Artikel "Semasa" Terkini
Kuala Nerus Bawa Pulang Hadiah Utama Peliter @ KSNT 2025
KUALA NERUS, 17 Mac - Tirai Pelita Raya 2025 (PELITER @ KSNT) ditutup meriah dengan kejayaan pihak Pejabat Daerah Kuala Nerus merangkul hadiah utama bagi kategori penyertaan pejabat daerah dalam acara tahunan yang telah bermula sejak 13 Mac yang lalu itu.
Bergelar juara, mereka membawa pulang hadiah bernilai RM6,000 berserta plak penghargaan.
Manakala, naib johan bagi kategori yang sama pula diduduki oleh mantan johan Peliter @ KBT 2023, pihak Pejabat Daerah Kemaman dan diikuti oleh mantan johan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 dan Peliter @ TTI 2024, Pejabat Daerah Kuala Terengganu di tempat tempat ketiga.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr .Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi adat bagi setiap pertandingan, ada bergelar pemenang dan ada yang tewas.
"Tetapi, pada saya semua pihak yang telah menyertai program ini, termasuklah mereka yang memasang pelita, yang hadir dan termasuklah para peniaga, mereka semua adalah pemenang.
"Kerana merekalah yang menjayakan majlis ini sehingga menjadi suatu saat yang bersejarah. Melalui merekalah lebih 170,000 orang pengunjung telah datang ke tapak program dalam beberapa hari ini."
Demikian ucapan beliau ketika merasmikan majlis penutup bagi program PELITER@KSNT yang bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Dr Samsuri turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak terlibat bagi menjayakan acara istimewa Calender of Event (COE) tahun 2025 itu.
"Tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Razali Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan dan seluruh pihak yang berusaha untuk menjayakan majlis kita pada hari ini," katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu; Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Sebagai rekod, sebanyak RM36,200 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi empat kategori pertandingan yang telah dipertandingkan untuk acara yang dijalankan pada bulan Ramadan itu.
Antara kategorinya adalah kategori pejabat daerah, kategori agensi dan badan kerajaan, kategori media sosial (Facebook) serta kategori media sosial (TikTok)
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan Anugerah Khas Pencetus Pelita Raya Terengganu kepada Muhammad Ramli Nuh bagi menghargai jasa dan keringat beliau yang telah merealisasikan acara tahunan itu.
17 Mar 25
1999
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini.
Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan.
"Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata.
"Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi.
"Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW.
"Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik.
"Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.
16 Mar 25
129
URA : Ahmad Amzad Tolak Dakwaan Perdana Menteri
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menolak sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri yang menuduh penentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai agenda untuk memastikan orang Melayu terus miskin dan berpendidikan rendah.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan mengalihkan perhatian daripada kelemahan ketara dalam cadangan akta tersebut.
“Kebimbangan terhadap URA bukan kerana menolak pembangunan tetapi kerana ia membuka ruang kepada pengambilan tanah secara paksa atas nama pembangunan yang akhirnya lebih menguntungkan pihak berkepentingan berbanding rakyat.
“Dengan syarat persetujuan 80 peratus bagi hartanah berusia 30 tahun dan 75 peratus bagi hartanah lebih 30 tahun. walaupun 20 peratus atau 25 peratus pemilik membantah, mereka tetap boleh kehilangan hak milik mereka.
“Keadaan ini jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan boleh membawa kepada pemindahan secara paksa pemilik asal khususnya golongan Bumiputera yang menghuni kawasan perumahan kos rendah dan setinggan di bandar.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya, semalam.
Ahmad Amzad turut menegaskan bahawa URA berpotensi menyebabkan pemilik asal tidak mampu membeli atau menyewa unit baharu yang dibina di lokasi asal, memaksa mereka berpindah ke kawasan pinggir bandar atau luar bandar yang mempunyai peluang ekonomi lebih terhad.
“Sejak era Tun Abdul Razak, dasar pembangunan dirangka untuk mengukuhkan kedudukan Bumiputera dalam ekonomi bandar.
"Namun, URA boleh menggagalkan usaha ini dengan menyingkirkan mereka akibat pembangunan yang tidak mengambil kira kemampuan pemilik asal untuk terus tinggal di kawasan tersebut,” tambahnya.
Sehubungan itu, Ahmad Amzad menggesa kerajaan agar tidak menyalahkan rakyat yang menyuarakan kebimbangan terhadap URA sebaliknya mendengar pandangan mereka dan memperbetulkan dasar ini.
“Pembangunan bandar mesti dilakukan tanpa menjejaskan hak pemilikan rakyat serta tanpa mengorbankan keseimbangan sosioekonomi yang telah lama diperjuangkan,” tegasnya.
16 Mar 25
381
Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi
SERDANG, 16 Mac – Kerajaan Terengganu menyedari bahawa keputusan mengharamkan penggunaan vape mungkin tidak popular dan berisiko menjejaskan sokongan politik, namun ia tetap dilaksanakan atas dasar tanggungjawab demi menjaga kesihatan serta masa depan generasi akan datang.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat untuk meraih populariti, sebaliknya berlandaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
"Kami faham mungkin ada yang tidak bersetuju dan ini bukan keputusan yang disenangi semua pihak. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh hanya memikirkan aspek politik semata-mata.
"Kami perlu melihat kepentingan jangka panjang, khususnya dalam melindungi generasi muda yang masih bersekolah daripada bahaya vape yang semakin menular," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Dewan D, MAEPS, Serdang, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan meskipun ada risiko kehilangan sokongan akibat keputusan tersebut, kerajaan negeri tetap teguh dalam pendirian demi maslahat lebih besar kepada rakyat.
"Kami tidak mahu generasi muda menjadi mangsa kepada budaya yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan mereka. Suka atau tidak, ini adalah amanah yang perlu kami laksanakan.
"Saya berharap anak muda, terutama mereka yang masih menggunakan vape, memahami bahawa keputusan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kesejahteraan mereka sendiri dalam jangka panjang," ujarnya.
16 Mar 25
1199
Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
SERDANG, 16 Mac - Majlis berbuka puasa bersama anak-anak Terengganu di perantauan berlangsung dengan penuh kemeriahan dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk kepimpinan negeri mendekati rakyat walau di mana mereka berada.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu telah menjadi acara tahunan setiap kali Ramadan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan perantau.
"Ia memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak Terengganu yang berada di luar negeri, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim.
"Selain itu, mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuhkan jalinan ukhuwah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, yang diadakan di Dewan D, MAEPS Serdang, semalam.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut berpesan kepada para perantau yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati ketika memandu.
"Pastikan perjalanan pulang disertai dengan kegembiraan dan kembali semula ke ibu kota dengan penuh semangat," ujarnya.
16 Mar 25
420
180 Asnaf Hulu Besut Gembira Terima Pakaian Raya
HULU BESUT, 15 Mac – Seramai 180 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut rata-ratanya gembira menerima sumbangan pakaian raya menerusi Program Sinar Aidilfitri yang berlangsung selama dua hari.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu persiapan Aidilfitri melalui pemberian baucar bernilai RM150 bagi setiap satu, membolehkan penerima memilih pakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka di Pasaraya Econjaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha saya sendiri untuk memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi dengan lebih sempurna dan sesuai bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut, di sini, semalam.
Beliau turut berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada penerima serta menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
“Saya mendoakan agar semua diberikan keberkatan, kesihatan, dan kebahagiaan dalam menyambut bulan Syawal yang bakal tiba,” tambahnya.
Program ini mendapat sambutan baik daripada penerima yang berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya.
16 Mar 25
134
Jadikan UPDI Sumber Perantau Dapatkan Maklumat Tepat
SERDANG, 16 Mac - Kerajaan Terengganu berharap anak-anak Terengganu yang berada di perantauan menjadikan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta sahih bagi mengetahui apa jua perkembangan terkini yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap perantau merupakan ejen menyampaikan berita serta informasi yang benar mengenai apa yang berlaku di Terengganu agar ia diketahui oleh seluruh rakyat Terengganu yang berada di mana sahaja.
"Terdapat anak-anak negeri yang berada di luar mungkin tidak menyertai persatuan jadi masing-masing perlu memberikan maklumat yang tepat kepada seluruh warga yang berada di luar dari negeri Terengganu.
"Maklumat itu bukan sahaja akan diketahui oleh rakyat Terengganu yang berada di luar bahkan akan turut menjadi perhatian seluruh anggota masyarakat dalam negara kita,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan, yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Sabtu.
Tambah Samsuri, penting untuk setiap rakyat Terengganu berada di luar mendengar penjelasan yang tepat daripada kerajaan melalui ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Maka, dengan 'update' yang betul, insya-Allah kita akan berjaya mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam masyarakat," katanya.
15 Mar 25
99
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Dua buah kedai di daerah ini dikompaun keseluruhan RM2,500 dalam operasi bersepadu Ops Supik Hitam yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.30 petang di premis makanan sekitar bandar raya ini.
"Kita nasihatkan semua umat Islam untuk sentiasa menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak sesekali terjebak dengan mana-mana kesalahan jenayah syariah," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta para peniaga mematuhi waktu operasi premis sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan MBKT.
"JHEAT dengan kerjasama agensi berkaitan dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terlibat dengan kesalahan ini," ujarnya.
14 Mar 25
708
Iftar di Sawah Padi Diteruskan, Pukau Perhatian Ramai
BESUT, 13 Mac - Suasana berbuka puasa dikelilingi kehijauan sawah padi terus menjadi daya tarikan di daerah ini apabila mencipta memori terindah kepada mereka yang hadir di Majlis Iftar Perdana yang diadakan petang kemarin di Kampung Padang Baloh.
Majlis yang diadakan itu telah diadakan selama tiga tahun berturut-turut menjelangnya Ramadan telah dihadiri lebih 600 penduduk kampung Padang Baloh serta mereka yang berada di sekitarnya rata-ratanya merupakan golongan petani dengan lebih 100 hidangan disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya sangat bersyukur kerana acara itu dapat diteruskan serta telah dijadikan acara tradisi sekali gus majlis itu dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat serta menghidupkan semangat kebersamaan.
"Majlis seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama, tetapi juga menjadi wadah mempekukuh ukhwah dalam komuniti.
"Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada penduduk di kampung lain untuk mengadakan program yang menggalakkan perpaduan seumpama ini,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir ke majis ini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA)TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir turut berkongsi rasa bangga dengan sambutan luar biasa yang diterima.
"Sebagai petani, kami sangat terharu melihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap majlis ini.
"Sawah padi bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga menjadi tempat yang menyatukan kami semua antara petani dan masyarakat akan terus erat,"ujarnya.
Dalam pada itu ,Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menyakannya majlis itu.
"Kita berharap agar tradisi tahunan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,"ujarnya.
13 Mar 25
3610
Kerjasama Terengganu-PNB Lonjak Ekonomi dan Peluang Pelaburan Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Kerjasama antara kerajaan negeri bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam usaha memperkukuhkan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif pelaburan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kunjungan hormat daripada PNB yang diketuai Pengerusinya, YM Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda, semalam.
Beliau menzahirkan keyakinannya bahawa kerjasama itu bakal memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa positif untuk membuka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak terutamanya bagi mengukuhkan ekonomi yang lebih mampan melalui projek-projek yang dilaksanakan.
“Saya juga amat menggalakkan masyarakat khususnya di Terengganu untuk mengambil peluang dalam pelaburan yang ditawarkan oleh PNB," ujarnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Kerjasama yang erat ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Terengganu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Dr. Samsuri percaya, dengan langkah proaktif, inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan akan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri Terengganu sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
13 Mar 25
1058