lightning-solid
Berita :
1,000 Penduduk Gamatkan Paka Beach Walk 2025
1,000 Penduduk Gamatkan Paka Beach Walk 2025
Amiirullah Mansor
21 Oct 25
141

DUNGUN, 21 Oktober — Lebih 1,000 warga Paka membanjiri pesisir Pantai Paka sempena Program Paka Beach Walk 2025 yang berlangsung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja menekankan aspek kesihatan, malah mengajak masyarakat agar menghargai keindahan alam sekitar yang menjadi anugerah Allah SWT.

“Kecantikan alam sekitar ini perlu kita pelihara. Begitu juga kecantikan kawasan jalan dan sekitar pantai yang kita gunakan hari ini. Dalam masa yang sama, kita buat serentak program 10,000 langkah untuk kesihatan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Paka Beach Walk 2025 di Pantai Paka semalam.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paka itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

“Program pagi ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi medan untuk kita bersama keluarga, teman-teman dan masyarakat mencari kesihatan serta mengeratkan hubungan sesama kita,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir awal dan mendaftar, termasuk petugas yang menjayakan penganjuran program tersebut.

“Tahniah kepada semua peserta yang berdaftar awal. Program ini bukan untuk mencari siapa nombor satu, dua atau tiga, tetapi untuk bersama-sama menikmati suasana dan kebersamaan,” tambahnya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan