Artikel "Semasa" Terkini
Ibu Mentua Abdul Hadi Selamat Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Rusila
MARANG, 13 November - Ibu mentua kepada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung (Kg) Rusila selepas solat jenazah yang diadakan pada jam 10 pagi di Masjid Rusila.
Ahli Parlimen Marang yang juga merupakan Presiden PAS telah mengimamkan solat jenazah ibu mentuanya, Dayang Abdullah yang meninggal kerana sakit tua di kediamannya, Kg Belubur, Rusila pada jam 12.20 pagi.
"Terasa sebak dan sedih di jiwa mendengarkan khabar pemergian ibu mentua. Pemergiannya menggores rasa pilu buat seluruh anggota keluarga yang sangat rapat dengannya," ujar Abdul Hadi menerusi hantaran di facebooknya di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, meski tidak bersama, doa terhadap ibu mentuanya itu akan sentiasa mengalir mengiringi perjalanan menuju tanah abadi.
"Semoga mendapat rahmat daripada Allah SWT, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin," ujarnya.
13 Nov 24
319
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 13 November - Penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan, Wan Amzar Izzuddin bukan sahaja pernah mencipta nama di pentas dunia sebagai peserta terbaik Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Qatar malah merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Dia merupakan antara 120 orang yang diraikan dalam Majlis Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2023 peringkat negeri Terengganu .
Anak kepada pasangan guru , Wan Mohd Azlan Wan Ahmad dan Rubiha Ali, berjaya merangkul 11A dalam SPM baru-baru ini melahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang dikecapinya itu dan merakamkan penghargaan kepada kedua ibu-bapanya.
"Di sebalik kejayaan ini sudah tentu adanya kedua orang tua saya yang mendidik saya sejak dari kecil dan memberikan pendedahan bagaimana menjadi seseorang yang berjaya.
"Tiada dilupakan guru-guru yang mengajar saya di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang telah mentarbiad diri ini serta pihak-pihak pentadbiran sekolah khususnya kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima anugerah tersebut pada majlis berkenaan di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, semalam.
Anak kelahiran Jerteh itu berkata dia kini masih lagi belajar di SMAASZA dan akan menghadapi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun hadapan turut menjadikan kejayaan di peringkat SPM itu menjadi pencetus semangat untuknya sekali lagi berusaha menjadi pelajar terbaik.
"Kini saya masih memikirkan sama ada untuk menyabung pengajian di luar negara ataupun dalam negara.
"Saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seseorang yang memiliki kepakara dalam bidang undang-undang sivil ataupun syariah bagi memastikan syariat Islam yang syumul dapat ditegakkan di dalam negara," katanya.
Sementara itu katanya, peluang terpilih menjadi ADUN Belia Negeri Terengganu mewakili DUN Kota Putera membantunya untuk memastikan apa yang didebatkan setiap kali menyertai pertandingan debat dapat dipraktikkan di lapangan.
"Saya juga terlibat aktif dalam Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Sahabat Sejahtera yang meurpakan pihak bertanggungjawab dalam mengerakkan dakwah dalam kalangan belia dan beliawanis di negeri ini," katanya.
Untuk rekod, antara pencapaian lain yang cukup membanggakan diterima olehnya ialah menjadi Tokoh Pendidikan Ulul Albab Daerah Besut juga meraih gelaran Speaker Terbaik di International School Debating Competition 2023 di Doha dan Syed Abdul Rahman Al-Junied Arabic Championship pada tahun ini di Singapura.
13 Nov 24
624
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KUALA NERUS, 13 November - Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terbukti dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI).
Katanya, pembangunan islam berteraskan prinsip Islam akan melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing perlu diyakini.
"Saya juga berharap agar seluruh warga Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, pengurusan sekolah dan guru-guru akan dapat terus memanfaatkan segala peluang yang ada bagi bekerjasama dan berusaha dengan lebih tekad.
"Dengan tekad yang bulat dan semangat yang teguh, kita mampu memastikan sekolah di negeri ini akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun bidang lain yang akan mengangkat nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Tahun 2023 di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini, semalam.
Menurut Satiful, majlis yang diadakan itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna meraikan kejayaan 120 orang pelajar yang mencatat keputusan paling cemerlang di dalam peperiksaan terbabit.
"Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menerima penghargaan pada hari ini.
"Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.
13 Nov 24
501
Belanjawan 2025 : Rakyat Mahu Pelancongan Diperkasa Jana Ekonomi
KUALA TERENGGANU, 11 November - Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 (Terengganu) pada 18 November depan, rata-rata rakyat mahu Kerajaan Negeri menjana ekonomi baharu dengan memperkasakan sektor pelancongan.
Pandangan itu dilontarkan berdasarkan situasi Terengganu yang kini menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia.
Menurut seorang rakyat Terengganu, Zulfakri Amin Manaf, peluang berkenaan yang ada pada waktu ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan Kerajaan Negeri akan terus berperanan membantu rakyat di saat royalti dinafikan.
"Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan.
"Berdasarkan pengamatan saya untuk tahun 2024 ini, sektor pelancongan menunjujkkan peningkatkan, alhamdulillah, sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi perlu ambil kesempatan ini dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu," ujarnya.
Dia yang juga merupakan peniaga Pasar Chabang tiga berkata demikian ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, dari segi memajukan pembangunan dengan mewujudkan bangunan-bangunan bersaiz besar katanya ia tidak menjadi keperluan di negeri ini.
"Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke negeri ini pada kebiasaan mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan perasaan bimbang dengan hala tuju kerajaan Malaysia hari ini dilihat tidak mampu dan masih belum memiliki langkah penyelesaian terbaik bagi menoktahkan kemelut kos sara hidup yang kian meningkat.
"Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri berniaga santan dahulunya yang dijual pada harga RM10 sekilogram tetapi kini terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram.
"Bayangkan harga kelapa yang dahulu dibeli daripada pembekal RM2.00 sekarang mencecah RM2.70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pemberi," katanya yang mengharapkan Kerajaan Negeri menampung kelompongan itu.
Sementara itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula berharap pembentangan belanjawan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini tidak mengabaikan aspek pembangunan belia dan beliawanis negeri ini.
"Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insan yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.
11 Nov 24
863
Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
KUALA NERUS, 11 November- Norimrana Mujahid Ali, 24, dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.
Selain Norimrana, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nesalata A/P Gunasekaran,24, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian bersama pencapaian PNGK 3.71.
Norimrana berkata, beliau menanam tekad dari awal untuk merebut angerah tertinggi universiti itu untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya.
Katanya, bapa, Mujahid Ali Mohd Shafi, 58, seorang penjaja kecil manakala ibunya, Siti Noor Omar, 48, hanya suri rumah dan pengiktirafan yang diterimanya pada hari ini bukti kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga.
"Disebabkan kedua ibu bapa saya bukan orang yang berpendidikan (buta huruf), nak baca tulis pun tidak pandai, ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini, semalam.
Norimrana berkata, untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan.
“Antara cabaran yang saya lalui adalah terpaksa memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka.
“Sepanjang empat tahun belajar di UniSZA, saya juga jarang balik ke kampung di Tumpat ketika cuti semesta sebab mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti,” ujar anak ketiga dari lima beradik itu yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.
Sementara itu, Nesalata A/P Gunasekaran pula berkata, berbekalkan kecemerlangan yang diraihnya itu, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga Doktor Falsafah (PhD).
11 Nov 24
283
Terengganu Jadi Negeri Pertama Miliki Pejabat Satelit MyIPO
KUALA TERENGGANU, 11 November - Terengganu menjadi negeri pertama memiliki Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang beroperasi di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
Pengerusi MyIPO, Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pembukaan pejabat satelit pertama itu akan memudahkan rakyat Terengganu khusunya kalangan usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan harta intelek.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu, pemilik harta intelek di negeri ini tidak lagi perlu ke pejabat MyIPO di Kuantan, Pahang bagi membuat pemfailan.
"Kita akan buka pejabat di setiap negeri dan kita akan mengorak langkah pertama di Terengganu sebelum disusuli negeri-negeri lain.
"Untuk Terengganu, kita bekerjasama dengan YPU di bawah kerajaan negeri bagi menjalankan operasi pejabat satelit dan kita jangka pendaftaran ini akan meningkat berbanding sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pejabat Satelit MyIPO Kuala Terengganu dan penyampaian sumbangan zakat di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, didapati masih banyak hak cipta dan hasil karya dari Terengganu yang selama ini belum didaftarkan.
"Dengan adanya kemudahan ini, ia sekali gus boleh dimanfaatkan oleh lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU.
"Sejak 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 1418 permohonan harta intelek dari negeri Terengganu diterima dan ia sebenarnya mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,"ujarnya.
11 Nov 24
868
Mesej 'Keluarga Bahagia' Perlu Sampai ke Akar Umbi
Program berbentuk kekeluargaan di peringkat akar umbi sangat penting dalam memastikan mesej dan manfaat dapat sampai terus kepada masyarakat setempat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman atau komuniti kecil.
10 Nov 24
55
Kerjasama Khas Antara Negeri dan Persekutuan Perkasakan Biodiversiti
Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengadakan kerjasama khas dari segi kepakaran saintifik dan teknikal, data yang komprehensif, sumber kewangan dan juga penyelarasan dasar agar dapat memperkasakan lagi biodiversiti di Terengganu.
10 Nov 24
37
Sultanah Terengganu Titah UniSZA Kembalikan Konsep Khalifah Sebenar
KUALA NERUS, 10 November- Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah supaya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dapat mengembalikan kepercayaan terhadap konsep khalifah yang hakiki selari dengan moto universiti tersebut iaitu ‘Ilmu Demi Faedah Insan’.
Titah baginda yang juga Canselor UniSZA, ketika ini, dunia berhadapan dengan pelbagai krisis dalaman termasuk politik, diplomasi, nilai dan peradaban.
“Ia berpunca daripada tidak memahami konsep khalifah yang diamanahkan oleh Allah SWT, misalnya, peperangan dan pembunuhan yang melanggari undang-undang yang sedang berlaku,” titah baginda pada Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.
Baginda bertitah, graduan yang berwibawa akan berjaya mewujudkan kesejahteraan sejagat tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa dan agama.
“Beta yakin graduan yang bermutu tinggi perlu diukur dengan nilai, adab dan ilmu yang dipelajari.
“Justeru, penekanan nilai adab dan akhlak di universiti ini perlu diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Ia akan membawa kepada keberkatan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara,” titah Sultanah Nur Zahirah.
Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada UniSZA kerana berjaya memperoleh penarafan di kedudukan 1,001 hingga 1,200 dalam Times Higher Education World University Ranking.
"Beta ucapkan tahniah dan syabas. Beta mengharapkan pencapaian ini boleh dijadikan kayu ukur terhadap kejayaan yang seimbang dari aspek spiritual dan fizikal.
"Beta juga amat berbangga dengan perkhidmatan kesihatan Hospital Sultan Zainal Abidin yang telah beroperasi.
"Ia adalah kejayaan besar bagi rakyat negeri ini. Mereka dapat menikmati kemudahan perubatan yang terbaik," titah baginda.
Sehubungan itu, Sultanah Nur Zahirah menitahkan barisan lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, kakitangan akademik UniSZA agar terus menjalankan tanggungjawab dengan lebih cemerlang berpaksikan kepada moto universiti.
Seramai 2,818 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen selama empat hari bermula hari ini.
10 Nov 24
742
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam.
Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya.
"Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.
Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).
08 Nov 24
636