lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Anak Syarikat Terengganu Buka Hospital Baharu di Pulau Pinang
Anak Syarikat Terengganu Buka Hospital Baharu di Pulau Pinang
KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Anak syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad, terus mengukuhkan dominasi dalam sektor penjagaan kesihatan negara apabila bakal membuka sebuah hospital swasta baharu di Bertam, Pulau Pinang dengan pelaburan mencecah RM146 juta. Hospital bertaraf moden itu dikenali sebagai KMI Bertam Medical Centre, lengkap dengan 100 katil dan dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan KMI Healthcare ke wilayah utara tanah air. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata pembukaan hospital baharu itu merupakan strategi pengembangan hijau (greenfield expansion) yang mengutamakan keunikan dan privasi pesakit. "Bila kita buka hospital di sana, kita punyai dua kelebihan utama, konsep mesra ibadah dan bilik pesakit seratus peratus ‘single bedded’. "Orang datang ke hospital swasta kerana mereka ada kemampuan, perlindungan insurans, dan yang paling penting mahukan privasi.  "Kita faham itu dan kita tawarkan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, hari ini. Beliau turut menekankan bahawa pelaburan ini bukan hanya tertumpu pada fizikal bangunan, sebaliknya turut menyasar pemantapan sistem digital dan teknologi perubatan. "Sepanjang tahun, kita telah melabur dalam HIS (Sistem Maklumat Hospital), mempercepat penggunaan EMR (rekod perubatan elektronik), serta menerapkan analitik data untuk meningkatkan ketepatan diagnosis dan pengalaman pesakit," jelasnya. Tambahnya lagi, keputusan untuk terus melabur dalam sektor kesihatan mencerminkan kepercayaan jitu terhadap daya saing industri itu. "Kami melihat sektor penjagaan kesihatan sebagai salah satu teras utama yang sangat berpotensi dan menguntungkan buat syarikat. "Pertumbuhan dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang baik. Justeru, kami putuskan untuk terus memperluas pelaburan dalam sektor ini,” tambahnya. Setakat ini, KMI Healthcare mengurus lima hospital pakar, KMI Kuala Terengganu, KMI Kuantan, KMI Kelana Jaya, KMI Taman Desa dan KMI Tawau, dengan jumlah kapasiti 412 katil.  TDM turut merancang penubuhan hospital di Kelantan, dan KMI Chukai.   
17 Jun 25
6778
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang memasang papan tanda larangan homoseksual dan maksiat di tempat-tempat awam di seluruh negeri ini. Menurut beliau, langkah tersebut merupakan pendekatan pencegahan awal yang wajar dipuji kerana dapat membendung pelbagai bentuk tingkah laku tidak bermoral yang berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. “Tindakan ini bukan soal menyekat hak asasi manusia seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, termasuk beberapa peguam yang mempertikaikannya atas nama ‘kemanusiaan’. "Hakikatnya, pencegahan awal seperti ini adalah juga hak masyarakat secara kolektif untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Dr. Suhazeli menegaskan, maksiat bukan sekadar isu moral tetapi turut berkait rapat dengan kesihatan awam. “Apabila berlakunya gejala sosial dan perbuatan terkutuk seperti zina dan hubungan sejenis, ia boleh membawa kepada penularan penyakit kelamin, HIV dan pelbagai masalah kesihatan lain. Beban ini akhirnya akan ditanggung oleh seluruh masyarakat, bukan individu itu sahaja,” jelasnya. Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk merawat penyakit-penyakit yang berpunca daripada keruntuhan akhlak dan amalan hidup bebas. “Masyarakat mempunyai hak untuk menolak punca kerosakan ini dari awal. Pencegahan lebih murah dan lebih berkesan daripada rawatan,” tegasnya lagi. Sebagai contoh, katanya, terdapat hotel-hotel tertentu yang tidak membenarkan pasangan bukan mahram menginap bersama, satu bentuk inisiatif kecil tetapi memberi impak besar dalam membendung salah laku moral. “Ini bukan soal mengongkong, tetapi soal tanggungjawab sosial dan usaha bersama dalam menjaga kesucian masyarakat,” katanya. Dr. Suhazeli turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat sivil menyokong dasar-dasar mencegah maksiat yang digerakkan kerajaan negeri demi masa depan generasi akan datang. Tegasnya, pihak yang mempertikaikan papan tanda larangan maksiat di Terengganu merupakan mereka yang berfikir mengikut kerangka pemikiran liberal yang menyamaratakan hak individu itu tidak boleh diganggu gugat. "Sedangkan dalam norma negara Malaysia sudah pasti ada satu hak yang lebih penting, iaitu hak masyarakat mencegah sesuatu perkara yang mendatangkan kemudaratan. "Sama ada mudarat itu terhadap masyarakat atau individu itu sendiri. Keburukan dan keroasakan akibat dari masalah norma dan sosial ini yang golongan seperti mereka tidak nampak. "Memanglah kalau ikut acuan barat, semuanya tidak menjadi masalah tetapi kita mempunyai sosio-budaya dan agama yang kebanyakan masalah moral dan sosial ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar," jelas beliau.
14 May 25
175
Terengganu Haram Vape Demi Lindungi Generasi Masa Depan
Terengganu Haram Vape Demi Lindungi Generasi Masa Depan
KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani dan tegas apabila mengumumkan pengharaman penuh terhadap penjualan serta penajaan vape bermula 1 Ogos 2025, sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa kerajaan negeri beriltizam menjaga nyawa, akal dan keturunan rakyat sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid al-Syariah. "Kita wajib mencegah kemudaratan sebelum ia menghancurkan. "Langkah pengharaman ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat, tetapi sebagai rahmat untuk jangka masa panjang," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Beliau menambah bahawa keputusan ini berpandukan prinsip Islam yang menuntut umatnya menghindari kebinasaan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 serta sabda Nabi Muhammad SAW mengenai larangan melakukan kemudaratan. "Mencegah lebih utama daripada mengubati," jelasnya, memetik ayat Al-Quran dan hadis sebagai teras kepada dasar yang digariskan ini. Tambah Khalil, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 30 September 2024, sebanyak 41 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape (EVALI) telah dilaporkan, dengan kos rawatan dianggarkan mencecah RM150,892.11 bagi setiap pesakit. "Tanpa pencegahan tegas, kos rawatan boleh melonjak kepada RM368 juta setahun menjelang 2030," ujar beliau. Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi keprihatinan terhadap laporan peningkatan kes komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru dalam kalangan remaja akibat penggunaan vape secara tidak terkawal. "Apakah kita mahu terus membiarkan racun ini berlegar bebas di tangan anak-anak kita?” soalnya. Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, pendidik dan NGO, untuk bersama-sama mendukung usaha murni ini demi kebaikan ummah dan negeri tercinta. "Marilah kita berganding bahu untuk memastikan masa depan yang lebih sihat dan sejahtera untuk semua," ujarnya.
29 Apr 25
133
KMI Sasar Jadi Hospital Pertama di Malaysia Patuh Syariah Sepenuhnya
KMI Sasar Jadi Hospital Pertama di Malaysia Patuh Syariah Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 3 April - Hospital yang bukan sahaja menawarkan rawatan berkualiti, tetapi juga menepati prinsip syariah sepenuhnya, itulah sasaran utama Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare). Sebagai sebahagian daripada kumpulan TDM Berhad, KMI kini dalam usaha menjadi hospital pertama di Malaysia yang benar-benar patuh syariah dalam semua aspek operasinya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, menegaskan bahawa semua hospital di bawah rangkaian KMI telah mengamalkan prinsip syariah, namun mereka berusaha untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih menyeluruh. "Semua hospital KMI adalah hospital patuh syariah. "Dan matlamat kami adalah untuk menjadi yang pertama di Malaysia yang benar-benar mematuhi prinsip syariah sepenuhnya dalam setiap aspek perkhidmatan kami," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT baru-baru ini.  Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengurus Besar KMIKT, Salina Long. Dalam pada itu menurut Najman, inisiatif hospital patuh syariah ini juga selaras dengan misi TDM untuk menjadi model ‘corporate citizenship’ yang sejati. "Kami percaya bahawa model perniagaan yang berpaksikan prinsip syariah bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan," ujarnya lagi. Sementara itu, KMI dan TDM Berhad sebelum ni telah menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat dengan menyantuni 150 asnaf melalui program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu. Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan turut menikmati hasil kejayaan syarikat, sekaligus memperkukuhkan nilai berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
03 Apr 25
417
Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi
Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi
SERDANG, 16 Mac – Kerajaan Terengganu menyedari bahawa keputusan mengharamkan penggunaan vape mungkin tidak popular dan berisiko menjejaskan sokongan politik, namun ia tetap dilaksanakan atas dasar tanggungjawab demi menjaga kesihatan serta masa depan generasi akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat untuk meraih populariti, sebaliknya berlandaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh. "Kami faham mungkin ada yang tidak bersetuju dan ini bukan keputusan yang disenangi semua pihak. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh hanya memikirkan aspek politik semata-mata. "Kami perlu melihat kepentingan jangka panjang, khususnya dalam melindungi generasi muda yang masih bersekolah daripada bahaya vape yang semakin menular," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Dewan D, MAEPS, Serdang, semalam. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan meskipun ada risiko kehilangan sokongan akibat keputusan tersebut, kerajaan negeri tetap teguh dalam pendirian demi maslahat lebih besar kepada rakyat. "Kami tidak mahu generasi muda menjadi mangsa kepada budaya yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan mereka. Suka atau tidak, ini adalah amanah yang perlu kami laksanakan. "Saya berharap anak muda, terutama mereka yang masih menggunakan vape, memahami bahawa keputusan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kesejahteraan mereka sendiri dalam jangka panjang," ujarnya.  
16 Mar 25
1193
Anak Syarikat Terengganu Bantu Jayakan Wad Kelas Ketiga Percuma
Anak Syarikat Terengganu Bantu Jayakan Wad Kelas Ketiga Percuma
SETIU, 4 Mac - Meskipun bukan secara langsung, anak-anak syarikat kerajaan negeri turut menyumbang kepada kelancaran program Wad Kelas Ketiga Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu semenjak tahun 2019. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sumbangan mereka diperolehi melalui pelbagai program lain yang dilaksanakan. "Secara langsung tidak, tetapi melalui akaun disatukan, sumbangan mereka dikira ada dalam menjayakan program wad kelas ketiga percuma. "Untuk membiayai program itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebahagian kewangan yang ada. "Sumbangan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri memang ada, tetapi disumbangkan melalui pelbagai program lain yang diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam. Hadir sama meninjau pelaksanaan bazar Ramadan ialah timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama ADUN Langkap, Azmi Maarof dan ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid. Wan Sukairi memaklumkan, program wad kelas ketiga percuma telah memberi manfaat kepada seramai 224,000 orang dengan peruntukan lebih RM12 juta semenjak dimulakan pada tahun 2019. "Program ini kita telah sambung sehingga tiga tahun (sehingga 2028) memandangkan keberkesanan yang ada dan sambutan luar biasa ke atas program ini yang memberikan kemudahan kepada rakyat," katanya.  
04 Mar 25
495
Peniaga Kotor Akan Diambil Tindakan
Peniaga Kotor Akan Diambil Tindakan
SETIU, 4 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menasihati peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri itu supaya terus mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu kesihatan dan kebersihan sentiasa terjamin. "Sekiranya didapati peniaga atau penganjur bazar itu melanggar syarat ditetapkan pihak PBT dan majlis daerah, tindakan akan diambil. "Tindakan atau denda memang tidak boleh dielakkan kerana ia sebagai satu pengajaran kepada peniaga atau penganjur supaya mereka menjadikan isu keselamatan makanan sesuatu yang paling utama untuk manfaat pembeli," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam. Tegasnya lagi, tindakan sehingga tarik lesen tidak mustahil dilakukan sekiranya peniaga atau penganjur bazar masih lagi ingkar dalam mematuhi perkara tersebut. "Sekiranya ingkar, kita akan buat termasuk yang itu (tarik lesen). "Sebab itu juga kita berharap kepada komen dan aduan orang ramai jika mereka mendapati makanan yang dibeli tercemar, kotor dan berlaku keracunan makanan maka boleh buat aduan segera di PBT masing-masing. "Setiap bazar Ramadan juga ada pegawai bertugas untuk kita lapor secara langsung bagi memastikan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya. Beliau turut mencadangkan supaya pihak Jabatan Kesihatan negeri Terengganu dan pihak Majlis Daerah supaya sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ini melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan yang ada. Menurutnya, ia sebagai satu langkah pencegahan isu keracunan makanan, penipuan dan keselamatan yang sepatutnya dijaga pengusaha bazar daripada berulang. "Saya (juga) menasihati supaya semua pembeli dan peniaga supaya memberikan keutamaan kepada isu kesihatan dari segi kebersihan, kita juga sangat menggalakkan pembayaran oleh pembeli dengan sistem tanpa tunai untuk memastikan aspek kebersihan berlaku. "Kadang-kadang penjual memegang makanan, kemudian dia pegang pula duit dan di situ kita bimbang berlaku (penyebaran)kuman dan jangkitan, lebih selamat pembayaran tanpa tunai," ujarnya.  
04 Mar 25
172
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
Pakar Perubatan Sokong Hasrat Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Terengganu untuk mengharamkan vape secara total. Katanya, langkah itu sangat tepat dan wajar demi membebaskan generasi hari ini daripada terus terlibat dalam ketagihan vape yang semakin membimbangkan. Menurut beliau, pengharaman vape itu bukan sahaja menyebabkan penjualan, pengiklanan dan sebarang berkaitan vape di seluruh negeri akan terhenti tetapi akan memastikan undang-undang ketat dikuatkuasakan sepenuhnya. "Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh dengan penggunakan vape. "Dalam masa yang sama, kami juga menggesa supaya premis-premis yang melibatkan penjualan rokok diperketatkan lagi oleh Kerajaan Negeri Terengganu. "Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa penjualan rokok, termasuk rokok elektronik dikawal dengan lebih ketat bagi melindungi generasi muda daripada terus rosak akibat vape dan rokok,"ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, pihak beliau yakin dan percaya bahawa usaha tersebut akan dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan vape dan rokok. "Marilah kita semua menyokong usaha kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," ujarnya.
03 Mar 25
321
Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu
Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Kerajaan Terengganu telah memperuntukkan lebih RM12 juta sejak tahun 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma, yang telah memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menyatakan bahawa program ini adalah satu inisiatif penting dalam memastikan akses kesihatan yang lebih baik untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan. "Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, peruntukan lebih RM12 juta telah membolehkan seramai 224,000 pesakit menerima rawatan tanpa membebankan kewangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin. Beliau turut menegaskan bahawa program itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat. "Ia bukan hanya berkaitan angka atau jumlah peruntukan, tetapi bagaimana inisiatif ini telah membantu meringankan beban rakyat dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya. Menurut Wan Sukairi, kejayaan program ini turut didorong oleh usaha kerajaan dalam mendapatkan sumber pembiayaan tambahan. Selain dana kerajaan negeri, program ini turut menerima sokongan sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Kami tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi turut mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memastikan kesinambungan program ini demi manfaat rakyat," tambahnya.
26 Feb 25
243
Terengganu Terus Laksana Wad Kelas Ketiga Percuma Hingga 2028
Terengganu Terus Laksana Wad Kelas Ketiga Percuma Hingga 2028
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Rakyat Terengganu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan program Wad Kelas Ketiga Percuma akan disambung sehingga tahun 2028 walaupun berdepan sekatan royalti. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan ini dibuat selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini. "Alhamdulillah, kerajaan negeri telah meluluskan kertas kerja untuk menyambung kontrak program Wad Kelas Ketiga Percuma bermula tahun 2025 hingga 2028,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini. Beliau menegaskan, sebelum ini pelaksanaan program ini disambung secara tahunan, namun kali ini ia diberikan jaminan selama tiga tahun sekali gus. "Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan program yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat sejak diperkenalkan pada tahun 2020. "Kita melihat program ini benar-benar diperlukan rakyat. "Ia memberikan impak positif kepada masyarakat, justeru kerajaan negeri berusaha mencari sumber dana bagi membiayai program ini," tambahnya. Menurut Wan Sukairi, dana bagi menampung kos program ini bukan sahaja datang daripada peruntukan kerajaan negeri, malah turut disokong oleh sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya. "Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4 juta setahun bagi memastikan kelangsungan program ini.  "Dengan peruntukan tersebut, ribuan pesakit dari golongan kurang berkemampuan bakal terus menerima rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran. "Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat kesihatan secara percuma serta berusaha mengukuhkan sumber kewangan agar program ini dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan," ujarnya.
25 Feb 25
919