Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Berhasrat Jadikan Jijoe Sebagai Mentor
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu berhasrat melantik Jaguh Trek Berbasikal Negara, Dato' Azizulhasni Awang sebagai mentor buat atlet di negeri ini bagi membentuk lebih ramai pelapis yang boleh mewakili Malaysia ke temasya sukan di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan ketika beliau bertemu dengan 'The Pocket Rocket Man'.
"Di samping itu, kami turut berkongsi pandangan dan idea mengenai usaha penggunaan fasiliti velodrom berbasikal di Dungun.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal secara lebih komprehensif supaya sentiasa berjaya melahirkan pelapis pelumba basikal di kalangan generasi muda Terengganu," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata sebelum ini pihaknya sentiasa bertemu dengan Azizulhasni untuk mengetahui perkembangan semasa prestasi sukan berbasikal negara.
"Rakyat Malaysia khususnya Terengganu berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau.
"Atlet negara yang menerima julukan sebagai 'The Pocket Rocketman' sentiasa positif dan terus berusaha untuk diri beliau dan semua atlet berbasikal negara untuk terus maju jaya," ujarnya.
25 Mar 25
4080
Imam dan Bilal Tonggak Terengganu Sejahtera
Foto : Hanif Abbas
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Imam dan bilal menjadi tonggak penting dalam memastikan masyarakat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera melalui peranan yang dijalankan oleh mereka.
Timbalan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, bertepatan dengan tema 'Pembangunan Masyarakat Berlandaskan Kepada Syariat', imam dan bilal bukan sahaja sahaja memimpin ibadah tetapi juga berfungsi sebagai pendidik, penasihat, pemimpin sosial yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
"Prinsip-prinsip syariat yang ditegakkan oleh imam dapat membantu menjadikan masyarakat saling menghormati dan bertanggungjawab serta saling bantu membantu serta memperkuat hubungan 'Ukhwah Islamiyyah' antara ummah.
"Saya menyeru agar setiap imam dan bilal dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan disiplin agar dapat menjadi rujukan kepada masyarakat setempat.
"Saya juga mengharapkan agar para imam dan bilal ini juga dapat memainkan peranan untuk menarik golongan muda supaya dekat hampir dengan masjid dan melazimi solat berjemaah dan memandu para belia ini untuk hidup berpandukan syariat Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Peringkat negeri, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini semalam.
Dalam pada itu Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin berkata, multaqa itu menjadi wadah penting dalam memperkasakan imam dan bilal di negeri ini.
"Sebagaimana kita maklum bahawa imam dan bilal adalah orang yang dihormati dalam komuniti bukan sahaja memimpin dalam ibadah tetapi juga membawa amanah yang besar sebagai penasihat, pembimbing dan pendidik untuk memperkasakan ummah dengan ilmu akhlak dan kepimpinan yang berlandaskan syariat.
"Semoga multaqa ini dapat memberi gambaran serta menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab imam dan bilal," katanya.
25 Mar 25
201
Harga Santan Menjelang Aidilfitri Jadi Kebimbangan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pengguna di Terengganu tidak perlu bimbang tentang bekalan santan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, kerana ia dijangka mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi di musim perayaan.
Walau bagaimanapun, harga santan yang semakin meningkat seperti baru-baru ini menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa dan kalangan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata pemantauan ketat akan dijalankan bagi memastikan harga santan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.
"Bekalan santan dijangka mencukupi, namun kita akan pantau betul-betul harga dia kerana ada peniaga yang menjual santan sehingga RM20 sekilogram.
"Dalam senarai harga kawalan, harga maksimum ditetapkan pada RM17.50. Syukur, di premis seperti Sabasun, mereka tidak melebihi harga yang telah ditetapkan oleh KPDN.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun semalam.
"Selain santan, kelapa parut dan kelapa biji juga termasuk dalam senarai barangan kawalan SHMMP kerana bahan ini sering digunakan dalam penyediaan juadah Aidilfitri," tambahnya.
Ariffin turut memberi jaminan bahawa bekalan beras tempatan dan minyak masak juga mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sempena musim perayaan ini.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, memaklumkan bahawa walaupun stok minyak masak mencukupi, pihaknya tetap menghadkan jumlah pembelian bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil kepada semua pengguna.
"Stok minyak masak terhad, tetapi masih mencukupi untuk keperluan Aidilfitri. Oleh itu, pembelian dihadkan kepada dua unit bagi minyak paket dan satu botol bagi minyak botol untuk setiap keluarga," jelasnya.
25 Mar 25
114
Bayar RM1,000 Dapat Tanah dan Rumah RM200,000
SETIU, 25 Mac – Memiliki rumah sendiri biasanya memerlukan perbelanjaan besar, tetapi bagi peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA), mereka hanya perlu membayar RM1,000 untuk mendapatkan rumah dan tanah bernilai RM200,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memberikan keistimewaan khas ini kepada golongan e-Kasih, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Setiap peserta menerima lot tanah seluas 300 meter persegi beserta rumah dengan bayaran premium hanya RM1,000.
"Premium tanah ini biasa dikira 10 peratus daripada nilai tanah, tapi oleh kerana tuan puan ada dalam senarai e-kasih, Kerajaan Terengganu beri keistimewaan.
"Bayar nominal ni bayar ambil syarat, tanpa mengira berapa nilai sebenar tanah dan rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.
Tambah Azman, selain menyediakan kediaman yang selesa, Projek Agropolitan Besut-Setiu juga memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui penternakan kambing dan pertanian.
"Peserta projek menjalankan aktiviti penternakan kambing sebagai sumber pendapatan utama, dengan sokongan kemudahan kandang ternakan serta infrastruktur yang lengkap.
"Selain menyediakan tempat tinggal, projek ini turut memberi kestabilan hidup kepada peserta dengan peluang ekonomi yang mampan.
"Secara keseluruhannya, Projek BSA yang dilaksanakan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan satu usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Melalui pembangunan sektor pertanian dan penternakan, para peserta kini menikmati kehidupan yang lebih selesa dan menyambut Hari Raya dalam rumah milik sendiri buat kali pertama," ujarnya.
25 Mar 25
10982
Lapan Kesalahan Dikesan dalam OPS Pantau 2025 di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Sebanyak lapan tindakan telah diambil sepanjang pelaksanaan OPS Pantau 2025 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu yang bermula sejak 2 Mac lalu.
OPS tersebut dijalankan sempena bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan harga dan timbang sukat yang ditetapkan.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, empat kes daripada jumlah tersebut dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP), manakala empat lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Sebanyak 2,888 pemeriksaan telah dijalankan dalam tempoh 2 hingga 22 Mac, dengan 118 anggota dan 57 pegawai serta pegawai pemantau harga (PPH) turun padang.
"Kerahan melalui OPS ini bertujuan bagi memastikan pematuhan terhadap penetapan harga secara sepenuhnya oleh pihak peniaga.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun.
Menurut Mufsi, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan, khususnya melibatkan harga barangan kawalan dan ketepatan alat timbang dan sukat.
"Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
"Selain itu, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun RM10,000," tegas beliau.
Tambahnya lagi, pengguna digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati terdapat peniaga yang melanggar peraturan ini. Kami akan terus melakukan pemeriksaan bagi memastikan hak pengguna terpelihara.
Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan ini, KPDN turut mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh Terengganu dengan 211 siri jualan diadakan, melibatkan lebih 206,903 pengunjung.
Katanya, program itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, dengan hasil jualan melebihi RM8 juta sepanjang pelaksanaannya.
“Kami akan terus menganjurkan siri PJRM bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah terutama menjelang perayaan Aidilfitri,” ujarnya.
OPS Pantau 2025 akan diteruskan sehingga Aidilfitri bagi memastikan harga dan bekalan barangan terkawal serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
25 Mar 25
181
Kerajaan Lancar Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2025
DUNGUN, 24 Mac - Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pelaksanaan skim ini telah bermula hari ini dan akan berkuat kuasa sehingga 7 April 2025.
"Jadi ia akan meliputi tempoh selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan, dan tujuh hari selepas perayaan.
"Sebanyak 24 jenis barangan telah diwartakan di bawah skim ini bagi peringkat negeri Terengganu, meningkat berbanding 20 barangan pada tahun lalu.
"Antara tambahan baharu bagi tahun ini ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran SHMMP di Sabasun cawangan Dungun, petang semalam.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat dalam menyempurnakan majlis itu.
Beliau menjelaskan bahawa harga barangan telah dipantau di pasar raya dan kedai di sekitar Terengganu, termasuk di Sabasun Cawangan Dungun, bagi memastikan ia tidak melebihi harga runcit yang telah dicadangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Sebagai contoh, harga daging lembu tempatan ditetapkan pada RM39 sekilogram, dan harga santan yang sebelum ini dijual sehingga RM20 kini dikawal pada RM17.50.
"Isu bekalan beras juga mendapat perhatian apabila stok beras tempatan dijual secara terbuka di pasaran seperti yang kita boleh pada hari ini.
"Kita dapat lihat beras tempatan keluaran Pokok Sena, Kedah, dijual pada harga siling RM26, dan harga ini dipatuhi oleh pihak peruncit.
SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan penetapan harga dilakukan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Semua peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi menandakan barangan yang tertakluk di bawah skim ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
"Mana-mana peniaga yang melanggar peraturan skim ini boleh dikenakan tindakan tegas dan penalti mengikut peruntukan yang terdapat dalam AKHAP 2011," tegasnya.
25 Mar 25
176
23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Seramai 23 usahawan bertuah daripada ratusan pemohon berjaya menerima pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri pertama tahun ini.
Dengan jumlah keseluruhan RM478,893.20, skim ini menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 bagi membantu perkembangan perniagaan usahawan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun jumlah permohonan amat tinggi, hanya mereka yang benar-benar layak diberikan peluang buat masa ini.
"Kita ada 23 orang usahawan yang berjaya. Ramai lagi yang mohon, tapi bila kita buat analisa, masih ada kekurangan di premis mereka yang perlu dinaik taraf sebelum lulus di masa akan datang. Hari ini, saudara bertuah kerana dipilih daripada kalangan yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada penerima Skim Pembiayaan TUGAS Kali ke-1/2025, di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini semalam.
Beliau menjelaskan, pembiayaan ini dilaksanakan secara berperingkat sebanyak tiga hingga empat kali setahun.
"Pinjaman TUGAS ini tanpa faedah. Bayar hanya mengikut jumlah yang dipinjam.
"Pada hari ini, skim yang terlibat adalah seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Tabung Siti Khadijah (TSK).
"Tahun ini, jumlah pinjaman maksimum yang ditawarkan telah dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000, memberikan peluang lebih besar kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” tambahnya.
25 Mar 25
1186
Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk menyalurkan RM3 juta melalui Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) tahun ini, sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan.
Sejak diperkenalkan pada 2019, TUGAS telah menyalurkan lebih RM29 juta kepada 5,101 usahawan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, peningkatan jumlah pembiayaan ini berbanding RM2 juta tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan.
"Skim ini bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan ke pasaran lebih luas, termasuk digital dan antarabangsa," katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS di sini, semalam.
Selain pinjaman, kerajaan negeri turut merancang untuk menghidupkan semula pemberian geran dalam bentuk barang menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebagai tambahan kepada peruntukan wakil rakyat.
"Dulu kita pernah beri RM50,000 setiap DUN. Insya-Allah, kita akan usahakan supaya bantuan ini dapat diteruskan," jelasnya.
25 Mar 25
89
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM688,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 1,376 penerima di seluruh negeri ini.
Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti.
“Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya.
“Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Kuala Terengganu & Kuala Nerus di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, seramai 272 pelajar Tingkatan Enam dari lapan buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu dan 137 pelajar dari tiga buah sekolah menengah di Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri membelanjakan puluhan juta ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global.
“Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’.
“Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya.
24 Mar 25
1283
Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
SETIU, 24 Mac – Syawal tahun ini pastinya lebih istimewa buat 69 peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
Setelah lebih sedekad menetap di kawasan ini, mereka kini secara rasmi menerima geran hak milik rumah dan tanah yang sekian lama dinantikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyerahan hak milik ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap pengorbanan serta kesabaran para peserta selama ini.
"Sejak mereka menetap di sini pada tahun 2013, kali ini Aidilfitri pastinya lebih bermakna kerana rumah ini kini benar-benar menjadi milik sendiri," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.
Menurut Azman, daripada 84 peserta yang terlibat dalam projek ini, seramai 69 orang telah menerima dokumen hak milik mereka.
"Bakinya masih menunggu proses teknikal selesai sebelum geran dapat diserahkan.
"Ada yang belum menyelesaikan bayaran premium dan ada juga beberapa dokumen yang masih perlu dilengkapkan mengikut peraturan tanah di Terengganu," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek seumpama ini bukanlah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.
"Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah memberi hak milik kepada peserta Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, Dungun.
"Projek seperti ini juga melibatkan pembinaan rumah dan penyertaan peserta, cuma bezanya adalah dari segi aktiviti ekonomi.
"Di sini (BSA), peserta menjalankan projek penternakan kambing, manakala Projek Rimbunan Kasih pula melibatkan penanaman melon manis Terengganu dan penternakan ikan.
"Walau apa pun bentuk kegiatan ekonomi yang dijalankan, apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri, perkara pertama yang difikirkan adalah untuk memberi hak milik kepada peserta," katanya.
Menurutnya lagi, apabila Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menyerahkan Projek BSA kepada kerajaan negeri pada tahun 2022, beliau telah menyatakan bahawa tugas utama yang perlu dilakukan adalah memberikan hak milik kepada penghuni-penghuni projek tersebut.
"Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai proses yang tidak mudah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Tanah Setiu, ADUN Langkap serta semua pihak yang telah bekerjasama bagi merealisasikan hari yang bersejarah ini.
"Akhirnya, peserta dapat memegang geran hak milik mereka, menyambut Syawal dengan lebih tenang, dan menikmati suasana Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama," ujarnya.
24 Mar 25
424