lightning-solid
Berita :
7,000 Langkah Sehari Sudah Memadai Untuk kekal Sihat - Kajian
7,000 Langkah Sehari Sudah Memadai Untuk kekal Sihat - Kajian
Adli Mohamad
22 Sep 25
81

KUALA TERENGGANU, 22 September – Jika sebelum ini masyarakat sering disarankan berjalan 10,000 langkah sehari, kajian terbaharu mendapati hanya 7,000 langkah sudah mencukupi untuk memperoleh manfaat kesihatan yang ketara.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, kajian berskala besar yang diketuai Dr. Katherine Owen dari University of Sydney mendapati 7,000 langkah lebih realistik dan mudah dicapai kebanyakan orang, selain manfaat yang diperoleh hampir sama dengan mereka yang berjalan sehingga 10,000 langkah sehari.

Menurutnya, kajian itu yang menganalisis 57 penyelidikan terdahulu melibatkan lebih 160,000 orang dewasa mendapati purata terbaik untuk aktiviti berjalan kaki adalah antara 6,000 hingga 8,000 langkah sehari.

“Manfaat kesihatan meningkat sehingga kira-kira 7,000 langkah sehari, selepas itu kesannya tidak banyak berubah malah ada yang sekadar mendatar. Masalahnya sekarang, kita ini berjalan atau tidak? Ilmu ada tetapi amal tiada,” katanya menerusi kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin.

Beliau menjelaskan, amalan berjalan 7,000 langkah sehari mampu menurunkan risiko pelbagai penyakit serius.

Kata beliau, antaranya, risiko kematian awal berkurangan sehingga 49 peratus, penyakit jantung menurun sebanyak 25 peratus, manakala kebarangkalian menghidap kanser juga menurun sebanyak enam peratus.

“Selain itu, risiko diabetes jenis 2 berkurangan 14 peratus, dementia menurun 38 peratus, simptom kemurungan berkurangan 22 peratus, manakala risiko untuk jatuh berkurangan sehingga 28 peratus,” ujarnya. 

Malah, katanya lagi, amalan tersebut juga berupaya mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung sehingga 47 peratus.

Dr. Suhazeli menambah, meskipun jumlah langkah tidak menggambarkan sepenuhnya kualiti atau intensiti senaman seseorang, ia tetap menjadi ukuran mudah untuk memastikan tubuh sentiasa aktif dan tidak statik.

“Menurut Pakar Kardiologi Pencegahan di New York, Dr. Sean Heffron, semua jenis aktiviti fizikal memang ada manfaat. Usaha menambah langkah walaupun perlahan-lahan boleh memberi perbezaan besar terhadap kesihatan jangka panjang,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa dengan hasil kajian terbaharu itu, individu yang sebelum ini tertekan untuk mencapai 10,000 langkah kini tidak perlu risau kerana 7,000 langkah sudah memadai untuk kekal sihat dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

“Apa yang penting ialah kita bergerak setiap hari, berjalan jika mampu sebagaimana yang disarankan,” katanya.


Artikel Berkaitan