lightning-solid
Berita :
Konvoi Merdeka Santuni 80 Parajurit Dan Veteran ATM
Konvoi Merdeka Santuni 80 Parajurit Dan Veteran ATM
Norekwan Mamat
01 Sep 25
130

BESUT, 1 Sept – Konvoi Merdeka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut berlangsung meriah 31 Ogos,semalam  apabila seramai 80 orang para perajurit dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka mempertahankan kedaulatan tanah air.

Konvoi berkenaan bermula seawal pagi dan singgah di empat lokasi membabitkan Masjid Pasir Akar, Masjid Bukit Payong, Masjid Keruak serta Masjid Gong Duek. Setiap hentian menjadi ruang untuk mengeratkan ukhuwah di antara masyarakat dengan para perajurit dan veteran yang hadir.

Dalam program itu, mereka menerima bakul makanan dan wang saguhati sebagai tanda ingatan serta penghormatan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat. 

Turut hadir ialah wakil JPKK serta ARC Besut yang bersama-sama memeriahkan konvoi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata jasa dan pengorbanan para perajurit dan veteran ATM adalah lambang keberanian serta semangat cintakan negara yang wajar dijadikan teladan oleh generasi hari ini.

“Semoga usaha kecil ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, memperkukuhkan perpaduan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan para perajurit dan veteran ATM serta berusaha memastikan sumbangan mereka terus dihargai.

Program ini diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan 2025, sekali gus menjadi wadah untuk mengingatkan masyarakat tentang pentingnya menyanjung jasa perajurit tanah air yang telah mengorbankan tenaga dan nyawa demi keamanan negara.

 


Artikel Berkaitan