KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegur kerajaan kerana mengenakan pelbagai jenis cukai yang membebankan rakyat, termasuk golongan miskin yang sepatutnya dilindungi.
Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan pendekatan kerajaan yang terlalu bergantung kepada cukai sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Dalam dunia hari ini, yang gilakan kewangan, walaupun banyak, cukai dia kenakan. Kadang-kadang cukai yang zalim. Orang yang tak patut kena cukai, kena cukai. Rakyat miskin pun terkesan,” tegasnya.
Menurut beliau, cukai yang dikenakan tidak berpaksikan prinsip keadilan dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mencari jalan meningkatkan hasil negara melalui aktiviti ekonomi sebenar dan bukan menekan rakyat dengan cukai tanpa pertimbangan wajar.
Beliau menyeru agar kerajaan menilai semula dasar percukaian agar lebih adil, bertanggungjawab dan tidak menzalimi rakyat yang sedia terbeban.