lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Muafakat Wakil Rakyat, Komuniti Selamatkan Banglo Biru
Muafakat Wakil Rakyat, Komuniti Selamatkan Banglo Biru
KUALA NERUS, 21 Januari - Gandingan wakil rakyat dan penduduk di Batu Rakit yang berpadu tenaga menghadapi hakisan berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah termasuk sebuah banglo biru yang hampir runtuh ditelan ombak. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, gotong-royong menahan ombak dilakukan bersama penduduk termasuk seorang usahawan jentera 'excavator' dan lori-lori tanah. Katanya, dua individu yang dikenali sebagai Aem dan Keba telah menghubunginya untuk mendapatkan sokongan bagi melaksanakan kerja gotong-royong menyelamatkan kediaman serta kawasan yang terjejas akibat bencana terbabit. "Turut melibatkan Pengerusi JPKK setempat, JPKK Kg Pengkalan Maras, JPKK Kg Kolam dan JPKK Kg Tanjung Pantai juga terlibat secara langsung dalam semua kerja-kerja ini sebagai usaha membantu penduduk terjejas. "Kerja-kerja gotong royong ini dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan kelulusan kerja-kerja kecemasan melalui pihak JPS ekoran tatacara kewangan yang telah diperkenalkan oleh pihak MOF (Kementerian Kewangan). "Usaha-usaha melalui JPS dan Kerajaan Persekutuan ini gigih diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit dan Ahli Parlimen Setiu. Walaupun begitu, untuk menunggu semua ini tentunya tidak terjamin dalam keadaan ombak besar terus melanda, "(Maka) usaha untuk melaksanakan gotong royong ini antara pilihan yang ada bagi meminimakan kesan terhadap beberapa buah rumah dan kawasan tanpa sempat untuk berpolitik terhadap isu-isu ini, tetapi memberikan fokus dalam meminimakan impak buat penduduk," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebook rasminya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata kerja asal dilakukan adalah untuk menyelamatkan Tanah Perkuburan Kg. Pengkalan Maras dan beberapa buah rumah penduduk yang berhampiran serta sebuah bengkel. "Insya-Allah, usaha-usaha lain akan dilaksanakan oleh semua pihak untuk membantu penduduk dan pengusaha yang mencari rezeki di tempat terjejas. "Saya difahamkan Ahli Parlimen Setiu sedang mengaturkan pertemuan bersama semua pengusaha perniagaan terjejas dalam minggu ini bersama pelbagai agensi kerajaan untuk meneliti usaha-usaha membantu kembali. "Pejabat Daerah Kuala Nerus juga sedang aktif mengumpulkan data-data berkaitan," jelas beliau.
21 Jan 25
81
Insiden Pukul OKU: Paijang Stabil di Pusat Psikiatri
Insiden Pukul OKU: Paijang Stabil di Pusat Psikiatri
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra disapa Paijang, mangsa insiden pukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, kini dilaporkan dalam keadaan stabil. Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental ini sedang dirawat di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyifatkan keadaan Paijang kini baik dan ceria selepas bertemu sahabat-sahabat lamanya. "Paijang menangis kegembiraan apabila bertemu kami.  "Dia memeluk erat sahabat-sahabat lamanya dari SMKA Sheikh Abdul Malek. "Dia benar-benar berterima kasih atas kunjungan ini," kata Maliaman ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Kompleks Psikiatri HSNZ, di sini hari ini. Turut hadir bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili, yang juga sahabat lama mangsa sejak sekolah. Menurut Maliaman, Paijang yang sebelum ini merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mula menghidap penyakit bipolar selepas tamat persekolahan.  "Penyakit tersebut menyebabkan beliau gagal menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM). "Dia bukan insan biasa, ini menunjukkan betapa pentingnya perhatian daripada keluarga dan masyarakat untuk pesakit seperti ini.  "Jangan biarkan mereka tanpa kawalan atau rawatan kerana kegagalan mengambil ubat boleh membawa kepada insiden seperti ini," tegas beliau. Dalam usaha menjaga kebajikan Paijang, beliau menerima bantuan Elaun Pekerja OKU (EPC) sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Maliaman. "Ini membuktikan dia tidak terbiar.  "Dia di bawah pemantauan hospital dan masih mendapat rawatan yang sepatutnya," jelasnya. Insiden menyayat hati membabitkan seorang lelaki OKU mental yang dipukul secara kejam telah mencetuskan sensasi di seluruh negara.  Kejadian ini menjadi topik hangat selepas rakaman video berdurasi 2 minit yang memaparkan insiden tersebut tular di media sosial, mencuri perhatian ramai sejak awal pagi Jumaat.  
21 Jan 25
271
Provokasi Bukan Alasan Pukul OKU - Exco Terengganu
Provokasi Bukan Alasan Pukul OKU - Exco Terengganu
Provokasi tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak kasar terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), demikian ujar Exco Kerajaan Terengganu.
21 Jan 25
124
Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Kaedah 'Crasmet' Atasi Hakisan Pantai Penunjuk
Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Kaedah 'Crasmet' Atasi Hakisan Pantai Penunjuk
Kerajaan negeri mempertimbangkan kaedah terbaik dengan cara memasang 'crasmet' bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku di Pantai Penunjuk, Kijal yang merupakan salah satu produk pelancongan di Terengganu.
21 Jan 25
170
Insiden Rusuhan Bukan Imej Rakyat Terengganu – Maliaman
Insiden Rusuhan Bukan Imej Rakyat Terengganu – Maliaman
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Insiden lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dipukul di Kemaman baru-baru ini terus mencetuskan kontroversi di seluruh negara.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, tampil mempertahankan imej rakyat Terengganu sambil menzahirkan rasa kecewanya terhadap insiden yang tular itu. "Saya amat sedih dengan apa yang berlaku, peristiwa ini langsung tidak mencerminkan imej sebenar rakyat Terengganu. "Segelintir individu sahaja yang bertindak liar, sama seperti kes jenayah di negeri lain, kita tidak boleh menghukum seluruh rakyat negeri tersebut hanya kerana satu insiden," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Maliaman turut menyeru masyarakat agar lebih adil dalam menilai insiden tular baru-baru ini. "Rakaman kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif, hingga ada seruan boikot terhadap Terengganu, ini tidak adil. "Insiden tersebut adalah kes terpencil, jangan kerana satu kes, seluruh rakyat Terengganu dihukum.  "Kita serahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut," jelasnya. Menurut Maliaman, kes ini sedang disiasat di bawah Akta 147, iaitu berkaitan rusuhan.  "Polis sedang menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang.  "Apa-apa tindakan selepas ini biarlah mahkamah yang tentukan, kita sebagai rakyat tidak boleh menghukum sesuka hati," tegas beliau. Beliau menyeru orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan dan menghindari provokasi.  "Kalau ada kes seperti ini, tindakan terbaik ialah hubungi polis.  "Jangan ikut hawa nafsu untuk menghukum, sebarang tindakan seperti memukul adalah hak pihak berkuasa, bukan rakyat biasa," jelasnya lagi. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Nasional Negeri itu mengingatkan masyarakat agar bertindak rasional dan belajar bersabar dalam menghadapi situasi seperti ini.  "Sabar itu sangat penting.  "Sebarkan berita secara harmoni, supaya kita semua dapat ambil iktibar dan elakkan perkara seperti ini berulang," ujarnya.
21 Jan 25
697
THT Jinakkan LMHT, 8-3
THT Jinakkan LMHT, 8-3
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, THT terus menunjukkan belang apabila melakar enam kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Lioning Men’s Hockey Team (LMHT) dengan keputusan 8-3 di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, semalam. Keputusan itu menyaksikan THT memperoleh 18 mata keseluruhan, meletakkan skuad pantai timur itu di kedudukan teratas liga MHL 2025 pada masa ini. Manakala, LMHT kekal berada di carta terbawah setelah tewas buat kali keempat sepanjang liga berlangsung. Aksi THT menentang LMHT di Stadium Pantai Batu Buruk petang tadi menyaksikan Andywalfian Jeffrynus meledak jaringan gol pertama THT perlawanan seawal minit ke-11 dengan satu hantaran cantik dari rakan sepasukannya. Tanpa mengambil masa yang lama, skuad THT melalui gandingan lincah dua beradik, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari menggelecek pantas ke hadapan gawang sebelum Fitri berjaya menggandakan kedudukan skuad itu pada minit ke-14.   Perlawanan diteruskan sehingga ke babak kedua apabila pemain import, Lee Nam Yong menyumbang gol ketiga kepada skuad THT pada minit ke-30. Seminit kemudian, seorang lagi pemain import THT, Samkelo Mvibi juga mencuri peluang mengukuhkan kedudukan skuad kepada 4-0 dalam satu pukulan sudut penalti pada minit ke-31. Walaupun selesa dengan 4-0, penyerang skuad THT yang juga merupakan pemain hoki kebangsaan, Faizal meneruskan hentaman bertalu terhadap LMHT menerusi satu jaringan sudut penalti pada minit ke-41 dan satu jaringan padang pada minit ke-42.   Skor perlawanan 6-0 memihak kepada skuad tuan rumah namun, situasi itu jelas sekali tidak melemahkan moral skuad pelawat, LMHT apabila mereka berjaya menerobos pertahanan THT dengan tiga jaringan berturut. Jaringan sudut penalti oleh Yang Peng minit ke-42, gol padang Wang Tao minit ke-47 dan seterusnya jaringan sudut penalti Zhang Zhongqiang minit ke-52 berjaya memberi peluang kepada LMHT dalam perlawanan itu tadi untuk menutup jurang skor kepada 6-3. Walaubagaimanapun, skuad THT tidak melepaskan peluang untuk kekal mendominasi perlawanan selepas skuad itu meledak dua jaringan penutup sebelum perlawan tamat. Dua jaringan padang menerusi Fitri minit ke-53 dan Faizal minit ke-54 mengesahkan kemenangan skuad THT dengan keputusan muktamad 8-3. Skuad THT akan berhadapan tiga lagi pasukan, Matador Hockey Club, Nurinsafi Sporting dan Territory Stingers dalam liga ini. THT dijadualkan untuk berentap dengan Matador Hockey Club pada 8 Februari, jam 8 malam, di  Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Padang 2 (NHS2).  
21 Jan 25
212
Bipolar Cetus Kebimbangan, Kerajaan Negeri Ambil Langkah Tegas
Bipolar Cetus Kebimbangan, Kerajaan Negeri Ambil Langkah Tegas
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Insiden melibatkan pesakit bipolar terus mencetuskan kebimbangan apabila dua kejadian mengejutkan berlaku dalam tempoh setahun.  Selepas kes suri rumah melanggar mati pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dungun pada Oktober tahun lalu, kini insiden kedua membabitkan seorang lelaki OKU mental yang dipukul di Kemaman menjadi perhatian. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu ini secara serius. "Kami melihat isu ini sangat membimbangkan, tahun lalu, tiga orang pelajar UiTM menjadi mangsa. "Kini, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki OKU yang dipukul, ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan," tegasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam.  Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili. Bagi menangani masalah ini, Maliaman mengumumkan mesyuarat khas Majlis Tindakan OKU Negeri Terengganu (MTOT) akan diadakan pada 5 Februari ini.  "Mesyuarat ini akan membincangkan pelan tindakan strategik bagi menangani kes-kes seperti ini. "Kita akan berkolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan pihak hospital," katanya. Selain itu menurut Maliaman, khidmat kaunseling dan rawatan perubatan untuk pesakit psikiatri akan terus diperkukuhkan.  "Pihak hospital menyediakan ubat dan sokongan emosi kepada pesakit.  "Kita mahu pastikan tiada pihak terabai," tambah beliau. Beliau turut menekankan bahawa semua pihak, termasuk keluarga dan masyarakat, perlu memainkan peranan penting.  "Pesakit bipolar memerlukan kawalan dan perhatian.  "Jangan biarkan mereka tanpa rawatan atau bimbingan kerana ini boleh membawa kepada insiden tidak diingini," ujarnya.
20 Jan 25
21
"Serahkan Kepada Pihak Polis Menjalankan Siasatan" - EXCO Terengganu
"Serahkan Kepada Pihak Polis Menjalankan Siasatan" - EXCO Terengganu
KEMAMAN, 20 Januari - Serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan mahkamah mengadili dengan sebaik-baiknya, demikian ujar EXCO Kerajaan Terengganu. Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengharapkan kejadian seperti Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Cukai tidak akan berulang lagi. "Mereka yang ada ahli keluarga mempunyai masalah mental perlulah memberikan perhatian dan menjaganya dengan baik serta manfaatkan dengan sebaiknya ubat yang dibekalkan oleh pihak doktor. "Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat kita ini agar mempunyai etika kehidupan yang lebih berhemah dan tidak melepaskan geram terutama di khalayak ramai serta perlu mempunyai sifat-sifat kesabaran dan memaafkan dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini. Katanya lagi, walaupun dalam keadaan spontan dan rasa sangat marah, janganlah mengambil tindakan yang dilihat seperti ganas yang boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat. "Jadi saya harap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran ataupun pedoman kepada masyarakat khususnya di Kemaman dan juga seluruh negeri Terengganu, ujarnya. Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan samada OKU, persatuan penjaja ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 
20 Jan 25
151
Jangan Politikkan Isu Pukul OKU Mental - Hanafiah
Jangan Politikkan Isu Pukul OKU Mental - Hanafiah
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Orang ramai tidak perlu mempolitikkan kes pukul membabitkan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada Jumaat lepas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, ia adalah kisah kehidupan rakyat yang perlu diselesaikan bersama. “Kes ini telah diserahkan kepada pihak polis, biar pihak polis menilai keadaan dan mengambil tindakan. “Saya menyeru orang ramai tanpa mengira bangsa dan kaum supaya mempunyai etika kehidupan yang lebih baik. “Tidak melepaskan geram kepada sesiapa dan sentiasa mempunyai sifat sabar dan memaafkan,” ujarnya kepada pemberita. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap semua golongan sama ada OKU, Persatuan Penjaja mahupun NGO. “Kita harap kes sebegini tidak berulang dan dijadikan pedoman kepada semua. “Ini bukan isu politik, ini adalah isu kehidupan, kepada yang hendak jadikan ia isu politik, kita biarkan saja,” ujarnya.
20 Jan 25
1374
Kerajaan Negeri Kukuhkan Hubungan Strategik Dengan Penjara Terengganu
Kerajaan Negeri Kukuhkan Hubungan Strategik Dengan Penjara Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri mengorak langkah baru bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik bersama pengurusan Penjara Negeri Terengganu baru-baru ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan bersama pihak pengurusan Penjara Negeri Terengganu itu diadakan bagi membuka ruang untuk memastikan keterjaminan kelangsungan hidup prospek (banduan). “Dalam pertemuan ini, pelbagai isu penting telah dibincangkan, termasuk kerjasama strategik, inisiatif rehabilitasi, dan pembangunan modal insan. “Khususnya bagi prospek dan bekas prospek, serta langkah-langkah memperkasa keselamatan dan pemulihan komuniti," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya semalam. Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Mohd Nasir Yusof, Ketua Institusi Penjara Negeri Terengganu dan pegawai-pegawai kanan Penjara Negeri Terengganu dalam kunjungan itu. Mohd Nasir juga memaklumkan tentang kerjasama Penjara Negeri Terengganu dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam pelaksanaan program iTEKAD kepada prospek yang akan dibebaskan kelak. “Program ini, yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sokongan beberapa Institusi Kewangan Islam (IKI), bertujuan membangunkan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40.  “Semoga usaha murni ini dipermudahkan," katanya.
20 Jan 25
123