lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pulau Kapas Jadi Destinasi Rehlah Amal Marang
Pulau Kapas Jadi Destinasi Rehlah Amal Marang
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad Marang, 21 Ogos – Inisiatif Jabatan Amal Malaysia (Amal)  cawangan Marang menganjurkan  Program Rehlah di pulau peraginan tersohor, Pulau Kapas, kelmarin  sebagai hadiah kepada 47 ahli  jabatan itu yang telah berkerah tenaga dalam setiap program sebelum ini. Mereka yang terpilih adalah ahli Amal   dari   Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alur Limbat. Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Marang, Mohd Izuha Kamal juga sebagai pengarah program berkata, sememangnya aktiviti rehlah itu merupakan program tahunan untuk meraikan para petugas sambil bersantai menikmati keindahan alam. "Kita sentiasa mengambil berat dan meraikan para petugas yang banyak memberi sumbangan tenaga dalam membantu memudahkan urusan dalam setiap program yang ada. “Lokasi kali ini juga tidak memerlukan perjalanan yang jauh untuk peserta dapat bersantai menikmati keindahan alam. Malah dengan mengunjungi destinasi indah, ia secara tidak langsung dapat merehatkan fizikal dan minda mereka." katanya. Pengisian program santai selama dua hari satu malam itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti membakar ayam, bermain bola, mandi-manda, snorkeling dan mendaki bukit. Tambah lagi, pada sebelah malam diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pemuda Marang, Mohd Yusuf Abdul Hadi dan Timbalannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin sebagai penyeri program apabila mereka menyampaikan tazkirah dan qiamulai sebagai pengisian rohani kepada para peserta. Program telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid dan turut serta, Timbalannya, Azmi Aminuddin Ahmad dan para peserta rehlah.  
23 Aug 20
534
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
  HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah. Katanya, gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia. "Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka. "Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). "Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama," katanya dalam program Outreach bersama JKPD, Ajil baru-baru ini.. Terdahulu, seramai lapan klien CCIC disantuni melalui program komuniti untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan kepada  klien-klien di bawah seliaan AADK. " Kita mahu mereka ini merasakan masih ada diluar sana yang masih mengambil berat terhadap mereka.orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan kawan-kawan bekas penagih untuk tidak mengasingkan, memulaukan mereka kerana tanpa bantuan ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat, mereka tidak akan berjaya jadi “baik” dan pulih sepenuhnya. “Jiwa mereka sangat sensitif, yang perlukan perhatian dan pemedulian, penagih tidak selamanya jahat atau kotor, maka jangan dilabel seratus peratus jahat, dan beri peluang untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan sebab itu golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka. Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memberi lebih tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.  
22 Aug 20
1054
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
  HULU TERENGGANU, 22 Ogos - Golongan muda hari ini perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi berkat keberanian dan kesungguhan pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara ini daripada penjajah. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata penglibatan anak muda yang peduli dalam isu masyarakat mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara itu. "Masyarakat khususnya anak muda perlu menanamkan semangat cintakan negara dan mempertahankan keamanan negara yang dilihatnya semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat. "Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di program Santai Mat Motor Merdeka di Dataran Kuala Berang, semalam. Sembang Santai Mat Motor turut mendapat sentuhan istimewa daripada Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama selebriti dan Pendakwah Bebas, Ustaz Ahmad Muzani Abdul Rahman dengan moderator Ustaz Kamaruzaman Abdullah yang juga Pengarah i-MiTS. Antara pengisian bertujuan memberi penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh penungang motosikal disamping memberi nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan Jalan Raya.  
22 Aug 20
510
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
100 'Penebuk Buah' Ditembak Mati
SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain.  "Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai.  "Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai. "Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit. Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung. Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti. "Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera. "Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.
21 Aug 20
10201
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
TDM Jelajah 12 Lokasi Bersejarah
  HULU TERENGGANU, 21 Ogos - Bersempena Bulan Kemerdekaan 2020,TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) julung kali menganjurkan Program Gateh Jejak Sejarah dengan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Kuala Berang. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff, berkata cetusan idea bagi meningkatkan budaya intelektual dan kesedaran sejarah sebelum kemerdekaan di kalangan kakitangan Kumpulan TDM disamping dapat meningkatkan jati diri dengan memahami sejarah dan warisan.  "Saya difahamkan bahawa Kuala Berang ni adalah satu tempat yang banyak unsur-unsur bersejarah seperti Batu bersurat telah ditemukan di sini dan juga kalau kita lihat daripada asal sejarah kerajaan Kesultanan Terengganu ni pun berpusat di Kuala Berang. "Di samping itu kerajaan Kesultanan dan sebagainya termasuk ulama-ulama yang merupakan waris-waris daripada Nabi dan sebagainya yang diceritakan bertapak di sini. "Ia satu perkara yang wajar kepada generasi muda untuk lihat semula bagaimana kita pada satu waktu dulu adalah satu bangsa yang gagah berpandukan agama Islam dan ulama,"ujarnya. Zainal berkata demikian kepada pemberita di pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah sempena bulan Kemerdekaan di Dataran Kuala Berang, semalam. Antara tempat-tempat bersejarah yang  dilawati sempena program Gateh Jejak Sejarah Siri 1 ini ialah Tapak Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buluh , Telaga Tok Abdul Rashid,  Kubur Tok Abdul Rashid, Tanah Batu (tempat Asal Batu Bersurat) dan Memorial Batu Bersurat. Tanah Batu Pada masa yang sama, turut menziarahi Makam Tuk Raja Ri, Kubur Tuk Gajah (Imam Perang Rasu bin Shahrum), Makam Syeikh Abdul Qahar, Masjid Kampung Dusun, Makam Shariff Muhamad Al Baghdadi, Makam Tok Kawah dan Makam Syeikh Abdullah (Tuk Pauh). Geduk di Masjid Kampung Dusun   Tambah beliau, program jelajah siri seterusnya masih dalam perancangan dan akan dikembangkan ke setiap daerah dengan penyertaan yang lebih meluas. "Saya dapat maklumat sebenarnya permintaan lebih daripada apa yang kami mampu sediakan pada hari ini jadi atas dasar itu saya berhasrat untuk mengadakan ulangan dan buka kepada rakan-rakan seterusnya kepada umum jika terus mendapat sambutan," katanya.  
21 Aug 20
2809
Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT
Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT
Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan ada menggugurkan syarat memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Jun lalu sebagaimana yang tular di media sosial, baru-baru ini.  
19 Aug 20
181
Pemasangan Perangkap Minyak Tangani Banjir Kilat Di Pasar Payang
Pemasangan Perangkap Minyak Tangani Banjir Kilat Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memasang perangkap minyak di setiap kedai di Pasar Payang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di dalam premis tersebut terus berulang. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, hasil siasatan ke atas kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini mendapati ia berpunca daripada perkumpulan lemak dan minyak (grease) dalam saliran. “Saliran utama atau longkang menjadi sempit dan tersumbat kerana kita dapati orang ramai termasuk peniaga membuang sisa lemak dan ‘grease’ ke tempat terbabit. “Untuk jangka masa pendek, kita sudah bersihkan aliran yang tersumbat itu, dan bagi jangka masa panjang, persetujuan bersama peniaga telah dicapai untuk dipasang perangkap minyak di kedai-kedai terlibat, surat rasmi akan dikeluarkan sebelum ia dipasang dalam masa terdekat,” katanya kepada UPDI selepas melakukan tinjauan ke Pasar Payang baru-baru ini. Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pemasangan itu akan memakan kos sebanyak RM200 dan ia akan ditolak sewa bulanan para peniaga. “Perangkap minyak itu hanya dipasang di ‘outlet’ luar sahaja sebelum ini, jadi untuk akan datang setiap kedai akan dipasang supaya kes banjir kilat di dalam pasar tidak lagi berlaku walaupun pembuangan minyak dan lemak dibuang berlebihan,” ujarnya. Dr Alias meninjau proses pelaksanaan meter parkir digital di sekitar Kuala Terengganu. Dalam pada itu, Dr Alias masalah banjir di sekitar Pasar Payang termasuk Jalan Paya Keladi juga dipandang serius pihaknya.  “Konsultan telah dilantik bagi mengkaji dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini. “Antara yang menjadi cadangan kita ialah pembukaan saliran dan laluan baharu dengan memotong jalan yang ada supaya air dapat dialirkan terus ke sungai kerana saliran sedia ada sudah tidak dapat menampung air sekiranya hujan lebat,” tambahnya. Dalam perkembangan berbeza, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses meter parkir digital yang memudahkan lagi rakyat Terenggganu untuk membuat urusan parkir kereta. “Kita akan meningkatkan lagi sistem ini dari semasa ke semasa termasuk membuat pembayaran melalui telefon pintar sahaja,” katanya  
18 Aug 20
2403
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
DUNGUN, 17 Ogos - “Kita sentiasa turun ke lapangan dan bertemu dengan pengusaha chalet dan resort untuk merasai denyut nadi mereka terutama yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. Katanya, kebanyakkan pengusaha chalet dan resort di negeri ini terutama di pulau mengalami kerugian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.  “Pelancong asing tidak dibenarkan masuk sehingga sekarang ke negara ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas namun mereka akur dengan situasi sukar ketika ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja rasmi ke Pulau Tenggol.  Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di Negeri Terengganu ini.  “Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sentiasa giat membuat hebahan dan promosi berkaitan pelancongan supaya apabila sektor ini dibuka, kita bersiap sedia menerima pelanggan yang telah membuat tempahan awal,” katanya.  Dalam pada itu, ramai pengusaha yang memberitahu selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi, sambutan orang ramai sangat positif.  “Kita mendapat maklum balas yang positif dari mereka ini apabila bilik-bilik hampir habis ditempah.  "Ada yang menempahnya untuk percutian seisi keluarga, hari keluarga syarikat dan seumpamanya,” tambah beliau. 
17 Aug 20
445
Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri
Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri
HULU TERENGGANU, 17 Ogos – Setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya dan tidak semuanya indah bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan  Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang. "Penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari redha Allah, insya-Allah rumahtangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat. Satu lagi perkara penting yang tidak boleh diketepikan dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga adalah cara berkomunikasi suami isteri. "Antara tanda rumahtangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh. Isteri yang soleh adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya. Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutup Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 3 anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil yang telah melabuhkan tirainya di Dewan Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, semalam. Tambahnya lagi, suami perlu bijak mengurus rumahtangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan 'kepemimpinan' dalam rumah tangga. "Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga. "Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak. Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam," ujar beliau. Mengulas lanjut, Maliaman berkata, krisis dan konflik tidak dapat dielakkan, kerana ia  adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga. "Akan ada badai melanda akan tiba ombak menghentam pantai , maka bersiap sedia emosi dan rohani. Jika tidak akan tenggelam dalam lautan kehidupan yang dalam. Ketika konflik menjengah lazimnya ia tidak memberi sebarang tanda, ia menyapa bagai angin lalu, yang dijangka boleh dielak tetapi yang menjadi krisis dan konflik itu biasanya yang di luar jangka. "Semoga segala ilmu yang ditimba oleh peserta kursus dapat dimanfaatkan sebagai bekal bagi mereka menempuh alam rumahtangga yang amat memerlukan persefahaman, komitmen, sikap harga menghargai dan kasih sayang serta mawaddah dan rahmah diantara pasangan," katanya.  
17 Aug 20
2408
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.  Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa. "Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara. “Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam. Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara. "Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah.  "Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. "Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas Maliaman. Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.   
15 Aug 20
2732