lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan hari ini.  Bantuan yang diterima dalam bentuk mesin proses santan, kereta tolak dan beberapa peralatan perniagaan lain diharapkan dapat memberikan dorongan baru untuk memperkasa perniagaannya yang dimulakan pada Mac 2024. Rozimah, yang memulakan perniagaannya tanpa pengalaman, berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.  “Saya sangat terharu dengan kehadiran Yang Berhormat (YB)  Ariffin dan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada hari ini.  “Saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini, apatah lagi dalam keadaan yang baru memulakan perniagaan,” ujarnya dengan nada penuh emosi. Beliau juga meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada kerajaan negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada peniaga kecil sepertinya.  “Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB  dan kerajaan negeri.  “Semoga mereka dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dan dipermudahkan segala urusan,” katanya. Ibu kepada tiga orang anak itu memulakan perniagaan santan di Bukit Payung sebelum berpindah ke halaman rumahnya pada Mei 2024.  Walaupun tanpa pengalaman dan menghadapi pelbagai cabaran, dia tetap bersemangat untuk terus menjalankan perniagaan demi masa depan keluarganya.  Bantuan yang diterimanya hari ini diharap dapat meringankan beban dan memberi impak positif dalam memperkembangkan lagi perniagaannya.
31 Dec 24
246
Lombong REE : Kerajaan Negeri Perkemas SOP Elak Pencerobohan Haram
Lombong REE : Kerajaan Negeri Perkemas SOP Elak Pencerobohan Haram
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri sedang memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani kemungkinan kes kecurian sumber hutan dan pemburuan haram apabila perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini bermula kelak. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pencerobohan susulan adanya akses jalan ke lokasi perlombongan. "Ketika ini projek perlombongan REE di negeri ini masih di peringkat eksplorasi serta persampelan. "Jadi ada kebarangkalian (pencerobohan) apabila dah ada akses jalan ke kawasan perlombongan, pemburu atau pembalak haram boleh masuk," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia 2024/2025 dan Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan serta Pelancaran Lagu Tranung Dok Rilek di Mayang Mall, hari ini. Bagaimanapun tegas beliau, setakat ini tiada kes pencerobohan hutan dan pemburuan haram dilaporkan berlaku. Mengulas lanjut katanya, kerajaan tidak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas baru, sebaliknya jawatankuasa khas sedia ada akan diperkemas dan ditingkatkan apabila perlombongan REE mula beroperasi. "Jawatankuasa khas dianggotai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah diwujudkan bertujuan mengaktifkan kekerapan rondaan, termasuk di kawasan perlombongan REE. "Kita sudah mempunyai maklumat jumlah keseluruhan harimau dan gajah yang berada di hutan simpan di negeri ini dan jika berlaku kehilangan, tindakan mengesan akan segera dilakukan," katanya.
31 Dec 24
129
Terengganu Salur RM2 Juta Bantu Usahawan Kecil Tahun 2024
Terengganu Salur RM2 Juta Bantu Usahawan Kecil Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Kerajaan negeri terus memberikan komitmen tinggi dalam menyokong usahawan kecil dengan menyalurkan hampir RM2 juta sepanjang tahun 2024 melalui pelbagai inisiatif. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang memperluas lagi bantuan kepada usahawan pada tahun 2025.  Menurutnya, selain pinjaman melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), yang menawarkan pinjaman sehingga RM30,000 bagi setiap penerima, kerajaan juga bercadang menghidupkan semula geran perniagaan bergantung kepada kemampuan kewangan negeri. “Pada tahun 2024, hampir RM2 juta telah dibelanjakan melalui TUGAS, manakala tahun sebelumnya jumlah itu mencecah RM3 juta, pernah juga kami salurkan hingga RM6 juta dalam setahun.  “Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dengan lebih baik pada tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas selesai Program Komuniti Usahawan, di sini semalam. Dalam program tersebut, bantuan peralatan perniagaan bernilai RM15,000 telah diagihkan kepada empat usahawan terpilih di Kampung (Kg) Padang Mengkuang, Kg Pak Madah, dan kawasan sekitar Bukit Payung. “Kerajaan negeri amat prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh usahawan kecil.  “Hari ini, setiap penerima menerima bantuan bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya.  Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan dalam bentuk barangan seperti mesin kukur kelapa, alatan membuat kuih-muih, dan peralatan lain yang relevan dengan jenis perniagaan penerima.  “Langkah ini bertujuan meringankan beban para usahawan, khususnya mereka yang menghadapi cabaran seperti modal terhad atau kerosakan aset. “Bantuan ini bukan sekadar sumbangan, tetapi satu usaha untuk memperkasakan komuniti perniagaan secara menyeluruh.  “Kami mahu mereka terus maju dan mampu berdaya saing,” jelasnya. Dalam masa sama, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Pusat Khidmat Masyarakat(PKM) dan wakil rakyat untuk memastikan sumbangan diagihkan secara adil di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. “Setiap kawasan akan ditentukan jumlah penerima berdasarkan keperluan, agar bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan. “Walaupun menghadapi kekangan masa, kami tetap komited untuk memberikan yang terbaik demi kelangsungan usahawan kecil di negeri ini,” ujarnya.  
31 Dec 24
309
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk mewujudkan Lampu Isyarat pintar bagi mengawal kesesakan lalu lintas yang makin kerap berlaku pada akhir-akhir ini apabila Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong. Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif berkata, untuk peringkat permulaan pihaknya bercadang untuk mewujudkan enam lampu isyarat dahulu. Ujarnya, lampu isyarat itu merupakan salah satu elemen dalam pelan tindakan menjadikan Kuala Terengganu sebagai 'Smart City'. "Perkara ini telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah semasa melancarkan pelan tindakan 'Smart City Negeri Terengganu' dan akan dibuat mengikut keutamaan rakyat. "Sekarang ini kita berhadapan isu trafik, jadi kita akan mulakan dengan 'smart traffic light' yang telah disiapkan dokumen ,tunggu iklan untuk pengambilan tender sahaja,"ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang medianya selepas menghadiri Masli pelancaran Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Taksiran, di Menara MBKT, Tingkat 6, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, lampu isyarat pintar itu akan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dengan aliran trafik itu akan dikawal dari menara MBKT. "Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku sekarang kita tidak berniat untuk ubah laluan untuk menjadikan laluan di Jambatan Angkat satu hala. "Kerana untuk melakukan perkara tersebut perlu juga mengambil kira parameter perniagaan supaya ia tidak akan mendatangkan kesan kepada peniaga-peniaga yang merupakan rakyat negeri Terengganu sendiri,"ujarnya.  
31 Dec 24
1785
Kenaikan Tarif Elektrik Tambah Derita Rakyat
Kenaikan Tarif Elektrik Tambah Derita Rakyat
Oleh : Muhammad Izzat Muslim KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kenaikan tarif elektrik yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dibimbangi bakal menambah derita rakyat yang sudah tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan penjelasan lanjut berikutan kenyataannya berkaitan isu kenaikan tarif elektrik. Katanya, sekiranya kenaikan tarif sebanyak 14 peratus berkuatkuasa pada tahun 2025, ia boleh menggugat usaha kerajaan untuk menstabilkan kos sara hidup rakyat. “Sekalipun data ekonomi dan mata wang Malaysia setakat ini didakwa menunjukkan semakin naik dan sebagainya, tetapi ia tidak ‘merakyat’. “Ia tidak sampai kepada rakyat dalam bentuk harga barang yang lebih murah di mana harga barang tetap naik juga”, ujar beliau. Tambah beliau lagi, kenaikan tarif elektrik tentu akan memberi impak secara langsung kepada isi rumah dan perniagaan.  Akan tetapi, jelasnya kenyataan terkini daripada Perdana Menteri mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan rakyat sangat luar biasa, “Isu kenaikan tarif elektrik sudah lama dibincang semasa kita di dalam Perikatan Nasional (kerajaan), tetapi kita mengambil kira keadaan rakyat dan mengambil Keputusan untuk menangguhkan kenaikan tersebut. “Tetapi apabila Anwar menyebut kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat saya rasa kenyataan itu terlalu mudah. “Seolah-olah tidak mengambil kira terhadap kesusahan rakyat yang ada sekarang," jelasnya. Oleh itu tegas beliau, kerajaan perlu memastikan kenaikan tarif ini jika tetap mahu dilaksanakan, ia mestilah berjalan secara berperingkat dan diimbangi dengan sokongan yang sesuai kepada golongan yang memerlukan, seperti melalui subsidi atau bantuan lain. 
30 Dec 24
573
APC Bulanan WDI Pencetus Kecemerlangan
APC Bulanan WDI Pencetus Kecemerlangan
KUALA TERENGGANU, 30 Disember – Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 menjadi pencetus azam kepada tenaga kerja kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadi lebih cemerlang. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia berkata, penyampaian anugerah itu bertujuan bagi meningkatkan mutu dan daya hasil kerja dalam kalangan penjawat awam terutamanya di Wisma Darul Iman untuk menjadi lebih proaktif dan produktif dalam menjalankan tugas. Seramai 20 orang penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit Wisma Darul Iman telah terpilih menjadi penerima APC bulanan WDI bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun 2024. Beliau berharap bahawa pemberian anugerah wang berjumlah RM500 dan sijil penghargaan itu bakal menjadi pemangkin dan penanda aras kepada semua penjawat awam di Wisma Darul Iman untuk terus mengekalkan prestasi yang baik. Beliau juga menekankan bahawa keinginan untuk mengubah diri adalah salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan kendiri dan kecemerlangan yang berterusan. “Walaupun dengan sistem baik yang ada di Wisma Darul Iman ini sekalipun, jika kita tidak ingin berubah kita akan kekal berada di takuk yang lama. “Justeru, untuk menjadi cemerlang, kita harus beriltizam untuk berubah dari segala segi dan muhasabah akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. “Untuk mencipta masa depan yang lebih baik, kita harus mencabar diri dengan memikirkan langkah-langkah baru yang lebih efisien dan relevan dalam setiap cabaran kerja seharian. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.  
30 Dec 24
33
Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terengganu melakar sejarah apabila melaksanakan hukuman sebatan syariah di luar penjara semalam, satu langkah signifikan dalam mendukung undang-undang Islam di negeri dan negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen negeri untuk mendidik masyarakat dan menegakkan keadilan berlandaskan Islam.  “Hukuman ini dikenakan terhadap pesalah khalwat kali ketiga yang ditentukan oleh Mahkamah, menandakan langkah awal negeri ini dalam mendaulatkan undang-undang Islam secara menyeluruh. “Ini bukan sekadar hukuman fizikal, tetapi satu peringatan untuk kita semua bahawa undang-undang Islam bertujuan memupuk kesejahteraan, menitikberatkan prinsip keadilan, dan kasih sayang. “Dalam Islam, hukuman ini adalah simbolik, untuk mendidik dan membawa kesedaran,”katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini. Menurut Muhammad Khalil, hukuman tersebut dilaksanakan berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.  “Garis panduan telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Alat sebatan yang digunakan ringan, dan pelaksanaannya memastikan tiada kecederaan fizikal pada pesalah. “Hukuman ini berbeza dengan sebatan sivil yang lebih menyeksakan pesalah,” jelas beliau. Dr. Muhammad Khalil menjelaskan bahawa kehadiran semasa pelaksanaan juga dikawal rapi. “Had bilangan yang dibenarkan hadir adalah seramai 70 orang sahaja, tidak termasuk barisan petugas. “Setiap prosedur dilaksanakan dengan cermat bagi memastikan hukuman ini berjalan lancar dan mematuhi syarat syariah,” tambahnya. Kerajaan Negeri turut mengutamakan usaha mendidik masyarakat tentang keadilan dalam hukuman syariah.  “Kami akan mempergiatkan program penerangan dan pendidikan agar rakyat memahami maksud sebenar undang-undang syariah ini. “Kami perlukan sokongan rakyat supaya pelaksanaan ini dapat dijalankan dengan harmoni tanpa salah faham atau polemik yang tidak perlu,” kata beliau. Beliau berharap langkah ini menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk mengangkat martabat undang-undang syariah di negara ini.  “Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik. “Terengganu mahu menunjukkan bahawa pentadbiran Islam yang adil dan berhemah boleh diwujudkan. “Semoga pelaksanaan ini menjadi permulaan kepada masyarakat yang lebih harmoni, berdisiplin, dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya.
28 Dec 24
735
Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Kerajaan Terengganu menegaskan pihaknya komited dalam mendaulatkan syariat Islam dan undang-undang negara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengatakan perkara tersebut selepas pelaksanaan hukuman sebat syariah yang telah berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu semalam. "Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di negeri ini. "Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah yang berjalan lancar ini telah menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan hukum Islam di negeri ini. "Proses tersebut dijalankan dengan tertib dan mematuhi prinsip keadilan yang digariskan oleh Islam," ujar beliau di dalam kenyataan di Facebook. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses penghukuman itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. "Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini, termasuk pihak Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pihak masjid, pasukan kesihatan dan para pegawai penguatkuasa. "Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil, dan penuh hikmah," tambah beliau. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa tujuan utama hukuman itu bukan hanya untuk menghukum, tetapi sebagai bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan agar masyarakat lebih dekat dengan nilai-nilai Islam. "Usaha ini menjadi contoh pelaksanaan syariah yang bakal memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. "Justeru itu, pelaksanaan hukuman ini bukanlah sekadar mengenai penghukuman, tetapi turut memainkan peranan yang lebih besar dalam struktur agama, sosial dan moral masyarakat," katanya. Untuk rekod, hantaran yang telah menerima 1.8 ribu ‘likes’ dan 99 perkongsian itu telah menerima komen-komen positif, jelas menunjukkan bahawa masyarakat menzahirkan sokongan mereka dalam pelaksanaan hukuman berlandaskan syariah.  
28 Dec 24
479
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sangat menghargai pembayar cukai taksiran premis perniagaan. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 100 orang yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah itu merupakan pembayar-pembayar cukai taksiran yang setia menjalankan aktiviti perniagaan di premis MBKT. "Ini merupakan suatu inisiatif yang dilakukan oleh MBKT bagi memberi galakan kepada warganya untuk membayar cukai. "Juga merupakan satu penghargaan kepada pembayar-pembayar cukai yang membayaranya pada awal waktu. "Hasil pembayaran cukai ini adalah digunakan oleh pihak MBKT bagi menjamin keselesaan, kesenangan serta kesejahteraan yang manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga termasuklah mereka yang mencari rezeki dengan peniagaan dan sebagainya dalam kawasan pentadbiran MBKT," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui ketika sidang medianya, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Porgram Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Cukai Taksir, di Menara MBKT baru-baru ini. Dalam pada itu Wan Sukairi memaklumkan cukai pintu kediaman rakyat di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bermula 2019. "Sehingga sekarang kita masih menanggung kos tersebut, cukai itu dikenakan kepada semua rumah-rumah kediaman, cuma ia dibayar oleh kerajaan negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya.  
26 Dec 24
97
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Disember – Sejarah baharu akan tercipta apabila Terengganu tetap akan melaksanakan hukuman sebat syariah di luar penjara di sebalik bantahan sebilangan kecil kumpulan tertentu. Hukuman ini akan dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebagai usaha memperkasa undang-undang syariah secara praktikal dan mendidik masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak. “Kami telah diberikan taklimat oleh pihak mahkamah bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, dan agensi lain.  “Persiapan dilakukan supaya pelaksanaan esok berjalan lancar dan teratur,” katanya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan tapak hukuman di Masjid Ladang, di sini hari ini. Beliau menjelaskan bahawa hukuman ini bukan hanya bertujuan menghukum pesalah tetapi sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.  “Pelaksanaan terbuka ini bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai agar memahami hikmah di sebalik undang-undang syariah,” jelasnya. Dr. Khalil juga mengakui terdapat bantahan daripada pelbagai pihak, namun kerajaan negeri tetap komited melaksanakan hukuman ini.  “Walaupun ada kritikan, kami percaya ini langkah tepat untuk memperkasa undang-undang syariah, yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara,” tambah beliau. Beliau juga menyeru umat Islam mendoakan kelancaran pelaksanaan hukuman ini.  “Doa masyarakat amat penting agar segala urusan esok berjalan dengan baik dan memberi kesan positif kepada semua. “Pelaksanaan ini menjadi titik perubahan dalam sejarah undang-undang syariah negara, bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah serius untuk mendidik dan memperkasa masyarakat secara berkesan,” ujarnya.  
26 Dec 24
1292