Artikel "Semasa" Terkini
Individu Kuarantin Terima Buah Tangan
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober- Individu yang menjalani kuarantin di dua pusat kuarantin di negeri ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Mohd Nor turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka.
"Hari ini saya mendapat khabar bahawa ramai dikalangan yang dikuarantin di Terengganu akan keluar dari pusat kuarantin tersebut selepas test terakhir mereka bebas dari wabak COVID-19 ini.
"Jadi, saya mengambil peluang ini untuk memberikan sedikit buah tangan sebagai semangat untuk mereka terus menjalani hidup yang sihat selepas ini. Moga kita semua terus dilindungi dari penyakit COVID-19," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasminya.
Mohd Nor turut mengharapkan orang ramai terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan agar terhindar dari wabak COVID-19.
"Sama-samalah kita jaga diri kita, keluarga dan masyarakat daripada terkena penyakit ini," katanya.
16 Oct 20
490
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - "Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji, " demikian luahan penerima bantuan, Faziah Ismail, 50.
Penduduk Kampung Kedai Manir itu meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata (sesi pemeriksaan mata) anjuran Jabatan Kebajikan Malaysia JKM Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir.
"Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga murah-murah saja sebab rabun dekat.
"Alhamdulillah, JKM Daerah Kuala Terengganu beri peluang kepada saya dan semoga sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.
Menurutnya, dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu sangat terharu kerana terpilih untuk sesi bantuan kali ini diadakan di Dewan Musolla Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, semalam.
Faziah sebahagian daripada 130 penerima yang hadir untuk sesi pemeriksaan mata bagi DUN Manir.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat DUN Manir, Rozali Mamat berkata, cermin mata itu diagihkan kepada warga emas dan golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan di kawasan ini.
“Ada yang berpendapat, pemberian ini tidak seberapa, namun ia amat bernilai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
16 Oct 20
903
'Cukuplah 18 Tahun Bergelumang Dengan Najis Dadah'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - “Cukuplah 18 tahun saya bergelumang dengan najis dadah," kata Zakri Ismail, 39, antara Orang Kena Pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah.
Zakri Ismail yang lebih mesra disapa Zack, berkata mujurlah sinar keinsafan itu hadir membuatkannya kembali ke pangkal jalan.
Dia wajar dijadikan contoh apabila kini mencorak langkah mengusahakan ternakan lembu di kampung Peroh , Ajil, Terengganu.
Ketika menceritakan pengalamannya, Zakri berkata, dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berada di Tingkatan Empat kerana terpengaruh dengan rakan sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.
Masih berbaki setahun untuk bebas dari pengawasan, Zakri bersyukur mempunyai keluarga terutama arwah ibu yang tidak berputus asa memberi sokongan kepadanya untuk kembali pulih dari penagihan dadah.
“Saya bukanlah pemuda yang nakal di kampung, namun mula terpengaruh untuk mengambil bahan terlarang itu secara serius apabila mula bekerja di Shah Alam apabila mula melepak bersama kawan kawan.
“Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah. Setiap minggu saya habiskan RM200 hingga RM300 untuk beli dadah sedangkan saya bukan orang senang.
“Tidak cukup dengan itu, saya diberhentikan kerja walaupun sebenarnya saya menjadi antara pekerja cemerlang ketika itu. Apabila mengingat kembali semua itu, saya berasa amat malu dan menyesal,” katanya yang pernah ditahan polis dua kali.
Katanya, pengaruh rakan-rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berhenti, namun semuanya berubah selepas dia berada di bawah pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Hulu Terengganu untuk tempoh dua tahun.
Zakri berkata, dia mengenali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim ketika Pengerusi JKPD itu hadir setiap kali sesi kaunseling Agama bersama OKP.
“Ayah ( Ustaz Maliaman) berkongsi modal untuk diberikan kepada saya bagi memulakan penternakan.
“Allhamdullilah, syukur penternakan semakin maju dengan sokongan ayah dan saya sedang memperbesarkan perternakan ini,” katanya.
Sementara itu, Maliaman berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.
“Program keusahawanan perlu diberikan dan peluang untuk golongan ini bagi melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan," ujarnya.
16 Oct 20
9248
WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
SETIU, 15 Oktober - WWF Malaysia, syarikat H&M, Persatuan Wanita Kampung Mangkok (PEWANIS) dan penduduk Kampung Mangkok bertindak melupuskan barangan elektrik tidak terpakai bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
Pegawai Program berkenaan, Nur Syahirah Wahab berkata, aktiviti itu juga sebagai tanda sokongan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020.
"Program yang diadakan pada hari ini banyak mengumpulkan barangan seperti televisyen, pencetak, radio, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi.
"Ini usaha kita menjaga alam sekitar dan menyedarkan masyarakat bahawa barangan sisa elektrikal dan elektronik perlu dihapuskan secara terkawal dan baik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program pelupusan di Kampung Mangkok di sini hari ini.
Program yang diadakan selama dua hari di Rumah Pink, PEWANIS Kampung Mangkok itu berjaya mengumpul lebih 100 barangan elektrikal dan elektronik.
15 Oct 20
861
ADUN Paka Disahkan Negatif COVID-19
DUNGUN, 15 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat memaklumkan hasil ujian saringan COVID-19 terhadap beliau disahkan negatif.
Satiful memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi halaman Facebook rasminya bahawa beliau bebas daripada wabak itu.
"Alhamdulillah, dua kali swab test, dua kali negatif," katanya.
Satiful diantara kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 semasa mengadakan kunjung hormat di Kompleks Islam Putrajaya.
"Selepas 14 hari, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mari kerat gelang.
"Bebas dah ambe. Kalau jumpa tu tidak perlu larilah," ujarnya secara spontan dalam kiriman Facebooknya.
Justerus, beliau menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menangani COVID-19.
"Terima kasih pihak 'frontliners' yang sedia berkhidmat, memikul tugas dan amanah," katanya.
15 Oct 20
1099
Terima Kasih APMM Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim mewakili kerajaan Terengganu, melahirkan penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu atas pelaksanaan program menenggelamkan bot Vietnam sebagai tukun tiruan di perairan negeri ini.
15 Oct 20
122
COVID-19 : Langkah Drastik Jejaki Kontak Rapat Berjaya
BESUT, 14 Oktober – Langkah drastik yang diambil kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi membendung penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat berjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, persiapan rapi telah dibuat sebagai persediaan sebelum menghadapi gelombang kedua dan ketiga penularan wabak ini.
"Alhamdulillah, setakat ini kelengkapan cukup di hospital dan pusat kuarantin selain kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ada terdiri daripada mereka yang berpengalaman untuk menjejaki kontak rapat kes positif COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan ke tapak projek pembinaan projek RMM di Kampung Tempinis, Jabi dan projek pembinaan RMM Bukit Cina, Hulu Besut baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalannya, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad.
Mengulas lanjut, Dr. Alias berkata, antara kluster baru wujud di Terengganu ialah mereka yang pulang daripada Sabah baru-baru ini.
"Alhamdulillah pihak KKM terus dapat menjejaki kontak rapat kes positif ini sekaligus mengasingkan mereka di pusat kuarantin untuk peringkat permulaan.
"Dari segi kawalan kes, insya-Allah kita mampu menguruskannya dengan baik, jika kerjasama daripada semua pihak berperanan dengan membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian," ujarnya.
Untuk rekod, Terengganu tidak merekodkan sebarang kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
14 Oct 20
1268
UC TATI Terajui Pelaksanaan Data Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk meneraju pelaksanaan Data Raya (Big Data) bagi Negeri Terengganu sekaligus menambahbaik penyampaian kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, menerusi penubuhan Big Data Institute Terengganu (BDIT) bertempat di kampus universiti milik kerajaan negeri itu, ia menjadi tempat penyelidikan komputeran yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menerokai cabaran Revolusi Industri 4.0.
“Selain itu, objektif penubuhan BDIT ini juga sebagai pusat kecemerlangan akademik iaitu kemudahan dan kepakaran kakitangan UC TATI akan digunakan untuk tujuan pengajaran
dan pembelajaran dalam program pengkomputeran terutamanya bagi pelajar institusi berkenaan.
“Institut ini juga akan menawarkan perkhidmatan analisis data kepada pihak kerajaan dan swasta bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Big Data Antara UC TATI Dan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Mohamed sementara UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Pendaftar UC TATI, Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Zuwislan Awang.
Ariffin berkata, kerjasama yang dijalinkan antara BPTM dan UC TATI itu sangat bertepatan dalam memenuhi kehendak kerajaan negeri bagi mendapatkan data yang berintegriti, bersih dan memudahkan pentadbiran kerajaan negeri membuat perancangan dan keputusan masa depan.
Katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukan kerajaan negeri kepada UC TATI untuk pelaksanaan Data Raya ini.
Menurut Ariffin, Data Raya telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk kerajaan, perbankan, komunikasi, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain.
“Antara kelebihannya termasuklah penjimatan kos melalui kaedah yang lebih efektif bagi menjalankan aktiviti seharian, penjimatan masa melalui sumber data baharu dan menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih bermaklumat, pembangunan produk dan memahami keadaan semasa melalui analisa sentimen pengguna dan pasaran,” ujarnya.
Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan Big Data Analytics ini melibatkan tenaga kerja kakitangan UC TATI sendiri yang berkelayakan PhD termasuk seorang kakitangan yang menyambung pengajian PhD di Mie University, Jepun.
“Kakitangan tersebut akan menjalani latihan tertentu supaya memenuhi keperluan Analytics.
“UC TATI telahpun membuat pembangunan segera Big Data Product pada Ogos lalu dan dijangka berupaya memberi perkhidmatan Big Data Analytics sepenuhnya pada akhir tahun pertama penubuhannya,” ujar beliau.
14 Oct 20
1169
Jangan Pandang Ringan Isu 'Sexual Grooming'- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Orang ramai diseru supaya memberi perhatian yang serius kepada kes keganasan yang berlaku kepada anak-anak perempuan, terutamanya persediaan seksual atau 'sexual grooming'.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, sebanyak 3,308 kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihak kerajaan.
Zuraida berkata lagi, hal itu tambah merungsingkan apabila sebanyak 1,291 kes melibatkan penderaan secara seksual iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.
“Apa yang menjadi perhatian saya ialah, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki.
“Dan kalau dalam kes penderaan seksual pula, tambah memualkan apabila majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki.
“Kita pun sendiri sudah banyak membaca didada-dada akhbar dan di media sosial, bermacam kes. Apa yang pasti, perkara ini akan meninggalkan kesan negatif dalam jiwa mangsa,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam.
Zuraida turut menyuarakan kebimbingannya mengenai polemik ‘sexual grooming’ terhadap anak-anak yang masih kecil.
“Apabila kita bercakap soal ’sexual grooming’, kita sebenarnya sedang bercakap tentang masa hadapan generasi pewaris negara kita.
“Cuba kita bayangkan, apa kesannya kepada negara kalau mereka membesar nanti, semuanya ber’otak kuning’? Sebab itulah bermula sekarang, masyarakat sudah perlu memainkan peranan masing-masing,”tegasnya.
Sexual grooming menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah aktiviti jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan khususnya melalui internet dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual.
Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
13 Oct 20
1012
Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Taska Permata Keluarga Batu Burok, disini, hari ini.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, sanitasi tersebut dilakukan berikutan maklumat yang diterima ada kontak kepada kontak rapat pesakit COVID-19 berurusan di taska itu.
Katanya, langkah tersebut bagi memastikan 43 kakitangan dan 268 kanak-kanak di pusat jagaan bawah kelolaan YPKT itu kembali ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak COVID-19.
"Dengan kerjasama bomba, kita berjaya jalankan sanitasi untuk taska ini sebelum kita buat pembukaan balik esok hari.
"Dalam operasi ini, lapan anggota bomba membantu melakukan kerja nyah kuman di tiga bangunan utama dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas proses sanitasi taska terbabit.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff.
Katanya, YPKT terpaksa membuat penutupan sementara terhadap 17 buah daripada keseluruhan 68 taska dibawah kendaliannya sebagai langkah drastik dan ketat bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Kita ucapkan terima kasih kepada pihak bomba atas kerjasama ini, untuk esok hari kita akan buka sebanyak 12 buah yang mana secara puratanya taska ditutup sementara selama seminggu mulai 7 Oktober lalu,” ujarnya.
13 Oct 20
9415