lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
Hidup Bersyariat Mampu Hindari Hedonisme
Budaya hedonisme yang mementingkan keseronokan melampau perlu dibendung terutamanya dalam golongan belia yang makin berleluasa ketika ini.
13 Jan 25
41
Armada Jak FC Juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Armada Jak FC Juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali HULU TERENGGANU, 13 Januari – Malam penuh aksi di Stadium Mini Kuala Berang menyaksikan Armada Jak FC muncul juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas menundukkan Padang Machang FC dalam perlawanan dramatik yang berakhir dengan jaringan 3-2.  Kemenangan itu bukan sahaja menobatkan Armada Jak FC sebagai juara, tetapi juga membuktikan keunggulan mereka di pentas bola sepak tempatan. Pertarungan bermula dengan penuh intensiti, Armada Jak FC mencipta momentum awal apabila Muhammad Firas bin Mohd Tarmizi (jersi no. 9) meledak gol pembukaan pada minit ke-10, menghidupkan semangat pasukan serta penyokong mereka.  Namun, Padang Machang FC enggan menyerah mudah, mereka bangkit dengan dua gol menerusi jaringan mantap Shahir Nasrul bin Aziz (jersi no. 14) pada minit ke-35 dan ke-55, membuatkan perlawanan bertukar arah. Walaupun ketinggalan, Armada Jak FC tetap tenang, mereka kembali memberi saingan dengan gol penyamaan hasil jaringan Mohammad Syamsul Arif bin Ibrahim (jersi no. 5) pada minit ke-75.  Saat perlawanan seakan menuju masa tambahan, Firas sekali lagi muncul sebagai wira dengan gol kemenangan pada minit ke-90+1, membawa sorakan gemuruh di stadium. Sebagai penghormatan kepada persembahan hebat, penjaga gol Armada Jak FC, Mohd Fazrol Anuar bin Mohamed Hashim, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik atas kehebatannya menjaga gawang sepanjang kejohanan.  Anugerah Pemain Terbaik pula jatuh kepada Mohd Asrol bin Ibrahim (jersi no. 5) dari Padang Machang FC, yang menunjukkan aksi luar biasa sepanjang pertandingan. Sebagai juara, Armada Jak FC membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sebuah piala kejuaraan, serta medal.  Tempat kedua, Padang Machang FC, menerima RM2,000 beserta medal, manakala Parit Che Ha (DPCH) FC dan Kg Baru Ajil FC yang berkongsi tempat ketiga, masing-masing menerima RM1,000 beserta medal. Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 bukan sahaja tentang persaingan, tetapi juga simbol perpaduan masyarakat.  Kejohanan ini sekali lagi berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti tempatan, menjadikan bola sepak sebagai platform yang mengeratkan hubungan antara pasukan dan penyokong. Tahniah Armada JAK FC atas kejuaraan penuh bergaya!   
13 Jan 25
695
Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Hampiri Kawasan Pantai
Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Hampiri Kawasan Pantai
KUALA TERENGGANU, 12 Januari- Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan pantai ketika ini berikutan fenomena angin kencang yang sedang melanda perairan Terengganu. Pengarah Pejabat Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria menjelaskan fenomena tersebut dikhuatiri menyebabkan berlaku risiko pokok tumbang atau struktur binaan runtuh yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap individu. "Kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu ketika ini ialah sekitar 25 kilometer sejam (km/jam). "Memang tinggi berbanding hari-hari biasa iaitu 10-20 km/j pada musim Monsun Timur Laut malah pada malam tadi, kelajuan angin yang direkodkan ialah 40 km/j. "Situasi ini agak berisiko kepada sesiapa sahaja berada di kawasan pantai tanpa sebarang keperluan," katanya seperti dipetik melalui laporan Sinar Harian, hari ini.  Pada Selasa lalu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di enam negeri selama tiga hari bermula Jumaat. MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan terlibat termasuk Terengganu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin. Mengulas lanjut, Rosli berkata, waktu kemuncak berlakunya kejadian angin kencang pada hari ini dan esok. Justeru, Rosli menyatakan orang ramai diminta berwaspada serta menjauhi kawasan pantai bagi memastikan keselamatan sepanjang musim tersebut.
12 Jan 25
335
Bina Benteng Sementara Selamatkan Rumah Hampir Roboh- Hishamuddin
Bina Benteng Sementara Selamatkan Rumah Hampir Roboh- Hishamuddin
KUALA NERUS, 12 Januari – Kerajaan negeri memandang serius masalah hakisan pantai yang hampir memusnahkan sebuah rumah di Kampung Tanjung dekat Batu Rakit  dengan membina benteng sementara sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib Mac depan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata benteng sementara itu akan dibina di kediaman itu secara bergotong-royong  "Penduduk dengan kerjasama pengusaha jentera pengorek (excavator) akan bergotong-royong bina benteng sementara di rumah ini. "Buat masa terdekat ini kita berusaha untuk selamatkan rumah dahulu dan kerja-kerja itu telah bermula hari ini," katanya kepada pemberita. Hishamuddin sebelum itu meluangkan masa melawat keluarga berkenaan pada petang Jumaat lalu untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai masalah dialami. Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, dia bersyukur kerana masalah itu mendapat perhatian ramai termasuk pihak kerajaan negeri. "Saya bersyukur kerana usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saya menyelamatkan rumah ini daripada roboh dan dihanyutkan ombak. "Terima kasih tidak terhingga kepada wakil rakyat yang turut membantu saya dan keluarga mengatasi masalah hakisan ini dalam tempoh terdekat. "Saya harap usaha ini dapat mengurangkan dan melambatkan masalah hakisan di sini sebelum saya memikirkan inisiatif lain bagi menyelamatkan rumah ini untuk tempoh jangka masa panjang," ujarnya. Warga emas berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina atas tanah dibeli dengan nilai RM100,000 itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.
12 Jan 25
1292
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat. “Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan. “Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah. “Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya. Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam. Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat. “Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat. “Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik. “Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau. Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan. Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.   Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat. Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat. “Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.  
11 Jan 25
225
THT: Tiada Masalah Prestasi Pemain Import
THT: Tiada Masalah Prestasi Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Jurulatih pasukan Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Harfizi Baharom, menegaskan bahawa tiada isu berkaitan prestasi dua pemain import pasukan itu, meskipun terdapat kritikan daripada pihak media. Beliau mempertahankan kemampuan kedua-dua pemain import tersebut, yang turut menyertai perlawanan Piala Sumbangsih dalam kempen Liga Hoki Malaysia 2025 baru-baru ini. Dua pemain import THT, Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan dan Lee Nam Yong dari Korea Selatan, masing-masing memainkan peranan penting dalam pasukan. Mohd Harfizi berkata, Samkelo beraksi sebagai penyerang, manakala Lee merupakan pemain serba boleh yang mampu beraksi di pelbagai posisi. “Saya rasa tiada masalah dengan prestasi mereka. Kita memang memerlukan pemain yang bekerja keras di atas padang, dan dari apa yang saya lihat, kedua-dua mereka memberikan impak besar kepada pasukan THT. ‘Work rate’ mereka sangat tinggi setiap kali diturunkan,” jelas Mohd Harfizi. Beliau berkata demikian dalam satu temu bual selepas perlawanan antara THT dan UiTM HA-KPT yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, semalam. Bagaimanapun, Mohd Harfizi mengakui bahawa Samkelo masih belum menjaringkan gol sepanjang kariernya bersama THT. Namun, menurutnya, posisi pemain itu yang diletakkan di bahagian tengah lebih berfungsi untuk menutup ruang dalam permainan. “Setakat ini, dia (Samkelo) belum menjaringkan gol kerana kita meletakkannya di posisi tengah untuk memastikan kawasan itu dilindungi dengan baik,” tambah beliau.
11 Jan 25
122
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini. THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie. Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan. Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.  Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0. Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari. Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya. Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.  Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu. Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan. "Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama. "Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk. THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
105
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam. "Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan. "Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam. Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.  "Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.  
10 Jan 25
339
'Alasan Dangkal, Naif' - Pensyarah Bidas Jawapan Menteri Abai Masjid?
'Alasan Dangkal, Naif' - Pensyarah Bidas Jawapan Menteri Abai Masjid?
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - "Alasan yang sangat dangkal, naif dan bodoh," bidas Pensyarah terkenal, Prof. Dr Riduan Tee Abdullah yang dipercayai ditujukan kepada Menteri Pelancongan berhubung jawapan ketiadaan paparan masjid dalam video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026. Tegas Dr. Riduan, dalam video montaj identiti negara sebenar mesti diutamakan, bukan identiti minoriti seperti kuil dan gereja. "Membaca alasan pemimpin ultra kiasu yang suka minum menjadikan saya begitu geram. "Tidakkah pemimpin ultra kiasu ini membaca perlembagaan Persekutuan dan dasar negara seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1970 (DKK). "DKK begitu jelas mengungkapkan apa jua jenis pertunjukan budaya negara, identiti negara, Islam dan Melayu mesti diutamakan. Kenapa ada pemimpin yang amat jahil tidak tahu perkara asas ini. Inikah bentuk pemimpin negara yang kita ada," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya, pada fikiran beliau pemimpin ultra kiasu itu akan meminta maaf atas kesalahan tersebut namun sebaliknya berlaku apabila Menteri tersebut mempertahankan lagi tindakan berkenaan. "Wahai pemimpin negaraku, bersuaralah, bertindaklah. Perkara seperti ini sudah menjadi tersangat melampau. Ini bukan pertama kali, malah sudah berkali-kali. "Negara kita sudah menjadi negara, negara tanpa bangsa," ujar beliau.
09 Jan 25
238
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Kerajaan Terengganu terus meningkatkan jalinan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membentuk dan merangka pelan kerjasama yang strategik. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata usaha ini diteruskan demi kelangsungan dan keterjaminan makanan negara yang amat penting. "Kerajaan Persekutuan ada dana, Terengganu pula mempunyai tanah, air, perancangan strategik dan kumpulan yang siap bekerja. Maka kita perlu bekerjasama demi memperkukuhkan program keterjaminan makanan negara," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kunjung hormat Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Bilik Mesyuarat Wawasan Galeria Putrajaya. Tambah Dr. Azman, Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan hasil perbincangan bakal dimanfaatkan kepada rakyat khususnya petani, penternak dan nelayan. "Petang ini, delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian. "Banyak perkara berkaitan program dan projek-projek keterjaminan makanan yang dibincangkan serta diambil kata sepakat dalam rangka membentuk kerjasama strategik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah," ujarnya.
09 Jan 25
650