Artikel "Semasa" Terkini
YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
KUALA TERENGGANU, 18 November – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut akan meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan.
Katanya, ia juga bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital.
“YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dalam itu katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif.
"Ia bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing," ujarnya.
18 Nov 24
155
Terengganu 'Ajak' Bakat Muda Sertai Sektor Agromakanan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Terengganu mengajak anak muda untuk menceburi sektor agromakanan sekali gus mengangkat negeri terbabit sebagai pelopor utama pengeluar makanan.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan pelbagai usaha terkini akan dilaksanakan seiring dengan era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dunia hari ini.
Katanya, antara perkara yang bakal dilakukan kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali.
"Serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur (dan) di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC juga mengerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur.
"Untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ketika membentangkan belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri ini kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi memperluaskan lagi kawasan untuk bertanam.
"Melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh program pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi.
"Bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras," katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Ahmad Samsuri berkata, sektor pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4 peratus berbanding pengucupan 3.3 peratus pada tahun 2022.
"Didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor perikanan.
"Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023," jelasnya.
18 Nov 24
515
196 Vessel Nelayan Asing Dijadikan Tukun Tiruan
BESUT, 18 November - Sebanyak 196 vessel serta bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu sejak 2018 sehingga 2024 telah dijadikan tukun tiruan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selain itu tindakan akan dikenakan terhadap pemilik bot jika disabitkan tekong boleh didenda tidak melebihi RM6 juta.
Manakala katanya, 'awak-awak' akan dikenankan denda RM600 ribu.
"Bot akan dirampas atau dilucutkan hak serta akan melalui mahkamah maka apabila selesai ia akan melalui proses untuk dijadikan tukun.
"Enjin dan peralatan-peralatan lain dikeluarkan kemudian, kita tenggelamkan sebagai tukun tiruan dan ini merupakan sebahagian program memperkayakan sumber perikanan negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Melabuh Bot Lucut Hak Jabatan Perikanan Malaysia Sebagai Tukun Tiruan, di Beting Lintang Besut, di sini, semalam.
Dr Azman berkata, sebanyak dua buah bot nelayan asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan telah dijadikan tukun tiruan.
"Alhamdulillah, sejak dilabuhkan turun tiruan dari bot yang ditenggelamkan di sekitar perairan hasilnya sangat baik, maknanya ia merupakan salah satu dari tukun berjaya menarik hidupan laut untuk bersarang.
"Justeru, kita akan teruskan kerana banyak lagi bot-bot nelayan asing yang sedang melalui proses mahkamah dan dila ia selesai kita akan tenggelamkan bagi dijadikan tukun tiruan.
"Ini sebagai satu amaran keras kerapa penceroboh yang menceroboh perairan kita khususnya negeri Terengganu.
"Masih banyak lagi bot (akan ditenggelamkan) sama ada yang dirampak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu ataupun yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan maritim Malaysia," katanya.
18 Nov 24
119
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
17 Nov 24
139
KMI Kuantan Sedia Tawarkan Rawatan Untuk Pesakit Kanser Mulai Januari Depan
KUALA TERENGGANU, 17 November – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melalui anak syarikatnya KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) terus mengembangkan sayap perniagaannya dengan menawarkan rawatan bagi pesakit kanser (Onkologi) bermula Januari tahun hadapan.
Pengerusi KMI Kuantan, Dato’ Satiful Bahari Mamat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KMI Kuantan berkata, rawatan kemoterapi adalah salah satu rawatan yang boleh diberikan mulai tahun depan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan perubatan nuklear.
“Selain itu, mulai pertengahan tahun depan juga, KMI Kuantan akan memulakan projek bangunan baharu untuk menampung operasi bangunan sedia ada.
“Sebanyak 80 bilik persendirian, 30 klinik tambahan, dan tiga pusat kecemerlangan perubatan meliputi jantung, mata, dan tulang dijangka siap menjelang 2028 yang akan menjadi mercu tanda baharu di Kuantan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Sambutan Sedekad KMI Kuantan di Indera Mahkota, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penyerahan zakat oleh KMI Kuantan, Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu berkata, hampir RM800,000 sumbangan zakat diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi tahun kewangan 2023.
Katanya, dana tersebut bagi menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah seliaan PKZ Pahang dan MAIDAM, khususnya dalam membantu komuniti yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kepentingan zakat bukan sahaja sebagai salah satu rukun Islam tetapi juga sebagai alat untuk memupuk keharmonian sosial dan peranan KMI Healthcare adalah memastikan dana ini sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sejak penubuhannya pada tahun 1997, KMI Kuantan telah menunjukkan kejayaan yang konsisten, dibuktikan dengan peningkatan hasil yang didorong oleh pertambahan jumlah pesakit dalam, kadar penghunian katil yang tinggi, dan peningkatan purata hasil pesakit dalam.
“Pada September lalu, KMI Kuantan telah diberi penghormatan sebagai salah satu Syarikat Berprestasi Terbaik dan Syarikat Paling Berpotensi dalam Program Pengarah Korporat Terengganu Inc.
“Dengan kekuatan 30 orang perunding tetap yang terdiri daripada pelbagai disiplin perubatan serta 10 perunding lawatan, KMI Kuantan kini menjadi lebih agresif dalam mengembangkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pesakit,” jelasnya.
17 Nov 24
246
Terengganu Terima Sumbangan 1,000 Pakej Prihatin Petronas
KUALA TERENGGANU, 17 November – Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan pakej prihatin mengandungi barang kelengkapan asas bernilai RM300 kepada 1,000 keluarga mangsa banjir di Terengganu.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata peruntukan melalui Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024 itu sebagai salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas yang prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur saban tahun.
“Sumbangan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa terbabit.
“Ia mengandungi keperluan asas seperti air mineral, selimut, peralatan mandian, makanan dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, Petronas sentiasa peka dengan amaran episod hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh METMalaysia ekoran Monsun Timur Laut.
Justeru itu beliau berharap sumbangan pakej prihatin mampu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Dalam masa sama, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebanyak RM4,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas.
“Petronas berterima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini.
“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi-agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,”katanya.
17 Nov 24
210
Kerajaan Terengganu Komited Perkasa Kewangan Islam di Semua Peringkat
Oleh - Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Negeri komited memartabatkan kewangan Islam sebagai asas utama dalam pembangunan ekonomi negeri, dengan tumpuan pada pematuhan prinsip syariah di setiap peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata komitmen itu merupakan langkah strategik untuk memastikan ekonomi negeri berkembang secara beretika dan mampan.
“Kerajaan Negeri sangat komited menjadikan kewangan Islam sebagai teras utama pembangunan ekonomi.
"Melalui program seperti seminar ini, kita dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kewangan Islam, memastikan setiap keputusan diambil selaras dengan prinsip syariat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Islamic Finance Seminar 2024 di Hotel Paya Bunga, di sini, baru-baru ini.
Dr. Khalil turut menekankan bahawa kewangan Islam mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja untuk negeri Terengganu, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan.
“Kewangan Islam bukan sekadar alternatif, tetapi satu penyelesaian yang menawarkan keadilan, ketelusan, dan keberkatan dalam pengurusan kewangan.
“Sistem ini berupaya mencipta impak positif di pelbagai sektor ekonomi,” jelasnya.
Beliau juga menyifatkan seminar ini sebagai platform penting untuk membincangkan cabaran yang dihadapi serta peluang yang wujud dalam industri kewangan Islam.
“Dengan menghimpunkan pakar, pembuat dasar, dan pemain industri, seminar ini membuka ruang untuk berkongsi pengalaman serta mencetuskan idea baharu.
“Melalui pendedahan seperti ini, kita bukan sahaja dapat merapatkan jurang pengetahuan, tetapi juga membina ekosistem kewangan yang lebih mampan dan bersedia menghadapi cabaran global.
“Inilah masanya untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kewangan Islam sebagai alat penting untuk membina negeri dan negara yang lebih maju,” ujarnya.
17 Nov 24
135
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
Penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan, Wan Amzar Izzuddin bukan sahaja pernah mencipta nama di pentas dunia sebagai peserta terbaik Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Qatar malah merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
17 Nov 24
135
Program Advokasi Undang-Undang Tingkat Kesedaran Hak Wanita
KUALA TERENGGANU, 17 November - Program pementoran berfokuskan advokasi undang-undang dilihat berupaya memperkasakan golongan wanita, khususnya mereka yang tidak berlatar belakang undang-undang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman wanita terhadap hak mereka dalam aspek kehidupan, seperti isu keluarga, pekerjaan, dan hak peribadi.
"Program ini diadakan agar golongan wanita, termasuk di kawasan luar bandar, lebih mengetahui dan memahami hak mereka sebagai wanita, ibu, isteri, dan anak.
"Separuh daripada rakyat negeri Terengganu adalah wanita dan perlu ada suara yang nak mengangkat isu-isu kaum hawa dan mempunyai undang-undang serta dasar wanita.
"Besarnya kuasa dan suara wanita menjadi "check and balance" (semak dan imbang) kepada pihak kerajaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pementoran Kemahiran Advokasi Undang-undang di Bilik Seminar FHC Corpation, di sini, baru-baru ini.
Katanya, selain memperkasakan dan mendidik serta melindungi wanita, advokasi ini perlu disebarluaskan di kampung-kampung.
"Program ini berfungsi sebagai platform untuk beri pendidikan dan pendedahan undang-undang yang penting kepada wanita.
"Di samping memperkasakan wanita dengan kemahiran advokasi iaitu keupayaan untuk menyuarakan hak dan pandangan secara efektif dan mendorong mereka menjadi lebih berdikari dalam membuat keputusan serta menyelesaikan masalah berkaitan undang -undang," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyambut baik inisiatif ini dan menyokong pemerkasaan wanita sebagai salah satu agenda utama negeri Terengganu.
"Saya berharap agar program ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain supaya lebih ramai wanita dapat menerima manfaat yang sama dan memperkuatkan lagi jaringan advokasi undang-undang bagi golongan wanita.
"Semoga usaha ini akan terus memberi impak positif serta membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat," tambah Zuraida.
16 Nov 24
224
Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
LONDON, 13 November - Chicken Cottage, jenama makanan segera halal milik anak syarikat Terengganu Inc, telah mencipta sejarah dengan pembukaan 'outlet' terbarunya yang ke-67 di Camden Town, London.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pembukaan premis terbaru itu sebagai pencapaian penting bukan hanya untuk jenama itu tetapi juga untuk ekonomi setempat.
“Pembukaan outlet baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di pentas antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar syarikat ini terus berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Pembukaan 'Outlet' di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom; Dato’ Zakri Jaafar, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage; Greg Milne.
Majlis pembukaan ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Chicken Cottage, yang kini semakin kukuh di United Kingdom (UK), walaupun industri makanan dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran.
Chicken Cottage yang terkenal dengan hidangan ayam goreng dan panggangnya, telah membina reputasi sebagai jenama makanan halal berkualiti dengan kehadiran lebih 60 'outlet' di UK termasuk di kota besar seperti Glasgow, Newcastle, Cambridge, Oxford, dan Canterbury.
Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi juga mengulas tentang sambutan hangat pelanggan terhadap jenama tersebut yang memiliki pelbagai menu untuk memenuhi cita rasa ramai.
“Camden ialah 'outlet' ke-10 yang dibuka pada tahun 2024, melengkapkan rangkaian outlet di lokasi strategik lain seperti Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street.
“Ini adalah bukti komitmen Chicken Cottage untuk terus berkembang,” ujarnya.
Untuk rekod, transformasi Chicken Cottage menjadi semakin jelas sejak dua tahun lalu apabila Greg Milne menerajui syarikat ini dan memperkenalkan reka bentuk dalaman moden, kios digital, serta aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan.
Greg Milne menyatakan bahawa pembukaan outlet di Camden ini mencerminkan kekuatan dan daya tahan Chicken Cottage untuk terus berkembang di pasaran UK.
“Pada saat banyak syarikat lain terpaksa mengurangkan operasi, Chicken Cottage tetap memilih untuk berkembang dengan yakin, sekali gus membuktikan asas kukuh jenama tersebut serta komitmen mereka dalam menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.
“Kehadiran outlet terbaru ini bukan sahaja memudahkan penduduk Camden menikmati hidangan halal berkualiti, tetapi turut menarik perhatian pelancong yang mengunjungi London,” jelasnya.
Chicken Cottage kini memperkukuh visinya di peringkat global dengan merancang pembukaan dua lagi outlet di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini.
Ia akan dikendalikan oleh usahawan terkemuka Nigeria, Mohammed Adebola Sheidu, yang juga Pengerusi Eksekutif Brains & Hammers, salah satu syarikat hartanah terbesar di Nigeria.
Selain mengukuhkan kehadiran di UK, Chicken Cottage juga akan meluaskan empayarnya ke Afrika dan Timur Tengah dengan tujuh outlet baru di Kenya serta beberapa outlet di Oman.
13 Nov 24
6058