lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.  Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa. "Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.  "Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita. Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.  "Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada  kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.  "Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.  Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.  “Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.  "Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya. 
05 Sep 20
3173
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh. "Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam. Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan.  "Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.  "Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak. "Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat. "Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1010
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri. Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu. “Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.  “Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh. Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah. Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4043
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63. Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis. Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan. “Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak. “Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat. “Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya. Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan. Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan. “Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain. “Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.  
02 Sep 20
598
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
Terengganu Sokong Hasrat PM Naikkan Bantuan JKM
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan Terengganu menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi. “Saya menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan JKM termasuk kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal daripada sekitar RM200 hingga RM300 ke RM1,000. “Memandangkan kos kehidupan termasuk harga barangan sangat tinggi maka saya berkeyakinan dengan peningkatan jumlah bantuan bulanan ini akan memberi lebih keselesaan kepada para penerima," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Katanya lagi, kenaikkan itu juga pasti dapat membantu anak-anak penerima untuk meneruskan pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti dengan selesa. "Saya yakin dengan bantuan ini mereka dapat mengurangkan beban sara hidup. "Perkara ini sering menjadi rungutan di kalangan mereka di bawah dan mereka memohon supaya bantuan bulanan dapat dinaikkan, bayangkan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan sebahagian duit bantuan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya membeli barangan keperluan, memang tidak cukup," ujarnya. Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan. Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
01 Sep 20
3143
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
ECRL: Batu Tujuh Dungun Bakal Miliki Dua Stesen Kereta Api
DUNGUN, 1 September - Dua stesen kereta api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina di Batu Tujuh merupakan cadangan kerajaan negeri melalui portfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau. Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata dua stesen tersebut adalah kereta api penumpang dan kargo yang kedudukannya bersebelahan antara satu sama lain. "Laluan atau jajaran jalan raya yang masuk ke stesen kereta api, satu perbincangan bersama diadakan dengan wakil Pejabat Tanah dan Daerah Dungun, Majlis Daerah Dungun, Jabatan Kerja Negeri, JKPTG negeri bersama kakitangan atau staf konsultan dari CCCC dan MRL," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas lawatan kerja tapak cadangan ECRL Dungun di Pejabat Pengurusan Projek CCCC, ECRL, Kawasan Perindustrian Batu 7, Sura, Dungun. Menurut Dr Mamad, pihaknya telah melakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk membina jajaran jalan raya yang dimaksudkan. "Kita dah ambil persetujuan dan telah lakarkan pengambilan tanah dan cadangan untuk bina jalan R5 iaitu 40 meter lebar. R5 ini bermakna jalan yang kita rasa dah cukup untuk kita memenuhi laluan di masa hadapan. "Dari jalan besar ke Paka dan Dungun kita ada satu laluan masuk terus ke kereta api dan disana hampir dengan laluan terus ke Che Lijah. "Ia akan melibatkan sedikit pengambilan tanah dan kita cadangkan pengambilan ini di bawah kerajaan pusat kerana ia merupakan jalan persekutuan," jelasnya.  
01 Sep 20
10769
MBKT Sita Empat Premis Perniagaan
MBKT Sita Empat Premis Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 1 September- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyita empat premis perniagaan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan sekitar bandaraya Kuala Terengganu, baru-baru ini. Operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MBKT itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan anggota seramai 29 orang.  Datuk Bandar MBKT, Shahidan Embok berkata, operasi yang bermula sekitar 2.30 petang itu diadakan bagi membanteras operasi premis perniagaan yang menjalankan jualan barangan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan. "Fokus operasi adalah premis perniagaan di sekitar kawasan hentian bas MBKT di mana kita telah menyita barangan jualan yang tidak dinyatakan di dalam lesen perniagaan walaupun telah beberapa kali dikompaun oleh pihak MBKT. “Manakala sebuah premis telah ditutup serta merta kerana beroperasi dengan lesen perniagaan yang telah dibatalkan sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
01 Sep 20
2074
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah  memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat. “Ramai sasaran dakwah  pada hari ini terdiri dari  pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya. “Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020  ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood.  Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan. “Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini. “Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.  
01 Sep 20
554
264 Penduduk Kota Putera Terima Geran Tanah
264 Penduduk Kota Putera Terima Geran Tanah
BESUT, 1 September - Seramai 264 penduduk Kota Putera menerima Geran Tanah Hak MIlik & Borang 5A Tanah dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kota Putera Square, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penyerahan geran tanah dan borang 5A tersebut adalah bukti kerajaan negeri cakna dan prihatin kepada rakyat. "Proses mengembalikan tanah terkilan merupakan manifesto kita pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu. Proses ini terus berjalan dan ia mengambil sedikit masa ekoran pelbagai kekangan di pelbagai peringkat. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengusahakan sebaik mungkin untuk semua yang terlibat dalam kawasan saya dan akan diadakan secara berperingkat. "Majlis penyampaian tersebut adalah yang kedua selepas lebih 10 orang penduduk telah menerima borang itu daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini pada majlis perasmian Rumah mampu Milik (RMM) Taman Putera Rahman," ujarnya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemberian geran tersebut. Sementara itu, seorang penerima Wan Hanapi  Wan Su, 70, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana mengembalikan hak beliau yang sebelum ini dinafikan. "Tahniah kepada peserta yang bersabar hingga kini. Berbanyak syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu. Peserta RTB 1999 - 2004 (terkilan) yang belum mendapat tawaran mohon kesabaran kerana bukan mudah kerajaan negeri menyelesaikan semuanya dalam tempoh yang singkat. "Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bekerja. Semoga dengan penyelesaian ini akan menggembirakan kembali semua pihak yang sepatutnya telah lama berhak menerima pemberian tanah ini secara sah," ujarnya.
01 Sep 20
1243
Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah
Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah
    KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kemerdekaan  yang dikecapi hari ini merakamkan pahit getir usaha pejuang terdahulu dan semua pihak perlu mengambil peluang dan ruang untuk bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan supaya cara pemikiran yang tidak lagi terkongkong dek belenggu rantai ideologi songsang yang dibawa oleh penjajah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata tempoh 63 tahun kemerdekaan negara merupakan satu tempoh yang panjang, mengisarkan bagaimana sesuatu bangsa bangkit dari hanya merangkak, kini telah mampu berdiri gagah dan akhirnya memerintah negara dengan kaki sendiri. Katanya, kemerdekaan yang dikecapi bukan bermakna bebas daripada penjajah semata-mata, malah mencakupi definisi yang cukup luas sama ada dari segi mental, fizikal dan spiritual. “Justeru setelah 63 tahun kita merdeka, maka seharusnya seluruh warganegara tanpa mengira agama dan bangsa memiliki jiwa Malaysia yang mencintai negara setulus hati. Berfikir sebagai rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada gaya hidup dan pemikiran penjajah. “Semestinya bukan satu kesalahan untuk menceduk ilmu dan nilai-nilai baik daripada mereka yang pernah menjajah negara kita, namun janganlah yang diambil itu perkara-perkara yang bertentangan dengan agama dan nilai yang kita pegang, apatah lagi mencemar addin serta identiti ketimuran. “Dengan itu semoga kita akan lebih memahami betapa mengecap nikmat dengan sebaris kata MERDEKA itu bukanlah mudah, namun tukarannya adalah air mata dan darah para pejuang terdahulu termasuklah golongan ulama', cendiakawan, ilmuan dan orang-orang biasa berjiwa pahlawan,”ujar beliau  melalui hantaran media sosialnya, bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63, hari ini. Beliau turut mengimbas kembali sejarah di saat awal negara mencapai kemerdekaan, dimana memerlukan kompromi tiga kaum berbeza untuk berjiwa besar menerima Islam sebagai agama rasmi, hak-hak istimewa bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu terlindung di bawah payung Perlembagaan Persekutuan. Tambah Zuraida lagi, pada ketika itu bangsa Melayu pula bertolak ansur untuk menerima bangsa-bangsa lain hidup aman dan damai serta mencari rezeki dengan pengiktirafan tinggi sebagai warganegara, berbeza dengan situasi Myanmar dan Brunei. Justeru itu, Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda supaya mengkaji sejarah kemerdekaan negara dengan lebih mendalam, tidak terhad sekadar pengetahuan sejarah yang dipelajari di bangku sekolah. Beliau turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah mengurniakan kemerdekaan, kestabilan dan keamanan kepada Negara Malaysia.    
31 Aug 20
1818