Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan negeri tetap teguh dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam dengan menekankan larangan hiburan di premis tertentu serta kawalan ke atas aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam.
Menurutnya, ia termasuk penguatkuasaan larangan hiburan di premis-premis tertentu serta kawalan terhadap aktiviti jualan di bulan Ramadan.
"Antara tindakan yang bakal diambil termasuklah larangan penganjuran hiburan di premis-premis tertentu sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam dapat menumpukan perhatian kepada ibadah.
"Dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang bersyariat, penekanan bukan sahaja perlu diberikan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat.
"Malah aspek penguatkuasaan undang-undang Islam juga perlu ditekankan," ujarnya dalam satu hantaran Facebook rasminya baru-baru ini.
Terdahulu beliau telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi membincangkan pengisian dan penguatkuasaan aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menurut Wan Sukairi, penguatkuasaan ini juga akan melibatkan pemantauan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan semua premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
"Langkah-langkah ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan membuahkan hasil yang positif dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam,” tambah beliau.
04 Feb 25
326
RM700 Ribu Baiki Reban Ayam
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Sebanyak RM700,000 dana bantuan telah disalurkan Kementerian bertujuan untuk membaik pulih Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, projek kompleks reban tertutup yang telah dibina pada tahun 2005 itu telah dibiarkan terbengkalai.
“Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut merupakan aset milik Kerajaan Negeri yang dibina dengan kos jutaan ringgit. Terbiar rosak begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada sesiapa.
“Alhamdulillah, kita ikhtiar dapatkan dana untuk baiki dan majukan kembali. Terima kasih kepada KPKM yang menyalurkan dana lebih RM700 ribu untuk pembaikian dan naik taraf reban ayam ini,” beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini.
Menurut penyata rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mesyuarat kedua penggal persidangan pertama DUN kelima belas 2023, kompleks reban ayam tertutup di Baroh Masin Hulu Besut itu telah dikelola oleh tiga pengusaha berasingan iaitu TD Poultry, Syarikat Jahasrat Farming dan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC), sebelum ini.
Namun, kerugian yang berpunca daripada masalah kecurian dan masalah kelengkapan dengan anggaran melebihi RM200,000 yang terpaksa ditampung oleh pengusaha-pengusaha itu jelas terlalu tinggi menyebabkan mereka menarik diri daripada meneruskan projek tersebut.
Justeru itu, Dr. Azman berharap dengan bantuan yang telah disalurkan oleh KPKM tersebut bakal dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh kerajaan negeri untuk memulihkan aset negeri yang melibatkan kos jutaan ringgit dalam pembinaannya.
Dalam masa sama, beliau turut telah mengumumkan bahawa pihaknya telah memilih pengusaha baru dengan harapan ia bakal dapat memanfaatkan aset yang dibiarkan terbiar itu dengan sepenuhnya.
“Insya-Allah sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dan berdaya saing telah diberikan peluang sebagai operator baru yang akan mengoperasikan reban tertutup ini dalam masa terdekat,” katanya.
03 Feb 25
1860
MBKT Sedia Tiga Tapak Perkampungan Moreh Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyediakan tiga perkampungan moreh sepanjang Ramadan tahun ini.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, lokasi yang ditetapkan adalah kawasan tempat letak kereta di Jalan Persinggahan, tapak Payang Walk dan di Pulau Warisan.
Menurut Rosli, perkampungan moreh berkenaan akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja atau Pertubuhan Kebajikan.
"Kita menyediakan perkampungan moreh yang mengetengahkan konsep kekeluargaan bagi memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri suasana berbuka, bermoreh dan bersahur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Medan Selera Muara Utara di Kampung Hulu Takir, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai medan selera terbabit, beliau memaklumkan, ia akan dibuka selewat-lewatnya Khamis depan.
"Medan Selera Muara Utara yang membabitkan kos pembinaan kira-kira RM4 juta, menyediakan 72 ruang niaga termasuk 36 gerai makanan dan minuman, manakala bakinya adalah gerai pelbagai," ujarnya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, MBKT menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar Ramadan di dua daerah iaitu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Katanya, sebanyak 12 tapak bazar Ramadan disediakan di daerah Kuala Terengganu, manakala tujuh di daerah Kuala Nerus.
"Kita juga turut menyediakan empat tapak bazar Aidilfitri di kawasan bandaraya Kuala Terengganu dan satu di daerah Kuala Nerus.
"Tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja serta Persatuan Kebajikan," katanya.
Mengenai kadar sewa tapak bazar Ramadan dan tapak bazar Aidilfitri pula, Rosli berkata, MBKT mengeluarkan garis panduan kadar sewaan tapak bazar ramadan dan bazar Aidilfitri.
03 Feb 25
1692
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.
02 Feb 25
75
RMK13 : Peluang Terengganu Jangkau Pasaran ASEAN
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Terengganu kini bersiap sedia untuk mengharungi revolusi ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bukan sahaja menawarkan peluang baru bagi negeri ini, tetapi juga membuka pintu kepada pasaran ASEAN yang besar, dengan lebih 700 juta penduduk.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, menegaskan bahawa Terengganu perlu melangkah lebih jauh daripada pasaran domestik.
"Kita tidak boleh hanya melihat pasaran 30 juta penduduk di Malaysia.
"Produk dan perkhidmatan kita perlu merentasi pasaran ASEAN yang besar,” katanya dalam Sesi Libat Urus RMK13 di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nor Azmie, RMK13 membawa pendekatan baru dalam meningkatkan daya saing Terengganu dengan menumpukan perhatian kepada eksport dan pasaran luar negara.
"Dengan sokongan infrastruktur moden seperti East Coast Rail Link (ECRL), Terengganu kini mempunyai akses lebih mudah ke pasaran ASEAN dan dunia," tambahnya.
Tambah beliau, ECRL memberi kelebihan dalam pengangkutan barangan dari Terengganu ke pelabuhan tempatan dan antarabangsa, menjadikan eksport lebih efisien dan lancar.
"Infrastruktur ini adalah asas utama untuk membuka peluang besar dalam eksport ke negara ASEAN dan seterusnya,” jelasnya.
Nor Amie turut menegaskan bahawa selain sektor pembuatan, peluang besar juga terbuka dalam pertanian, makanan, dan perkhidmatan.
"RMK13 bertujuan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab ekonomi utama Pantai Timur yang berdaya saing di peringkat global.
"RMK13 dijangka akan memberi impak besar dalam pembangunan ekonomi negeri, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu, seiring matlamat mencapai kemakmuran yang lebih inklusif dan berdaya saing," ujarnya.
02 Feb 25
282
Bancian Pertanian Perlu Lebih Kerap Untuk Data Tepat
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan negeri menegaskan keperluan untuk melakukan bancian pertanian dengan lebih kerap perlu diletakkan sebagai satu keutamaan bagi memastikan data yang diperoleh benar-benar menggambarkan prestasi semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, data bancian pertanian terakhir pada tahun 2005 hanya bergantung kepada jabatan dan agensi berkaitan, menyebabkan maklumat yang diperoleh tidak menyeluruh.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM, saya selalu memberikan pandangan supaya DOSM melakukan beberapa penambahbaikan,
“Supaya data-data dan statistik yang diperolehi dan dianalisa dengan lebih terperinci agar dapat menggambarkan situasi sebenar di lapangan.
“Ia bukan bermaksud bahawa data DOSM sebelum ini tidak tepat tapi masih banyak ruang yang boleh dimurnikan," katanya.
Dalam usaha yang sama, beliau telah menyambut baik inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaksanakan semula Banci Pertanian pada tahun 2024.
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai prestasi sebenar pertanian negara, Dr. Azman turut mencadangkan supaya KDNK sektor pertanian dikaji semula dengan mengasingkan subsektor yang tidak berkait secara langsung.
“Ada empat subsektor utama yang dikira dalam KDNK Sektor pertanian iaitu subsektor tanaman, subsektor perikanan, subsektor ternakan dan subsektor perhutanan dan pembalakan.
“Bagi subsektor tanaman termasuk juga di dalamnya tanaman komoditi seperti kelapa sawit,” tambahnya.
Menurut beliau, sektor kelapa sawit sepatutnya berada di bawah kementerian berbeza dan bukan sebahagian daripada tanaman makanan kerana ia memberi kesan besar kepada KDNK pertanian walaupun realitinya sektor pertanian lain berkembang.
“Saya mencadangkan supaya KDNK Sawit diasingkan dari KDNK Pertanian kerana sawit dan pertanian diuruskan oleh dua kementerian berbeza.
“Sawit juga tidak dikira sebagai tanaman makanan. Dalam konteks Terengganu, ladang sawit meliputi kira-kira 70 peratus dari kawasan bertanam.
“Apa sahaja kenaikan dan penurunan yang berlaku kepada sektor sawit akan memberikan kesan besar kepada KDNK Pertanian.
Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap penyatuan sektor perhutanan dan pembalakan dengan sektor pertanian dalam pengiraan KDNK.
Hal ini kerana, penyatuan sektor-sektor tidak berkaitan itu dilihat sebagai satu pemangkin yang turut mempengaruhi bacaaan akhir hasil bancian.
“Portfolio Pertanian Terengganu tak ada sebarang bidang kuasa dengan Jabatan Perhutanan. Orang Jabi kata, bukan kerja ‘ambo’ (saya).
“Jika banyak tebang balak maka KDNK akan naik. Kurang tebang balak maka KDNK turun,”ujarnya.
Dr. Azman berharap bancian yang lebih kerap dan pemisahan data yang lebih spesifik dapat membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih tepat bagi memajukan sektor pertanian negara.
02 Feb 25
100
Terengganu Perkasa Sukan Bendung Masalah Sosial Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan Terengganu sedang giat merangka strategi bagi memperkasa sektor sukan sebagai langkah membendung masalah sosial dalam kalangan belia negeri itu.
Menyedari kebimbangan terhadap peningkatan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan penggunaan 'vape' berasaskan bahan terlarang, kerajaan negeri melihat sukan sebagai medium terbaik untuk menarik golongan muda kepada aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, dalam satu sesi audiosiar bersama Tarmacsportsmy, menegaskan bahawa penglibatan belia dalam sukan bukan sekadar untuk berpeluh, tetapi sebagai satu cara untuk mengisi masa mereka dengan perkara yang lebih berfaedah.
“Kita (kerajaan negeri) memandang tinggi pencapaian sukan kerana ia merupakan antara elemen penting dalam menurunkan kadar isu sosial dalam negeri.
“Apabila anak muda sibuk dengan latihan dan persaingan dalam sukan, mereka kurang terdedah kepada pengaruh negatif seperti penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang lain,” ujar beliau.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri sedang menyusun agenda sukan yang lebih kompetitif bagi memastikan belia tidak sekadar bersukan untuk berseronok, tetapi turut mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam bidang tersebut.
Kata Hishamuddin, salah satu inisiatif utama yang bakal diperkasakan ialah aktiviti berbasikal di Terengganu, yang suatu ketika dahulu diiktiraf sebagai ‘Land of Cyclists’.
"Penglibatan belia dalam sukan berbasikal itu semakin berkurangan dan perlu dihidupkan kembali.
“Maka kita mengambil tindakan untuk tahun 2025 ini, kita mesti merancakkan kembali aktiviti berbasikal di Terengganu.
“Kita akan mengadakan lebih banyak acara seperti ‘fun ride’ supaya belia menantikan dan teruja untuk menyertai aktiviti sebegini.
“Dengan adanya program seperti ini, Insya-Allah, walaupun bukan sepenuhnya, kita dapat membantu membendung masalah sosial dalam negeri,” katanya.
Selain sukan berbasikal, kerajaan negeri turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak program lain yang bakal dapat memberi impak positif kepada pembangunan belia.
02 Feb 25
213
Israel Lemah, Rancangan Takluk Palestin Gagal
BESUT, 2 Februari - Zionis Israel dilihat lemah apabila segala usaha dan perancangannya untuk menakluki bumi Palestin terus gagal sehingga terpaksa berunding dengan pihak Hamas untuk memeterai perjanjian gencatan senjata fasa pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berdasarkan situasi semasa yang berlaku di Gaza pihaknya yakin Perdana Menteri negara haram Israel akan meneruskan perjanjian gencatan senjata fasa seterusnya.
"Saya mengandaikan bahawa pihak Zionis Israel akan menilai apa yang berlaku ini kerana mereka mendapati bawa semua objektif (menakluki Palestin) yang mereka gariskan tidak tercapai.
"Apa yang penting ialah kita dapat melihat bagaimana rakyat Palestin begitu cekal, mempunyai keazaman yang tinggi walapun dibom, ditembak, diruntuhkan rumah dan keperluan-keperluan asas mereka, tetapi masih tidak berganjak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata kini seluruh dunia dapat saksikan puluhan ribu rakyat Palestin tidak pernah keluar dari bumi Gaza dan kini rakyat mereka yang berada dalam tahanan zionis berpuluh tahun telah kembali ke rumah masing-masing yang telah hancur musnah diletupkan rejim negara haram itu.
"Ini menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan yang sebenar, perjuangan untuk menuntut hak mereka yang dirampas oleh Zionis Israel.
"Sebenarnya Zionis Israel yang mesti dikeluarkan dari bumi Palestin, bukan rakyat Palestin yang mesti keluar dari bumi mereka sendiri sebagaimana yang disarankan oleh Presiden Amerika, Donald Trump,"katanya.
02 Feb 25
168
Jual Arak Di Premis Terbuka : Nga Kor Ming Perlu Hormati Hak Majoriti
BESUT, 2 Februari - Permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menilai semula sekatan jualan arak di kawasan majoriti Islam adalah tidak wajar.
Malah ia juga disifatkan tidak menghormati hak majoriti rakyat negara beragama Islam sekali gus akan menimbulkan keadaan hura-hara serta kacau-bilau.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak dinafikan rakyat dalam negara terdiri daripada masyarakat majmuk namun perlu ditegaskan bahawa Malaysia adalah negara umat Islam sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan.
"Maka masyarakat bukan Islam perlu menghormati umat Islam dalam negara ini apabila kita bercakap mengenai hak ia bukan sahaja membabitkan hak minoriti tetapi majoriti dalam negara yang merupakan umat Islam.
"Kalau kita hendak berikan kebebesan supaya arak oleh dijual secara terbuka, semua premis boleh jual arak atas orang hendak pergi beli atau tidak itu merupakan hak masing-masing jadi ia tidak kena daripada sudut 'Maqasid Syariah'.
"Jika hendak mengambil logik sebegitu, kalau kita izinkan semua orang jual dadah, ganja, pil kuda dan lain-lain, tidak perlu ada undang-undang dan peraturan yang menghalang penjualan perkara yang memudaratkan tersebut, sudah tentu masyarakat akan jadi kacau bilau, jadi sebagai masyarakat bertamadun perlu mempunyai peraturan dan undang-undang,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Daerah Besut, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, semalam
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata Islam merupakan agama yang memandu kepada kehidupan bertamadun, sebab itu arak diharamkan secara jelas kerana boleh menimbulkan perkara yang memudaratkan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang ramai.
"Jadi masyarakat bertamadun adalah masyarakat yang mempunyai peraturan dan undang-undang, kadang-kadang saya pelik dengan menteri dalam Kerajaan Madani ini mereka sendiri pun tidak faham apa maksud madani.
"Madani itu maksudnya masyarakat yang memiliki undang-undang adil di situ kita lihat perlu ada di sana peraturan khusunya dalam konteks penjualan arak di premis-premis perlu ada kekangan sebagaimana yang diamalkan serta perlu diperkasakan lagi.
"Alhamdulillah, kita di negeri Terengganu menitik beratkan perkara ini dan ada Enakmen Jenayah Syariah yang meletakkan hukuman ke atas mereka yang meminum minuman kerasan dengan batasa had 356 sebagaimana yang kita maklum,"tegasnya.
02 Feb 25
198
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
BESUT, 1 Februari - Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui karnival yang diadakan itu ia menjadi kesungguhan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat secara berterusan agar memahami bahawa syariat Islam bukanlah bertujuan menyusahkan kehidupan manusia sebaliknya memandu mereka ke arah yang lebih baik.
"Kita hendak mendidik rakyat Terengganu bahawa syariat Islam ini merupakan satu perkara yang indah, penting untuk diamalkan dalam kehidupan kerana ia mudah, senang, diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam anggota masyarakat.
"Ia juga selari dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang meletakkan agenda Islam sebagai perancangan utama dalam pentabiran dan insya-Allah kita akan meneruskan karnival ini di setiap daerah yang lain serta akan disusuli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir merasmikan program karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjur Dr. Muhammad Khalil berkata pendidikan kepada masyarakat merupakan perkara subjektif yang perlu diusahakan secara berterusan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi melibatkan semua pihak termasuk individu, keluarga dan seluruh anggota masyarakat.
"Jadi bila kita buat (karnival Indahnya Hidup Bersyariat) ia akan menjadi satu syiar dalam masyarakat, apabila begitu dengan sendirinya akan dirasai oleh mereka bahawa negeri Terengganu ini penuh dengan program-program yang berlandaskan Islam.
"Bertujuan untuk mendidik rakyat Terengganu ke arah rakyat yang beriman dan berpegang kepada ajaran Islam,"ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di setiap daerah kerana ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita dan anak muda.
Pelbagai segmen yang diadakan pada karnival itu antaranya pengisian agama melalui kuliah perdana, forum, Pahlawan Subuh, selain itu adanya pameran dari agensi dan jabatan serta jualan Pasar berkat yang menawarkan segala barang keperluan dengan harga yang rendah serta berpatutan.
01 Feb 25
319