Artikel "Semasa" Terkini
Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Pembatalan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menimbulkan kontroversi apabila alasan kesihatan yang diberikan oleh Perdana Menteri dinafikan oleh pihak Indonesia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan mencalar kredibiliti negara, dan mendesak kerajaan menjelaskan kekeliruan ini secara telus.
“Bagaimana kenyataan Perdana Menteri bercanggah dengan kenyataan rasmi Indonesia? Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Beliau menekankan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia adalah asas penting dalam kerjasama serantau.
“Sebarang salah faham atau percanggahan maklumat boleh memberi kesan buruk kepada hubungan dua hala ini.
“Situasi ini bukan sahaja mencetuskan spekulasi dalam kalangan rakyat, malah menjejaskan imej diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Ahmad Amzad turut menyeru Perdana Menteri supaya segera tampil memberikan penjelasan.
“Rakyat ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Jangan biarkan kekeliruan ini berlanjutan,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa hubungan diplomatik dengan negara jiran seperti Indonesia perlu diuruskan dengan penuh berhati-hati.
“Setiap langkah mesti mencerminkan keprihatinan terhadap sensitiviti dan hubungan baik antara dua negara.
“Sebagai jiran strategik, hubungan Malaysia dan Indonesia memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan bahawa salah urus dalam isu seperti ini boleh memberi kesan besar kepada hubungan yang telah lama terjalin.
“Kerajaan perlu segera bertindak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Ketelusan adalah kunci untuk menjaga kredibiliti negara,” ujarnya.
25 Dec 24
427
Bersiap siaga Hadapi Gelombang Banjir Seterusnya
KEMAMAN, 25 Disember - Saban tahun kebiasaan akan berlaku empat gelombang banjir dalam edah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) justeru kerajaan negeri sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan bencana itu dapat diurus dalam keadaan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, walau bagaimanapun adalah diharapkan agar rakyat di negeri ini sentiasa bermunajat dan berdoa supaya tidak akan berlaku musibah banjir yang besar dan teruk.
"Semua agensi kerajaan macam biasa dalam keadaan bersiap siaga dan mana-mana barang keperluan yang kurang kita minta tambah.
"Terutama dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya menambah bekalan makanan,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang saban tahun menghadapi musibah banjir, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hanafiah mewakili pihak kerajaan negeri memohon maaf kerana pada hari pertama gelombang banjir berlaku sedikit masalah dari sudut penyediaan makanan kerana jumlah mangsa banjir di awal kejadian di luar jangkaan.
"Cuma berlaku pada hari pertama ia akan berlaku di mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila menerima 2,000 orang sekali gus.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya memohon maaf sehingga ada yang sarapan pagi pada pukul 11 pagi, bila hari kedua dan seterusnya kembali teratur dan semua yang kita jumpa berpuas hati di atas layanan yang baik.
"Alhamdulillah bagi membantu meringankan mangsa banjir, Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Banjir Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 telah mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR)," ujarnya.
25 Dec 24
1662
Kerajaan Ajak Rakyat Bermunajat Sempena Tahun Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Kerajaan Terengganu mengajak seluruh rakyat negeri ini menyambut tahun baharu 2025 dengan bermunajat serta mengangkat tema Indahnya Hidup Bersyariat bagi mengundang kehidupan yang lebih berkat ke arah menjadi sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.
"Ayuh seluruh rakyat negeri Terengganu dan sekitarnya! sertai Malam Munajat Terengganu, sebuah program penuh keberkatan yang mengajak kita semua mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa," ujar kerajaan negeri melalui suatu kenyataan.
Program yang bakal diadakan pada 31 Disember itu akan diadakan selepas Maghrib hingga jam 12.00 malam bertempat di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Antara pengisian program yang akan diadakan nanti selain Solat Maghrib dan Isyak berjemaah akan ada Bicara Murabbi bersama Pendakwah Terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Selain itu akan ada Zikir Munajat dan Selawat Perdana serta Bacaan Doa Untuk Ummah.
"Keistimewaan Malam Munajat adalah menyucikan hati dengan zikir dan doa, memohon keberkatan dan kesejahteraan untuk diri, keluarga dan negara.
"Bersama-sama menghidupkan malam dengan cahaya keimanan maka jangan lepaskan peluang.
"Mari kita bersatu dalam doa, memohon keredaan Allah SWT untuk kehidupan yang lebih tenang, diberkati dan dirahmati,"ujar kenyataan itu lagi.
25 Dec 24
598
Krismas : 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 118 Pegawai Penguat Kuasa dan 58 Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu ditugaskan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 berkuatkuasa 23 hingga 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak sembilan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas di Terengganu tahun ini.
“Senarai barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China) cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah.
“SHMMP Krismas 2024 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di Mecarto, Mayang Mall, semalam.
Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut katanya, Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim terbabit.
“Semua pihak diharap dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” ujarnya.
25 Dec 24
126
KPDN Terengganu Rekod 559 Kes Kesalahan Sejak 1 Januari
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu telah mengambil tindakan ke atas 559 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan hampir RM4 juta untuk tempoh 1 Januari lalu sehingga semalam.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 21,103 premis perniagaan di seluruh negeri ini yang turut menyaksikan kompaun sebanyak RM268,200.
“Daripada 599 kes itu, kesalahan tertinggi melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak 218 kes, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 214 kes.
“Selain itu, 70 kes adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 pula sebanyak 45 kes dan Akta Cap Dagangan (enam kes). Kita juga mengesan lima kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (satu kes) ,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman di Mecarto, Mayang Mall, hari ini.
Katanya, bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak dua kes telah disabit kesalahan dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM102,500 bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindunggan Pengguna 1999.
Menurut beliau, 559 kes kesalahan itu dikesan pihaknya hasil 48,697 pemeriksaan yang telah dijalankan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,626 pemeriksaan dijalankan di Kuala Terengganu, Dungun (10,826), Besut (8,781), Kemaman (5,994) dan Hulu Terengganu (4,470),” ujarnya.
24 Dec 24
84
Jualan Rahmah Di Terengganu Catat Nilai Jualan Lebih RM39 Juta
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Jualan Rahmah di Terengganu mencatatkan nilai jualan melebihi RM39 juta daripada penganjuran 854 program (siri) bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Disember lalu.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di negeri ini melibatkan tiga jenis model pelaksanaan.
Katanya, sebanyak 366 siri dibuat di dalam premis, dua siri secara terbuka dan 486 siri secara bergerak di kesemua lapan kawasan Parlimen di seluruh Terengganu.
“PJRM di negeri ini dianggarkan telah memberi manfaat kepada 928,410 orang pengunjung dan berjaya mencatatkan rekod hasil jualan melebihi RM39 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman di Mecarto, Mayang Mall, hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan maklum balas pengunjung, rata-rata menyambut baik dan meminta PJRM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan beban kewangan mereka.
“Berdasarkan kepada jumlah kutipan ini, ia menggambarkan PJRM memberi manfaat dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai.
“Justeru itu, kita akan buat program ini secara berjadual di lokasi yang telah ditentukan di seluruh Terengganu,” ujarnya.
24 Dec 24
164
RMM di Bawah Kerajaan Negeri Dilindungi Insuran
Setiap Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dilindungi insuran kebakaran dan musibah.
23 Dec 24
58
Kerajaan Laksana Dua Strategi Segera Atasi Banjir di RMM Teluk Kalong
Kerajaan negeri mencari jalan bagi menyelesaikan masalah 500 buah rumah yang didiami 2,000 penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang berhadapan musibah banjir setiap tahun.
23 Dec 24
136
RMM di Bawah Kerajaan Negeri Dilindungi Insuran
KEMAMAN, 23 Disember - Setiap Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dilindungi insuran kebakaran dan musibah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, pada kebiasaan ia dilihat dari sudut kerosakan fizikal seperti kerosakan pintu hadapan dan belakang rumah.
Ujarnya, yang tidak dilindungi insuran adalah peralatan atau perkakas elektrik dan elektronik di dalam rumah.
"Dengan tuntutan dalam RM200 hingan RM250 apabila berlaku kerosakan pada pintu.
"Insya-Allah pihak kita (PMINT) akan lihat balik beberapa perkara dan akan berbincang untuk tambah baik beberapa kriteria supaya pemilik RMM dapat manfaat sekurang-kurangnya dapat membantu menghadapi segala kesulitan yang dialami," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke Tapak Perumahan RMM Teluk Kalong bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Wan Adnan turut berkata pihak PMINT juga ada menyediakan Tabung Prihatin dalam membantu mangsa banjir.
"Insya-Allah kita akan salurkan segera kepada masyarakat di sini yang membabitkan hampir 500 buah rumah,"katanya.
23 Dec 24
474
Terengganu Laksana Sistem E-Invoice Menjelang 2026
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Terengganu akan setanding dengan negara-negara Eropah apabila merancang untuk melaksanakan sistem E-Invoice bagi cukai menjelang 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, langkah proaktif itu juga akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri.
"Alhamdulillah, perbincangan awal mengenai pelaksanaan E-Invoice di Negeri Terengganu telah memberikan gambaran yang jelas dan positif.
"Ini adalah langkah proaktif yang perlu diteruskan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan hasil negeri," ujarnya dalam satu kenyataan di facebooknya, di sini, baru-baru ini.
Tambah Khuzaini dengan pelaksanaan E-Invoice itu juga Terengganu akan berpeluang bukan sahaja berupaya mengoptimumkan kutipan cukai malah akan turut memperbaiki sistem pengurusan kewangan.
"Ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk mengikuti arus kemajuan global," katanya.
23 Dec 24
269