lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kempen Keselamatan Kebakaran Tingkat Kesedaran Rakyat
Kempen Keselamatan Kebakaran Tingkat Kesedaran Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu telah mengadakan satu Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena perayaan Tahun Baru Cina bertempat di Key Tronic Corporation (KTCC) Mall hari ini. Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, YS PPjB Nor Mahathir Muhamad berkata, tujuan kempen itu dilancarkan adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan masyarakat terutamanya sempena musim perayaan ini. “Saya percaya di musim cuti yang panjang ini, akan dimanfaatkan oleh masyarakat untuk menziarahi rakan dan saudara serta keluarga mahupun melakukan aktiviti riadah di tempat percutian rekreasi. “Namun, pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia ingin mengingatkan supaya langkah-langkah kawalan keselamatan kebakaran perlu sentiasa dititik beratkan bagi melindungi kita dari sebarang kebarangkalian musibah yang boleh berlaku. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran tersebut hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis pelancaran itu. Mahathir menegaskan bahawa kesiapsiagaan membendung kebakaran bergantung kepada persediaan awal daripada semua pihak masyarakat kerana ia mampu menentukan aspek keselamatan kebakaran. “Untuk tujuan itu, Pihak Bomba Dan Penyelamat Malaysia telah menfokuskan penegasan dan penguatkuasaan melalui pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) serta memastikan pematuhan kehendak kebombaan kepada setiap premis. “Ini bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan juga ekonomi yang pesat di negeri ini terjamin daripada aspek keselamatan kebakaran seterusnya melindungi daripada risiko kemusnahan dan kehilangan nyawa”, ujarnya. Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa 103 pemeriksaan MBK pada tahun ini bermula sejak 13 Januari lalu telah dijalankan di premis tumpuan awam. Pemeriksaan itu dijadualkan untuk terus berkuatkuasa sehingga enam Febuari 2025. “Daripada pemeriksaan ini, sebanyak 26 notis telah dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan.   “Seperti kegagalan membina penggera kebakaran, ketidakfungsian lampu papan tanda keluar dan pelbagai lagi perkara yang tidak mematuhi akta bomba 1988”, tambahnya.  
26 Jan 25
163
600 Helai 'Baju-T Percuma Untuk Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 DUN Bandar
600 Helai 'Baju-T Percuma Untuk Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 DUN Bandar
Oleh : Haida Al-Ayyash KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Sebanyak 600 helai t-shirt akan diberikan secara percuma kepada peserta program Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang bakal diadakan di Masjid Abidin, esok.  Pengarah Program Subuh Macam Jumaat 2.0, Syed Abdrahman Syed Hasan berkata, daripada jumlah itu, 100 helai dikhaskan untuk muslimah yang turut sama mengimarahkan masjid melalui program yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lalu. Katanya, agihan t-shirt secara percuma itu akan diberikan sewaktu pendaftaran pada hari program yang bermula seawal 4.30 pagi dengan mengenakan konsep siapa cepat dia dapat. "Program Subuh Macam Jumaat DUN Bandar 1.0 pada tahun lepas telah mencetuskan fenomena dengan limpahan jemaah menunaikan solat sehingga melepasi ke luar pagar Masjid Abidin dan juga jalan raya sekitarnya, maka program yang sama bakal diadakan juga tahun ini. "Bagi tahun 2025, yang memasuki tahun ke-2 penganjurannya bakal tampil lebih istimewa kerana ianya selari dengan kempen yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri, iaitu Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang baharu sahaja dilancarkan awal Rejab baru-baru ini. "Justeru, kita ambil tanggungjawab ini dengan menggerakkan kempen BPIM untuk tarik seramai mungkin warga Terengganu bersama dengan program kali ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. Katanya, beliau optimis sekitar 3,000 jemaah akan hadir dalam kalangan muslimin dan muslimat termasuk kanak-kanak, remaja, belia sehingga di kalangan veteran. "Ayuh semua anak muda kita bangkit pada hari cuti peristiwa 'Israk Mikraj' dengan berqiamullail, solat subuh berjemaah, santai kuliah Subuh dan 'funwalk' bersama-sama asatizah selebriti iaitu Ustaz Syed Norhisyam dan teristimewa bersama Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus", ujarnya.
26 Jan 25
970
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Hotel Paya Bunga (PB) di Terengganu kini secara rasmi diiktiraf sebagai sebuah hotel bertaraf empat bintang bagi kategori hotel bandar. Pengiktirafan ini diberikan di bawah Penggredan Bintang Premis Penginapan Pelancongan (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).  Majlis penyerahan sijil telah diadakan baru-baru ini dengan penyerahan dilakukan oleh Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida Ruslal, kepada Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias. Menurut kenyataan pihak hotel, pengiktirafan tersebut menjadi simbol kejayaan usaha mereka dalam menawarkan perkhidmatan dan hospitaliti berkualiti tinggi kepada para tetamu. "Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOTAC atas pengiktirafan ini.  “Ia pastinya menjadi pemangkin semangat buat kami untuk terus memberikan perkhidmatan dan hospitaliti yang cemerlang kepada semua tetamu kami," katanya. PB Hotel, yang terletak di tengah-tengah Kuala Terengganu, merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu Paya Bunga Square, Sentral, dan Plaza, dengan akses mudah melalui jambatan berhawa dingin.  Hotel ini menawarkan 208 bilik dan suite yang menggabungkan elemen budaya tradisional Terengganu dengan kemudahan moden, termasuk bilik standard, suite keluarga, dan suite eksekutif dengan pemandangan bandar atau laut. Hotel ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, ruang acara, dan dewan besar, menjadikannya pilihan utama bagi pelancong perniagaan, pelancong santai, dan penganjur acara.  Reka bentuk interiornya menonjolkan elemen warisan budaya Terengganu, memberikan pengalaman unik kepada para tetamu. Selain itu, lokasi strategiknya yang berhampiran mercu tanda utama seperti Chinatown, Pasar Payang, dan Masjid Sultan Zainal Abidin, PB Hotel terus memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan negeri. Sempena pengiktirafan berkenaan, Hotel PB berhasrat untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, sejajar dengan visinya untuk menjadi pilihan utama penginapan di Terengganu. 
23 Jan 25
2732
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, yang percaya beliau dapat menyelesaikan masalah padi dan beras dalam tempoh tiga bulan, menimbulkan persoalan.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, meluahkan keraguan terhadap cadangan NACCOL tersebut.  Menurut beliau, masalah padi dan beras bukanlah isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. "Isu ini bukan sesuatu yang boleh selesai dalam tiga bulan sahaja.  "Ia melibatkan kenaikan kos yang memberi kesan mendalam kepada pesawah, dan kita perlukan lebih daripada sekadar janji kosong untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu. Azman tidak menafikan kesan besar yang ditanggung oleh sektor pertanian akibat kenaikan harga diesel yang melambung tinggi. "Kesan berantai kenaikan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.  "Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain semuanya telah naik, yang jatuh hanyalah air mata petani,” tambahnya dengan nada sinis. Menurut Azman, mereka yang tidak memahami kesulitan pesawah ini hanya boleh berbicara dari pejabat berhawa dingin tanpa pernah merasai realiti mereka yang bekerja keras di sawah. Azman turut mengusulkan supaya harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada harga yang lebih wajar antara RM1,500 hingga RM1,800/tan. "Peningkatan harga padi sudah tentu akan memberi kesan kepada harga beras, tetapi itu lebih baik berbanding beras tempatan yang disamar menjadi beras import dan dijual lebih mahal. "Rakyat akan lebih menerima sedikit kenaikan harga beras demi menjaga kualiti dan kelestarian padi tempatan,” jelasnya. Azman juga mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah-langkah konkrit, seperti membuka sekatan penjualan padi agar pesawah dapat menjual padi mereka ke kilang yang menawarkan harga tertinggi.  "Sekarang harga padi di Terengganu sudah naik ke RM1,550/tan," ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa NACCOL tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menguatkuasakan undang-undang berkaitan padi.  "NACCOL tidak ada punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan fungsi kawal selia.  "Itu adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," jelasnya. Azman turut mempersoalkan mengapa masalah yang sudah jelas di hadapan mata masih tidak ada penyelesaian yang konkrit.  "Ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang keupayaan untuk bertindak?" soalnya.
23 Jan 25
188
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik. "Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran. "Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam. Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup. "Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia. "Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.    
22 Jan 25
524
Gloden Pharos Ambil Langkah Proaktif Tangani krisis Kelapa
Gloden Pharos Ambil Langkah Proaktif Tangani krisis Kelapa
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Dalam usaha menangani krisi kekurangan bekalan kelapa, anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd (GPB) telah mengambil langkah proaktif dengan mengimport bahan mentah itu dari Indonesia untuk pasaran tempatan. Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, bekalan kelapa tua kira-kira 30,000 biji atau 30 tan diterima daripada pembekal utama itu, Selasa lalu. Katanya, bekalan itu akan diedarkan kepada beberapa pemborong utama untuk dipasarkan ke seluruh negeri ini serta Pasir Puteh di Kelantan. "Setakat ini seorang pemborong kelapa di Jertih, Besut sudah bersetuju mendapatkan kelapa yang dijenamakan Sayosega untuk diedarkan kepada peniaga di Besut dan Setiu di Terengganu dan Pasir Puteh di Kelantan. "Pemborong kelapa di Kuala Terengganu dan Dungun juga sudah menghubungi kami bagi mendapatkan kelapa untuk dipasarkan kepada peniaga di Kuala Nerus dan Marang," katanya kepada pemberita. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim melalui Facebooknya memaklumkan GPB dilantik untuk menangani krisis bekalan kelapa sejak bulan lalu. Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pembekal utama yang juga memiliki permit import (AP) bahan pertanian turut bersetuju membekalkan kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan sepanjang Ramadan akan datang. "Pada fasa pertama, kita mengimport 30 tan mengandungi kira-kira 30,000 biji kelapa bagi mengurangkan krisis bekalan untuk kegunaan domestik. "Langkah diambil GPB adalah untuk memastikan bekalan kelapa mencukupi bagi kegunaan masyarakat menjelang musim perayaan, terutama pada sambutan Aidilfitri nanti," katanya. Mengulas harga kelapa, Mohd Roslan berkata, harga ditawarkan kepada pemborong antara RM2.90 dan RM3.20 sebiji bergantung jumlah kuantiti. "Langkah GPB mengimport kelapa bukan bertujuan mencari keuntungan, sebaliknya lebih kepada penyelesaian krisis bekalan. "Kita akan menghentikan mengimport bekalan kelapa apabila krisis berakhir," katanya.
21 Jan 25
228
Paijang Stabil di Pusat Psikiatri
Paijang Stabil di Pusat Psikiatri
Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra disapa Paijang, mangsa insiden pukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
21 Jan 25
172
Insiden Rusuhan Bukan Imej Rakyat Terengganu
Insiden Rusuhan Bukan Imej Rakyat Terengganu
Insiden lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dipukul di Kemaman baru-baru ini terus mencetuskan kontroversi di seluruh negara. 
21 Jan 25
97
Anak Syarikat Terengganu Lakar Sejarah, Raih Pendapatan Tertinggi
Anak Syarikat Terengganu Lakar Sejarah, Raih Pendapatan Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) berjaya melakar rekod baharu dalam sejarah syarikat selepas meraih pendapatan berjumlah RM404 juta. Keuntungan bersih selepas cukai juga melonjak kepada RM28 juta, lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerja keras semua pihak.  "Sejak penubuhan EPIC pada 1981, ini kali pertama pendapatan kita mencapai RM404 juta.  "Dengan keuntungan besar ini, kami komited untuk memperluaskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai nilai teras syarikat. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan. "Kejayaan ini bukan sekadar mengukuhkan nama EPIC dalam industri, tetapi juga membuka peluang lebih besar untuk melaksanakan program CSR yang memberi impak kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian katika berucap dalam program EPIC Back To School 2025 edisi pertama, di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini semalam. Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Dato' Ahmad Amzad Hashim, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan EPIC, Rusdi Ngah. Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui keuntungan, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat.  "Bagi kami, kejayaan bermakna memberikan kembali kepada rakyat, terutama di Terengganu.  "Kami menaja pelbagai inisiatif seperti Terengganu FC, Terengganu Cycling Team (TSG), hoki, ragbi dan bola jaring.  "Selain itu, kami juga melaksanakan program untuk nelayan, anak yatim, ibu tunggal, dan pelbagai komuniti lain,” jelas beliau. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, yang juga Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, turut memuji pencapaian luar biasa syarikat tersebut, beliau menggelar tahun 2024 sebagai detik bersejarah bagi EPIC. "Hasil tertinggi RM404 juta ini membuktikan kemajuan syarikat.  "Lebih membanggakan, EPIC berjaya memperoleh kontrak penyelenggaraan pelantar carigali bernilai RM1.5 bilion, yang merupakan kontrak terbesar dalam sejarah syarikat,” katanya. Beliau turut mengenang cabaran yang pernah dihadapi EPIC enam tahun lalu.  "Dulu, EPIC sinonim dengan kerugian. Saya ingat lagi waktu awal menyertai lembaga pengarah, syarikat berdepan hutang saman hampir RM80 juta.  "Tapi alhamdulillah, kini semua masalah itu selesai. Dari rugi, kita kini untung dan terus untung,” ujarnya dengan penuh semangat. Menurut Amzad, kontrak RM1.5 bilion itu, adalah susulan kejayaan EPIC melaksanakan projek penyelenggaraan pelantar carigali ExxonMobil sebelum ini yang bernilai hampir RM500 juta.  "Saya yakin ini bukan pencapaian terakhir.  "Saya doakan EPIC terus maju dan keuntungan yang diperoleh dapat dinikmati oleh rakyat,” tambah beliau. Amzad turut menegaskan bahawa sebagai syarikat milik kerajaan negeri, EPIC Berhad tidak hanya berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi juga bertanggungjawab kepada rakyat Terengganu.  "Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin untuk syarikat terus menyumbang kepada masyarakat, baik dalam sektor pendidikan, sosial, mahupun ekonomi," ujarnya.  
21 Jan 25
6745
GPQ Berjaya Dapatkan Kontrak Projek Mega Pembangunan Quran Village Di Putrajaya
GPQ Berjaya Dapatkan Kontrak Projek Mega Pembangunan Quran Village Di Putrajaya
KUALA TERENGGANU, 21 Januari–Anak syarikat Terengganu Inc, GPQ Sdn. Bhd telah dianugerahkan kontrak projek mega pembangunan Quran Village di Presint 14, Putrajaya. Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Mohd Suhaimie Ismail berkata, ia melibatkan pembinaan masjid kariah dan pelbagai infrastruktur dengan nilai kontrak sebanyak RM 78.38 juta di kawasan seluas tujuh ekar.  "Quran Village merupakan projek milik Perbadanan Putrajaya yang akan memberikan satu tarikan baru di Putrajaya apabila projek ini siap kelak. "Ia dijadualkan mengambil masa 36 bulan untuk pembangunan secara berperingkat dan dijangka siap pada Februari 2027," ujarnya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut merupakan salah satu inisiatif penting GPQ dalam memperkukuhkan kehadiran syarikat di Lembah Klang dan menandakan langkah  strategik syarikat dalam menembusi pasaran di luarTerengganu. "Selaras dengan visi untuk memperluaskan capaian perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi, projek ini mencetus halatuju baru GPQ sebagai kontraktor berpotensi di  Malaysia," ujarnya. Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, projek terbabit merupakan penanda aras komitmen anak syarikat kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baru bagi mendukung perlaksanaan inisiatif ekonomi dan pelaburan strategik yang mapan untuk Negeri Terengganu. "Projek Pembangunan Quran Village Fasa 1 adalah merupakan kesinambungan daripada Pembangunan Nasyrul Quran iaitu pusat menyalin dan percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia dan memartabatkan budaya Islamik dan ilmu Al-Quran khususnya kepada pelancong dari luar negara," jelasnya.
21 Jan 25
583