lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang mempertemukan pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesepakatan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak Kerajaan Negeri memerlukan mesyuarat penyelarasan seperti itu menjadi ruang perbincangan antara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. "Dalam mesyuarat terdahulu yang diadakan, saya ada mencadangkan agar Akta Penyerahan Duti Eksport Biji Mineral 1964 dalam Perlembagaan Persekutuan dikaji semula dan dinilai bagi meningkatkan peratusan hasil negeri.  "Peningkatan ini penting bagi memastikan negeri memperoleh manfaat yang lebih besar berdasarkan sumber asli yang dimiliki. "Kami di Terengganu Darul Iman ini juga menaruh harapan yang sangat tinggi agar peruntukan pertanian dan keterjaminan makanan, projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai serta kerja-kerja berkaitan industri pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman. Dalam sektor ekonomi dan industri pula, Dr. Ahmad Samsuri menegaskan perlunya langkah memperkasakan kawasan industri sedia ada, di samping membangunkan industri yang berpotensi besar untuk diusahakan di negeri itu. "Dalam sektor ekonomi dan industri, kita memerlukan langkah bagi memperkasakan kawasan industri minyak dan gas (Oil and Gas). "Dalam masa yang sama, membangunkan industri lain seperti farmaseutikal, pemberdayaan pelabuhan serta peranan negeri dalam teknologi Carbon Capture Utilisation and Storage (CCUS) dan projek hidrogen hijau (Green Hydrogen Project)," ujarnya. Beliau berharap agar semua cadangan ini dipertimbangkan dan diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif di Terengganu. Dr. Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan atas beberapa keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara, yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.  "Antara keputusan utama yang diumumkan adalah peningkatan sebanyak 25 peratus kadar pemberian mengikut bilangan penduduk yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2026," tambah beliau. Selain itu, beliau juga menyambut baik beberapa kelonggaran yang diberikan dalam perbelanjaan di bawah program 'Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation' (BFT), yang akan membolehkan negeri menggunakan dana secara lebih fleksibel dalam usaha pemeliharaan biodiversiti.  
23 Mar 25
104
Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Acara Pelita Raya 2025 (Peliter @ KSNT) yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini menyaksikan pelbagai jenis pelita tradisional dipamerkan oleh agensi-agensi yang terlibat.  Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pelita kekabu, yang diperkenalkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Besut (PDT Besut). Kakitangan PDT Besut dan wakil kepada reruai bagi pelita kekabu, Mazalin Mohd Lazim berkata, pelita tradisional itu dipilih sebagai bahan pameran mereka kerana keunikan serta nilai sejarahnya.   "Kami mahu memperkenalkan alat klasik yang pernah digunakan oleh generasi terdahulu kepada generasi muda. Ramai pengunjung yang datang ke booth kami tidak pernah melihat pelita kekabu sebelum ini.   "Zaman dahulu, hampir 90 atau 100 tahun sebelum merdeka lagi pelita kekabu ini sudah ada. Tapi bila dah masuk merdeka, zaman pun dah semakin moden, ia sudah tidak ada kegunaan pada zaman itu," jelasnya. Namun, dengan adanya program seperti ini pihaknya dapat memberi pendedahan untuk inovasi klasik itu kepada orang awam, terutamanya golongan muda. Beliau menambah bahawa usaha memperkenalkan pelita kekabu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung. Setiap malam, reruai mereka menggunakan kira-kira tiga guni buah kekabu. Tambahnya, sepanjang empat malam acara berlangsung, sejumlah 12 guni kekabu telah diagihkan secara percuma kepada para pengunjung. Setiap guni dianggarkan mengandungi antara 160 sehingga 170 biji buah kekabu. "Kami bukan mahu berniaga, tetapi kami lebih cenderung untuk mendidik. Jika kami menjual pelita kekabu, mungkin orang ramai kurang berminat untuk datang melihat.  "Tujuan utama kami adalah memberi pendedahan kepada orang ramai, bukan cari keuntungan," jelasnya ketika sesi demonstrasi cara menghasilkan pelita kekabu. Demonstrasi tersebut turut memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung, di mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana pelita kekabu dihasilkan menggunakan buah kekabu, minyak sebagai bahan bakar, dan teknik tradisional yang digunakan oleh masyarakat dahulu. Dengan sambutan positif daripada orang ramai, inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Besut ini berjaya mengangkat kembali warisan tradisional serta memberi pengalaman baharu kepada generasi muda mengenai penggunaan alat pencahayaan klasik yang hampir dilupakan.
23 Mar 25
176
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini. Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat. Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman. Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya. Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin. Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut. “Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.  
22 Mar 25
51
Anwar, Dr. Sam Santuni Peniaga Bazar Ramadan
Anwar, Dr. Sam Santuni Peniaga Bazar Ramadan
KEMAMAN, 22 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka di Chukai, Kemaman, di sini, semalam. Ketibaan mereka disambut mesra oleh orang ramai, yang turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kedua-dua pemimpin tersebut. Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama Anwar telah menghadiri satu Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu (JPP) di pusat latihan Chukai, INTAN Kampus Wilayah Timur (INTIM). Cuaca mendung dan berangin dengan hujan sebelum itu tidak menghalang kehadiran pengunjung yang ramai di bazar berkenaan. Lawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar bermula sekitar jam 6.32 petang  Di sebalik hiruk-pikuk bazar yang meriah dengan laungan peniaga mempromosikan makanan mereka, kelibat Perdana Menteri dan Menteri Besar mula mencuri tumpuan. Tokoh-tokoh awam terkemuka itu melanjutkan kunjungan mereka dengan meluangkan masa menyantuni peniaga tempatan serta meninjau pelbagai jenis juadah yang ditawarkan. Kunjungan yang mengambil tempat di salah satu bazar Ramadan terbesar di Chukai itu diteruskan dengan acara berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad sebagai sebahagian daripada agenda rasmi beliau di Terengganu petang tadi. Majlis berbuka puasa tersebut dihadiri lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin tempatan, para ulama, pelajar, dan penduduk setempat.  
22 Mar 25
215
Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Kerajaan negeri telah menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB Genco) bagi menyempurnakan pembaharuan dalam Skim Hidroelektrik, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, di sini, hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Perjanjian Tambahan Ketiga itu bertujuan memperjelas serta memperkukuh mekanisme pembayaran royalti agar ia selaras dengan undang-undang semasa serta hak dan kepentingan negeri.  “Dengan adanya ketetapan yang lebih jelas, hasil negeri daripada sumber tenaga hidro di Kenyir dapat dimanfaatkan secara optimum untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu. “Saya percaya bahawa perjanjian ini akan terus mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan pengurusan sumber tenaga dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta memberi pulangan yang adil kepada semua pihak,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Dan Penyerahan Bayaran Tahun 2018-2024 Bagi SJSM Kenyir, di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat serta Pengarah Urusan TNB Genco, Dato' Ir. Muhamad Nazri Pazil. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri dan TNB (dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara Tanah Melayu) telah menandatangani suatu perjanjian bagi Projek Hidroeletrik Terengganu di SJSM pada 24 Ogos 1987.  “Perjanjian berkenaan memperuntukkan tanggungjawab kepada TNB untuk membayar pembayaran tahunan kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi penggunaan air dan lesen takungan air,” ujarnya. Lanjutan daripada perjanjian tersebut jelas beliau, dua perjanjian tambahan telah ditandatangani oleh kerajaan negeri dan TNB dengan yang pertama bermula pada 24 Ogos 1997 sehingga pada 23 Ogos 2007.  “Perjanjian Tambahan Kedua pula bermula pada 24 Ogos 2007 sehingga 23 Ogos 2017 dan setelah sekian lama proses rundingan dilakukan, pada hari ini dimeterai Perjanjian Tambahan Ketiga untuk tempoh 24 Ogos 2017 sehingga 23 Ogos 2024,” jelasnya. Dalam pada itu Ahmad Samsuri berkata, empangan Kenyir yang telah beroperasi selama 38 tahun itu telah memberi banyak manfaat kepada pembangunan Terengganu dari sudut sosial, ekonomi dan kelestarian.  “Di antaranya termasuklah kawalan penerobosan air masin, tebatan banjir, bekalan air bersih, sumber pengairan untuk pertanian dan penyediaan peluang pekerjaan melalui eko-pelancongan dan program akuakultur secara komersil,” katanya.  
20 Mar 25
1165
JHEAT Tahan Wanita Jual Makanan Kepada Individu Tidak Berpuasa
JHEAT Tahan Wanita Jual Makanan Kepada Individu Tidak Berpuasa
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Ops Supik Hitam menahan seorang wanita selepas disyaki menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa di sebuah rumah di daerah Setiu, semalam. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah hari oleh sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Setiu dan ibu pejabat (JHEAT). Katanya, wanita tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual dan membekal makanan kepada orang Islam di siang hari. "Dia kemudiannya dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Setiu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, JHEAT dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan menjalankan tangkapan kepada individu yang terlibat dengan kesalahan jenayah syariah di negeri ini terutamanya melibatkan kesalahan tidak menghormati Ramadan. "Bagaimana ada pihak yang sanggup bantu membantu dalam buat kemaksiatan dengan menjual kepada orang tidak berpuasa. Sepatutnya, kita jaga bulan yang mulia dengan ketaatan kepada Allah. “Justeru, tindakan yang diambil JHEAT sebenarnya lebih kepada memberi keinsafan buat mereka (penjual) agar tidak mengulangi perkara sedemikian pada Ramadan akan datang,” ujarnya. Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19 tidak menghormati Ramadan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
19 Mar 25
6752
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Terengganu mengajak rakyatnya untuk sama-sama menghayati peristiwa penting Nuzul Al-Quran serta Badar Al-Kubra yang penuh bersejarah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bersempena dengan peristiwa agung itu maka diadakan Majlis Perasmian Nuzul al-Quran Peringkat negeri di Madinah Ramadan, semalam. Ujarnya, tema Madinah Ramadan pada tahun ini amat bertepatan dengan kedua peristiwa besar tersebut iaitu 'Ramadan Bulan Kemenangan'. "Maka hari ini teramat patut untuk setiap umat Islam mengingati peristiwa ini terutama apabila kita melihat apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di serata dunia. "Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, mereka diuji dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT," ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyempurnakan Majlis Perasmian Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia  Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri yang sebelumnya telah menyampaikan ceramah perdana bersempena sambutan Nuzul Al-Quran itu. "Akhirnya, saya mendoakan agar seluruh rakyat Terengganu dikuniakan rahmat pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," ucap beliau.  
18 Mar 25
275
Terengganu Menuju Era Bandar Pintar & Ekonomi Digital
Terengganu Menuju Era Bandar Pintar & Ekonomi Digital
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Terengganu kini bersedia untuk melonjak sebagai pusat bandar pintar dan ekonomi digital, hasil daripada kerjasama strategik antara syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID) Corporation Sdn. Bhd. dan tiga syarikat teknologi terkemuka. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama dengan syarikat Kiwitech Sdn. Bhd., Digital Dagang Sdn. Bhd., serta Mieruka Sdn. Bhd. itu dijangka mempercepatkan transformasi bandar pintar, e-dagang, dan industri perkilangan digital negeri.  "Kiwitech komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pintar yang lebih selamat dan efisien.  "Dengan teknologi canggih, kita dapat membangunkan bandar yang lebih lestari dan mesra rakyat serta mengubah landskap pembangunan negeri.  "Kita mahu Terengganu menjadi contoh dalam penggunaan teknologi bandar pintar," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandantangani perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Industri, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Husaimi Hussin, Pengarah Eksekutif TAJDID Corporation Sdn. Bhd.; Azih Yusof. Menurut Mohd Nurkhuzaini, inisiatif ekonomi digital terus diperluaskan melalui platform e-dagang Cartsini oleh Digital Dagang Sdn. Bhd. yang bakal membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran global. "Platform e-dagang akan menjadi pemacu utama kepada usahawan digital negeri ini, kita mahu melihat lebih banyak produk tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa. “Kemajuan teknologi membuka pintu baharu kepada perniagaan kita, kita yakin, dengan sokongan penuh, PMKS Terengganu mampu bersaing di peringkat global," jelasnya. Sementara itu dalam sektor perkilangan, Mieruka Sdn. Bhd. akan memperkenalkan teknologi perkilangan pintar yang bakal meningkatkan daya saing industri tempatan. "Teknologi ini akan merevolusikan sektor perkilangan di Terengganu. "Automasi dan digitalisasi industri akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi, lebih banyak syarikat tempatan perlu mengadaptasi teknologi baharu untuk kekal relevan. "Kita mahu melihat industri tempatan berkembang ke peringkat lebih tinggi dengan teknologi moden," ujarnya.  
17 Mar 25
287
Kerajaan Didesak Dedahkan Laporan Audit Forensik Sapura Energy
Kerajaan Didesak Dedahkan Laporan Audit Forensik Sapura Energy
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan Persekutuan didesak mendedahkan laporan audit forensik Sapura Energy Berhad (SEB) yang didakwa telah dijalankan oleh firma Ernst & Young (E&Y) sebelum suntikan dana RM1.1 bilion diberikan kepada syarikat tersebut. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sehingga kini tiada sebarang pendedahan laporan audit itu kepada umum, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketelusan kerajaan dalam pengurusan dana awam. “Jika benar audit telah dilaksanakan, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk terus merahsiakannya. “Kegagalan mendedahkan laporan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan termasuk sama ada audit tersebut benar-benar wujud atau sekadar alasan untuk mewajarkan suntikan dana kepada SEB,” Beliau berkata sedemikian dalam satu kenyataan media melalui Facebook rasminya baru-baru ini. Ahmad Amzad turut menekankan bahawa tanpa laporan audit yang telus dan terperinci, rakyat tidak dapat menilai sama ada wujud ketirisan dalam pengurusan syarikat, siapa yang bertanggungjawab serta tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa. “Suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion ini melibatkan wang rakyat dan perlu diurus dengan penuh akauntabiliti. “Pemberian dana sebanyak ini kepada syarikat tersebut tanpa audit yang jelas menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan perlindungan wang negara. “Ketidaktelusan dalam skandal seperti 1MDB dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini telah mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan membebankan rakyat membuktikan betapa pentingnya ketelusan dalam pengurusan dana awam bagi mengelakkan sejarah berulang,” tambahnya. Menurut Ahmad Amzad, kerajaan sebelum ini berjanji bahawa jika audit forensik menemui sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa dalam SEB, tindakan tegas akan diambil. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu segera mendedahkan laporan audit forensik SEB bagi memastikan dana itu digunakan secara bertanggungjawab serta mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara. “Ketelusan adalah kunci kepada kepercayaan rakyat. "Kegagalan kerajaan mendedahkan laporan ini hanya akan menimbulkan lebih banyak syak wasangka bahawa suntikan dana ini adalah satu bentuk ‘bailout’ yang tidak berasaskan kepentingan awam,” katanya.  
17 Mar 25
119
Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
KUALA  NERUS, 17 Mac - Festival Pelita Raya 2025 mencatat kehadiran lebih 170,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, satu angka yang masih membanggakan meskipun tidak mencapai sasaran awal lebih 200,000 pengunjung.  Kerajaan negeri melihat kejayaan ini sebagai satu petanda positif dan berazam untuk melakukan penambahbaikan bagi edisi seterusnya. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan jumlah pengunjung yang dicapai adalah sebagai satu pencapaian yang baik disebalik kesuntukan masa dan kos yang terpaksa ditanggung kali ini. “Walaupun sasaran asal kita lebih tinggi, kita tetap bersyukur dengan jumlah kehadiran ini. Ini menunjukkan program ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan pelancong luar.   "Alhamdulillah, pada kali ini kita masih mampu untuk mencapai jumlah pengunjung seramai lebih daripada 170,000 orang dan saya percaya masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh kita guna atau laksanakan untuk penambahbaikan. "Dan salah satu penambahbaikan yang ketara yang kita buat pada tahun ini ialah tempatnya di sini (di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak) yang saya rasa memudahkan pengunjung berbanding dengan tempat yang sebelum ini,” jelasnya. Dalam pada itu, terdapat beberapa pihak meluahkan harapan agar festival itu dipanjangkan bagi memberi lebih peluang kepada mereka untuk hadir dan merasai pengalaman yang ditawarkan. Dr. Samsuri memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan diberi perhatian. "Kami menerima banyak maklum balas mengenai tempoh festival yang agak singkat, empat hari. "Jadi, sudah tentulah ini sesuatu yang kita boleh pertimbangkan, walaupun ada kos tambahan yang perlu ditanggung pada tahun ini.  "Insya-Allah, kita akan bersedia dengan lebih awal tahun depan untuk mengadakan program ini serta mungkin dilanjutkan beberapa hari untuk menangani kekurangan waktu. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah  program Peliter @ KSNT bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam. Selain mempertimbangkan tempoh penganjuran yang lebih panjang, pihak kerajaan juga akan memastikan penyertaan lebih ramai, termasuklah daripada komuniti setempat dalam festival itu bagi menjadikannya lebih inklusif. "Kita pun sebenarnya kalau boleh kita nak penyertaan daripada kalangan rakyat, daripada komuniti yang tertentu. "Kita akan tengok balik supaya tahun depan lebih meriah dan insya-Allah kita akan perkasakan pada tahun depan," ujarnya.
17 Mar 25
307