Artikel "Semasa" Terkini
Jiwai Semangat Merdeka, Perangi Jenayah Setempat
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Sempena Sambutan kemerdekaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tekad pupuk semangat untuk memerangi jenayah khususnya dalam kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, sambutan yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk semangat patriotik petugas agensi kerajaan selain itu membanteras jenayah untuk capai erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Katanya, beliau berharap agensi tempatan bertangungjawab dan optimis untuk terus kekal membanteras dan tidak hanya pada Hari Kemerdekaan sahaja.
“Untuk hapuskan gejala jenayah keseluruhannya adalah mustahil, akan tetapi kita bersama berperanan untuk mengurangkannya adalah kewajipan semua pihak.
“Pada masa sama, kita perlu perbanyakkan program kesedaran di setiap kampung untuk capai matlamat sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka @ Komuniti 2020 (Info On Wheels) peringkat DUN Manir di Dewan Terbuka Pusat Komuniti Pulau Bahagia, semalam.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharuddin Muhamad, Ketua Balai Polis Manir, Tuan Roslan Mat Yunus, Penghulu Mukim Manir dan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Kampung MPKK DUN Manir.
Tambahnya lagi, sudah tentu kemerdekaan sebenar belum tercapai sehingga lengkapnya nilai-nilai Islam dalam undang-undang negara untuk membanteras jenayah.
"Islam adalah agama rasmi persekutuan dan seorang muslim tidak boleh berasa tenang sekiranya urusan negara masih lagi tidak dapat melengkapi seperti dikehendaki oleh Allah SWT,"ujarnya.
30 Aug 20
386
Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Islam
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- “Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam ialah kemerdekaan manusia dari hati syirik kepada beriman kepada Allah, daripada jiwa yang kotor, lalai kepada jiwa yang tenang dan daripada akal yang penuh dengan kejahilan kepada akal yang penuh dengan pencerahan ilmu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini kerana mereka telah berjaya menguasai, memimpin dan mengatur hidup, negeri dan negara ini berasaskan cara mereka sendiri.
“Tetapi harus diingat, jika merdeka cuma dalam konteks penjajahan fizikal khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara, tetapi pemikiran mereka sama dengan pemikiran penjajah dan hati masih lagi dibelenggu dengan hati penjajah, mereka masih lagi tidak merdeka pada konsep Islam yang sebenar.
“Kepesatan teknologi hari ini telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan pemikiran, justeru inilah yang kita hendak sedarkan kepada seluruh umat Islam dan rakyat negara ini bahawa selamat merdeka itu, selamat pemikiran dan hati kita dari penjajah, bukan zahir semata tetapi jiwa kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Salam Chit Chat Santai Daie yang dianjurkan oleh Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) di Galeri Drawbridge, hari ini.
Katanya, erti kemerdekaan ada kalanya dicemari ideologi ekstrim seperti liberalisme hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.
“Justeru, kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam sebenar,” ujarnya.
30 Aug 20
324
250 Peserta Meriahkan Program Kayuhan Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Seramai 250 peminat sukan berbasikal menyertai program Kayuhan Ambang Merdeka di sini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bakal disambut Isnin ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu bermula dari Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang.
Kayuhan sejauh 17.1 kilometer (km) melalui Kampung Teluk Ketapang, Kampung Telaga Daing, Kampung Baru, Kampung Seberang Takir, Jambatan Drawbridge, Pasarnita dan berakhir di lokasi pelepasan disertai oleh pelbagai peringkat usia termasuk warga emas, belia serta kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas program ini juga dapat mewujudkan semangat perpaduan di kalangan peserta.
"Peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan melalui aktiviti berbasikal dan paling penting semangat cintakan negara.
"Malah, aktiviti sebegini juga salah satu cara mempromosikan pelancongan negeri, kerana laluan lokasi ini sememangnya merupakan daya tarikan pelancong, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan 'flag-off' Program Kayuhan Ambang Merdeka di Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.
Ariffin berkata, walaupun tiada acara besar-besaran sempena sambutan kemerdekaan di peringkat negeri disebabkan pandemik COVID-19, namun setiap DUN tetap mengadakannya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sebagai contoh, program kayuhan basikal diadakan hampir di semua daerah dalam skala kecil iaitu tidak melebihi 250 orang seperti ditetapkan.
"Penganjur terpaksa menghadkan penyertaan biarpun permintaan dari orang ramai begitu menggalakkan demi menjaga keselamatan semua pihak," ujarnya.
29 Aug 20
821
Penyertaan Bersatu Kukuhkan Muafakat Politik
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) diyakini mampu memperkukuhkan persefahaman politik sekali gus menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan MN yang menerima penyertaan Bersatu adalah petanda positif dan sangat dialu-alukan semua pihak.
“Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa peratusan rakyat yang bersetuju dan mahu tiga parti ini iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bergabung adalah tinggi.
“Alhamdulillah, saya juga sangat teruja dengan perkembangan semasa ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Manis FM dan Bernama Radio di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menegaskan, situasi terkini politik itu akan dipastikan bergerak dengan jaya termasuk penerimaan di peringkat akar umbi.
Katanya, peranan pimpinan setiap parti dalam memberi penjelasan sangat penting bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MN.
“Sudah menjadi adat, perkara baharu ini biasalah, ia memerlukan sedikit masa sebelum ia mampu difahami dan dilaksanakan dengan sempurna di peringkat sana.
“Samalah macam anak-anak kita pergi sekolah, hari, minggu dan bulan pertama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam persekitaran baharu, selepas beberapa tempoh barulah semuanya akan serasi.
“MN benda baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat,” tambah beliau.
27 Aug 20
522
Penguatkuasa Syariah Sukarela Dilantik Bagi Cegah Maksiat
HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah secara rasminya telah melantik penguatkuasa syariah sukarela bagi melaksanakan tugas 'amar makruf nahi mungkar' yang dianggotai oleh lelaki dan wanita di kawasan berkenaan.
Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata bilangan penguatkuasa syariah sukarela ini dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat setelah melalui syarat yang ditetapkan.
"Kita secara rasminya telah melantik penguatkuasa sukarela ini dengan setiap masjid mempunyai empat sukarelawan dan mereka semua ini mempunyai keinginan bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta menerapkan nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat,
"Pelantikan ini tidak terhad kepada lelaki, bahkan kita juga melantik mereka yang dari kalangan wanita bagi mengatasi masalah atau maksiat yang berlaku di tempat ini," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Terengganu berkata demikian, ketika merasmikan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah bagi daerah Hulu Terengganu yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Menurutnya, usaha ini merupakan satu kewajipan apabila menjadi pemerintah bagi menangani maksiat yang berlaku di dalam negeri.
"Ini merupakan satu kewajipan bagi kita dalam membanteras maksiat yang berlaku di persekitaran kita. Maksiat ini suatu perkara yang Allah murka dan kerajaan perlu buat sesuatu bagi menanganinya dan ini adalah satu usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri," jelasnya.
Turut hadir dalam perasmian seminar itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Zulkefli Othman, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) , Adnan Abdullah, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amirudin Engku Ali, Ketua Sukarelawan Syariah Daerah Hulu Terengganu, Encik Mohd Syarif Jusoh, Ketua Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu, Saudara Yasin Muda.
27 Aug 20
1412
Projek Alam Mutiara Fasa 1 Penuhi Syarat Amalan Terbaik MBKT
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Projek Pembangunan Bercampur (Alam Mutiara Fasa 1), Mukim Pengadang Buloh berjaya memenuhi amalan-amalan terbaik rekabentuk fizikal persekitaran yang ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, projek penswastaan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan usahasama pemaju Tentuan Dacing Sempurna Housing Sdn. Bhd itu telah mematuhi 11 syarat ditetapkan MBKT.
“ Majlis penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan kunci bagi projek ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pemaju kerana telah melaksanakan semua syarat kelulusan.
“Pihak kerajaan negeri mengharapkan skim pembangunan ini akan menjadi contoh dan ikutan oleh pemain-pemain industri lain dan seterusnya menjadi penanda aras baharu kualiti pembangunan perumahan di Terengganu,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok serta Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman.
Menurut beliau, pihak pemaju telah melaksanakan syarat kelulusan berkaitan amalan-amalan terbaik dalam rekabentuk fizikal persekitaran antaranya mereka bentuk laluan pejalan kaki yang bersambungan dan mesra pengguna ke arah menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk.
‘Taman rekreasi yang lengkap, tanaman pokok-pokok teduhan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang nyaman, kemudahan infrastruktur dan ulititi yang lengkap, disamping pembinaan bonggol dan papan tanda bagi melancarkan lalulintas dan keselamatan penduduk, susun atur dan reka bentuk kediaman yang mengambil kira 'natural surveillance'.
“ Juga lorong belakang rumah teres dinaiktaraf untuk landskap dan pencahayaan, hutan nipah didikekalkan sebagai ekosistem semulajadi sungai, menyediakan parker OKU serta ramp di laluan beranda kedai, perletakkan feeder pillar dan fire hydrant yang teratur serta menerapkan ciri-ciri Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” ujarnya.
Alias berkata, projek berkenaan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang pada 19 Disember 2017 dan kelulusan pelan bangunan pada 21 Mac 2018 siap dalam jangkamasa dua tahun mengikut tempoh ditetapkan.
“Ianya mengandungi 21 unit kedai pejabat dua tingkat, 73 unit rumah teres dua tingkat dan lain-lain kemudahan berkaitan di atas tapak tanah seluas 20.85 ekar.
“Harga jualan bagi projek kormesial ini adalah sekitar RM399,000 hingga RM420,000 bagi kediaman teres dan antara RM650,000 hingga RM685,000 untuk kedai pejabat,” ujarnya.
27 Aug 20
3449
Terengganu Terus Komited Beri Lesen Motosikal Percuma
SETIU, 24 Ogos - Kerajaan negeri terus komited dalam meneruskan pemberian lesen motosikal percuma di bawah Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) kepada belia di negeri ini.
Pegawai Peyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan janji itu tidak sampai tiga tahun memerintah dengan memberi manfaat kepada 880 peserta bagi DUN berkenaan.
“Daripada jumlah itu, DUN Batu Rakit mencatatkan permohonan 570 permohonan di semua 42 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Bagi pemohon yang gagal untuk tahun ini, mereka boleh mohon lagi tahun depan dengan mengisi kembali borang, jika ada sebarang maklumat yang perlu diubah dan diperbaharui. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang gagal pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2020 di Dewan Sivik Pantai Batu Rakit, di sini kelmarin.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera i-MiTs Batu Rakit, Mohd Pauzi Muda dan Inspektor Balai Polis Batu Rakit, Tuan Aizul Abdul Karim.
Jelas Mohd Shafizi, sebanyak 12 institut memandu telah terlibat bagi menjayakan program di seluruh Terengganu.
“Melalui pemberian lesen motosikal kepada belia ini, kita harap ia dapat mengurangkan gejala rempit, dengan pendedahan melalui taklimat-taklimat yang telah diatur sepanjang menjalani ujian untuk mendapatkan lesen, supaya golongan ini lebih peka akan bahaya-bahaya di jalan raya dan kesannya.
“Selain itu, kerajaan juga mahu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.
25 Aug 20
599
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
Masalah jenayah dadah dalam kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini.
24 Aug 20
356
Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Para peniaga tidak digalakkan membeli alat timbang dan sukat melalui jualan secara atas talian kerana ia tidak di tentu sahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP).
Timbalan Menterinya , Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya memandang serius perkara ini bagi mengelak pengguna tertipu.
Katanya, penggunaan alat penimbang yang tidak di tentu sahkan juga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Ramai peniaga-peniaga yang menggunakan ataupun membeli alat timbang sukat ini melalui platform atas talian kerana harganya murah tapi kita nak maklum walaupun murah tapi ia tak di tentu sahkan.
"Itu satu kesalahan jadi kita berharap peniaga di luar sana yang ingin mendapatkan timbang sukat ni carilah daripada pengedar yang telah dilantik dan disahkan oleh KPDNHEP, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengagihkan Alat Timbang dan Sukat kepada 46 peniaga buah buahan di Pasar Buah Ajil dan di Kampung Gaung, hari ini.
Turut hadir pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.
Dalam program tersebut, sebanyak 30 Alat Timbang Sukat Digital dan 16 Alat Timbang Neraca Spring disumbangkan kepada peniaga.
Rosol juga berkata, KPDNHEP turut merampas alat timbangan yang bernilai RM349,600 melibatkan 2,729 peniaga kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Jumlah rampasan yang melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500 itu dibuat hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara bermula Januari sehingga kini," ujarnya
23 Aug 20
1107
Jumlah Penagih Dadah Wanita Di Terengganu Masih Terkawal
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Masalah jenayah dadah di kalangan wanita di Terengganu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan berdasarkan rekod terkini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata berdasarkan statistik Januari hingga Jun 2020, hanya terdapat 188 orang penagih dadah wanita di negeri ini.
Katanya, remaja wanita seawal usia 14 tahun adalah antara penagih dadah yang dikesan terbabit dengan penagihan dadah, selain mereka berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun.
"Walaupun peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita tidak banyak, ia masih perlu dilihat secara serius mulai sekarang kerana kita tidak mahu statistik ini terus meningkat.
"Sokongan masyarakat dan pelbagai agensi lain diperlukan supaya dapat membantu pihak polis mengurangkan gejala penagihan dadah di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Program Penutup 'Community Policing' Jihad Dadah sempena penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63 di Sungai Kuala Menjing, hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 12 tangkapan telah berjaya dibuat melalui serbuan yang dilakukan kepada 16 rumah dan enam sarang penagih dadah dalam kawasan zon operasi.
Menurut Rosli, ia merupakan hasil fasa pertama projek " Jihad Dadah" yang telah dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos baru-baru ini sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke 63.
23 Aug 20
2371