rasa lebih dihargai, tenang dan berperikemanusiaan.
18 Jun 25
123