Artikel "Semasa" Terkini
Pokok Tumbang Hempap Kereta, Nyaris Ragut Nyawa
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta selain menghalang laluan dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai malam tadi.
Ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan, Shahriza Abdullah, 37, bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Marang menuju ke Kuala Terengganu.
Isteri Shahriza telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba.
"Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan.
"Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah turut meninjau keadaan mangsa di HSNZ.
“Saya bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengambil maklum tentang kejadian ini dan akan mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.
Keadaan kereta mangsa ketika kejadian
13 Oct 20
868
Waspada Peralihan Monsun Timur Laut
SETIU, 13 Oktober - Warga Terengganu dinasihatkan untuk berwaspada dengan fasa permulaan peralihan monsun timur laut yang dijangka berlaku antara hujung September hingga awal November ini
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, berkata, beberapa persiapan yang telah diaturkan oleh Urus Setia Bencana Daerah termasuk di daerah ini yang dipengerusikan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar.
Katanya, antara langkah itu ialah menghantar bekalan keperluan makanan dan asas ke pengkalan hadapan yang melibatkan dua DUN, Langkap dan Permaisuri.
"Selain itu, bilangan pusat pemindahan banjir ditambah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dengan mangsa banjir dan juga 'Standard Operating Procedure' (SOP) akan ditambah baik," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa bencana daerah di Pejabat Daerah Setiu petang semalam.
Zul Bhari yang juga anggota mesyuarat jawatankuasa bencana daerah turut menasihatkan masyarakat supaya membuat persiapan awal bagi penduduk yang berisiko berlaku banjir.
Peralihan monsun timur laut juga mengakibatkan angin kencang beserta ribut, laut bergelora yang membahayakan kepada aktiviti perikanan dan hujan lebat yang kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah.
12 Oct 20
4155
23 Jemaah Masjid Ulul Albab Disahkan Negatif COVID-19
BESUT, 12 Oktober - Seramai 23 jemaah Masjid Ulul Albab, Kampung Seberang Jerteh disahkan negatif COVID-19 melalui hasil dua ujian pengesanan yang dilakukan terhadap mereka.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jerteh, Mohd Hanis Abas berkata, mereka sebelum ini telah menjalani kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang sejak Selasa lalu.
"Kesemua 23 jemaah telah menjalani kuarantin dan sepanjang tempoh saringan tidak ada satu orang pun yang menunjukkan tanda-tanda positif.
"Mereka telah pun dibenarkan pulang dan selamat sampai ke rumah masing-masing," ujarnya kepada pemberita di Kampung Seberang Jerteh, semalam.
Mohd Hanis berkata, para jemaah tersebut diarahkan menjalani kuarantin setelah masjid itu baru-baru ini dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang disahkan positif COVID-19.
Katanya, Masjid Ulul Albab juga ditutup sementara selama tiga hari bagi melancarkan kerja-kerja proses nyahkuman.
12 Oct 20
2166
Kuih Bulan Tanda Persahabatan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kuih bulan menjadi simbolik ikatan persahabatan yang terjalin antara wanita bukan muslim dengan kerajaan negeri setiap kali tiba 'Moon Cake Festival 2019” yang disambut oleh masyarakat Tiongha di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata walau pun jumlah kuih bulan yang diedarkan itu tidak besar tetapi memadai sebagai tanda ingatan dan tanda persahabatan bersempena dengan perayaan tradisional masyarakat Tionghua yang lazimnya disambut pada pertengahan September sehingga Oktober.
Zuraida mengagihkan kuih bulan.
“Tidak banyak pun yang kita edar, tapi ada. Mudah-mudahan pemberian kecil ini, jadi pengikat keharmonian antara semua kaum di Negeri Terengganu.
“Apa yang lebih mengujakan saya ialah sambutan baik daripada komuniti bukan muslim kepada Program Minum Petang bersama ADUN Wanita dan ini pertama kali sebenarnya, kita mengadakan program santai bersama komuniti wanita Cina dan India di sekitar Kuala Terengganu khusus bersama ADUN Wanita.
“Alhamdulillah, saya menerima banyak maklum balas dan cadangan yang positif daripada wakil-wakil mereka yang melibatkan diri secara aktif semasa sesi dialog,"ujarnya.
Cikgu Mala, wakil masyarakat India bercakap semasa sesi dialog.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Antara yang hadir dalam program tersebut ialah wakil wanita India dan Cina Dewan Himpunan Penyokong, Dewan Perhimpunan Tionghua Terengganu, Persatuan Penjaja Pasar Pagi, Persatuan Penjaja Medan Selera, wakil masyarakat India dan Siam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dan wakil masyarakat Kg. Cina atau Peranakan.
Zuraida turut berjanji akan menyuarakan segala kebimbingan dan cadangan yang telah diusulkan oleh mereka ke peringkat seterusnya.
Beliau juga berharap agar penganjuran program tersebut dapat mempereratkan tautan antara masyarakat di Terengganu tanpa mengira bangsa ataupun agama demi memastikan keamanan dan kedamaian pada tanah watan sentiasa terpelihara.
10 Oct 20
995
Masalah Mental Tidak Semestinya Gila
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Golongan yang menderita dengan masalah kesihatan mental tidak wajar dilabelkan sebagai ‘orang gila’ orang masyarakat sekeliling.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kesihatan mental merupakan aspek yang jarang diambil perhatian dalam negara Malaysia.
Menurutnya lagi, terlalu banyak salah faham dan salah sangka kepada orang yang menghadapi keuzuran daripada sudut kesihatan mental.
“Lebih parah, apabila pesakit mental dikaitkan dengan iman yang tidak kuat di samping tidak diberi sokongan oleh masyarakat sekeliling lantaran menyebabkan masalah mentalnya menjadi lebih teruk.
“Walau bagaimanpun belakangan ini, kita melihat ada perkembangan yang positif berkenaan kesedaran kesihatan mental di Malaysia. Semakin ramai orang persendirian mahupun persatuan yang tampil menghulurkan tangan bagi membantu pesakit.
“Di pihak saya sendiri, isu ini juga menjadi fokus utama selaku ADUN Wanita dan sebenarnya ada saya selitkan mengenai kesihatan mental dalam Ucapan Perbahasan Titah Di-Raja dalam Sidang DUN yang lalu,’ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 (NHMS), sebanyak 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau pun masalah kesihatan mental.
“Ada pesakit yang tidak menyedari mereka menghadapi simptom masalah kesihatan mental kerana kurangnya kesedaran sama ada individu atau pun masyarakat sekeliling.
“Saya menyeru supaya lebih banyak banyak program kesedaran diadakan bagi mendidik masyrakat di samping mengikis stigma negatif terhadap pesakit,”ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia, kelmarin.
Zuraida turut menegaskan isu ini wajar diberi perhatian kerana ia akan memberi kesan kepada kestabilan keluarga dan juga rumah tangga.
10 Oct 20
464
Gabungan Agama Dan Teknologi, Cara Dakwah Alaf Baharu
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Paduan antara bidang agama dan bidang teknologi serta multimedia menjadi platform saluran dakwah dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
Pengerusi Kelab Penggiat Media Sosial Wanita Inspirasi Terengganu (MASWIN), Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata, satu lawatan kunjung balas ke Studio al-Quran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah diadakan, baru-baru ini.
Katanya lagi, kunjung balas itu diadakan sebagai balasan hormat kepada pihak rombongan dari Studio al-Quran UMT yang telah hadir ke Wisma Darul Iman (WDI) sebelum ini.
Norbaity.
“Beberapa bulan lepas mereka adakan kunjung hormat untuk bertemu Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita di WDI. Jadi kali ini, YB ADUN Wanita mengadakan kunjung hormat kembali.
“Dan memandangkan MASWIN dan juga Kelab Media Baru Negeri Terengganu (NewMed) merupakan rakan kerjasama strategik Pejabat ADUN Wanita, maka kami dipelawa untuk menyertai delegasi ke Studio al-Quran.
“Objektif kita ialah untuk melihat Studio al-Quran UMT dan mengadakan diskusi tentang apakah kerjasama yang boleh dijalinkan bersama studio ini untuk manfaat komuniti.”ujarnya.
Norbaity berkata demikian ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Beliau berharap kerjasama akan terlaksana demi manfaat kepada masyarakat di samping berpeluang untuk memartabatkan al-Quran di bumi Darul Iman.
“Di akhir lawatan, kami dapat melihat dan meneliti program yang boleh dijalankan secara kerjasama oleh kedua-dua belah pihak, berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Dan alhamdulillah, kita juga dapat mengenalpasti bagaimana bentuk kerjasama yang bakal dijalankan nanti dan pastinya ia bermanfaat untuk komuniti dan pelajar,”tambahnya.
Zuraida berkongsi idea dan pendapat.
Dalam pada itu, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor juga dilihat optimis untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Studio al-Quran.
“Mungkin kita kena adakan beberapa siri lagi perjumpaan susulan untuk membincangkan kerjasama secara terperinci dan tersusun.
“Dan insya-Allah, jika tiada halangan kita akan usahakan untuk memastikan kerjasama ini berjaya dan memberi kebaikan kepada pihak kerajaan negeri , rakan kolaborasi dan pastinya kepada rakyat,”ulasnya.
Para peserta Kunjung Balas ke Studio al-Quran UMT.
10 Oct 20
692
DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu
Foto : Media DUAT
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera mampu mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta, memberi pendedahan berkenaan strategi berhadapan dengan khalayak dan melatih peserta supaya berani berhujah di hadapan penonton dengan penuh keyakinan dan keberanian.
Pengarah program, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, program tersebut yang telah diadakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) merupakan program latihan khusus untuk para wanita dalam Negeri Terengganu.
Menurut beliau, program yang menyasarkan golongan wanita meliputi pelbagai usia itu mendapat sambutan daripada peserta meski pun terpaksa berlangsung dalam suasana norma baharu.
“Ramai pihak yang menghantar wakil dan kalau saya boleh sebutkan, antara yang terlibat ialah para Daie Wanita Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES), Pertubuhan Ikatan Generasi Anak Terengganu (i-GenT), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) serta masyarakat awam.
“Kita ada dua tujuan utama program iaitu memfokuskan kepada peserta tentang strategi-strategi untuk menangani cabaran pengucapan awam dan penguasaan pentas yang efektif.
“Dan yang kedua ialah untuk menambahkan keyakinan diri para peserta untuk mengatasi perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai,”ujarnya.
Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera dianjurkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan dikendalikan oleh Perunding Pembangunan Wanita Ummah Training Centre, Mariyam Sa'ari yang juga merupakan Finalis Solehah TV Al-Hijrah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.
Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu para peserta khususnya para daie dalam kalangan wanita Terengganu untuk memahami serta mengaplikasi ilmu pengucapan awam dengan cara penyampaian yang lebih berkesan dan efektif.
Ilhami bergambar bersama Zuraida.
10 Oct 20
314
Anak Terengganu Raih Pingat Kejohanan Taekwando Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Seorang lagi anak Terengganu, Zara Habib Haniya Mohd Haizal berjaya mengharumkan nama negeri dan negara, dalam Kejohanan Antarabangsa ‘Virtual KTA Poomsae dan Para Poomsae’ tahun 2020.
Beliau yang mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, berjaya merangkumi pingat gangsa dalam acara kategori poom tali pinggang hitam bawah 11 tahun perempuan, berlangsung secara maya selama tiga hari pada 2 hingga 4 oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan adik Zara bukan sahaja membanggakan Sekolah Kebangsaan Sultran Sulaiman Satu, tetapi juga mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia.
“Penghargaan sebesar-besarnya diberikan kepada Zara. Insya-Allah ia menjadi suatu lonjatan, dan memberi semangat kepadanya supaya terus berjaya pada masa hadapan.
“Tahniah juga buat Jurulatih Kelab Taekwondo Teguh Terengganu, Solihin Abdullah atas kejayaan dan usaha didikan atlet sepanjang kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, pelajar SK Sultan Sulaiman 1 itu antara lapan atlet yang mewakili negara ke peringkat taraf dunia itu.
Kejohanan atas talian ini dianjurkan oleh Harrogate KTA United Kingdom yang disertai oleh kira-kira 67 buah negara dari segenap benua, melibatkan 566 orang atlet.
09 Oct 20
1948
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
SETIU , 10 Oktober - Kreativiti seorang petani yang mencipta 'burung helang' daripada sabut kelapa mengundang rasa kagum segelintir masyarakat di sini.
Petani tersebut, Bidin Salleh, 50, berkata ia bagi menghalau haiwan ternakan memakan padi yang dijemur di halaman rumahnya.
Katanya, dia hanya memanfaatkan idea yang terlintas di kepala tambahan pula ia tidak melibatkan sebarang kos.
"Hanya menggunakan ranting pokok rambutan, sabut kelapa, tali, dan polisterin, ia dapat menghasilkan seakan-akan seekor burung helang. Matanya pula dicucuk dengan api lidi sahaja,
"Kalau 'orang-orang', mungkin sudah menjadi perkara biasa kita lihat. Dalam buku pun ade. Yang ni tiada dalam buku ni,
"Burung-burung ini digantung pada tali, diserikan lagi dengan bunyi batu yang diletakkan ke dalam botol. Bila bunyi, ayam itik pun tak berani nak masuk dekat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.
Kaedah ini juga turut digunakan di sawah padi untuk menakutkan tikus.
09 Oct 20
921
15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
SETIU, 9 Oktober - Penantian keluarga Siti Idayu Mohd Ali sejak 15 tahun lalu untuk memiliki air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air tersebut mula dipasang di rumahnya tiga hari lepas.
Kata Siti Idayu, 37, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim kemarau, dia berulang alik ke rumah ibu dan bapanya untuk mendapat keperluan air.
“Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya.
“Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tujuh beranak yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini.
“Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kosnya kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya baru-baru ini.
Siti Idayu tinggal bersama lima orang anak, dan empat daripadanya masih bersekolah sementara anak bongsunya baru berusia 40 hari.
Kisah Siti Idayu itu mendapat perhatian dan simpati Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang terus mengambil beberap langkah proaktif.
Kata Shafizi, masalah keluarga itu diberikan keutamaan agar impian mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa direalisasikan.
“Isu ini mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera, alhamdulillah bekalan air bersih telah disalurkan kepada keluarga terbabit.
“Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Damat.
“Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.
09 Oct 20
2513