lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. "Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak. "Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat. "Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. "Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.  
03 Jan 25
165
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
EPIC Berhad Menang Kontrak Utama Baharu daripada PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Syarikat Berkaitan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), melalui anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), berjaya meraih kontrak selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali). Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan, dan Pengubahsuaian (Maintenance, Commissioning, and Modification-MCM) dan Penyambungan dan Pentauliahan (Hook-Up and Commissioning-HUC) Pan Malaysia bagi Pakej A2– (Aset Semenanjung Malaysia (Peninsular Malaysia Asset-PMA)–Gas). Katanya, kontrak berkenaan memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemapanan aset dan kecekapan operasi PETRONAS Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa hadapan. “Ia akan berkuat kuasa sehingga September 2029, dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun, diikuti dua tahun tambahan, sekali gus meletakkan EOGSB dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan mampan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara. “Pihak syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada PETRONAS Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi dalam sektor minyak dan gas. “Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamat untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara,” jelasnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, EOGSB memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.  “Syarikat sebelum ini telah dianugerahkan kontrak Penyelenggaraan, Pembinaan, dan Pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI). Bernilai RM500 juta, kontrak enam tahun termasuk satu tahun lanjutan tersebut telah bermula pada 17 Julai 2018 dan tamat pada 31 Disember 2024. “Selain kontrak besar dan utama tersebut, EOGSB baru-baru ini juga telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran PETRONAS bagi kerja-kerja Pembinaan dan Pengubahsuaian (Construction and Modifications Works - CMW),” ujarnya. Katanya, kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi ini meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.  “Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah. “Dengan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama, EPIC Berhad berada dalam haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara,” katanya.
02 Jan 25
2725
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
02 Jan 25
94
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk mewujudkan Lampu Isyarat pintar bagi mengawal kesesakan lalu lintas yang makin kerap berlaku pada akhir-akhir ini apabila Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong.
01 Jan 25
132
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang.
01 Jan 25
233
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton
KUALA NERUS, 1 Januari - Si cilik, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al-Hakim dari Kuala Terengganu berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kepetahan berpidato dengan intonasi serta gaya yang cukup menyakinkan di Malam Munajat Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri . Anak kecil yang baru berusia enam tahun menceritakan perjalanan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW tanpa rasa gentar di pentas utama dengan lebih 15 ribu penonton di hadapannya. Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)  Al-Furqan itu sangat teruja dan gembira kerana menyampaikan pidato di khalayak umum seumpama itu merupakan pengalaman pertama dan sangat berharga tanpa rasa takut. "Saya rasa bangga dan sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyampaikan pidato di pentas seumpama ini di hadapan orang dewasa. "Saya tidak gementar kerana telah menerima bimbingan yang cukup baik oleh guru PASTI serta ibu dan bapa saya sendiri yang bersungguh-sungguh melatih saya untuk memastikan perjalanan saya hari ini berjalan lancar. "Sebelum ini saya muncul Johan Pidato pada program Alam Ria PASTI peringkat Malaysia,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam. Tambah Hamidah, dia berazam untuk melangkah jauh ke hadapan bagi terus mengharumkan nama Terengganu dan akan membawa nama baik PASTI. Sementara itu, ayahnya, Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Radzi, 32, berkata, bakat yang ada pada diri Hamidah telah dikesan oleh Guru PASTI sejak berusia lima tahun. "Di PASTI penguasaannya terhadap ilmu menulis, membaca, menghafal al-Quran begitu cepat, Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana berikan kepadanya ingatan yang kuat. "Ketika berusia lima tahun, dia pernah menyertai pertandingan Hafazan Terbuka Anjuran Alam Ria PASTi peringkat negeri namun tidak muncul sebagai juara pada ketika itu kerana lelah, dan kemudiannya sekali lagi menyertai Hafazan Terbukan Anjuran Sri Showme dan telah muncul sebagai juara," ujarnya. Setelah mengetahui bakatnya dalam pidato, dia dan isteri, Hasmah Darwis, 31, bekerjasama dengan gurunya membimbing Hamidah dengan memastikan Hamidah sentiasa berlatih dan menghafal teks dari sudut gaya serta intonasi. "Pada bulan Januari ini, dia akan menyertai pertandingan antarabangsa untuk kategori sajak yang dianjurkan oleh 'Global Arts, Sports And Culture Association',"katanya. Dalam pada itu, Muhammad Lukman menasihatkan mana-mana ibu bapa yang melihat kebolehan serta bakat yang ada pada anak mereka agar memberikan dorongan serta galakan. "Dengan mengesan bakat yang ada pada diri mereka, kita cuba bantu dan dorong anak-anak agar mereka dapat pergi jauh dengan bakat yang mereka miliki,"katanya.  
01 Jan 25
2156
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
Terengganu Rekod 7.8 Juta Pelancong Pada 2024
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Statistik pelancongan di Terengganu bagi tahun 2024 menunjukkan prestasi yang amat membanggakan, apabila jumlah kedatangan pelancong melebihi sasaran awal dengan angka yang mencecah 7.8 juta orang. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sambutan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini tahun ini adalah amat memberangsangkan. “Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya melepasi sasaran awal, yang pada mulanya dijangka sebanyak 3.5 juta, kini mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong. "Namun, untuk sasaran tahun depan, kami masih belum menetapkan angka pasti kerana kami sedang menguji satu formula baru yang dijangka memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KTBM) 2024/2025 di Mayang Mall, semalam. Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.   Dalam pada itu, Razali turut mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka formula baharu untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) daripada kehadiran pelancong. Katanya, ia termasuk menilai perbelanjaan mereka, serta mengenal pasti latar belakang demografik pengunjung, sama ada daripada golongan berpendapatan tinggi atau rendah. “Kami sedang mencari kaedah baru untuk menilai ROI berdasarkan kehadiran pelancong sebanyak 7.8 juta. "Kami ingin melihat berapa banyak yang dibelanjakan, dan mengetahui jenis pelancong yang datang ke sini,” katanya. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua program pelancongan akan dikendalikan oleh pegawai daerah tanpa perlu melibatkan pihak ketiga. Menurutnya lagi, setiap program di daerah-daerah yang berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerahnya sebagai 'person in charge'. "Setiap program utama dan acara kecil yang dianjurkan di daerah akan diuruskan oleh pegawai daerah masing-masing," katanya. Tambah beliau, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu adalah penganjuran acara-acara bermusim di setiap daerah. "Sebagai contoh, Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya. "Walaupun beberapa program baharu belum dimasukkan dalam senarai acara pelancongan 2025, acara-acara bermusim yang mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dijangka akan diteruskan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun depan, sebagai usaha untuk terus meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," katanya.  
01 Jan 25
453
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
KUALA NERUS, 1 Januari - Hampir 15,000 orang ramai menyambut ketibaan tahun baru 2025 di Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian yang sarat program keagamaan. Yang Dipertua Dun, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bagi memastikan perjalanan dalam menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat. "Malam ini, kita adakan munajat sempena memasuki tahun baharu 2025, kita sama-sama berdoa semoga pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan. "Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu,"ujarnya ketika berucap merasmikan program Malam Munajat "Indahnya Hidup Bersyariat" di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau  juga berkata, ia menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 ini, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini. "Kita juga berhajat agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya, insya-Allah," ujarnya.  
01 Jan 25
532
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut  bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan. "Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'. "Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam. Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama. "Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja. "Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama. "Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya. Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa. "Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.  
01 Jan 25
211
Karnival Beautiful Terengganu Malaysia Sasarkan 100,000 Pengunjung
Karnival Beautiful Terengganu Malaysia Sasarkan 100,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Kerajaan negeri  melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu untuk menghadiri Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024/2025 bermula pada 29 Januari sehingga 1 Disember 2025. KBTM 2024/2025 yang sedang berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu  telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 25 acara ikonik dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu. Acara tersebut dijangka menjadi pembuka tirai bagi merancakkan industri pelancongan negeri pada tahun hadapan. Sepanjang empat hari penganjuran, KBTM menawarkan lebih 30 aktiviti menarik termasuk pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025, serta lagu tema terbaru Terengganu, "Dok Rilek". Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan Tunas SUKTRA, pertandingan mewarna, kuiz Kahoot yang disediakan oleh Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu, serta pelbagai aktiviti interaktif lain. Karnival itu juga menyajikan persembahan seni dan budaya tradisional Terengganu seperti angklung, kertuk ulu, permainan rakyat, dan ‘busking’. Program keagamaan turut diadakan untuk merayakan warisan budaya negeri. Selain itu, 15 gerai jualan makanan turut disediakan, menjanjikan pengalaman gastronomi yang memukau pengunjung. Sebanyak lapan daerah dan beberapa agensi swasta turut terlibat dalam karnival ini, menyediakan ruang pameran yang menawarkan aktiviti kreatif, berinformasi, dan interaktif. Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian termasuk Kampung Budaya Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Muzium Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Penganjuran KBTM dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti tempatan dengan memperluaskan rantaian ekonomi dan meningkatkan kesedaran tentang keunikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa. Salah satu tarikan utama karnival ini adalah pertandingan lagu "Terengganu Dok Rilek" yang telah menerima penyertaan daripada lebih 30 individu dari seluruh negara.  
31 Dec 24
892