lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Cukai Zalim Kerajaan Rakyat Miskin Jadi Mangsa
Cukai Zalim Kerajaan Rakyat Miskin Jadi Mangsa
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegur kerajaan kerana mengenakan pelbagai jenis cukai yang membebankan rakyat, termasuk golongan miskin yang sepatutnya dilindungi. Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan pendekatan kerajaan yang terlalu bergantung kepada cukai sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. “Dalam dunia hari ini, yang gilakan kewangan, walaupun banyak, cukai dia kenakan. Kadang-kadang cukai yang zalim. Orang yang tak patut kena cukai, kena cukai. Rakyat miskin pun terkesan,” tegasnya. Menurut beliau, cukai yang dikenakan tidak berpaksikan prinsip keadilan dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mencari jalan meningkatkan hasil negara melalui aktiviti ekonomi sebenar dan bukan menekan rakyat dengan cukai tanpa pertimbangan wajar. Beliau menyeru agar kerajaan menilai semula dasar percukaian agar lebih adil, bertanggungjawab dan tidak menzalimi rakyat yang sedia terbeban.
15 Oct 25
80
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
Hari Bertemu Pelanggan Perkukuh Komunikasi Dua Hala
DUNGUN, 15 Oktober – Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura terus menjadi platform utama dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, sesi bersemuka seperti ini memberi ruang kepada rakyat untuk meluahkan masalah dan pandangan mereka secara lebih terbuka serta mudah difahami. “Kadang tidak semua masalah boleh diselesaikan atas kertas. Bila bersemuka, rakyat lebih senang meluahkan dan kita pun lebih mudah membantu atau memberi pandangan yang sesuai. Ada antara mereka sebenarnya hanya perlukan bimbingan atau panduan untuk menyelesaikan sesuatu urusan,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program berkenaan.   Menurut beliau, antara isu yang sering dikemukakan oleh penduduk ialah berhubung permohonan bantuan kebajikan, aduan kerosakan jalan, peluang pekerjaan, serta urusan pentadbiran berkaitan kesihatan, perumahan dan perniagaan kecil. Katanya, tidak kurang juga peniaga kecil yang berkongsi cabaran mereka seperti kekurangan tapak niaga, kos operasi yang meningkat serta keperluan sokongan untuk memperluaskan perniagaan. “Isu peniaga kecil ini juga penting kerana mereka sebahagian daripada nadi ekonomi tempatan. Bila mereka terjejas, tempiasnya dirasai oleh ramai,” jelas beliau. Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga seorang doktor berpengalaman dalam bidang kesihatan awam berkata, pendekatan bersemuka turut membantu beliau memahami dengan lebih dekat keadaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat. “Kadang ada yang datang bukan semata nak adu masalah fizikal, tapi kerana tertekan dengan keadaan hidup. Di sinilah pentingnya kita hadir sebagai wakil rakyat, bukan sekadar mendengar, tapi cuba menenangkan dan mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya. Program Hari Bertemu Pelanggan itu akan diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada komitmen Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk memastikan keperluan dan suara rakyat terus didengar serta diberi perhatian sewajarnya.
15 Oct 25
19
Jejak Pusara Pahlawan, Veteren Renjer Dalam Kenangan
Jejak Pusara Pahlawan, Veteren Renjer Dalam Kenangan
KUALA BESUT, 21 Sept – Program Jejak Pusara Pahlawan telah diadakan di Tanah Perkuburan Beris Baru, Kuala Besut bagi menziarahi pusara Allahyarham Wan Hassan Idris, seorang Veteran Renjer yang gugur syahid dalam serangan hendap pengganas komunis pada 26 Jun 1972 di Lundu, Sarawak. Majlis turut disertakan dengan bacaan tahlil ringkas sebagai tanda penghormatan serta doa agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Hadir sama Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Dato’ Sharuddin, dan Yang Dipertua PVATM Negeri Terengganu, Shaikh Muhamad Shaikh Keramat, bersama-sama mengenang jasa dan pengorbanan besar Allahyarham dalam mempertahankan tanah air. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Mohd Husaimi Hussin berkata, pengorbanan yang dicatatkan oleh Allahyarham Wan Hassan Idris perlu dijadikan teladan oleh generasi hari ini sebagai bukti keberanian dan kesetiaan seorang pejuang tanah air. “Allahyarham telah membuktikan bahawa keamanan dan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini dibayar dengan darah, keringat dan nyawa pejuang terdahulu. Kita sebagai generasi pewaris wajib menghargai jasa besar ini dengan menjaga perpaduan serta mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara akan terus diperkasakan agar semangat patriotisme sentiasa hidup dalam kalangan masyarakat. “Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada, pejuang agama, bangsa dan negara, dan semoga pengorbanannya menjadi sumber kekuatan kepada kita untuk terus berbakti kepada tanah air tercinta,” jelasnya.
21 Sep 25
59
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
HULU TERENGGANU, 14 September – Dalam kepayahan menempuh banjir saban tahun dan hidup sebagai insan kelainan upaya, seorang bapa di Kampung Lebak tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih menyertai Program Walimatul Urus Perdana 2025 anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Bapa pengantin, Sufian Ismail, mengakui perjalanan hidupnya penuh getir sebelum pulang ke kampung halaman mencari rezeki secara sederhana.  "Saya pernah berkhidmat di Media Prima Berhad di Kuala Lumpur sebagai pembantu komunikasi, namun akhirnya saya pulang ke Kuala Berang untuk mencari rezeki dengan menjual aiskrim. "Kali ini anak saya yang diberi peluang menyertai Program Walimatul Urus Perdana. Saya terlalu terharu, dan hanya mampu ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta YPKT kerana memilih anak saya," ujarnya. Dalam luahan hatinya, beliau turut menceritakan cabaran yang sering membelenggu keluarganya di Kampung Lebak yang sudah diwartakan sebagai kawasan banjir.  "Setiap tahun kami diuji dengan bencana ini, sehinggakan Kampung Lebak digazetkan sebagai kawasan banjir, dan saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata. "Saya adalah pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM, dengan menerima hanya RM450 sebulan, itulah yang saya gunakan untuk menyara keluarga disamping rezeki tambahan sebagai penjual aiskrim," jelasnya. Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.  "Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari Kuala Lumpur, namun diberi penghormatan menyertai program ini bersama pasangan. Saya benar-benar terhutang budi kepada pihak penganjur.  "Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menganjurkan program ini dengan begitu baik, malah memilih saya dan isteri untuk diraikan bersama pasangan lain," tambahnya. Program Walimatul Urus Perdana 2025 menyaksikan Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu.” Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.  
14 Sep 25
134
Konvoi Merdeka Santuni 80 Parajurit Dan Veteran ATM
Konvoi Merdeka Santuni 80 Parajurit Dan Veteran ATM
BESUT, 1 Sept – Konvoi Merdeka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut berlangsung meriah 31 Ogos,semalam  apabila seramai 80 orang para perajurit dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka mempertahankan kedaulatan tanah air. Konvoi berkenaan bermula seawal pagi dan singgah di empat lokasi membabitkan Masjid Pasir Akar, Masjid Bukit Payong, Masjid Keruak serta Masjid Gong Duek. Setiap hentian menjadi ruang untuk mengeratkan ukhuwah di antara masyarakat dengan para perajurit dan veteran yang hadir. Dalam program itu, mereka menerima bakul makanan dan wang saguhati sebagai tanda ingatan serta penghormatan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat.  Turut hadir ialah wakil JPKK serta ARC Besut yang bersama-sama memeriahkan konvoi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata jasa dan pengorbanan para perajurit dan veteran ATM adalah lambang keberanian serta semangat cintakan negara yang wajar dijadikan teladan oleh generasi hari ini. “Semoga usaha kecil ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, memperkukuhkan perpaduan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan para perajurit dan veteran ATM serta berusaha memastikan sumbangan mereka terus dihargai. Program ini diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan 2025, sekali gus menjadi wadah untuk mengingatkan masyarakat tentang pentingnya menyanjung jasa perajurit tanah air yang telah mengorbankan tenaga dan nyawa demi keamanan negara.  
01 Sep 25
131
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Seramai 400 peserta e-Kasih di seluruh Terengganu menerima sumbangan tunai RM250 seorang hasil keuntungan daripada sewaan premis veterinar dan projek penternakan yang diusahakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan hasil usaha penternakan yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat dinikmati semula oleh rakyat. “Dana ini datang daripada hasil sewaan premis veterinar seperti reban ayam dan beberapa projek penternakan lain. “Apabila ada pulangan, kita agihkan semula agar semua dapat merasai manfaatnya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini. Dr. Azman (Kiri) dan Maliaman (Tengah) Beliau turut memaklumkan, keuntungan bertambah selepas kerajaan negeri berjaya mengoperasikan semula beberapa reban ayam yang sebelum ini terbiar, termasuk Reban Baruh Masin di Besut, Reban Bukit Lawang di Setiu, Reban Bukit Nenasi di Kuala Nerus serta Reban Telaga Papan di Setiu. “Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri, malah membantu keluarga berpendapatan rendah untuk terus bertahan dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.  
27 Aug 25
97
Isu Gelandangan: Kerajaan Negeri Ambil Tindakan
Isu Gelandangan: Kerajaan Negeri Ambil Tindakan
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos – Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan penuh berhemah dalam menangani isu gelandangan yang tular di pusat bandar Kuala Terengganu, dengan menekankan penyelesaian berbentuk kebajikan, bukan pengusiran. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa kes yang berlaku adalah terpencil dan tidak menggambarkan wajah sebenar bandar raya pesisir yang berteraskan nilai budaya. "Kes ini hanyalah kes terpencil, jika ianya wujud di sini, kita akan ambil dia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Kita bukan bandar metropolitan, kita bandar budaya, kita bandaraya pesisir air, tak sesuai dengan pihak gelandangan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kemerdekaan ke-48 di sini semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Menurut beliau, kerajaan negeri prihatin terhadap nasib golongan ini, khususnya jika melibatkan warga emas yang tidak sepatutnya terabai oleh keluarga sendiri. "Kita akan bincang dengan keluarga dia, sebab saya lihat gambar itu orang tua dan berusia, bukan orang muda. "Kita tak tahu apa sebabnya dia jadi gelandangan, sama ada mungkin anak-anak dia tak ambil hal, tak ambil cakna atau sebagainya," tambahnya. Tambah beliau, usaha akan dibuat untuk mendidik dan menyedarkan waris melalui sesi pemahaman, agar tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak diabaikan. "Kita akan panggil untuk sesi pemahaman kepada anak-anak dia. "Gelandangan ini sangat tidak sesuai di sini, tapi walau bagaimanapun kita ambil berat," ujarnya.
04 Aug 25
181
Exco Kedah Tersentuh Lihat Anak Taman Sinar Harapan
Exco Kedah Tersentuh Lihat Anak Taman Sinar Harapan
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - "Yang pentingnya agama," itu luahan tulus Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad. Beliau berkata demikian ketika menzahirkan rasa terkesan dengan kunjungan beliau ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT), Kampung Bukit Besar, kelmarin. "Taman Sinar Harapan ini adalah merupakan salah satu daripada institusi kerajaan untuk kita bagi perlindungan kepada kanak-kanak di sini. Halimaton Shaadiah. "Alhamdulillah, hari ini kita 'touching' (tersentuh hati) sedikit, dengan kehadiran anak-anak (penghuni TSHKT) kita yang mana kita tahu bermacam-macam masalah yang mereka hadapi.  "Jadi Kak Ton berharaplah, semoga anak-anak yang ditempatkan di sini mempunyai jati diri, seterusnya mereka diasuh dengan didikan agama. Yang pentingnya agamalah.  "Insya-Allah, segala cabaran yang akan mereka hadapi itu kita akan dapat kurangkan," katanya. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Terengganu atas komitmen dalam menyantuni penghuni institusi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu. "Terima kasih juga kepada YB Exco kerajaan Terengganu yang banyak membantu Pusat Sinar Harapan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).  Lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, tersebut merupakan sebahagian daripada program tinjauan delegasi Kerajaan negeri Kedah. Jelasnya, ia merupakan satu langkah bagi memperkukuh dasar kebajikan dan wanita, termasuk dalam aspek penjagaan dan pemulihan golongan kanak-kanak istimewa. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Dr. Nurhayati Mohamad, TSHKT menempatkan 67 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berumur antara 0 hingga 14 tahun, khususnya kategori masalah pembelajaran. Terdahulu, delegasi Kedah turut mengadakan lawatan ke Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAUT) pagi tadi, yang menurut Halimaton memberi kesedaran mendalam mengenai pentingnya intervensi awal dalam mengenal pasti anak-anak istimewa di peringkat awal. "Kita rasa banyak kepentingan untuk kita santuni mereka-mereka yang kelainan upaya ini. "Perlu ada lagi usaha untuk kita menghebahkan kepada perbadanan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang perseorangan, untuk tampil ke hadapan.  "Untuk tampil ke hadapan ini bermaksud kita kena tunjuk bahawa autisme ni sebenarnya, satu kelainan upaya yang mana kita kena mendekati mereka daripada awal lagi," katanya. Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam juga mengucapkan rasa syukur apabila semakin ramai penjaga tampil untuk membuat pemeriksaan awal bagi autisme. Menurutnya, banyak manfaat boleh diperoleh oleh penjaga dan anak-anak OKU sekiranya mereka berdaftar dengan JKM dan memiliki kad OKU, termasuk kemudahan rawatan dan akses kepada sokongan kerajaan.
30 Jul 25
868
Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu Perlu Tambahan Kakitangan
Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu Perlu Tambahan Kakitangan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kekurangan kakitangan penjagaan dan fasiliti asas di institusi kebajikan Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT) di bawah Kerajaan Persekutuan merupakan antara isu utama dihadapi oleh institusi tersebut. Hal tersebut telah dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad, semasa lawatannya ke TSHKT, semalam. Beliau menyifatkan situasi semasa di pusat jagaan itu memerlukan perhatian segera kerajaan Persekutuan, khususnya dari sudut penambahan perjawatan dan penyelenggaraan kemudahan sedia ada. Halimaton.  "Bila kita buat perjumpaan dengan pengetua (Sinar Harapan) dia tadi, beliau mengatakan bahawa satu pegawai ataupun satu kakitangan yang nisbahnya seorang pegawai untuk 20 orang kanak-kanak, amat sukar untuk mereka membuat pemantauan kepada kanak-kanak yang tinggal di sini. "Kami berharap kerajaan Persekutuan akan adakan bajet untuk menempatkan kakitangan di sini supaya anak-anak ini terbela," tegasnya. Halimaton turut meninjau keadaan sekitar pusat termasuk kawasan permainan kanak-kanak yang dilihat tidak lagi selamat dan memerlukan pembaikan segera. "Dari lawatan kami tadi Kita ada dapat kesan, contohnya, di taman permainan kanak-kanak tersebut perlu diperbaiki.  "Bila kita tanya macam mana nak dapatkan peruntukan, ini ada (dapat) sumbangan dari pihak-pihak NGO dan perseorangan. Jadi kita harap kerajaan Persekutuan mengambil perhatian dalam bahagian ini juga. Halimaton yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Kedah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputih, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media. Perkara itu juga disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, yang turut hadir dalam lawatan itu. Tambah beliau, kanak-kanak berumur antara 0 hingga 14 tahun yang ditempatkan di TSHKT bukan sahaja perlu diberi perlindungan, malah perlu dirangsang melalui aktiviti riadah dan pembangunan kendiri yang konsisten agar mereka mampu belajar dan berdikari. TSHKT, yang ditubuhkan sejak 1984, kini menempatkan seramai 67 penghuni OKU kategori masalah pembelajaran, dan merupakan salah satu daripada tujuh institusi Taman Sinar Harapan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara. Sebelum ini, institusi tersebut turut diklasifikasikan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) serta Tempat Perlindungan Sementara mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, menjadikannya pusat penting dalam jaringan keselamatan sosial negara.
29 Jul 25
1662
Ibu Tunggal Terima Rumah Baharu
Ibu Tunggal Terima Rumah Baharu
DUNGUN, 17 Julai – Harapan ibu tunggal kepada lima orang anak untuk mendapatkan tempat berteduh yang selesa, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran tahun lalu, akhirnya tertunai apabila beliau menerima rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hasil tajaan Tabung Darul Iman (TDI). Midah Talib, yang menetap di Kampung Jerangau Sungai, menerima kunci rumah baharunya dalam satu majlis ringkas penyerahan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, semalam. Menurut Ghazali, penyerahan rumah melalui tajaan bernilai RM70,000 itu merupakan salah satu usaha memperkasakan agenda kebajikan rakyat, terutamanya golongan rentan seperti ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah. “Alhamdulillah, kita bersyukur kerana hari ini Puan Midah dan anak-anaknya kembali memiliki tempat berteduh yang lebih selesa dan selamat. "Ini bukan sekadar rumah, tetapi simbol harapan dan semangat baru buat mereka sekeluarga. "Terima kasih kepada Tabung Darul Iman atas keprihatinan ini, serta kepada Penghulu Mukim Jerangau dan JPKK Jerangau Sungai yang sentiasa menjadi mata dan telinga kami di lapangan,” ujarnya. Tahun lalu, Midah mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila rumah miliknya di Kampung Nerang, di sini hangus akibat masalah litar pintas.    
16 Jul 25
133