Artikel "Semasa" Terkini
Tempoh Pajakan TKPM Dikurangkan Kepada 3 Tahun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Kerajaan negeri Terengganu telah memperkenalkan dasar baharu bagi pajakan tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan mengurangkan tempoh pajakan daripada 21 tahun kepada hanya 3 tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan tanah pertanian dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar tanpa dimajukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, peserta yang menerima pajakan kini dikehendaki memasuki tapak dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani.
Katanya, sekiranya gagal, peserta lain akan menggantikan mereka bagi memastikan tanah tidak terbengkalai.
“Buat apa bagi tempoh lama atas kertas, tetapi di lapangan tanah penuh semak samun?
“Kalau berjaya, kita sambung lagi, kalau gagal, kita beri peluang kepada yang lebih berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar sewa tanah TKPM di Terengganu adalah paling murah di Malaysia, hanya RM250 setahun bagi setiap hektar.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan pertanian dan sistem saliran bagi memastikan tanah yang diwartakan sebagai TKPM dapat dimajukan sepenuhnya.
“Prinsip kerja yang paling asas ialah kenali punca sesuatu permasalahan dan selesaikan isu dari puncanya. Maka inilah yang kita telah buat. Cari peruntukan dan bangunkan infrastruktur.
“Kemudian masukkan peserta yang memenuhi kriteria dan mampu berdaya saing," tambahnya.
29 Jan 25
264
Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
28 Jan 25
138
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat.
28 Jan 25
65
RMK13: Terengganu Terajui Industri Penyimpanan Karbon
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Terengganu kini melangkah ke hadapan dengan perancangan strategik menjadikan negeri ini sebagai hab utama industri Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS).
Langkah ini dilihat sebagai persediaan awal menghadapi masa depan ekonomi apabila pergantungan kepada minyak dan gas semakin menyusut.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, industri CCUS adalah peluang besar yang mesti direbut untuk memastikan kelangsungan ekonomi negeri.
"Teknologi penyimpanan karbon ini penting, terutamanya apabila kita tahu sebahagian besar industri di Malaysia menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi," katanya dalam sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Nor Azmie menjelaskan, CCUS adalah industri masa depan yang tidak hanya mengawal pelepasan karbon, tetapi juga menjadi tarikan kepada pelabur luar.
"Kita tahu 25% hingga 35% pelepasan karbon di negara ini datang daripada industri besar seperti gas, besi, keluli, dan simen.
"Dengan adanya kemudahan penyimpanan karbon di Terengganu, ia akan mendorong industri-industri ini berpindah ke pantai timur," katanya.
Tambah beliau, Terengganu mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur sedia ada di Kertih dan kawasan sekitar yang sesuai untuk pelaksanaan CCUS.
"Kita ada medan minyak yang telah habis digunakan (depleted oil fields) yang boleh diubah menjadi kemudahan penyimpanan karbon.
"Peluang ini tidak wajar dilepaskan," katanya lagi.
Menurut Nor Azmie, walaupun margin keuntungan industri CCUS dilihat kecil, beliau optimis impaknya terhadap ekonomi negeri akan lebih besar pada jangka panjang.
"Ia adalah langkah strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan industri baharu ke negeri ini," tegasnya.
Selain CCUS, Nor Azmie turut mengulas cabaran yang bakal dihadapi Terengganu apabila sumber minyak dan gas semakin berkurangan.
"Hari ini, kita tahu ekonomi Terengganu sangat bergantung kepada industri minyak dan gas, khususnya di Kertih dan Kemaman.
"Namun, sumber ini tidak kekal. Ia akan habis satu hari nanti," kata beliau.
Beliau menyatakan bahawa rancangan awal perlu dibuat untuk mengimbangi semula ekonomi negeri.
"Soalannya, apa yang akan berlaku kepada ekonomi negeri apabila sumber ini habis?.
"Kita perlu bersedia daripada sekarang," katanya lagi.
Dengan pelaksanaan industri CCUS, Nor Azmie percaya ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri baharu di Terengganu.
"Pantai timur mempunyai potensi besar untuk menjadi hab industri.
"Secara beransur-ansur, industri besar yang kini berada di pantai barat akan berpindah ke pantai timur kerana kos penyimpanan karbon lebih rendah di sini.
"Inilah masanya kita bergerak ke hadapan, dengan aset seperti Kertih dan Gebeng, kita mampu menjadi magnet pelaburan dan membuka lembaran baharu untuk ekonomi Terengganu,” ujarnya.
28 Jan 25
914
RMK13: Terengganu Jadi Kilang Lahirkan Bakat Dunia, Azizulhasni Jadi Inspirasi
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal mengangkat Terengganu sebagai pusat melahirkan bakat bertaraf dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, berkata kehebatan anak-anak negeri ini dalam bidang akademik, sukan, dan kemahiran lain menjadi bukti kukuh bahawa Terengganu mampu menjadi pencetus perubahan nasional.
"Lihat sahaja kejayaan Azizulhasni Awang, anak jati Dungun yang kini dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’.
"Kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia membuktikan potensi bakat Terengganu yang tiada tandingan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Beliau menambah, ikon seperti Azizulhasni bukan sahaja mencipta sejarah dalam sukan berbasikal tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda.
"Ini contoh jelas bagaimana bakat dari negeri ini boleh bersinar di pentas antarabangsa.
"RMK13 akan memperkukuh usaha untuk membangunkan lebih ramai ‘Azizulhasni’ dalam pelbagai bidang," katanya dengan penuh harapan.
Selain itu, Nor Azmie turut memuji prestasi pelajar Terengganu dalam akademik.
"Kejayaan anak-anak Terengganu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh dinafikan.
"Negeri ini konsisten melahirkan pelajar cemerlang, dan RMK13 akan terus menumpukan kepada pendidikan untuk memastikan bakat generasi muda terus digilap," katanya.
Menurut beliau, RMK13 juga akan memberi penekanan kepada pendidikan berasaskan teknologi dan ekonomi digital.
"Kita mahu memastikan bakat tempatan bukan sahaja berjaya dalam bidang tradisional, tetapi juga mendominasi sektor teknologi, inovasi, dan keusahawanan.
"Ini adalah masa untuk Terengganu mengukir nama sebagai negeri yang melahirkan tenaga pakar bertaraf dunia.
"Dengan tumpuan kepada pembangunan bakat, pendidikan, dan sokongan teknologi, RMK13 dijangka menjadi pelan transformasi besar untuk menjadikan Terengganu sebagai pusat kecemerlangan bakat Malaysia," ujarnya.
27 Jan 25
344
Tahun Melawat 2027 : Transformasi Pelancongan Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan melihatnya sebagai batu loncatan untuk mempromosikan Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Kami bercadang untuk menjadikan Tahun Melawat Terengganu 2027 lebih ikonik dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut beliau, fokus utama adalah pada aktiviti pelancongan yang dekat dengan alam, seperti recreational vehicle (RV), camping, dan food hunting.
"Kami mahu menarik lebih ramai pelancong yang sukakan pengalaman unik.
"Aktiviti seperti ini bukan sahaja mempromosikan keindahan alam semula jadi Terengganu tetapi juga memberikan impak langsung kepada ekonomi tempatan," tambah beliau.
Beliau turut mengulas mengenai rekod cemerlang sektor pelancongan Terengganu yang menerima 8 juta pelawat pada tahun 2024.
"Ini adalah pencapaian besar, dan kami berazam untuk meningkatkan angka ini dengan menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih menarik dan mesra pengunjung,” jelasnya.
Dalam usaha itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana untuk memperbaiki fasiliti pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.
"Kami ingin memastikan setiap pelawat yang datang ke Terengganu membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Dato’ Nara Setia juga menekankan bahawa pelancongan bukan sekadar menarik pelawat tetapi juga membantu komuniti setempat.
"Pelancongan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan mempromosikan warisan budaya negeri.
"Ia adalah tonggak penting dalam pembangunan ekonomi kami,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek untuk memperbaiki kemudahan pelancongan dan mengurangkan kadar kehilangan air (NRW) di kawasan strategik.
"Pelan ini akan memastikan kemudahan asas lebih cekap dan bersedia menyambut pertambahan pelawat pada masa hadapan.
"Dengan perancangan rapi dan komitmen tinggi, Terengganu kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia," katanya.
27 Jan 25
194
RMK13: Terengganu Pacu Keterjaminan Makanan, ECRL Jadi Pemangkin Logistik
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Dalam usaha mencapai keterjaminan makanan yang mampan, Kerajaan Negeri Terengganu merangka strategi holistik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk memanfaatkan kelebihan infrastruktur East Coast Rail Link (ECRL) bagi mengukuhkan rantaian bekalan pertanian.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata sektor pertanian menjadi tunjang utama dalam memastikan keterjaminan makanan negeri.
"Kami komited meningkatkan pengeluaran melalui pertanian komersial dan teknologi moden bagi mencapai kadar self-sufficient rate (SSR) yang lebih tinggi.
"ECRL pula akan menjadi laluan strategik untuk mengangkut hasil pertanian dengan lebih pantas dan efisien ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika Sesi Libat Urus RMK13, di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nara Setia, ECRL yang menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan pusat ekonomi di Pantai Barat, membuka peluang besar bagi petani Terengganu untuk memperluas pasaran mereka.
"Dengan jaringan logistik yang lebih baik, hasil pertanian seperti padi, sayur-sayuran, dan hasil laut dapat dihantar ke destinasi dalam masa lebih singkat, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan,” jelas beliau.
Selain itu menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan sistem pengairan moden dan pengurusan risiko bencana.
"Kami memahami bahawa banjir sering menjejaskan produktiviti pertanian.
"Oleh itu, langkah seperti sistem saliran tahan lasak dan perlindungan tanah pertanian akan diperkenalkan," tambahnya.
Nara Setia juga mengakui pentingnya kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta untuk menjayakan visi ini.
"Dengan sokongan dana, teknologi, dan infrastruktur seperti ECRL, kami yakin Terengganu mampu menjadi hab keterjaminan makanan yang bukan sahaja memenuhi keperluan negeri tetapi juga negara," katanya penuh optimis.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang pelaburan dalam sektor logistik pertanian kini terbuka luas.
"ECRL membuka pintu kepada pelabur untuk membina kemudahan pengedaran, gudang simpanan sejuk, dan pusat pemprosesan makanan.
"Ini akan membantu mengurangkan pembaziran hasil dan meningkatkan nilai tambah produk pertanian.
"Terengganu kini berada di landasan kukuh untuk memacu keterjaminan makanan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri ekonomi berdaya tahan di Malaysia," ujarnya.
27 Jan 25
215
Terengganu Catat Pelaburan RM3.178 Bilion pada 2024
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Terengganu mencatatkan kejayaan besar apabila menerima pelaburan sebanyak RM3.178 bilion pada tahun 2024, yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan berdaya saing tetapi juga membuka 2,356 peluang pekerjaan baharu untuk rakyatnya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu.
"Pelaburan yang diterima adalah hasil usaha gigih kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam merangka dasar ekonomi yang kukuh.
"Ia membawa impak besar kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nara Setia, selain rekod pelaburan yang memberangsangkan, Terengganu turut mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM38.2 bilion dengan pertumbuhan 2.3% pada tahun 2023.
"Sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi negeri dengan sumbangan 52%, diikuti sektor perkilangan (36.9%) dan sektor pertanian (7.5%)," jelasnya.
Beliau juga menekankan peranan infrastruktur strategik seperti East Coast Rail Link (ECRL) dalam menarik pelaburan baharu.
"ECRL adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi Terengganu.
"Ia menghubungkan kita dengan Pantai Barat, menjadikan negeri ini lebih kompetitif, terutamanya dalam sektor logistik dan perdagangan," ujar beliau.
Menurut beliau, pembesaran Pelabuhan Kemaman dan pembangunan konsep Transit Oriented Development (TOD) di sepanjang laluan ECRL turut menarik perhatian pelabur domestik dan antarabangsa.
"TOD akan mencipta pusat-pusat ekonomi baharu, sementara pelabuhan yang diperluas akan meningkatkan kapasiti logistik, memberi manfaat kepada sektor perkilangan dan eksport,” tambahnya.
Pelaburan ini turut memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.
"Peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar angka, tetapi ia memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Terengganu.
"Dengan rekod pelaburan ini, Terengganu berada di landasan kukuh untuk terus maju dalam ekonomi mampan dan inklusif, menjadikan negeri ini hab pelaburan utama di Pantai Timur," ujarnya.
27 Jan 25
1607
Contohi Pendekatan Dana Amanah, Sarawak Pimpin Pelihara Tanah Melayu
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Cadangan penubuhan dana amanah oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dilihat sebagai langkah proaktif dalam usaha memelihara pemilikan tanah milik orang Melayu, terutama di kawasan bandar.
Ahli Parlimen, Ahmad Amzad, menyatakan bahawa cadangan ini selari dengan resolusi yang pernah dibincangkan dalam Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat.
“Perkara ini adalah sama seperti salah satu yg terkandung dalam Resolusi Perundingan Meja Bulat Lajnah Tanah PAS Pusat,
“Tentang keperluan diwujudkan satu entiti yang didanai secukupnya untuk membeli mana mana tanah, hartanah milik orang Melayu yg sama ada disebabkan oleh lelongan, faraid dan seumpamanya terpaksa dilupuskan.”
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran Facebooknya.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad juga bersetuju bahawa tanpa kewangan yang mencukupi, waris Melayu sering kehilangan peluang untuk membeli semula tanah atau hartanah tersebut.
Oleh hal yang demikian, akhirnya ia akan jatuh ke tangan pihak lain dan keadaan ini menyebabkan aset-aset penting masyarakat Melayu semakin terhakis.
Cadangan YAB Premier Sarawak untuk menubuhkan dana amanah bertujuan mengatasi isu ini. Dana tersebut akan berfungsi sebagai mekanisme untuk membeli tanah atau hartanah yang dijual, memastikan pemilikannya kekal dalam kalangan masyarakat Melayu.
Sebagai contoh, dana amanah Satok berjaya membeli Arif Hotel yang sebelumnya perlu dijual kerana pembahagian faraid. Dengan dana tersebut, hotel itu kekal sebagai aset orang Melayu dan tidak terlepas kepada pihak luar.
“Ini adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat Melayu agar pemilikan aset kekal dalam komuniti kita.
“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak atas inisiatif ini,” tambah Ahmad Amzad.
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu turut meluahkan kekecewaannya di dalam hantaran itu apabila ada pihak yang menolak cadangan serupa dengan alasan beliau berfikiran sempit.
“Ketika saya menyuarakan kebimbangan berhubung pemilikan tanah orang Melayu, terutama di kawasan bandar, seorang menteri persekutuan menuduh saya ‘berfikiran sempit’, asabiyyah, dan kononnya tidak mahu ‘move on’,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ‘move on’ tidak bermaksud mengabaikan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan agama dan bangsa.
“Kita tidak boleh mengorbankan pemilikan tanah orang Melayu atas nama kononnya mahu ‘semua sama rata’.
“Sebaliknya, kita perlu memperkukuhkan asas ekonomi masyarakat Melayu agar aset ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya lagi.
26 Jan 25
592
Paijang Dalam Pemantauan, Pertuduhan Bergantung Kepada Rekod Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Kes insiden tular yang melibatkan Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang diserang selepas terlibat dalam kemalangan di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, masih belum dapat dilanjutkan ke fasa pertuduhan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Paijang kini masih di bawah pemerhatian pihak hospital.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu menunggu laporan perubatan yang lengkap sebelum mengambil langkah seterusnya dalam pendakwaan terhadap empat individu yang telah ditahan kerana menyerang Paijang.
“Sehingga semalam, saya berhubung dengan pihak hospital. Masih lagi belum ada satu tarikh tertentu untuk kita selesaikan kes perubatan mangsa.
“Buat masa ini, setakat yang kita dimaklumkan, mangsa masih berada di bawah pemerhatian pihak hospital.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyempurnakan majlis perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baru Cina tahun 2025 di Key Tronic Corporation (KTCC) Mall, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Sukairi menjelaskan beliau turut dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa mangsa berada dalam keadaan stabil.
Keempat-empat suspek yang berusia antara 18 hingga 60 tahun itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
26 Jan 25
363