lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Program Khas Asasi Imtiaz Berjalan Lancar
Program Khas Asasi Imtiaz Berjalan Lancar
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Program Khas Asasi Imtiaz untuk pelajar tingkatan satu bagi Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 di seluruh negeri ini berjalan lancar. Timbalan Pengarah (Operasi), Yayasan Terengganu, Mazlan Che Wil berkata, walaupun program tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka disebabkan pandemik COVID-19, pelajar, guru dan ibu bapa menunjukkan komitmen yang begitu baik selama enam bulan program diadakan bermula Januari hingga 30 Jun lalu. “Program khas asasi Imtiaz mengandungi enam modul antaranya, personaliti, bahasa, bahasa Arab dan Inggeris, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta al-Quran. “Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, disebabkan negara berdepan dengan wabak COVID-19, para pelajar perlu menyelesaikan semua tugasan di rumah berdasarkan modul yang diberi menerusi pemantauan oleh guru serta ibu-bapa masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2020 secara sidang video yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini. Mazlan berkata, program yang diperkenalkan sejak 2006 ini lebih kepada membentuk akhlak dan sebagai persediaan kepada pelajar yang baru mengikuti pengajian di Imtiaz . Katanya, walaupun tidak hadir ke sekolah dalam tempoh berkenaan, pelajar mampu mencapai keputusan yang memberangsangkan. “Tahniah kepada anak-anak pelajar, guru-guru, ibu bapa dan semua yang terlibat kerana terbukti COVID-19 tidak menjadi penghalang untuk belajar, ini terbukti apabila 50 peratus pelajar yang mengikuti program khas asasi ini berjaya menghafal lima juzuk al-Quran dan ada yang sampai 14 juzuk walaupun hanya dipantau secara online oleh guru,” ujarnya.      
20 Oct 20
682
'Terima kasih Setiu' - Sophian
'Terima kasih Setiu' - Sophian
SETIU, 19 Oktober - Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan oleh Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar selain ucapan terima kasih dalam majlis perpisahan beliau semalam. Mohd Sophian bakal menjawat jawatan sama di Daerah Kemaman dan dijadual melaporkan diri pada 22 Oktober ini. Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Daerah Setiu pada pertengahan Januari tahun lalu dilihat sedih ketika ucapan ringkas majis yang dijalankan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pantai di Kampung Padang Saujana. "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya berada di Setiu, tentunya satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya berada di Setiu. "Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan datang lagi ke Setiu dan saya mohon maaf banyak-banyak kalau ada perkara-perkara yang menyinggung perasaan tuan-tuan semua sebelum ni," katanya. Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan makan tengah hari hari dan perpisahan yang diadakan di rumah Pengerusi MPKK Kampung Padang Saujana. Beliau turut berpesan supaya para pemimpin masyarakat terus memberikan komitmen yang jitu terhadap amanah yang dipegang.
19 Oct 20
860
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
  KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Kebanyakan daerah di Terengganu mencatat penurunan kes demam denggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, sebanyak 349 kes demam denggi direkodkan setakat 17 Oktober lepas, iaitu penurunan 30.2 peratus (151 kes) berbanding 500 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (192 kes) diikuti dengan daerah Kuala Nerus (52 kes), Kemaman (26 kes), Dungun (25 kes), Besut (24 kes), Marang (15 kes), Hulu Terengganu (10 kes), dan Setiu (5 kes). “Semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan sehingga 17 Oktober 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri ini. “Sebanyak 21 episod wabak telah berlaku di  Terengganu sehingga 17 Oktober  iaitu 17 episod di daerah Kuala Terengganu, dua  episod di daerah Hulu Terengganu, satu  episod di daerah Kuala Nerus dan satu  di daerah Dungun.Sementara itu, satu  wabak aktif dilaporkan di Kompleks Perdana, PDRM, Dungun,”katanya. Justeru itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai supaya meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja. Katanya, ini merupakan antara langkah-langkah pencegahan demam denggi yang perlu diperkasakan untuk menurunkan kadar jangkitan denggi. Beliau juga meminta masyarakat melakukan semburan untuk membunuh nyamuk terutama pada awal pagi dan lewat petang termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu berkenaan untuk mengelakkan digigit nyamuk. “Orang ramai dinasihatkan segera ke klinik berdekatan jika mempunyai simptom demam denggi,”ujarnya.  
18 Oct 20
1208
Penyelenggaraan, Bina Jalan Di Jabi Sedang Giat Berjalan
Penyelenggaraan, Bina Jalan Di Jabi Sedang Giat Berjalan
SETIU, 18 Oktober – Penyelenggaraan dan pembinaan jalan baharu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi sedang giat dijalankan mengikut keutamaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kerja-kerja bagi menyelesaikan masalah di lokasi dengan mengutamakan tempat yang akan dimanfaatkan secara umum berbanding kegunaan individu.  "Banyak lagi jalan di Jabi yang belum selesai dibaiki. Kita buat mengikut keutamaan. Antara penilaian keutamaan, jalan untuk kegunaan umum lebih diutamakan daripada jalan persendirian. "Jalan untuk kegunaan 20 buah rumah lebih diutamakan dari jalan untuk kegunaan lima buah rumah. Jalan sawah padi yang dimanfaatkan berpuluh orang pesawah lebih utama daripada jalan kebun milik perseorangan," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.   
18 Oct 20
1298
Turap Jalan Untuk Pesawah
Turap Jalan Untuk Pesawah
SETIU, 18 Oktober  – Kerajaan Terengganu tidak akan meminggirkan kemudahan asas seperti penurapan jalan untuk golongan pesawah supaya pengusaha dalam bidang tersebut mampu memaksimakan potensi dengan sebaik mungkin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ia sekadar infrastuktur asas tetapi ia sangat penting kepada golongan petani.  "Kalau jalan nak pergi pasar raya perlu jalan berturap, kenapa pula jalan sawah padi yang merupakan periuk nasi kita perlu dipinggirkan. "Malah, dalam sawah padi pun ada rumah penduduk. Mereka tak boleh dinafikan hak untuk turut menikmati kemudahan asas sama seperti di tempat lain," katanya dalam satu kenyataan kelmarin. Beliau yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, usaha berkenaan secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai positif ke dalam minda masyarakat agar mengubah sisi pandangan terhadap sektor pertanian. "Kita nak ubah minda bahawa kerjaya petani adalah kelas ketiga dan inilah bidang tempat orang mundur dalam masyarakat. Biar kita bermentaliti, petani adalah kerjaya kelas pertama. Nak pergi ke sawah pun ada jalan berturap," tambah beliau.
18 Oct 20
646
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Rakyat Terengganu dijemput untuk mengutarakan sebarang cadangan dan soalan bersempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Kali Ketiga, yang dijadualkan berlangsung pada bulan November tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata peluang yang seluasnya dibuka kepada semua penduduk Terengganu tanpa mengira status jantina, agama dan bangsa untuk sama-sama menyumbangkan ‘buah fikiran’.   Zuraida berucap ketika Sidang DUN yang lalu. “Kami buka kepada segenap lapisan masyarakat untuk suarakan apa hasrat dan isi hati mereka kepada kerajaan negeri, berilah sebanyak mungkin respon supaya suara anda didengari. “Tambahan pula Sidang DUN kali ini melibatkan pembentangan bajet Kerajaan Negeri Terengganu jadi rugi sekiranya tidak diambil peluang. “Soalan berkaitan isu wanita, sosial ekonomi, pendidikan dan agama, hiburan, sukan, kerjaya, pembangunan & infrastuktur atau apa sahaja soalan yang berkaitan Kerajaan Terengganu boleh diutarakan kepada kami,” ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi tadi. Beliau juga sangat mengalu-alukan cadangan serta idea untuk memantapkan lagi pembangunan wanita, pembangunan modal insan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Orang ramai yang mahu menyumbangkan pandangan, bolehlah merujuk halaman media sosial ADUN Wanita (Zuraida Md Noor) bagi mendapatkan pautan atau mengimbas kod QR untuk mengisi borang secara atas talian sebelum 24 Oktober 2020 (Sabtu).
18 Oct 20
527
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Pembinaan 'Slipway' dengan kos hampir RM250 ribu bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menggunakan bot di Sungai Berang berhadapan dengan Kampung Buluh, Kuala Berang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata pembinaan 'slipway' ini bertujuan untuk menurunkan bot dengan mudah selain digunakan ketika kecemasan. "Pembinaan 'slipway' ini merupakan satu keperluan yang sepatutnya sudah lama ada di sini. Ianya bertujuan untuk menurunkan dan menaikkan bot dengan lebih mudah. Sekiranya ada keperluan misalnya kejadian mati lemas atau kecemasan di air, kita boleh menurunkan bot dengan lebih cepat dan mudah" jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan 'slipway' berdekatan Jambatan Kampung Buluh petang semalam. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini menelan kos yang agak besar, dan baru sahaja memasuki peringkat awal pembinaan. "Projek ini baru saja bermula kerja-kerja melantak cerucuk, dan saya berharap projek ini akan berjalan dengan lancar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai pada masa akan datang," katanya.
18 Oct 20
1863
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Jambatan baharu bakal menjadi 'hadiah' buat penduduk Kampung Kuala Por, Kuala Berang  yang dikelola oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hulu Terengganu dengan kerjasama JPP Negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh  yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata jambatan baharu ini dijangka menelan kos hampir RM200 ribu. "Kos projek ini dianggar lebih kurang RM200 ribu, dan telah mula dibina dalam sebulan yang lepas. Alhamdulillah, ia hampir siap untuk gantikan jambatan yang lama," katanya kepada Urus Setia penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan lawatan ke jambatan tersebut di Kampung Kuala Por, baru-baru ini. Tambah Dr Mamad  lagi, jambatan baharu ini merupakan salah satu permintaan penduduk kampung, yang sekian lama memohon untuk menggantikan jambatan lama yang sudah uzur dan berisiko jika terus menggunakannya. "Apabila musim hujan, jambatan lama yang sebelum ini akan tenggelam kerana tiangnya ada yang patah dan runtuh. Ini juga berisiko kepada lori atau pun jentera yang melalui jambatan itu," jelasnya.     .
18 Oct 20
3103
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 17 Oktober - Kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang meneruskan projek pembinaan longkang baharu  bagi menyelesaikan masalah banjir di Kampung Pantai Ali. ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata terdahulu Jabatan Kerja Raya (JKR) baru sahaja selesai membina longkang bagi menyelesaikan sebahagian masalah banjir di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi, di sini. "Dengan terbinanya longkang ini, insyaAllah masalah banjir akan dapat diatasi. Akan datang, projek ini akan diteruskan lagi oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dengan kos bernilai RM100 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan longkang tersebut di hadapan Sekolah Kebangsaan  Pasir Tinggi pada 16 oktober selepas solat jumaat. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini akan ditambah baik lagi pembinaannya pada tahun hadapan. "InsyaAllah, tahun hadapan kita akan tambah lagi peruntukan berkaitan dengan permasalahan banjir di kawasan sekitar ini, terutamanya berdekatan Klinik Kesihatan di kampung ini," "Masalah ini sudah lama disuarakan oleh penduduk kampung dan insyaAllah kita akan bantu semampunya," katanya.
18 Oct 20
1201
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
KUALA NERUS, 18 Oktober - Kira-kira 92 rumah rosak akibat dilanda ribut  dengan sebahagian besar bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang  menerima bantuan segera berupa kepingan atap asbestos dan juga perabung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan 12 kampung antaranya Banggol Donas, Kampung Jeram, Paya Datu dan Tanjung Sabtu kepingan atap baru telah mula diedarkan kepada setiap mangsa bermula pagi semalam. YB Ustaz Ridzuan Hashim memantau pengagihan atap ke ruamh mangsa ribut “Kepingan atap telah kita edarkan ke setiap mangsa ribut agar pembaikan dapat dilakukan dengan segera. “Kita jangkakan pembaikan rumah rosak dapat diselesaikan dalam minggu ini agar rutin harian mangsa tidak terkesan”, ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi rumah mangsa ribut pagi semalam. Menurutnya, Kampung Buluh Gading Dewan dan Buluh Gading Masjid paling teruk terjejas dengan 56 kediaman dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanda ribut yang berlaku antara 10 hingga 15 minit.  
17 Oct 20
409