lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Laluan Pelayaran Muara Merang Hanya Untuk Sementara
Laluan Pelayaran Muara Merang Hanya Untuk Sementara
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Setiap tahun selepas musim tengkujuh berakhir, kerajaan negeri, komuniti nelayan dan pihak berkepentingan di muara Merang berdepan dengan satu tugas penting yang telah menjadi rutin tahunan mereka - menggali muara yang tertimbus akibat mendapan pasir. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan menggali muara selepas musim tengkujuh itu bukanlah sebagai satu langkah penyelesaian jangka panjang. "Sebelum ini tiada sebarang projek mendalamkan muara dan pembinaan benteng pemecah ombak yang diluluskan. Sebab itulah semua langkah bersifat sementara. "Kini sukacita dimaklumkan pada tahun 2023 dalam RMKe-12, apa yang ditunggu selama ini oleh warga Merang, kita telah berhasil mendapatkan kelulusan sebanyak RM239 juta. "Projek bernilai ratusan juta untuk membina breakwater dan mendalamkan Muara Merang sedang dalam proses reka bentuk. Ia akan menjadi 'turning point' kepada masalah puluhan tahun yang telah dihadapi," jelasnya. Mengulas lebih lanjut, Azman menegaskan bahawa penglibatan warga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Merang sebagai pengguna utama muara ini memainkan peranan penting untuk menguruskan usaha penggalian sementara itu. Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa mereka lebih arif dengan segala pergerakan pasir dan aliran air di kawasan tersebut. Muara Merang merupakan pintu masuk utama bagi nelayan dan pelancong ke beberapa destinasi terkenal seperti Pulau Redang, Pulau Bidong, dan Pulau Lang Tengah. Namun, berbeza dengan pantai lain yang sering berhadapan dengan hakisan, Muara Merang berdepan dengan masalah sebaliknya, iaitu pemendapan pasir yang menyebabkan laluan perairan menjadi cetek dan sukar dilalui oleh bot serta kapal. “Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah berlanjutan sejak puluhan tahun. “Setiap kali musim tengkujuh melanda, ombak kuat membawa timbunan pasir ke muara, menyebabkan laluan utama menjadi cetek dan tidak selamat untuk dilalui. “Ini mengakibatkan nelayan mengalami kesukaran untuk keluar ke laut, manakala sektor pelancongan turut terjejas akibat bot pelancong tidak dapat beroperasi seperti biasa. Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu juga menaruh harapan dengan pelaksanaan projek besar itu di masa hadapan, komuniti nelayan serta sektor pelancongan di Muara Merang bakal menikmati manfaat jangka panjang. Sekali gus memastikan kelangsungan ekonomi setempat tidak lagi terganggu akibat masalah mendapan pasir tahunan.
13 Mar 25
509
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai 'My Safe Road Terengganu' dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, apa yang merisaukan adalah golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Terengganu yang kebiasaannya merupakan pengguna motosikal. "Insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas usaha kerjasama ini dan akan membuka ruang buat pihak JPJ terlibat sama dalam aktiviti melibatkan belia. "Dalam usaha memberikan kesedaran semasa (ketika) berada di jalan raya," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah JPJ negeri Terengganu bersama delegasi pihak terbabit yang telah mengadakan kunjungan hormat  di Wisma Darul Iman, bagi membincangkan usaha mengurangkan kemalangan di negeri Terengganu.  
12 Mar 25
130
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu menjalin satu kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sekali gus bakal manfaat kepada rakyat negeri ini dalam memiliki kemahiran mencukupi dalam kerjaya. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas kesudian HRD menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. "Pendekatan kolaboratif yang diambil oleh HRD Corp ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat positif dalam menyokong Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. "Untuk pengetahuan umum, syarikat ini juga bernaung di bawa kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa visi HRD Corp untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang mencukupi dan berupaya untuk bekerja akan turut memberi manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu. "Ini sekali gus dapat membuka peluang bagi mereka untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya dan merealisasikan impian mereka,"ujar beliau.  
12 Mar 25
585
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Seramai 60 orang anak asnaf dari daerah Kuala Nerus dan Setiu menerima sumbangan istimewa menerusi Program Projek Baju Raya 2025, yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.   Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penerima bantuan terdiri daripada anak-anak yatim, keluarga miskin, serta mereka yang berpendapatan rendah, bagi membolehkan mereka merasakan kegembiraan Syawal seperti kanak-kanak lain.   "Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman membeli pakaian raya baharu, menjadikan Aidilfitri mereka lebih istimewa dan penuh kegembiraan," katanya kepada pemberita di Mayang Mall, di sini kelmarin.   Dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18,000, program itu bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian raya seperti rakan-rakan sebaya mereka.   Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, serta Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar.     Ujar Zuwislan, setiap anak asnaf menerima bantuan sebanyak RM300 yang diperuntukkan oleh MAIDAM untuk membeli pakaian raya pilihan mereka.   "Sekiranya ada keperluan tambahan, ibu bapa angkat akan membantu menampung lebihan perbelanjaan di pusat beli-belah ini," tambah Zuwislan.   Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah memasuki tahun kelima dan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif lain, termasuk Projek Baju Sekolah bagi membantu pelajar mendapatkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.   "Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat, terutama dalam aspek kebajikan dan pendidikan," katanya.   Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai anak-anak asnaf dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa kekangan kewangan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.        
12 Mar 25
243
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di Marang kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 78 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu sesi kunjungan dilakukan daripada pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi mendapatkan pemakluman terkini mengenai status pembinaan. Menurut beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa aspek penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga siap sepenuhnya. "Projek ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan kerja-kerja utama seperti struktur bangunan, pemasangan bumbung, serta sistem perpaipan dan pendawaian elektrik hampir siap sepenuhnya," Wan Sukairi berkata demikian melalui hantaran Facebook rasminya semalam. Sebagai rekod, projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 unit rumah dan terbahagi kepada dua jenis; jenis A sebanyak 133 unit dan jenis B sebanyak 65 unit. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam pernah menjelaskan punca atau isu yang mengakibatkan kelewatan bagi penyiapan projek perumahan tersebut. Antara punca dan isu yang berlaku adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan yang membantutkan proses penyiapan. Walau bagaimanapun, kemajuan pembinaan yang telah berjaya dicapai pada masa ini menandakan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat. "Kerajaan negeri terus komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar, dengan pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pembinaan menepati standard yang ditetapkan," ujarnya.
12 Mar 25
1241
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).
12 Mar 25
45
Jambatan Angkat Sasar 150 Ribu Pengunjung Tahun Ini
Jambatan Angkat Sasar 150 Ribu Pengunjung Tahun Ini
Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) melalui pelbagai pelaksanaan program yang dianjurkan sepanjang tahun.
12 Mar 25
85
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Oleh : Mohd Syauqi Harun KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu itu merupakan salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di kawasan Batu Buruk. “Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap. "Semoga kediaman baharu ini menjadi tempat berteduh yang selesa dan penuh keberkatan buat beliau sekeluarga.  "Usaha ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata sedemikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan replika kunci rumah PPTS, sebentar tadi. Ibu tunggal kepada seorang anak, Sakirah Mat Yunus, 43, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Batu Buruk mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk meraikan Aidilfitri di kediaman sendiri akhirnya tercapai. “Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada YB Dr. Khalil dan semua pihak yang terlibat atas usaha untuk mendapatkan saya sebuah rumah untuk kami sekeluarga berteduh.  “Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ini hanya dengan menumpang rumah ibu saya,” tambahnya. Kata Sakirah lagi, pemberian itu juga amat bermakna baginya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa untuk anaknya yang masih bersekolah. “Selepas ini anak saya dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
11 Mar 25
228
Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
Terengganu Jadi Destinasi Latihan Skuad Kebangsaan Bola Sepak Pantai
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memilih Terengganu sebagai destinasi latihan skuad kebangsaan pada kali ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan rancak melakukan persiapan selama dua minggu bagi menghadapi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 di Pattaya, Thailand bermula 21 Mac 2025 ini. "Pihak kerajaan Negeri Terengganu tiada halangan dan membuka sepenuhnya peluang untuk mewujudkan sebarang kerjasama melibatkan penggunaan fasiliti sukan di negeri ini dengan sebaiknya.   "Usaha mempersiapkan Padang Bola Sepak Pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu tidak sempat untuk disiapkan buat kegunaan latihan pasukan kebangsaan kali ini.  "InsyaAllah, tahun-tahun mendatang diharap ia akan menjadi lokasi pilihan. Padang berkenaan dijangka siap pada pertengahan Mac ini. Hishamuddin berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya selepas meninjau persiapan akhir Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang membuat latihan akhir di Gelanggang Bola Sepak Pantai Telaga Batin, Kuala Nerus baru-baru ini. Turut bersama, Mohd Saiful Md Noor, Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan sepanjang tinjauan tersebut berlangsung. Tambah beliau, jurulatih bagi skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa pemain yang dipilih juga memiliki pengalaman beraksi di pentas Asia dengan menggabungkan pemain-pemain muda menyarung jersi pasukan. Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga menganggotai jawatan sebagai Jawatankuasa Eksekutif FAM sempat merakamkan pesanan semangat beliau untuk memberi keyakinan kepada pemain. "Selamat maju jaya buat semua yang terpilih mewakili Skuad Bola Sepak Pantai Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia bertanding di peringkat Asia," ujarnya mengakhiri hantaran tersebut.
11 Mar 25
882
Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung
Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 Mac -Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan sehingga 200,000 pengunjung pada Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@KSNT 2025) tahun ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, bertemakan 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac ini di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam. “Berdasarkan pengalaman penganjuran Program Pelita Raya sebelum ini, kami jangkakan kehadiran pengunjung adalah hampir 200,000. “Dengan pemilihan KSNT yang lebih luas dan memberi kemudahan aksesibiliti serta lebih keselesaan untuk pengunjung, kita sasarkan peningkatan seramai 50,000 orang di mana pada tahun lepas kita telah berjaya mencatat seramai 150,000 pengunjung,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, beliau yakin dapat capai sasaran tersebut kerana kali ini terdapat 19 penyertaan dari pejabat daerah, agensi badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Lebih membanggakan katanya, Peliter@KSNT 2025 bakal mencipta sejarah baru apabila berjaya menarik penyertaan dari luar negara antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia. Dalam pada itu Ahmad Ridzwan berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 32 vendor serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain jualan makanan tradisonal dari setiap daerah. “Turut diadakan demonstrasi makanan tradisional seperti loklik, jalam mas, ketupat palas dan lain-lain. “Serta demo kraf dan permainan tradisional seperti anyaman, ting-ting bulu ayam, batu seremban, musang berjanggut, tuju selipar dan sebagainya,” katanya.
11 Mar 25
157