lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun bagi meminimakan kesan hakisan pantai di negeri ini perlu dilakukan. Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. “Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini. “Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kajian dilakukan pasukan penyelidik UMT, langkah hibrid dilihat berpontesi mengawal isu hakisan pantai.  “Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan. “Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya. Tambah beliau, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna. “Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar. “Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” ujarnya.  
15 Jan 25
624
106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
106 Mangsa Terkesan Fenomena Air Pasang, Ombak Besar Berlindung di PPS
KUALA TERENGGANU – Seramai 106 mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 4 petang ini, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman. “Manakala seramai 14 mangsa daripada lima keluarga terpaksa berlindung di PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun,” ujarnya. Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor hingga 18 Januari. Justeru, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.   
14 Jan 25
152
Keuntungan Selepas Cukai Terengganu Inc Dijangka Naik 200 Peratus
Keuntungan Selepas Cukai Terengganu Inc Dijangka Naik 200 Peratus
KUALA TERENGGANU, 13 Januari – Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat pelaburan strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dijangka naik melebihi 200 peratus bagi 2024 berbanding 2023. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan laporan kewangan terakhir untuk tahun 2024 yang masih belum diaudit, pendapatan dijangka meningkat kepada RM21.6 juta. “Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding RM18.7 juta pada tahun 2023. “Manakala dari segi keuntungan selepas cukai (PAT), prestasi Terengganu Inc dijangka meningkat dengan begitu memberangsangkan. “Iaitu kenaikan melebihi 200 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu berjumlah RM10.6 juta pada tahun 2024 dan RM3.3 juta pada tahun 2023," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran melalui akaun Facebook rasminya semalam. Menurut Ahmad Samsuri, bagi tahun ini pula, Terengganu Inc menyasarkan jumlah hasil pendapatan mencecah sehingga RM2.27 bilion. Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau menyeru seluruh kakitangan untuk terus bekerja keras sebagai satu pasukan "Setiap individu mempunyai peranan penting dalam mencapai kejayaan organisasi. “Kita berada dalam satu perjalanan yang mencabar tetapi tidak mustahil untuk dicapai atau dilaksanakan,” tegasnya. Beliau turut mengimbau perjalanan Terengganu Inc sejak kerajaan negeri mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mei 2018, sambil mengaitkan pencapaian organisasi itu dengan pepatah motivasi daripada filem-filem ikonik antarabangsa.
13 Jan 25
1037
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kerajaan negeri dalam perancangan untuk merancakkan lagi sektor perikanan di negeri tersebut dengan melabuhkan 140 unit tukun tiruan pada tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setiap daerah kecuali Hulu Terengganu akan diperuntukkan 20 unit tukun tiruan pada tahun ini. “Bagi tahun 2025, kita (kerajaan negeri) target untuk melabuhkan 20 unit tukun tiruan bagi setiap daerah kecuali Hulu Terengganu. “Bermakna kita akan melabuhkan 140 unit tukun dengan peningkatan 40 unit ketimbang 100 unit pada tahun 2024. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya, semalam. Dalam usaha yang sama, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan berjumlah  RM13 juta, bermula sejak tahun 2006 sehingga tahun lepas. Dalam pada itu, beliau yang juga ahli dewan undangan (ADUN) Jabi, turut menjelaskan bahawa sektor perikanan air tawar juga akan diberikan insentif bagi memenuhi keperluan nelayan darat di kawasan Hulu Terengganu.     “Hulu Terengganu walaupun ada Pantai Ali, tapi kita tak dapat nak labuh tukun. “InsyaAllah, kita ganti dengan program pelepasan benih anak ikan ke sungai dan tasik sebagai sumber rezeki nelayan darat,” tambah beliau. Untuk makluman, Terengganu juga termasuk antara negeri yang berada di kedudukan teratas dalam pengeluaran benih ikan, menghampiri satu billion ekor pada tahun 2020.
13 Jan 25
314
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit Ditutup Sepenuhnya
KUALA NERUS, 13 Januari - Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, ditutup sepenuhnya apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi. Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini. Tinjauan pagi tadi mendapati, terdapat rekahan baru dan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak pada malam ini  dikatakan lebih tinggi mencecah sehingga tiga meter dengan kelajuan angin yang lebih kuat. Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ali, 69, berkata sepanjang hidupnya, itulah pertama kali dia berhadapan hakisan paling teruk di Pantai Batu Rakit. “Sejak tahun kebelakangan ini, ombak makin dekat dan mengganas pada musim tengkujuh membuatkan kami semua rasa takut dengan situasi itu. “Kalau dulu kami ada pantai yang indah tetapi kini sebahagian besar hilang ditelan ombak termasuk kediaman, kedai dan tanah perkuburan yang turut musnah,” katanya. Berkongsi keresahan, Mohd Nor melahirkan kebimbangan jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berwajib, tidak mustahil hakisan itu merebak sehingga ke pantai Merang, Setiu. “Segerakan benteng pemecah ombak supaya hakisan ini dapat disekat dan saya mohon terutama kerajaan pusat tolong percepatkannya kerana saya tahu ini bawah peruntukannya,” tambahnya lagi. Bagi Zamri Mohamad, 51, dia merasa sedih melihat tempat permainan zaman kecil telah lenyap apabila daratan pasir memutih kini hilang dari pandangan mata. “Dulu kawasan pantai dengan pasir lebih kurang 500 meter dari jalan raya tapi kini angkara ombak… semua itu telah lenyap dan hanya tinggal kenangan. “Redha tetapi tolong percepatkan benteng atau apa jua cara supaya kami tidak kehilangan lebih banyak memori di tanah kelahiran yang mana satu hari nanti  tidak mustahil ia akan hanya tinggal sejarah,” katanya.
13 Jan 25
1111
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
Hakisan : Terpaksa Punggah Kedai Elak Bencana Lebih Teruk
KUALA NERUS, 13 Januari - Enggan mengambil risiko kerugian, pemilik francais Kopi Payung Batu Rakit terpaksa memunggah sebahagian kedainya sebelum runtuh dibadai ombak. Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat situasi semakin memburuk sejak semalam. "Apa yang boleh kita selamatkan, saya bawa keluar barang-barang sejak semalam ekoran ombak yang sangat tinggi sampai cecah atap. "Pagi ni kita cabut atap dan tengok esok macam mana keadaannya kerana pokok kelapa depan kedai dah tumbang semuanya ke dalam laut," ujarnya ketika ditemui. Tambahnya, hakisan tetap berlaku walaupun terdapat timbunan batu menghalang di hadapan kedainya yang dibuat sejak tahun 2023. "Benteng batu berkenaan nampaknya tidak berupaya melawan ombak ganas pada kali ini. "Ini kerana batu-batu berkenaan makin mendap menyebabkan ombak berjaya menghakis tebing," ujarnya. Dia yang kerugian lebih separuh pendapatan sejak kejadian hakisan itu terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya. "Kita cuba berniaga dulu di kawasan tanah lapang depan kedai tapi jika  masih berisiko maka terpaksalah mencari lokasi baru untuk memulakan perniagaan," jelasnya. Dalam masa sama, dia berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat mencari solusi bagi masalah hakisan itu demi kebaikan semua pihak.  
13 Jan 25
1344
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1.
13 Jan 25
106
Hakisan Pantai Batu Rakit Kritikal, Kerajaan Terengganu Salur Bantuan RM80,000
Hakisan Pantai Batu Rakit Kritikal, Kerajaan Terengganu Salur Bantuan RM80,000
KUALA NERUS, 13 Januari – Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan segera bernilai RM80,000 untuk menangani masalah hakisan yang semakin parah di Pantai Batu Rakit, yang kini mengancam lebih enam buah rumah, jalan raya, serta kawasan perkuburan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di Kampung (Kg) Pengkalan Maras. “Setakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan RM50,000 minggu lalu untuk membina benteng batu di kawasan perkuburan. “Hari ini, RM30,000 lagi diluluskan untuk melaksanakan gotong-royong menyelamatkan rumah yang terancam,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit. Beliau menegaskan bahawa usaha segera ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan penduduk. “Kami mahu pastikan semua penduduk selamat, baik nyawa mahupun harta benda mereka. “Walaupun jalan raya dan sebahagian rumah sukar diselamatkan, kami tetap berusaha sedaya upaya,” tambahnya. Menurut Mohd Shafizi, sehingga kini, empat keluarga telah dipindahkan dari kawasan berisiko di Pantai Batu Rakit ke Kg Kolam, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. “Alhamdulillah, keluarga yang dipindahkan kelihatan ceria dan berterima kasih atas usaha ini. “Keutamaan kami adalah keselamatan dan juga nyawa mereka,” ujar beliau. ADUN Batu Rakit turut menjelaskan bahawa ancaman hakisan masih berterusan dengan beberapa rumah dan kedai turut menjadi mangsa. “Mangsa hakisan kini kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian, menjadikan keadaan semakin meruncing. “Hakisan bukan sahaja memusnahkan rumah, malah ia turut meranapkan kedai-kedai yang menjadi sumber rezeki penduduk.  “Kita memohon doa daripada semua pihak agar Allah melindungi mangsa-mangsa ini, terutama rumah-rumah yang masih terancam,” jelasnya. Mohd Shafizi turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang tampil membantu, termasuk kontraktor dan syarikat swasta. “Saya ingin berterima kasih kepada GPQ Sdn. Bhd. dan Aen Projek, yang merupakan anak jati kampung ini, atas keprihatinan mereka. “Sumbangan batu daripada Rimbun Tekad Sdn. Bhd. sangat bermakna kepada penduduk dalam usaha membantu mengawal hakisan. “Dengan sumbangan ini, kami mengharapkan keberkatan dari Yang Maha Esa, semoga urusan penyumbang dan penerima dipermudahkan. Kami percaya, dengan doa dan sokongan semua, masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.  
13 Jan 25
3437
THT Belasah TNB-T 6-1
THT Belasah TNB-T 6-1
KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terus mengekalkan kecemerlangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatatkan kemenangan buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 6-1 semalam. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk itu menyaksikan THT memulakan perlawanan dengan cemerlang. THT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari. Tidak menunggu lama, THT menambah jaringan kedua pada minit ke-19 menerusi Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Faris Hamzan, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 2-0. TNB-T tidak menyerah begitu sahaja dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan satu pukulan penalti sudut untuk menjadikan skor 2-1. Bersambung babak berikutnya, perlawanan menjadi lebih sengit, THT kembali melebarkan jurang jaringan pada minit ke-41, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari, menghantar bola dari garisan tengah padang yang kemudiannya disambut baik oleh Syarman Mat Tee untuk menambah gol ketiga bagi THT, 3-1. Tidak lama selepas itu, pada minit ke-43, Faizal Saari sekali lagi menjaringkan gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, memperkukuhkan kedudukan THT dengan 4-1. Walaupun THT gagal menambah jaringan menerusi beberapa peluang penalti sudut, mereka tetap terus menguasai permainan. Pada minit ke-52, Muhammad Amirul Hanif Mamat menjaringkan gol kelima selepas satu serangan pantas, membawa THT mendahului 5-1. Menjelang minit ke-57, THT mengesahkan kemenangan bergaya dengan jaringan kedua dari Muhammad Akhimullah, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1. Dengan kemenangan ini, THT terus berada dalam landasan kemenangan dan dijadualkan untuk bertemu Armed Forces HT pada 15 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
13 Jan 25
97
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
14 Tahun Penduduk Kampung Darat Hidup Tanpa Elektrik
SETIU, 13 Januari – Setelah 14 tahun hidup dalam kegelapan, keluarga Tumiran Munawar dan penduduk Kampung Darat, Batu Rakit akhirnya dapat menikmati kemudahan elektrik yang amat mereka dambakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini, Tumiran, 73, dan keluarganya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada generator untuk meneruskan kehidupan seharian mereka sejak mereka mula menetap di kampung tersebut pada tahun 2010.  Katanya, setiap tahun, keluarga ini terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menggantikan generator yang rosak, sehingga kini mereka telah menukar sebanyak tujuh generator. "Keadaan ini sangat membebankan mereka. Bayangkan, di tengah kesulitan hidup sebagai petani, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang tidak menentu.  "Tumiran dan isterinya, bersama anak-anak, juga menggunakan lampu solar sebagai sumber pencahayaan yang terhad. Tiada peluang untuk menikmati kemudahan asas yang dianggap biasa oleh ramai orang," kata Mohd Shafizi. Menurut beliau, kehidupan mereka akhirnya berubah dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, suasana yang dulunya suram dan gelap kini penuh dengan cahaya, memberi harapan baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.  "Alhamdulillah, hari ini, kehidupan mereka berubah. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada generator yang sering rosak, dan boleh menikmati keselesaan hidup yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan," tambahnya dengan penuh rasa syukur. Menurut Mohd Shafizi, projek pemasangan bekalan elektrik ini melibatkan pemasangan 69 tiang elektrik, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada keluarga Tumiran, tetapi juga seluruh penduduk Kampung Darat.  "Dengan adanya bekalan elektrik yang stabil, penduduk setempat kini boleh merancang untuk membangunkan rumah, mengusahakan pertanian, dan membuka peluang pekerjaan baru. "Harapan saya, projek ini bukan sekadar memberi kemudahan elektrik, tetapi juga membuka jalan kepada pembangunan yang lebih pesat dan memberi peluang kepada penduduk untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik," katanya, penuh optimis. Beliau turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, yang diketuai oleh Pengurus Besar, Ir. Mohamad Mohyddin Mohamed Nor, serta seluruh pasukan TNB dan kontraktor yang telah berusaha gigih merealisasikan projek ini.  "Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya hulurkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Kerjasama dan usaha yang berterusan ini telah membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar yang sebelum ini hidup dalam kegelapan.  "Ini adalah bukti bahawa dengan tekad dan sokongan bersama, kita boleh mengubah kehidupan insan lain," ujarnya.
13 Jan 25
211