DUNGUN, 17 Julai – Harapan ibu tunggal kepada lima orang anak untuk mendapatkan tempat berteduh yang selesa, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran tahun lalu, akhirnya tertunai apabila beliau menerima rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hasil tajaan Tabung Darul Iman (TDI).
Midah Talib, yang menetap di Kampung Jerangau Sungai, menerima kunci rumah baharunya dalam satu majlis ringkas penyerahan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, semalam.
Menurut Ghazali, penyerahan rumah melalui tajaan bernilai RM70,000 itu merupakan salah satu usaha memperkasakan agenda kebajikan rakyat, terutamanya golongan rentan seperti ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana hari ini Puan Midah dan anak-anaknya kembali memiliki tempat berteduh yang lebih selesa dan selamat.
"Ini bukan sekadar rumah, tetapi simbol harapan dan semangat baru buat mereka sekeluarga.
"Terima kasih kepada Tabung Darul Iman atas keprihatinan ini, serta kepada Penghulu Mukim Jerangau dan JPKK Jerangau Sungai yang sentiasa menjadi mata dan telinga kami di lapangan,” ujarnya.
Tahun lalu, Midah mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila rumah miliknya di Kampung Nerang, di sini hangus akibat masalah litar pintas.