Artikel "Semasa" Terkini
Tengku Seri Bijaya Raja Bersara Sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu
Tengku Seri Bijaya Raja, Dato' Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.
07 Nov 24
273
Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
Rata-rata rakyat di negeri ini meluahkan rasa terbeban dengan kos sara hidup yang kian menghimpit ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
07 Nov 24
6
Pelihara Seni Khat Selari Hasrat Kerajaan Terengganu
Usaha memartabatkan kesenian Islam melalui Festival Kaligrafi Islam adalah selari dengan hasrat kerajaan Terengganu yang serius memastikan negeri ini mencapai kemajuan mengikut acuan Islam dari pelbagai sudut.
07 Nov 24
45
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini.
07 Nov 24
99
Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula 1 November
KUALA TERENGGANU, 6 November - Terengganu akan menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, laluan pendakian termasuk aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini bermula 1 November baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, penutupan selama empat bulan berikutan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh.
Menurutnya, antara yang terlibat adalah Taman Eko Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk di Dungun, Lata Tembakah dan Lata Belatan (Besut), Sekayu (Hulu Terengganu), Lata Payung (Setiu) dan Air Menderu (Kemaman).
"Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti.
"Penutupan itu bermakna tiada aktiviti perkelahan, pendakian dan rekreasi dibenarkan di kawasan terbabit, susulan musim tengkujuh yang dibimbangi boleh menyebabkan kejadian kepala air dan membahayakan pengunjung," katanya kepada pemberita.
Tambah Razali, penutupan turut dilakukan di kawasan rekreasi yang berisiko sepanjang musim tengkujuh
“Mana-mana individu yang melanggar arahan ini boleh disabitkan kesalahan dibawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.
“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya.
06 Nov 24
308
Berkat Pelajari Seni Khat Daripada Suami, Isteri Muncul Juara
KUALA TERENGGANU, 6 November - Dengan minat yang mendalam melalui bakat yang diasah sejak kecil dan menerima tunjuk ajar daripada suami, Mohd Hisyamuddin Ramli yang merupakan penulis khat, Nurul Hidayah Jusof muncul johan kategori batik.
Katanya, itu merupakan percubaan pertamanya dalam kategori tersebut dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara walaupun sebelum ini banyak kali menyertainya dalam kategori lain.
"Saya tidak menyangka percubaan pertama dalam kategori batik ini membawa kemenangan besar, sebelum ini saya hanya pernah mencuba menulis khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan yang disertai sebelum ini.
"Kali ini saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu ketika ditemui di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Tambahnya, minat yang berputik di sekolah terhadap seni khat itu tidak pernah terhenti sehingga bekerja di Yayasan Restu malah bertemu jodoh pula dengan suami yang cukup berkemahiran dalam seni khat secara tidak langsung telah membimbingnya selama ini.
"Suami saya yang telah banyak mengajar saya dan menjadi pendorong utama dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati ini," katanya.
Dalam pada itu, suaminya pula mengharapkan agar kerajaan negeri akan terus menganjurkan program seumpama itu kerana ia merupakan salah satu usaha penting dalam memastikan seni itu terus berkembang.
"Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat walaupun dalam era media sosial di zaman adanya TikTok kerana seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas dan melalui festival ini ia menjadi peluang yang terbaik bagi mempamerkan bakat," jelasnya.
Manakala Johan Kategori Terbuka Spontan, Muin Afnawi Zamri Solihin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pertandingan di festival yang diadakan oleh kerajaan Terengganu.
"Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya," katanya.
Menurut peserta dari Kedah itu bagi menghasilkan tulisan khat yang cantik ia memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi.
"Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan.
"Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,"katanya.
06 Nov 24
253
Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
KUALA TERENGGANU, 5 November - Rata-rata rakyat di negeri ini meluahkan rasa terbeban dengan kos sara hidup yang kian menghimpit ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Seorang rakyat, Zulfakri Amin Manaf berkata dengan keadaan yang berlaku ini, dia berharap agar kerajaan negeri mencari jalan dan menyediakan inisiatif terbaik bagi memastikan bebanan dapat dikurangkan.
Katanya, kerajaan boleh memikirkan alternatif bagi menaikkan ekonomi melalui pelancongan Terengganu.
"Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan.
"Saya tengok untuk tahun 2024 ini, Alhamdulillah sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi ambil kesempatan dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu.
"Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke Terengganu mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya yang juga merupakan peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini.
Sementara itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan kembimbangan tentang hala tuju Kerajaan Malaysia hari ini apabila dilihat tidak dapat menyelesaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat malah ditambah dengan kenaikan harga barangan.
"Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri yang berniaga santan dahulunya santan hanya dijual dengan harga RM10 sekilogram sekarang terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram.
"Bayangkan harga kelapa yang dibeli dari pembekal dahulunya RM2.00 sekarang mencecah RM2. 70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli," ujarnya.
Tambahnya, seandainya royalti dapat dikembalikan sudah tentu banyak agenda boleh dirancang dan direncanakan kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif yang diberikan berupaya mengurangkan bebanan dihadapi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Chabang Tiga, Marzuki Omar berkata kuasa membeli rakyat yang semakin terbatas kerana himpitan ekonomi dapat dilihat apabila pembeli di pasar itu tidak sebagaimana sebelum ini.
Dalam pada itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula mengharapkan agar belanjawan yang akan dibentangkan nanti akan memberi tumpuan dan fokus kepada pembangunan belia dengan memperbanyakkan program serta apa jua aktiviti yang bemanfaat untuk mereka.
"Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insna yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.
05 Nov 24
363
Pelihara Seni Khat Selari Hasrat Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Usaha memartabatkan kesenian Islam melalui Festival Kaligrafi Islam adalah selari dengan hasrat kerajaan Terengganu yang serius memastikan negeri ini mencapai kemajuan mengikut acuan Islam dari pelbagai sudut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata adalah menjadi matlamat bagi memelihara kesenian Islam itu dan mendorong minat generasi muda hari ini mempelajari warisan khat melalui penganjuran program yang diadakan.
"Sebenarnya memupuk minat generasi muda terhadap seni khat ini terutama daripada kalangan pelajar ini merupakkan suatu kebanggaan kita. Kerana mereka ini bakal meneruskan kecemerlangan Tamadun Islam, yang boleh kita panggil (istilahkan) bangkit kembali di Terengganu.
"Seiring dengan tema kerajaan negeri itu sendiri dan juga dengan seni budaya jawi yang juga menjadi lambang tamadun Terengganu dengan penemuan batu bersurat dan sebagainya kita harap ia dapat diteruskan.
"Kerana penuliasan al-Quran itu sendiri dengan nilai seni tersendiri menunjukkan banyak sumber-sumber yang mengambarkan tamadun warisan Islam yang tinggi untuk diterus serta diperkayakan pada masa-masa akan datang dengan melahirkan semula tokoh-tokoh khat yang dahulunya agak terkenal di negeri ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas hadir menyempurnakan perasmian penutupan Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Satiful merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT) atas kejayaan menganjurkan acara berprestij itu yang disertai oleh 250 perserta dari seluruh Malaysia.
"Tahniah kerana berjaya mengamit kehadiran peserta yang secara keseluruhan memenuhi segenap ruang malah peserta dari luar Terengganu pun turut hadir bagi sama-sama memeriahkan festival pada kali ini," ucap beliau.
05 Nov 24
100
Raja Muda Kurnia Bintang, Pingat Pergerakan Pengakap Kepada 179 Penerima
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Terengganu 2024 kepada 179 penerima di Wisma Darul Iman.
05 Nov 24
371
Kerjasama EPIC, Brunei Hasilkan Pendapatan Tambahan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Terengganu dijangka akan memperoleh sumber pendapatan tambahan susulan jalinan kerjasama syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), bersama Brunei dalam industri maritim serta minyak dan gas.
Terdahulu, pada 1 November lepas EPIC Berhad telah memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa), sebuah syarikat di bawah Adinin Group of Companies, bagi membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Brunei Darussalam, khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di negara tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui pemeteraian LoI itu, ia merupakan peluang pertama untuk EPIC terlibat dalam aktiviti di luar negara.
“Kerjasama itu insya-Allah akan menghasilkan sumber pendapatan tambahan kepada negeri dan secara tidak langsung membantu rakyat.
“Ini kerana apabila EPIC mendapat hasil yang lebih tentulah ada program-program rakyat yang boleh dilakukan oleh EPIC termasuk dalam bentuk kebajikan dan perkara-perkara lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.
Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.
Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd untuk penyelenggaraan marin, dan bagi perkhidmatan penyahtauliahan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.
Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.
05 Nov 24
354