lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman
Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli memulakan tugas rasmi di Wisma Darul Iman hari ini. Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.55 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia, Penasihat Undang-undang negeri, Mohd Nawawi Ismail, serta Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.  Baginda kemudiannya berangkat ke Pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan pegawai kanan kerajaan.  Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan satu pertemuan rasmi diadakan bagi membincangkan urusan pentadbiran negeri dalam suasana penuh muafakat. Usai pertemuan tersebut, Yang Di-Pertuan Muda berangkat ke Bilik Gerakan Negeri di Tingkat 17 bagi sesi taklimat berkaitan pentadbiran negeri.  Sesi ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menyentuh pelbagai aspek utama pentadbiran, termasuk Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Jawatankuasa Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, serta hubungan strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Setelah selesai sesi taklimat, baginda berangkat ke Tingkat 13, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagi memulakan tugas rasmi.  Ketibaan baginda di UPEN disambut dengan penuh adat dan istiadat, dimulai dengan gimik perakam waktu masuk sebagai simbolik permulaan tugas baginda. Imam Besar Negeri, Engku Omar Amiruddin Engku Ali turut hadir untuk memimpin bacaan doa selamat, memohon keberkatan atas amanah baharu yang dipikul oleh baginda. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) kemudiannya mengambil alih sesi penerangan berkaitan pentadbiran dan cara kerja di UPEN, bertempat di pejabat rasmi Yang Di-Pertuan Muda. Sesi ini memberi peluang kepada baginda untuk lebih memahami peranan UPEN dalam merangka strategi pembangunan negeri yang lestari dan berdaya saing. Menariknya, Program Penempatan baginda tidak terhenti di UPEN sahaja. Mengikut jadual rasmi, baginda akan berkhidmat di UPEN sehingga 31 Julai 2025, sebelum meneruskan penempatan kedua di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026.  Seterusnya, baginda akan ditempatkan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus mulai 1 Februari hingga 31 Julai 2026. Akhir sekali, bagi melengkapkan pengalaman pentadbiran, baginda akan berkhidmat di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Januari 2027. Program Penempatan di Jabatan-Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu ini juga merupakan langkah strategik dalam memperkasakan pemahaman baginda terhadap sistem pentadbiran negeri secara lebih mendalam sejajar dengan peranan baginda sebagai pewaris pemerintahan Terengganu. 
10 Feb 25
43954
THT Kekal di Puncak Liga
THT Kekal di Puncak Liga
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0.
09 Feb 25
73
Monsun KIAM: Ajar Kepimpinan Holistik, Bina Jati Diri 56 Remaja
Monsun KIAM: Ajar Kepimpinan Holistik, Bina Jati Diri 56 Remaja
BESUT, 9 Februari – Program kepimpinan bersama 56 remaja, Monsoon KIAM: 'Kembara Al-Kahfi', anjuran Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AKAF) berjaya mendidik generasi muda agar memiliki daya kepimpinan menerusi pendekatan holistik. Dengan tema ‘Ini Bukan Sekadar Kem, Tetapi Satu Perjalanan’, peserta terbabit dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri, kepimpinan dan fizikal yang dirancang untuk memperkasa minda serta memiliki semangat berpasukan. Setiap aktiviti yang dilaksanakan menekankan elemen kepimpinan yang praktikal, merangkumi pembangunan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, serta pembentukan daya kepimpinan yang berkesan.   Peserta program, Izhamdi Abdullah berkata dia sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program itu. Menurut Izhamdi, program itu mengajarnya sudut pandangan baharu mengenai selok-belok kepimpinan.   "Program ini  telah mengubah cara saya berfikir tentang erti kepimpinan melalui aktiviti yang mencabar seperti 'hiking' dan 'team building' benar-benar membantu saya membina keyakinan diri dan belajar pentingnya kerja berpasukan,” katanya. Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui disini, baru-baru ini. Turut berkongsi pengalaman, ibu kepada salah seorang peserta, Asma Wahap, menyuarakan persetujuannya terhadap program yang telah dijalankan itu. "Platform Akademi Kepimpinan Al-Fateh ni sangat bagus untuk jadi tempat anak-anak berlatih. ‘Circle’ yang menyokong sangat penting.   “Nampak dia (Aisyah)  pun gembira sangat dengan kawan-kawan baru walaupun baru kenal dalam program tu," ujar Asma. Terdahulu, program yang berlangsung di Kem Damai Beach Resort selama tiga hari dua malam itu memberi pendedahan melalui pelbagai aktiviti bersifat holistik. Antaranya termasuk Tadabbur Surah Al-Kahfi, Jati Diri Muslim, Pembinaan Karakter Pemimpin, Ilmu Menuju Kejayaan, aktiviti team building, hiking, flying fox, dan pelbagai modul dinamik lain. Kejayaan Monsoon KIAM mendorong AKAF untuk menjadikannya sebagai program tahunan bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara dengan mengekalkan nilai Islam dan identiti rakyat Terengganu.
09 Feb 25
82
THT Kekal di Puncak Liga
THT Kekal di Puncak Liga
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0, malam tadi. Perlawanan bermula sengit sebaik sahaja wisel dibunyikan, menyaksikan asakan demi asakan antara THT dan MHC.  Permainan sengit berterusan kegagalan menjaringkan gol menjadi duri dalam daging kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun, THT berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui ledakan gol padang yang disempurnakan oleh Faizal Saari. Gol tersebut memberi dorongan kepada pasukan pantai timur itu untuk merancakkan rentak permainan meskipun dengan keadaan padang yang licin akibat hujan. Hasilnya, memasuki awal babak Kedua perlawanan, tepat pada minit ke-31, THT licik merampas bola dalam satu pergelutan sengit di hadapan gawang MHC, membuahkan satu lagi gol menerusi pukulan daripada Samkelo Mbivi. Selang lima minit kemudian, penjaring gol terbanyak bagi keseluruhan liga buat masa ini, Faizal sekali lagi mencuri perhatian dengan gol keduanya dalam permainan itu pada minit ke-36. Jaringan padang tersebut melebarkan kedudukan THT kepada 3-0, meninggalkan MHC dengan jurang yang besar.  Biarpun selesa dengan kedudukan 3-0, pasukan THT tidak mengendurkan rentak permainan walau sejenak untuk terus mendominasi padang. Perlawanan terus berlangsung rancak, stadium menyaksikan kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan namun, MHC terpaksa akur kepada nasib yang memihak kepada THT. Pada minit ke-50, pemain kebangsaaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook melengkapkan jaringan terakhir dalam perlawanan itu tadi menerusi pukulannya selepas menyambut baik hantaran daripada pemain import, Lee Nam Yong. THT kini masih memegang status kemenangan berturut dan kekal di kedudukan teratas liga dengan 21 mata keseluruhan. Pasukan dibawah latihan Mohd Harfizi Baharom itu dijadualkan untuk menentang Nurinsafi Sporting pada 13 Februari bertempat di Stadium Hoki Bertam, Penang, jam 8 malam.
08 Feb 25
189
Terengganu Bantu Pesawah Terjejas Serah Nama Kepada PM
Terengganu Bantu Pesawah Terjejas Serah Nama Kepada PM
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan negeri akan berusaha membantu pesawah di negeri ini yang terkesan dengan kenaikan kos input pertanian. Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu memudahkan urusan menghantar senarai nama pesawah yang terjejas dengan peningkatan kos pengeluaran termasuk kos harga bahan input dan jentera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, tindakan itu dibuat sebagaimana diminta Anwar dalam sesi Parlimen baru-baru ini. "Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pesawah di negeri ini terbela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam mencari penyelesaian terbaik. "Kami telah mengenal pasti semua pesawah yang mengalami kesan langsung akibat kenaikan harga baja, racun, benih, dan jentera pertanian. Insya-Allah, nama-nama mereka akan dihantar kepada PM dalam masa terdekat," katanya. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha membantu golongan pesawah termasuk melalui insentif khas dan usaha menstabilkan kos input pertanian. “Di Terengganu ada seramai 4,714 orang pesawah yang berdaftar. Semuanya terkesan kerana kenaikan kos baja, racun, benih dan pelbagai jentera pertanian.  “Insya-Allah nama-nama mereka akan sampai kepada PM sebagaimana diminta dan kita akan bantu untuk permudahkan,” ujarnya. Sementara itu, para pesawah di Terengganu berharap agar langkah ini akan membawa penyelesaian segera terhadap bebanan kos pengeluaran yang semakin meningkat. Terdahulu dalam sesi Parlimen, PM telah meminta agar nama pesawah yang terkesan diserahkan kepadanya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
06 Feb 25
285
Dua Anak Syarikat EPIC Berhad Terima Anugerah Pencapaian Cemerlang
Dua Anak Syarikat EPIC Berhad Terima Anugerah Pencapaian Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Dua anak syarikat EPIC Berhad iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) dan EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) telah menerima anugerah Star Excellence Recognition Award daripada ExxonMobil Explorattion and Production Malaysia Inc. (EMEPMI). Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua anak syarikat itu memperolehi anugerah tersebut sempena EMEPMI 2025 Senior Contractor Management Forum. "Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen tinggi dan kecemerlangan syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik. "Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus maju dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," ujarnya melalui suatu kenyataan rasmi di facebooknya, hari ini. Atas kejayaan yang dicapai itu, Samsuri mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang membabitkan kedua-dua anak syarikat EPIC Berhad atas kesungguhan serta komitmen yang dilakukan selama ini sehingga mendapat anugerah berprestij itu. "Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan PBKSB dan EOGSB di atas pencapaian cemerlang yang diterima,"ujarnya.
06 Feb 25
266
Pesalah Khalwat Berulang Sokong Sebatan Di Khalayak Ramai
Pesalah Khalwat Berulang Sokong Sebatan Di Khalayak Ramai
Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai pada penghujung Disember tahun lalu, menyokong hukuman tersebut terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di negeri Terengganu.
06 Feb 25
867
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
KUALA TERENGGANU, 5 Februari- Program Santai Daei Pasar Payang yang julung kali diadakan di Laman Payang di sini adalah usaha Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendekati pengunjung pasar berkenaan sekali gus menyampaikan dakwah secara santai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk melihat Pasar Payang sentiasa segar dan dikunjungi orang ramai. “Tahniah kepada pihak DUAT atas penganjuran program yang bagus dan bermakna ini. “Pengunjung yang datang dapat sama-sama menikmati persembahan ‘busking’, bual bicara dan juga diselit dengan nasihat-nasihat agama, sudah tentu selain membeli belah mereka dapat hiburkan hati dan mendapat sesuatu yang bermakna,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Daie Pasar Payang di Laman Payang di sini, hari ini. Mengulas lanjut Ahmad Shah berkata, kaedah menawan orang ramai mengikuti program keagamaan adalah dengan menyelami kegiatan mereka. “Sebab itu program yang kita susun ini sebagai suatu perkara permulaan, bukan setakat berhibur (mematuhi syariah) tetapi dalam masa yang sama memberi manfaat lain kepada pengunjung. “Kita cuba tarik lebih ramai ke Pasar Payang, jadikan sebagai lokasi untuk mereka datang membeli belah, berehat dan dapat faedah ilmu agama,” ujarnya. Justeru katanya, pengunjung mahupun peniaga diharapkan terus memberikan sokongan kepada program Santai Daie Pasar Payang demi kebaikan bersama. “Bukan kali pertama dan terakhir program ini diadakan di sini tetapi jika mendapat sokongan orang ramai ianya akan berterusan,” ujarnya.  
05 Feb 25
105
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan di Terengganu dengan penekanan bahawa bantuan kepada golongan memerlukan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.
05 Feb 25
314
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kejohanan Terengganu Marathon 2025 (TM2025) yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2025 dijangka mendapat penyertaan melebihi 20,000 peserta dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Induk TM2025, Hishamuddin Abdul Karim, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan kejohanan tersebut di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut beliau, segala persiapan sedang berjalan lancar bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. “Kejohanan Terengganu Marathon 2025 akan berlangsung pada 21 & 22 Februari 2025 dengan pelbagai kategori dipertandingkan iaitu 42KM (marathon penuh), 21KM (separuh marathon), 10KM dan 5KM. “Larian ini akan bermula di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu dan dijangka akan disertai oleh lebih 20,000 peserta yang terdiri daripada pelari tempatan dan luar negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya. Selain menjadi medan persaingan buat pelari profesional dan amatur, TM2025 juga berpotensi dalam mempromosikan pelancongan sukan di Terengganu serta menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Dengan penyertaan besar dari pelari tempatan serta antarabangsa, Hishamuddin meletakkan kepercayaan bahawa acara Terengganu Marathon 2025 akan menjadi satu lagi kejohanan sukan berprestij yang bakal membanggakan negeri Terengganu.
04 Feb 25
1305