lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Derma Darah Atasi Kekurangan Bekalan Di Terengganu
Derma Darah Atasi Kekurangan Bekalan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia hari ini mengadakan kempen dan program derma darah bagi membantu kekurangan bekalan di Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir melawat program berkenaan memaklumkan, kekurangan bekalan darah yang berlaku disebabkan penurunan trend menderma dalam kalangan orang ramai. "Memang saya difahamkan bahawa kita kekurangan darah berbanding sebelum ini kerana kekerapan orang ramai ke hospital untuk menderma semakin berkurang akibat Covid-19 ini sedangkan penggunaan darah masih berjalan. "Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh berbincang untuk mengadakan kempen-kempen seperti ini di mana pihak Jabatan Amal Malaysia dan UBSNT juga telah mengadakan kempen untuk menarik lebih 5,000 penderma. "Tentunya dalam kalangan rakyat ada yang masih sihat dan boleh membantu, inilah masanya untuk memberi sumbangan kesihatan di negeri ini," katanya selepas meninjau perjalanan program terbabit hari ini. Berkenaan Covid-19, Dr. Samsuri percaya usaha sedang dibuat dengan serius pada peringkat kementerian melalui pelaksanaan pelbagai langkah oleh kerajaan. "Pada peringkat negeri dan negara, kita akan terus mencari jalan bagaimana untuk mengawal penularan ini. Ia memang tidak mudah dicapai, tetapi kita komited bahawa selepas dua minggu ini akan ada penurunan," tambahnya. Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Muhammad Muhaimin Kambali menyatakan, status bekalan darah di Terengganu masih mencukupi.   "Bekalan darah kita setakat ini mencukupi untuk tempoh tujuh hari berikutan penggunaan juga menurun kerana kurangnya kes kemalangan jalan raya. "Namun, dengan trend pendermaan darah yang turut menurun secara drastik, kita bimbang kalau berterusan bekalan darah kita akan berkurang. Jadi, kita ambil tindakan drastik untuk mengumpulkannya," katanya. Menurutnya, penggunaan bekalan darah di negeri itu dalam tempoh seminggu adalah sekitar 350 pain darah. "Tetapi, kita hanya dapat kumpul sebanyak 150 pain darah minggu lalu, kurang 200 pain bagi penggunaan sepatutnya. "Jadi saya menyeru mereka yang sihat dan berkelayakan untuk menderma darah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hari ini, anggota Jabatan Amal dan orang ramai hadir secara berperingkat untuk menderma darah. "Pusat Darah Negara (PDN) telah diberi pelepasan untuk aktiviti pendermaan darah kerana ia penting untuk memastikan bekalan darah mencukupi bagi pesakit yang memerlukan," katanya. Beliau turut menjelaskan, pihak HSNZ membuat inisiatif dengan mengadakan program pendermaan di luar berikutan stigma tentang Covid-19 yang membimbangkan orang ramai untuk hadir ke hospital.    
23 Jan 21
366
Pusat Kuarantin, Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 Diaktifkan
Pusat Kuarantin, Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu dibuat susulan peningkatan ketara kes positif yang melibatkan individu tidak bergejala dan bergejala ringan. "PKRC ini yang mula dibuka semalam dan telah menempatkan seramai enam orang pesakit COVID-19 berisiko rendah yang dikuarantinkan selama 10 hari bagi mengelakkan daripada penularan bertambah. “Pembukaan dibuat secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 150 buah katil. Kapasiti bagi permulaan ini adalah sebanyak 58 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat. “Pengoperasian PKRC ini diletakkan di bawah Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan bantuan tenaga kerja dari hospital-hospital di negeri Terengganu, jadi elakkan daripada menjadi penyebab tambahnya beban kepada ‘frontliners’ yang banyak berkorban untuk kita,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan di sini. Hadir sekali, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. Menurut Dr Alias, sehingga kini sebanyak enam 'Home Surveilance Centre (HSC)' atau Pusat Kuarantin dibuka. “Empat HSC berkenaan adalah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Marang, Institut Pendidikan Guru (IPG), Batu Rakit, Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang, Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILIM), Besut, Pusat Latihan dan Pembungan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, Wakaf Tapai dan Darul Iman Training Center (DITC), Kemaman. “Sehingga 9 Januari 2021, seramai iaitu 482 Person Under Surveillance (PUS) atau belum positif lagi, masih di kuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian. “Individu yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian kerana mempunyai risiko jangkitan COVID-19 dan dikuaratin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan bagi memastikan selamat sebelum discaj,” ujarnya.  
10 Jan 21
2437
Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri
Lebih 70 Peratus Kes Positif COVID-19 Berkait Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Sebanyak 73.6 peratus kes positif COVID-19 di Terengganu sejak 7 Disember adalah melibatkan individu rentas negeri dari kawasan berisiko. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya mendapati kes melibatkan golongan itu meningkat selepas saringan ke atas individu yang memasuki Terengganu diperluas. “Ramai yang didapati positif hasil rentas negeri, apabila mereka pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga, perkara ini berpotensi akan menyebarkan lagi wabak tersebut secara tidak sedar. “Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko COVID-19. “Saya juga ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) ILKKM, Terengganu di Kolej Kejurawatan, Kuala Terengganu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak. Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi menyatakan, keseluruhan kes positif COVID-19 di Terengganu sejak awal penularan telah mencecah 455 kes sehingga 9 Januari 2021. “112 kes sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya lagi. Tambah beliau, sehingga kini, tiada lagi rekod kes positif wabak melibatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada yang disahkan, disyaki atau bergejala.
10 Jan 21
808
Delegasi MOSTI Mengadap Sultan Terengganu
Delegasi MOSTI Mengadap Sultan Terengganu
Oleh : Safiq Sapai KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyembah maklum mengenai perolehan vaksin COVID-19, kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim berkata, pertemuan mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu adalah bagi menyembah maklum perkembangan tentang perolehan vaksin COVID-19 yang dibeli oleh Malaysia serta perkembangan semasa pandemik di negara ini dan seluruh dunia. “Saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin  untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum berkaitan perolehan vaksin COVID 19 di Malaysia. “Saya juga menyembah maklum akan usaha kerajaan melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di dalam membangunkan Pelan Vaksinasi Negara, perolehan vaksin, pembangunan kepakaran dan kemudahan pengeluaran vaksin tempatan,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas usai pertemuan yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, di sini, Khamis lalu. Hadir sama dalam delegasi itu, Ketua Setiausah MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan STI, Dato’ Parang Abai@Thomas. Sehubungan itu, Amzad turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu,  Dato` Pengelola Bijaya Diraja dan Setiausaha Sulit Kanan Tuanku Sultan Terengganu kerana telah menyelaras majlis pertemuan itu.
09 Jan 21
1054
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dilaporkan masih terkawal dengan hanya dua kluster aktif berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga 29 November. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster aktif tersebut iaitu kluster Makekar (mukim Rasau) dan kluster Kerengge (Marang) daripada keseluruhan sembilan kluster yang telah direkodkan sehingga kelmarin di Terengganu. “Sebahagian besar sudah tamat terutama di mukim Rasau dimana telah kembali ke zon hijau dan tiada lagi zon merah dan jingga di dalam negeri. “Manakala Zon kuning di daerah Marang terutamanya di Merchang, Rusila dan Pulau Kerengge (kluster Kerengge) dengan 8 kes aktif berada dalam wad ditambah dengan satu lagi kes baharu pada 29 November menjadikan keseluruhan 237 kes positif COVID-19 dengan satu kematian. “Sejak 12 Mac lalu, gelombang pertama di Terengganu merekodkan 114 kes akibat penularan daripada kluster Sri Petaling manakala gelombang kedua melibatkan 123 kes tempias daripada negeri berisiko seperti Sabah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi semalam. Mengulas mengenai musibah banjir dalam norma baharu, beliau berkata, tiada kes dilaporkan daripada 40 lebih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sehingga akhir bulan november. “Ini adalah hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan agensi dan jabatan negeri dari peringkat awal bagi membendung penularan kerana risiko kesempitan dan kesesakan di PPS perlu diatasi.” ulasnya. Apabila ditanya mengenai kes denggi sehingga akhir bulan November, Dr Nor Azimi berkata, terdapat penurunan sebanyak 27.7 peratus berbanding kes pada tahun lepas. “379 kes direkodkan sehingga 21 November, penurunan ini hasil daripada kawalan kendiri seperti gotong-royong oleh masyarakat dan pelbagai jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak berkuasa tempatan. “Harapan supaya usaha dan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan pembasmian takungan air terutamanya musim hujan renyai ini terus dipergiatkan demi komuniti sejagat,” katanya lagi.
01 Dec 20
477
200 Set PPE Diperlukan Setiap Hari
200 Set PPE Diperlukan Setiap Hari
DUNGUN, 10 November - Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Rasau menyebabkan 200 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) diperlukan setiap hari. Mengulas lanjut, Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Dr. Fathul Hakim Hamzah berkata, petugas barisan hadapan yang terlibat di dalam aktiviti kawalan dan pencegahan bukan sahaja terdiri daripada kakitangan Pejabat Kesihatan Dungun tetapi juga daripada luar daerah.  "Mereka ada 'team' yang ditempatkan di tempat saringan dan ada 'team' dari rumah ke rumah untuk memantau adakah mereka yang dikuarantin mematuhi SOP yang ditetapkan.  "Sumbangan daripada Jabatan Perpaduan ini tepat pada masanya, jadi kita boleh fokus kepada aktiviti kita dan tidak perlu risau kekurangan PPE," ujarnya. Dr. Fathul Hakim berkata demikian selepas Majlis Penyerahan PPE Siri 2 Tahun 2020 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Che Lijah dan KRT Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir di Pejabat Kesihatan Daerah Dungun di sini hari ini. Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Burhanuddin Daud dan Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad. Sehubungan itu, Burhanuddin menjelaskan, sebenarnya usaha pihak Kementerian Perpaduan mengadakan projek PPE ini, adalah untuk membantu petugas barisan hadapan yang berhadapan dengan COVID-19.  "Kementerian sememangnya banyak menerima permintaan Rukun Tetangga seluruh negara untuk membuat PPE, tetapi yang diluluskan hanya sebilangan kecil sahaja. "Untuk Terengganu buat masa ini ada dua fasa, fasa pertama  sebanyak 3000 unit iaitu tiga unit sepasang telah dihasilkan oleh KRT Kampung Besol dan Taman Madani, manakala fasa dua, KRT Che Lijah dan RAKR Gong Pasir telah berjaya menyiapkan 279 unit, 151 baju dan 128 tudung," katanya.  Alias pula memuji usaha tersebut  dimana masyarakat berganding bahu dan bersama memainkan peranan untuk berhadapan suasana negara yang diancam pandemik COVID-19.  "Saya juga berterima kasih kepada pelbagai pihak yang tidak duduk diam dan  berusaha menyediakan keperluan-keperluan 'frontliners', walaupun dilihat COVID-19 ini tiada berkesudahan tetapi sebagai hamba Allah kita kenalah sentiasa berdoa, bermunajat dan bersolat hajat agar pandemik ini berakhir atau vaksin mencegah COVID-19 berjaya dihasilkan," katanya. 
10 Nov 20
503
Terengganu Dan Norma Baru
Terengganu Dan Norma Baru
HULU TERENGGANU, 1 November - Masyarakat di Terengganu mulai terbiasa dengan pengamalan norma baharu yang diarah oleh kerajaan dalam setiap aktiviti harian. Dalam tinjauan baru-baru ini di lokasi Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman, Ajil, boleh dikatakan semua pengunjung mengenakan pelitup muka sebagai usaha mengurangkan keberjangkitan virus COVID-19. Pengunjung Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman. Seorang pengunjung yang ditemui, Wan Fauziah Wan Ali 48, berkata, ianya perlu dilakukan walaupun pada mulanya agak merimaskan bila ditanya tentang norma baharu ini. "Ianya perlu dilakukan dan diamalkan walaupun sedikit merimaskan demi mengurangkan jangkitan virus ini. "Kalau kita tengok pada pagi ini semua orang memakai pelitup muka, ini bermakna kesedaran oleh masyarakat sudah di tahap terbaik. "Tapi yang masih meresahkan saya adalah jarak selamat iaitu jarak satu meter di antara setiap pengunjung masih belum dapat diamalkan," katanya. Wan Fauziah mengharapkan agar perkara ini dapat diberi sedikit perhatian oleh pihak berkuasa dalam memerangi virus ini dan juga berharap agar pandemik itu segera berakhir. "Kalau kita sama-sama menjaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan insya-Allah ianya dapat diatasi dan perbanyakkan doa semoga ianya cepat berakhir, kita jaga kita," ujarnya.
31 Oct 20
1516
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Foto : Angah Hanis  KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Kaum wanita perlu tahu bahawa kanser payudara yang dikesan pada tahap awal, mempunyai sinar harapan yang cerah untuk pulih. Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (KHAIRUNNISA’), Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Menurut beliau lagi, kanser nombor satu tertinggi ini menyumbang kepada 17.7 peratus daripada keseluruhan kanser di Malaysia dan 32.1 peratus daripada keseluruhan kanser yang dialami oleh wanita. Namun katanya, 43 peratus daripada keseluruhan kanser payudara di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat. “Kanser payudara menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, terdapat 7598 kes baharu kanser payudara di Malaysia dan 40 peratus dikesan pada tahap yang teruk iaitu tiga dan empat. “Saya ingin tegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara dan dengan rawatan awal, peluang pulih (5 year survival rate) adalah lebih dari 90 peratus jika dikesan di tahap satu dan dua, malah menghampiri 100 peratus bagi tahap satu. “Pengesanan awal ialah melalui ujian mammogram dan ini adalah cara yang paling efisien untuk mengesan kanser bagi wanita berumur lebih dari 40 tahun. Wanita juga digalakkan melakukan pemeriksaan sendiri payudara serta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan terlatih,"ujarnya. Dr Farhaana berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Beliau menambah, bahawa tanda paling kerap bagi kanser payudara ialah benjolan manakala tanda-tanda lain yang boleh dikesan ialah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting payudara atau perubahan warna dan rupa kulit payudara. Namun begitu, Dr Farhaana mengingatkan bahawa kadangkala tidak ada sebarang tanda sehinggalah kanser itu telah merebak. Justeru itu katanya, mammogram adalah wajib dilakukan walaupun tiada simptom, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi. “Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang disebutkan, perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, hal ini demikian kerana, lapan daripada 10 benjolan yang dikesan adalah bukan kanser. “Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan,” jelasnya.
24 Oct 20
614