lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
KEMAMAN, 14 Februari - Terengganu terus mencipta nama di persada dunia apabila mengharumkan nama negara (Malaysia) setelah berjaya memenangi gelaran SouthEast Asia Massage Championship 2025.  Zawawi  Abdullah, 41, berkata dia tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan berasa sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang. Katanya, pertandingan itu melibatkan lebih 150 peserta (lelaki dan perempuan) daripada 11 buah negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Cambodia dan Philippines. "Syukur Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat dalam kalangan 20 terbaik namun tidak menyangka rezeki memihak kepada saya ketika itu. "Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini terutamanya ibu, adik beradik, kawan-kawan, guru-guru dan bekas-bekas pelajar saya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui. Tambahnya, semua peserta adalah pemenang dan dalam urutan tiada siapa yang paling hebat kerana yang menilai adalah pelanggan itu sendiri. "Jika pelanggan itu selesa dengan kita, maka kitalah yang terbaik bagi mereka. Kita juga adalah pemenang jika kita memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya," ujarnya. Zawawi yang sebelum itu memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage kemudian bersaing di peringkat seterusnya bersama pemenang-pemenang kategori lain bagi merebut gelaran juara keseluruhan SouthEast Massage Championship 2025. Kejohanan tersebut telah diadakan pada 24-26 Januari lalu dan berlangsung di Movenpick Hotel, Sepang. Katanya lagi, dia berharap suatu hari nanti dapat membuka sebuah akademi urutan di negeri Terengganu ini. "Macam saya sendiri ketika ingin belajar dulu, harga kelas urutan kebiasaanya agak mahal dan juga biasanya kelas-kelas ini di luar negeri Terengganu. "Jadi ianya akan melibatkan yuran, penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain yang menyebabkan kos keseluruhan menjadi sangat tinggi. "Oleh yang demikian, saya berharap dapat membuka satu akademi urutan bagi memudahkan kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang urutan ini," ujarnya.  Zawawi mula meminati bidang urutan sejak berusia lapan tahun apabila mewarisi minat ini daripada arwah datuknya. Dia mula menjadikan minat tersebut sebagai kerja sampingan sejak tahun 2005 dan telah berkecimpung sepenuh masa sebagai kerjayanya pada tahun 2016. Beliau telah menerima pengiktirafan dalam bidang ini selepas menyertai beberapa akademi seperti Avicenna Academy Malaysia di Kajang, Selangor dan Malaysia Institute of TVET Educators (MITE) di Cyberjaya, Selangor. Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat urutannya boleh hubungi di talian 017-7606097 atau boleh terus ke AZ Massage Treatment yang beralamat di 3034 Jalan Senangin Kampung Geliga, 24000 Kemaman, Terengganu. Kebiasaannya, harga urutan bermula serendah RM30 sehingga RM250 mengikut kepada tempoh masa dan jenis urutan yang diinginkan oleh pelanggan.      
14 Feb 25
926
Medan Selera D’Muara Lonjak Pembangunan ‘Promenade’
Medan Selera D’Muara Lonjak Pembangunan ‘Promenade’
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mewujudkan Medan Selera D’Muara yang terletak di Kampung Hulu Takir untuk melonjakkan pembangunan di Muara Selatan. Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata kewujudan Medan Selera D’Muara itu adalah untuk menempatkan peniaga-peniaga yang sebelum ini bertapak di Medan Selera Tanjung bagi membolehkan pembangunan ’promenade’ di Muara Selatan terlaksana. “Kita perlu alihkan segera Medan Selera Tanjung disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan 'promenade' telah terbantut disebabkan kita gagal menyiapkan projek ini (Medan Selera D’Muara). “Jadi, kita minta datang (berpindah) juga walaupun dalam keadaan sebegini bagi memberi ruang kepada pembinaan 'promenade' berkenaan. “Kita tidak mahu dijadikan alasan oleh pihak kontraktor, kelewatan kita alih menyebabkan projek dikenakan denda yang kosnya akan ditanggung oleh kerajaan. Beliau berkata demikian dalam satu ucapan ketika merasmikan majlis perasmian Medan Selera D’Muara, di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis perasmian Medan Selera D’Muara itu tadi. Rosli menjelaskan signifikan pembinaan ‘promenade’ itu dalam merealisasikan Kuala Terengganu sebagai ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ yang turut akan berfungsi sebagai penguraian trafik yang kini semakin serius di kawasan itu. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak MBKT akan menyelesaikan segala kekurangan dan permasalahan dihadapi oleh peniaga-peniaga di medan selera yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM4,243,800 itu. “Kita dapat tempat yang baru, orang yang pertama menduduki kawasan ini, pemandangan yang cantik. “Tapi saya akui fasiliti di sini masih ada sana-sini yang saya sendiri pun rasa belum lengkap. “Saya berjanji dengan bantuan kerajaan negeri, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan membuat ‘parameter grade’, ‘interlocking paving’ dan kita juga akan membuat sedikit lanskap bagi menyejukkan sedikit kawasan,” ujarnya. Pihak MBKT juga akan memberi tumpuan yang lebih dalam menyelesaikan permasalahan dari segi ruang meletak kenderaan yang turut menjadi aduan daripada peniaga di premis tersebut, tambahnya.  
13 Feb 25
545
EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'
EPIC Berhad Peruntuk RM75,000 Bagi 'Back To School 2025'
BESUT, 13 Februari – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi menyantuni 300 orang penerima melalui program 'EPIC Back To School 2025' kali ini.  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, berkata program tahunan  tersebut bertujuan membantu keluarga yang memerlukan dan menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu melalui bantuan kelengkapan sekolah kepada murid kurang berkemampuan di Terengganu.   Tambahnya, program itu diperluaskan ke beberapa kawasan pada tahun ini, memberi manfaat kepada 300 murid di tiga lokasi berbeza; 100 murid dari empat DUN di Kuala Terengganu pada siri pertama, 100 murid dari DUN Kijal, Kemaman pada siri kedua dan 100 murid dari DUN Jabi pada siri ketiga. “Bagi CSR 'Back To School 2025' siri ketiga kali ini, ia melibatkan 185 orang murid di mana 100 orang murid ditaja oleh EPIC. “Manakala, 85 orang murid lagi ditaja oleh Pusat Khidmat Dun Jabi, daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sendiri. “Jadi program ini sebahagian daripada program CSR yang memang setiap tahun kita buat. Cuma tahun ini lebih ramai daripada tahun lepas. Tahun lepas hampir 100 orang dan tahun ini 300 orang, tiga kali ganda lebih ramai,” jelasnya kepada pemberita di program tersebut di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, semalam..   Tambahnya,  dalam usaha membantu persiapan itu, murid yang terpilih telah menerima baucer bernilai RM200 untuk ditebus dengan barang kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg dan pelbagai lagi keperluan asas persekolahan di pasar raya tersebut. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha EPIC Berhad dalam membantu murid-murid yang memerlukan sangat dipuji. “Saya berharap semoga tanggungjawab korporat sosial yang dilaksanakan  oleh anak-anak syarikat negeri berkongsi keuntungan untuk dinikmati oleh ahli masyarakat kita diteruskan. “Dan di pihak DUN Jabi kita akan terus sentiasa bersedia untuk bekerjasama bagi menyediakan program-program dalam bentuk CSR dan kemasyarakatan seperti ini. “Mudah-mudahan, anak-anak kita ceria untuk kembali ke awal sesi persekolahan dengan pakaian seragam baru dan semangat baru dan semoga mereka menjadi bakal-bakal pewaris untuk meneruskan apa yang kami pikul sekarang ini," ujarnya.   Menurutnya lagi, program tersebut bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi semangat kepada anak-anak untuk lebih bersedia menghadapi sesi persekolahan.
13 Feb 25
237
Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan di bawah jenama Cap Bunga Rose milik bumiputera di sini, menyasarkan jualan sebanyak RM6.6 juta pada tahun 2025. Pengarah Jualan, Pembangunan Perniagaan & Perkongsian Strategiknya, Kamarul Hassan berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sekitar RM5 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkat selain strategi pemasaran yang lebih efektif. Menurut beliau, program promosi pada tahun ini juga lebih menarik kerana syarikat telah melantik ‘Importers’ baru di Indonesia bagi membantu mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran di negara terbabit. “Sebenarnya kita sudah bertapak di Indonesia sejak 2022 lagi selepas dapat sijil import Indonesia dan sekarang kita dapat ‘Importers’ yang baru. “Mereka (‘Importers’) telah menyusun produk Rempah Cap Bunga Rose ini dengan yang cara lebih jelas di mana menggunakan reka bentuk dan juga nama produk yang diinspirasikan oleh pihak di Indonesia selain menyusun strategi untuk memasuki pasaran yang lebih besar,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi dan Pengarah MATRADE Wilayah Timur, Amilatun Fazlina Zakaria ke kilang Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd di Kepong, baru-baru ini. Berkongsi bagaimana perusahaan rempah berkenaan bermula, Kamarul berkata semuanya dibuat secara kecil-kecilan. “Rempah Cap Bunga Rose bermula kira-kira 57 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk digunakan dalam masakan keluarga selain dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara. “Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujar beliau. Kamarul berkata, kini berkat kesabaran dan kerja keras mereka sepuluh beradik, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd terus berkembang sehingga berjaya mempunyai dua kilang yang masing-masing beroperasi di Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan juga di Bukit Kor, Marang dengan kekuatan 34 pekerja. “Kami mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di segenap negeri dan menepati citarasa ramai, malah kebanyakkan kedai makan yang menyediakan juadah nasi dagang menggunakan rempah keluaran syarikat kami untuk memasak gulai ikan tongkol,” ujarnya. Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau dan juga pes gulai ayam. Seperti pengusaha lain, Kamarul berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi dan mengharapkan perniagaan tersebut dapat dipertahankan dari generasi ke generasi. “Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia memandangkan Rempah Cap Bunga Rose ketika ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Indonesia dan turut ‘terbang’ ke Australia,” ujarnya. Dan terbaru katanya, syarikat mereka juga mempunyai Pusat Informasi & Cenderamata berasaskan produk Rempah Cap Bunga Rose yang beroperasi di Pasar Payang bermula Januari lalu bagi memenuhi tempahan 'goodies' perkahwinan, hantaran, dan hadiah VVIP. Sementara itu, Ariffin turut merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat terbabit yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk yang terbaru The Most Sustainable Company dalam Majlis Anugerah Usahawan (MARA) 2023/2024 pada Disember lalu.   
12 Feb 25
1569
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
Mufti Terengganu, Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron berpendapat, cadangan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja penting untuk menjaga seorang Muslim tetapi melibatkan masyarakat bukan Islam dalam memastikan keharmonian bersama.
12 Feb 25
74
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Karnival Indahnya Hidup Bersyariat tidak hanya menyajikan program ceramah perdana, bengkel solat, pameran agensi ataupun sukaneka semata-mata sebaliknya ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang sedang mencari kerja. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu terhidang apabila Terengganu Human Reource Development Centre (THRDC) akan membawa majikan ke program itu nanti. "Ia akan memberikan peluang pekerjaan sempena Karnival IHB dan Bulan Penghayatan Isra' Mikraj Peringkat Daerah Marang. "Antara majikan yang menawarkan pekerajaan (di program itu) adalah, TM One, Bumi Teraju Resources Sdn Bhd. In Saff Travel & Tours Sdn Bhd. E-Beca dan Tarbiyaah Kreatif," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, kelmarin. Justeri beliau menyeru agar mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk hadir ke program terbabit terutama komuniti berada berdekatan Masjid Rawai, Marang yang menjadi lokasi pilihan pada kali ini. "Jangan lepaskan peluang ini untuk menghadiri temuduga terbuka pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 13 hingga 14 Februari. "Jom daftar untuk temuduga terbuka di link atau scan kod Qr dalam poster https://bit.ly/tprogramterkini,"ujarnya. Selain itu apa yang menarik di Karnival IHB yang menjadi tumpuan ramai ialah Pasar Berkat yang menawarkan harga sangat berpatutan iaitu ayam RM10 seekor, daging RM23 sekilogram, sayur-sayuran RM1 seikat serta satu treler ikan murah.  
12 Feb 25
208
Sultan Mizan Rasmi Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands
Sultan Mizan Rasmi Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan buku mewah bertajuk 'Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands' yang diterbitkan oleh WWF-Malaysia dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic).
11 Feb 25
159
Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman
Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli memulakan tugas rasmi di Wisma Darul Iman ,Kuala Terengganu.
11 Feb 25
1057
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Mufti Terengganu, Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron berpendapat, cadangan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja penting untuk menjaga seorang Muslim tetapi melibatkan masyarakat bukan Islam dalam memastikan keharmonian bersama. katanya, garis panduan itu bertujuan bagi memupuk rasa hormat-menghormati antara semua pihak selain mengelakkan sebarang ketegangan yang mungkin timbul akibat salah faham dalam isu berkaitan agama. "Pada asasnya garis panduan ini penting sebab ia bukan sahaja menjaga umat Islam tetapi juga melibatkan bukan Islam. Maknanya semua pihak akan lebih menjaga dan menghormati keperluan masing-masing. "Ia baik untuk menjaga keharmonian semua pihak bukan sahaja pada umat Islam tetapi bukan Islam supaya saling berhati-hati dan menjaga kehormatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas sebuah program di sini semalam. Mohamad Sabri berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam muzakarah pada bulan ini sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan. "Mengenai lokasi (muzakarah) difahamkan diadakan di Kuala Lumpur. Jadi bagi saya perkara itu (garis panduan) elok tetapi ia akan dibawa dalam muzakarah dan kita pun tidak pasti macam mana. "Kita akan tengok dahulu sebab ia melalui proses dan selepas dari muzakarah ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, jadi kita tunggu resolusi dahulu,” jelasnya. Dalam pada itu, Mohamad Sabri menyatakan perbincangan secara menyeluruh terhadap isu tersebut adalah penting bagi memastikan garis panduan tersebut dapat diterima oleh semua pihak.  
11 Feb 25
156
'Terengganu Showcase' Catat Jualan RM100,000 Di Mesra Mall
'Terengganu Showcase' Catat Jualan RM100,000 Di Mesra Mall
KUALA TERENGGANU, 10 Februari- Seramai 16 usahawan Terengganu berjaya mencatat kejayaan memberangsangkan melalui penyertaan di Terengganu Showcase 2025 yang berlangsung di Mesra Mall, Kemaman, dengan jumlah jualan keseluruhan sekitar RM100,000. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) tempatan mengetengahkan produk berkualiti yang memenuhi permintaan penduduk setempat. “Prestasi ini jelas membuktikan bahawa produk keluaran IKS kita mempunyai permintaan ramai. "Malah Terengganu Showcase juga berupaya menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk-produk anak tempatan yang berkualiti tinggi, inovatif, dan berdaya saing,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Rempah Cap Bunga Rose dan Kilang Kopi Amiexa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, program anjuran YPU yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam itu menampilkan pelbagai barangan dipamerkan peserta dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. “Antara barang yang menjadi pilihan pengunjung termasuk batik, songket, sutera, keropok, ketupat palas, rempah ratus dan pelbagai makanan tradisonal Terengganu,” katanya. Justeru Ariffin berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan agar mereka dapat manfaatkan peluang untuk terokai pasaran yang lebih luas.  
10 Feb 25
259